Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday 30 January 2014

Pencari Rezeki di Kotaraya Melbourne


Setiap orang ada 'lubang' rezekinya masing-masing yang Allah berikan. Seseorang itu insyaAllah tidak akan susah sekiranya dia berusaha. Sebab itu munculnya perumpamaan "sedangkan ulat di dalam batu pun boleh hidup, inikan pula kita manusia" sebagai perbandingan kepada kita manusia agar tidak sesekali mudah berputus asa dan jangan malas pula untuk berusaha. Maksudnya orang yang rajin berusaha insyaAllah tidak akan mati kelaparan tetapi bukannya bermaksud kita hanya duduk atas  batu atau berpeluk tubuh sahaja tanpa berbuat apa-apa. Menunggu rezeki datang bergolek bukanlah caranya.




Berkesinambungan dari perumpamaan di atas terdapat satu lagi peribahasa yang saya masih ingat iaitu "di mana ada kemahuan di situ ada jalan" yang bermaksud jika seseorang itu mempunyai keinginan atau iltizam yang kuat dia akan berusaha dengan bersungguh-sungguh sehinggalah mencapai kejayaan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang mendatang. Berpeluk tubuh juga bukanlah caranya.




Coretan saya kali ini dimulakan dengan perumpamaan dan peribahasa di atas kerana ia berdasarkan kepada pemerhatian saya selama hampir dua tahun sepanjang berkunjung ke bandaraya Melbourne di hujung minggu. Ramai sekali penghibur-penghibur jalanan yang membuat persembahan di sepanjang beberapa jalan utama seperti di Swanston St. dan Bourke St., termasuklah juga persembahan jalanan di hadapan Federation Square  dan juga di laluan pejalan kaki di sepanjang Sg Yarra.

Penghibur-penghibur jalanan ini menggunakan kreativiti yang mereka miliki untuk dipertontonkan kepada umum yang lalu lalang. Ada yang bermain alat muzik a.k.a 'busking' sambil menyanyi, kemahiran menari, ada yang mempertontonkan kemahiran melukis ( menggunakan warna air, crayon, cat minyak, spray dsb), ada pula yang membuat aksi stunt dan akrobatik merbahaya, ada pula yang hanya menjadi 'patung cendana' dan tak kurang juga ada yang memakai pakaian ala badut dan membuat segala macam bentuk dari belon-belon Kalau diamati sebenarnya terdapat bermacam-macam lagi aksi yang mencuit hati pengunjung yang lalu lalang.  



Kebiasaannya persembahan dari pelagak ngeri dan aksi akrobatik akan mendapat tempat di hati orang yang lalu lalang. Semakin merbahaya aksi yang dipertontonkan maka lagi makin ramailah orang yang akan berhenti untuk menonton dan berkerumun. Tambahan lagi kalau penghibur jalanan tersebut pandai pulak mencuit hati penonton dengan lawak-lawak bersahajanya, maka makin ramailah penonton yang berkerumun di sekelilingnya. Adakalanya penonton juga dilibatkan dengan persembahan mereka bagi menambahkan lagi kegamatan suasana.





Kalau diikutkan, mereka ini adalah orang yang hebat-hebat. Iya lah... bukan senang untuk menarik perhatian orang yang lalu lalang yang punya agenda hujung minggu tersendiri untuk berhenti, mendengar celoteh dan seterusnya menonton persembahan penghibur jalanan ini hingga tamat. Penghibur jalanan ini perlu ada aura tersendiri baru orang tertarik untuk menonton. Kalau tak, alamatnya buat persembahan syok sendiri sahaja la tanpa ada sesiapa pun yang menonton. Kalau penuh penonton di sekeliling makanya akan penuhlah kantung di saat persembahan tamat, kalau tak alamatnya kosonglah kantung.

Seperti pengunjung yang lain-lain, saya juga cukup tertarik untuk berhenti dan duduk untuk menyaksikan penghibur-penghibur jalanan terutamanya persembahan jalanan yang membuat aksi stunt dan akrobatik. Tambah lagi kalau penghibur yang pandai menyelitkan unsur-unsur humor dalam persembahan mereka. Setiap kali kalau ke bandar, penghibur sebeginilah yang akan saya cari dulu. Boleh kasi hilang stress da!

Seingat saya ada tiga persembahan yang saya sekeluarga saksikan yang mana penghiburnya melibatkan penonton dari kalangan kanak-kanak untuk membantu dalam menceriakan persembahan mereka. Kanak-kanak kecil dari kalangan penonton yang turut  membantu menjayakan persembahan ini kemudiannya 'dibayar upah' sebagai hadiah kerana membantu 'pakcik penghibur' membuat persembahan. Sifat pemurah penghibur sebegini yang tak makan seorang selalunya membuatkan penonton cair. 





Penonton yang kebiasaannya berpuashati dengan persembahan jalanan hingga 'memecahkan peluh jantan' sang penghibur dan melihat sendiri sifat pemurah sang penghibur tadi akan tanpa berfikir panjang menyeluk poket dan mengeluarkan wang untuk dihulurkan ke kantung sang penghibur. Selain wang itu sebagai imbuhan atas persembahan yang dipertontonkan, ianya juga merupakan cara orang ramai menghargai dan memberi semangat kepada sang penghibur agar terus berkarya dan 'tidak serik' untuk menghiburkan umum yang lalu lalang.




No comments: