Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Sunday, 28 March 2010

Khabar dari Kinabalu

Dugaan untuk pendakian kali ini pasti hebat. Perkhabaran yang saya terima dari Sabah mengatakan bahawa Gunung Kinabalu kini kekeringan. Sabah juga kekeringan. Khabarnya dek kerana fenomena El-Nino. Aduh... pasti panas punya. Air 'percuma' yang kebiasaannya sedia terisi di setiap pondok-pondok hentian bagi pendaki-pendaki yang ingin 'menakluki' gunung tertinggi di Asia Tenggara ini pasti kering. Memang benar semuanya kering dek fenomena pemanasan ini. Saya dimaklumkan sudah hampir 2 bulan hujan tidak turun-turun.

Saya dapat melihat dengan jelas rumput-rumput yang semakin kekeringan di sepanjang perjalanan menuju ke Poring Hotspring. Pokok-pokok juga kelayuan. Argh! ini cabaran sebenar kepada pendaki-pendaki. Mendaki dalam kepanasan. Banyak botol-botol berisi air yang perlu dibawa bersama di dalam pendakian. Di Laban Rata juga mengalami kekurangan air. Pendaki khabarnya tidak dibenarkan mandi. Beristinjak juga perlu gunakan air yang dibawa atau gunakan tisu basah.

Kami jejakkan kaki juga ke Poring Hotspring setelah menyelesaikan segala urusan yang sepatutnya telah selesai lebih awal. Dek kerana itu kami lewat tiba di Poring Hotspring dari jadual yang sepatutnya. Pengajaran berguna kepada penganjur.

Sedang dalam perjalanan menuju ke Pusat Informasi di Poring, dengan tidak semena-mena hujan rintik-rintik mula turun membasahi bumi Poring. Alhamdulillah... hujan rahmat menyambut ketibaan kami seramai 27 orang. Kami tiba... hujan pun turun. Semoga ianya menjadi petanda baik kepada pendakian kami pada esok hari.

Ketika kami sedang sibuk mengisi air panas ke dalam kolah mandi masing-masing, sekali lagi keajaiban berlaku. Hujan lebat yang sememangnya dinanti oleh warga Sabah sejak berbulan-bulan lalu turun mencurah-curah. Syukur alhamdulillah. Tentu air di dalam tangki-tangki di setiap pondok rehat telah terisi kesan dari hujan lebat ini. Sudah tentu juga Laban Rata tidak akan kekeringan lagi. Syukur kami panjat kehadrat Illahi.

Untuk kesekian kalinya semenjak pendakian-pendakian saya yang terdahulu, Gunung Kinabalu 'malu' untuk menunjukkan puncaknya. Pada hari pendakian kami, Gunung Kinabalu 'menyorok' di sebalik kabus dan awan yang tebal. Langsung tidak diberi peluang kepada kami untuk menatap rupanya agar menjadi motivasi kepada pendaki baru.

Lima orang pendaki dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Sabah turut serta untuk pendakian kali ini. Mereka terdiri daripada dua orang yang cacat penglihatan (B2), dua orang spastik dan seorang amputee (kudung tangan). Mereka ini telah dibantu oleh 18 orang pelajar FSR, seorang guru pendidikan khas dan 3 orang pensyarah FSR serta 10
orang malim gunung.

Hujan turun tidak henti-henti di sepanjang pendakian. Sejuk menusuk hingga ke tulang temulang. Nasib baik semalam singgah di Ranau dan pastikan semua membeli baju hujan. Kalau tak... basah kuyup la jawabnya. Pendakian ini semestinya menguji kekuatan mental dan fizikal. Di Pondok Kandis, En Rahim Meerah terkandas. Beliau berpatah balik semula ke Timpohon Gate seorang diri. Sememangnya dari awalnya pun beliau agak keberatan untuk mendaki. Dek kerana cabaran yang bertalu-talu dari Dr Anuar Suun, En Rahim gagahkan juga diri untuk menjejakkan kaki ke Pondok Kandis iaitu hentian rehat yang pertama.

Hujan terus turun. Pendaki semakin kesejukan. Dorephine a.k.a Ipin iaitu seorang amputee terpaksa mengalah. Beliau mengalami kekejangan yang melampau pada kedua-dua kakinya. Ipin terpaksa kami tinggalkan di Kuarters Staf Layang-Layang. Ipin yang begitu teruja untuk mendaki sungguh sedih. Air mata mengalir di pipinya. Dia tak sanggup menyusahkan kami. Dia juga kecewa kerana gagal menamatkan misinya. Sungguh berat hati kami untuk meninggalkan Ipin di Layang-Layang. Namun kudrat Ipin hanya mampu bertahan di Layang-Layang sahaja. Dia telah lebih lima kali diserang kekejangan di sepanjang pendakian. Tak apalah Ipin... cuba lagi di lain kali. Kamu sudah melakukan yang terbaik. Kami dari FSR sungguh berbangga dengan semangat yang kamu tunjukkan.

Alhamdulillah pendaki-pendaki lain dari FSR dan OKU berjaya sampai di Laban Rata bermula dari jam 3.00 petang hinggalah ke pukul 5.00 petang. Kami menginap di Pendant Hut iaitu sebuah penginapan yang mula beroperasi di Laban Rata pada Disember 2007.

Pendakian pada 25 Mac 2010 bermula pada jam 2.30 pagi. Kami perlu melepasi Stesen pemeriksaan di Sayat-Sayat Hut sebelum jam 4.30 pagi sekiranya ingin merasai 'kenikmatan' menyelusuri Via Ferrata Mountain Torq (jalan besi). Alhamdulillah kami berjaya. 2 orang pelajar FSR dan seorang OKU spastik terpaksa melupakan hasrat mereka untuk menamatkan pendakian dek kerana kudrat yang sudah sampai ke penghujungnya. Ketiga-tiga mereka terpaksa pulang semula ke Pendant Hut.

Pasukan yang pertama yang berjaya sampai ke Low's Peak adalah pada pukul 5.30 pagi. Selainnya berjaya tiba setelah berhenti menunaikan solat Subuh di kilometer 8.

Kesyahduan jelas terasa apabila sekali lagi diberi peluang oleh Allah S.W.T untuk menjejakkan kaki di ketinggian 4095.2m ini. Subhanallah....Maha Suci Allah, keindahan Sabah dari puncak ini sesungguhnya ciptaan yang terbaik dari-Mu, Pencipta sekalian alam. Hari yang indah dan cerah ini tanpa hujan dan kabus tebal cukup mengasyikkan dengan pemandangan yang saujana mata memandang.

Alhamdulillah akhirnya seramai 16 orang pelajar FSR bersama 3 orang OKU dan 2 orang pensyarah FSR serta guru pendidikan khas berjaya menamatkan misi "Inclusive Recreation: UiTM-FSR Kinabalu Wilderness Adventure 2010" dengan jayanya.

Semoga OKU terus diberi peluang untuk bersama kita merasai keindahan alam ciptaan Allah ini. Mereka juga sebenarnya mampu melakukan segala yang kita orang normal boleh lakukan. Lima OKU dari Sabah ini telah buktikan. Beri peluang... pasti mereka buktikan!

8 comments:

FoO dA fIrSt#1 said...

rindu kinabalu...

teringin jejak kaki semula ke sana....

HiCMat said...

Yasir,
Rindu kinabalu atau cinta kinabalu. Jangan marah ya...

warna warni kehidupan said...

Tahniah....

aQu daN SesuAtu said...

Terasa ingin mendaki Kinabalu lagi
dah banyak pembharuan..

masa saya naik dulu
Via Ferrata Mountain Torq (jalan besi)dan Pendant Hut tdk ada lagi

Tahniah en Hisyam kerana berjaya dan memberi peluang kepada OKU untuk merasai pengalaman mendaki kinabalu yang mungkin pada saya itu agak mustahil untuk mereka lakukan sendiri...

sekali lagi tahniah dan syabas

HiCMat said...

Dilla & Dasri: Terima kasih

Dasri,
Via Ferrata memang best. Cuba dahulu baru tahu. Boleh hilangkan acrophobia.

hijau bumi Tuhan... said...

tahniah buat peserta OKU yg menyahut cabaran ini...sesungguhnya anda juga boleh melakukan apa yg org lain lakukan...yg penting, percaya pada diri sndiri...

Haron said...

Tahniah boss. Saya tak dapat pi on the top pun tak mengapa, kat kaki gunung pun jadilah.

HiCMat said...

Bro Haron,
Saya pernah jumpa Nenek dari Jepun, umur dia pada masa dakian Kinabalu tu 81 tahun. Dia jalan pelan-pelan ja macam kura-kura. Langkah dia pun diatur kecik-kecik. Dia sampai punak, bro. Apalagi training la mula dari sekarang. Boleh punya.