Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Saturday 4 July 2015

Jelajah Pulau Selatan New Zealand: Hari Pertama

Alhamdulillah... setinggi kesyukuran diucapkan kehadrat Allah subhanahu wata'ala Tuhan kita semua kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya jua kami sekeluarga diberikan kesempatan dan rezeki untuk menjejakkan kaki ke Bumi Kiwi. Memang sudah lama dipendamkan hasrat untuk menjelajah ke negara orang dan New Zealand merupakan salah satu destinasi yang ingin dilawati kerana hasrat di hati sememangnya ingin menyaksikan sendiri keindahan yang sering dipaparkan di foto dan video yang ditonton.

Penerbangan kami dengan JETSTAR dari Lapangan Terbang Melbourne mengambil masa sekitar 3 jam 20 min dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Christchurch (LTAC) sekitar jam 4.35 pagi. Sebaik selesai dan keluar dari ruang pemeriksaan imigresen dan kastam saya dapat saksikan segenap ruang di balai ketibaan telah penuh dengan pelancong. Mereka juga tiba dengan penerbangan awal pagi. Sementara menunggu hari cerah dan masa yang ditetapkan untuk mengambil kereta sewa, saya tinjau-tinjau sekeliling LTAC. Memang bersih dan kemas.

Masa yang dijanjikan telah tiba dan kami ke Car Rental Transfer Point untuk menunggu shuttle van yang akan membawa kami ke depot APEX Car Rental yang terletak 2km dari terminal antarabangsa. Kos untuk menyewa sebuah Toyota Corolla berserta insuran selama genap 9 hari sepanjang kami di sini hanyalah NZ$445. Siap ada diskaun lagi apabila saya klik LIKE pada laman FB APEX. Yang menjimatkan lagi sebab kami bawa GPS sendiri dan booster untuk kanak-kanak tidak dikenakan caj oleh APEX selama 9 hari tersebut. Dengan kondisi kereta yang TIPTOP dan servis yang terbaik, saya merasakan nilai yang dibayar selama kami menggunakan kenderaan tersebut adalah sangat berpatutan jika dibandingkan dengan syarikat lain. Sebenarnya pun saya telah mengambil masa dua bulan sebelum membuat keputusan dengan membandingkan harga dan servis yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat penyewa kenderaan di Christchurch.


 


Destinasi kami yang pertama adalah Countdown di Hornby yang terletak 8km ataupun 13 min pemanduan dari LTAC. Sedikit barang keperluan kami beli di sini. Kalau ada penjengok-penjengok sekalian yang rajin nak survei harga barangan dahulu sebelum membeli, bolehlah juga ke pasaraya PAk'nSave yang terletak di seberang jalan. Namun daripada pemerhatian saya harga barang di pasaraya di Christchurch lebih mahal berbanding harga di Melbourne.

Seterusnya kami pusing-pusing Bandar Christchurch sebelum menuju ke Bella Vista Ashburton iaitu tempat penginapan untuk malam pertama kami di Bumi Kiwi. Pemanduan ke sini dari pusat bandar Christchurch ke Ashburton sebenarnya hanyalah sekitar 1 jam 10 minit atau jaraknya 86km sahaja. Namun dek kerana mata macam sudah digam, saya terpaksa berhenti di Rakaia. Baru memandu 60km mata dah mengantuk. Saya tak berani ambil risiko. Liza dan anak-anak awal-awal lagi dah lelap. Sedar sahaja dari tidur barulah perasan rupanya dekat sejam juga kami sekeluarga lelapkan mata di dalam kereta. Alhamdulillah... kembali segar sebelum meneruskan semula perjalanan yang berbaki 20 minit menuju ke Bella Vista Ashburton.

Kami sampai terlalu awal. Sebelum jam 2 petang kami dah tercongok di reception counter. Namun pemilik apartment yang baik hati membenarkan kami untuk check-in awal dan berehat. Apartmentnya memang puashati. Bersih, kemas dan segar.

Nota alamat lokasi:-
Apex Car Rental: 28 Ron Guthrey Road, Christchurch
Countdown Hornby: 17 Chappie Pl, Hornby, Christchurch 8042
Pak'nSave : 418 Main South Road, Hornby, Christchurch 8042
Bella Vista Ashburton: 469 West St, Allenton, Ashburton 7700

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Hari Kedua di Pulau Selatan NZ: Lake Tekapo 





No comments: