Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Monday 1 February 2016

Jelajah Pulau Selatan NZ : Kenangan di Hooker Valley (Hari Ketiga)

Rasanya seperti tidak lengkap kembara kami di bumi Kiwi sekiranya tidak mencuba laluan denai Hooker Valley di Mt. Cook National Park. Tak putus-putus kami berdoa agar cuaca menyebelahi kami di hari kedua di Mt. Cook National Park. Alhamdulillah cuaca cantik hingga selesai jelajah laluan Hooker Valley.

Laluan Hooker Valley ini bermula di tapak perkhemahan Department of Conservation dan dalam masa kurang lebih 20 minit anda akan sampai di jambatan gantung pertama yang merentangi Sungai Hooker.  



Laluan Hooker Valley memang 'mesra' pengunjung. Laluannya sangat sesuai untuk semua kategori umur dan keupayaan. Laluan di sini agak rata dan hanya mengambil masa 4 jam sahaja untuk pergi dan balik. Walau bagaimanapun sengaja kami ambil masa yang lebih lama untuk kembali ke tapak perkhemahan DOC. Mana taknya, keindahan gunung ganang dan persekitaran di Hooker Valley bikin kami takjub dan teruja hinggakan kami tidak sanggup jalan cepat-cepat untuk meninggalkan keindahan ciptaan Ilahi yang amat indah ini.







Terdapat tiga jambatan gantung yang perlu dilepasi di sepanjang laluan di Hooker Valley. Di saat menyeberangi jambatan gantung yang pertama, kami disajikan dengan pemandangan Mt. Sefton dan Mueller Glacier yang sangat indah lagi menakjubkan. Ucapan subhanallah dan Allahuakbar tidak henti-henti diluahkan walaupun terbit rasa gerun di saat kaki melangkah untuk melepasi jambatan yang di bawahnya mengalir air Sungai Hooker yang deras. 





 Laluannya yang berbatu kasar  (tidak sesuai untuk mereka yang berkerusi roda) memerlukan pengunjung untuk memakai kasut yang sesuai. Hanya terdapat di beberapa kawasan sahaja yang memerlukan pendakian, selainnya laluan Hooker Valley agak mendatar.



Beruntungnya kami yang datang pada penghujung musim luruh ini di mana dapat menyaksikan 'snow capped' di pergunungan di sepanjang laluan Hooker Valley.


Lokasi di atas sangat sesuai untuk melepaskan lelah setelah penat berjalan di samping dapat menyaksikan keindahan pemandangan gunung yang tertinggi di New Zealand, Mt Cook. Agak lama juga kami berhenti di sini untuk menghayati keindahan ciptaan Ilahi ini.

             





Kami melalui pelbagai bentuk rupabumi, dari laluan berbatuan yang memperlahankan langkah hinggalah ke boardwalk yang 'amat selesa' untuk dipijak. 

Setelah dua jam berjalan sampailah kami di penghujung laluan iaitu di Hooker Glacier yang terletak di kaki Mt. Cook yang berketinggian 3724m dari aras laut.



                           


Apa sahaja bekalan yang dibawa untuk dijadikan juadah makan tengahari jadi lebih sedap. Selain sebab lapar, faktor keindahan pemandangan pergunungan sekitar gunung tertinggi di New Zealand, Mt. Cook dan tasik yang amat menakjubkan membuatkan selera makan bertambah-tambah. 

Kami berkongsi makanan dengan sekumpulan nenek-nenek dari Jepun. Kuat lagi kesemua warga emas ini. Setelah mengetahui yang kami dari Malaysia, sempat juga mereka bercerita tentang misi mereka yang seterusnya untuk mendaki Mt. Kinabalu. 



Perjalanan pulang ke permulaan trek sengaja kami lambatkan. Ramai yang memotong. Tak puas rasanya bergambar di kiri kanan depan dan belakang. Walaupun fotonya seakan-akan sama seperti di awal perjalanan menuju penghujung trek di Hooker Glacier, namun suasana di waktu berjalan balik lebih santai dan seperti tak ada apa yang ingin dikejar.

Sempat juga saya dan anak-anak melencong sedikit dari laluan ke tapak perkhemahan untuk ke lokasi permulaan kami dan memanjat 'anak-anak tangga' yang agak curam untuk melihat tugu untuk pendaki-pendaki yang terkorban ketika mendaki Mt. Cook dan gunung-gunung di sekitarnya.
 

No comments: