Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday, 30 May 2012

Bagaimana Boleh Sampai ke RMIT University!

Keputusan untuk menyambung pengajian ke luar negara hanya saya putuskan pada 7hb Julai 2011. Walaupun keputusan rasmi temuduga PhD di peringkat universiti telah lama diketahui (8 Mac 2011), namun hati saya masih berat untuk memohon sebarang universiti di luar negara. Rakan-rakan terdekat telah sedia maklum kenapa saya mengambil tindakan sedemikian. Jawapan kepada pertanyaan yang bertimpa-timpa adalah saya punya masa hingga hujung tahun (2011) sebelum biasiswa saya ditarik balik. Jadi saya tak perlu risau sebenarnya.


Semuanya saya lakukan selepas mendapat berita gembira daripada Mak Bibah di Melaka melalui Liza yang mengatakan bahawa kanser serviks yang dihidapi Mak Bibah telah pulih setelah selesai melakukan radiotherapy di Pusat Perubatan Mahkota,Melaka dan diikuti denganBrachytherapy di Hospital Kuala Lumpur. Keperitan dan derita kesakitan yang ditanggung oleh Mak Bibah selama berbulan-bulan sebelumnya akibat kanser tersebut akhirnya sampai ke penghujung. Alhamdulillah...

Untuk hijrah kali ini saya mahu keluarga saya bersedia dari segi fizikal dan mental terutamanya. Makanya apabila kesihatan Mak Bibah telah pulih maka kerisauan yang ditanggung oleh Liza akan berkurang dan 'memudahkan' hijrah kami. Saya tak mahu Liza dan anak-anak kesedihan dek kerana masalah kesihatan Mak Bibah apabila ditinggalkan nanti. Saya sanggup berkorban untuk melanjutkan pengajian di dalam negara sahaja asalkan keluarga kami dapat bersama. Pengorbanan Liza dan anak-anak ketika Mak Bibah sakit pada tahun 2007 ketika di Bendigo akan saya kenang sentiasa.Penghijrahan ke luar negara bagi jangkamasa yang panjang untuk kali ini memerlukan kami sekeluarga lebih fokus dengan tanggungjawab masing-masing.

Tarikh 7hb Julai 2011 pasti akan saya kenang sampai bila-bila. Email pertama yang saya hantar kepada bakal penyelia (Sean Tweedy) di University of Queensland. Kalau diikut bidangnya ada kena mengena dengan penyelidikan yang akan saya jalankan nanti. Tiada balasan yang saya terima setelah beberapa kali menghantar email kepadanya. Apa boleh buat orang dah tak sudi...


Namun pada masa yang sama saya telah berhubung dan berbincang dengan beberapa pakar-pakar & bakal penyelia daripada beberapa universiti-universiti dalam dan luar negara antaranya: Universiti Putra Malaysia (Azlizam Aziz),University of Technology Sydney Australia (Simon Darcy & Tracy Taylor), University of Otago New Zealand (Lisette Burrows, Mike Boyes, Shayne Galloway & James Higham), Lincoln University New Zealand (Stephen Espiner), University of Queensland (Ian Patterson) dan Deakin University Australia (Erin Wilson)

Email yang dihantar kepada Dr Erin dari Deakin University telah 'menemukan' saya dengan Jeff Walkley daripada RMIT University. Beliau sangat positif dengan kajian yang diusulkan dan proaktif dalam membantu proses permohonan ke RMIT University. Insya-Allah minggu hadapan akan menemukan saya pula dengan bakal co-supervisor, Andrew Francis.


Alhamdulillah... syukur kehadrat Illahi kerana akhirnya saya akan dipertemukan dan berguru dengan Associate Proffesor Dr Jeffrey Walkley, pakar dalam bidang Disability Studies. Insya-Allah ilmu dan pengalaman yang diperolehi di sini akan saya kongsikan dengan rakyat Malaysia. Doakan kejayaan saya di sini. Wassalam. Terima kasih.

2 comments:

rezi said...

bila en hisyam berbunyi - teruskan usaha moga Allah permudahkan segala urusan dan sentiasa berterima kasih kepada yang esa. Jangan sesekali menyesal atas keputusan yang kita telah putuskan. Focus and work smart

HiCMat said...

Terima kasih Kak Ana kerana sudi menghulurkan tangan dan buah fikiran di kala memerlukan.Semoga Allah membalas dengan kebaikan yang setimpal