Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday, 24 February 2009

18 Tahun Berlalu

Hari ini kalau diikutkkan tahun masehi, maka sudah 18 tahun mak pergi meninggalkan alam yang fana ini. Petang sebelum mak pergi 'meninggalkan' kami, dia hanya memandang sayu saya mengayuh basikal untuk pulang ke rumah mami (ibu saudara). Saya terpaksa bergegas kerana Maghrib hampir tiba. Baba (bapa saudara) kurang gemar sekiranya ada ahli isi rumah yang pulang selepas daripada waktu Maghrib. Kami semua telah diajar supaya solat Maghrib berjemaah.

Permintaan mak yang ingin makan mee goreng dan minta saya tolong belikan tidak layan. Saya hanya risau sekiranya tak sempat sampai ke rumah mami sebelum waktu Maghrib.

Selepas solat, telefon berdering. Saya angkat kerana sayalah yang paling hampir dengan telefon. Terdengar suara abah cemas, "Syam cepat balik, mak sakit tenat... bagitau baba dan mami sekali". Terus saya teringatkan mee goreng yang mak pesan tadi. Saya terkedu tak berkata. Saya sampaikan apa yang abah katakan tadi dan terus keluar dan mencapai basikal untuk ke rumah mak.

Semuanya telah terlambat. Kenapalah saya tidak penuhi permintaan mak sebelum saya balik ke rumah mami tadi. Saya memang anak derhaka! Mesti mak kecewa kerana tak dapat makan mee goreng. Kenangan ini tidak akan luput dari ingatan saya.

Semasa di sekolah rendah cikgu ada mengajar kami lagu nasyid ini. Tidak pula saya sangka lagu yang saya suka nyanyikan ini bersangkutan dengan perjalanan hidup saya sendiri di suatu hari nanti. Tentu penjenguk-penjenguk sekalian pernah mendengar, menyanyi dan menghafal lirik lagu di bawah.

Sewaktu azan mendayu-dayu,
Ibuku pergi meninggalkan ku,
Perginya takkan kembali lagi,
Kerna takdir telah menentukan...
Doa restu ku pohonkan untuk mu ibu,
Semoga diri ibu bahgia di akhirat kekal abadi...



Sesungguhnya saya tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan besar kedua ibu bapa saya di dalam mengasuh, menjaga dan mendidik saya sehingga menjadi manusia seperti hari ini.

Ya Allah, Engkau limpahkanlah rahmat-Mu ke atas roh kedua ibubapaku. Tempatkanlah kedua mereka di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Ya Allah, Engkau kasihanilah kedua ibu dan bapaku. Kasihanilah mereka Ya Allah, sebagaimana mereka mengasihani dan mendidikku ketika aku masih kecil. Ya Allah, Engkau ampunilah dosa mereka dan jauhilah keduanya daripada api neraka mu. Ya Allah, jika aku dipanggil olehMu, tempatkanlah aku di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Temukanlah aku dan keluargaku di syurgaMu Ya Allah. Syurga yang paling istimewa Ya Allah. Syurga Firdaus. Amin Amin Ya Rabbal 'alamin.

5 comments:

FoO dA fIrSt#1 said...

sayu saya membaca post ini. kalau kita tahu apa yang bakal terjadi kita tidak akan........

Lennyek said...

en.syam..saya tau lagu tu..time skolah rendah pnah nyanyi tok nasyid..smpai mleleh air mata bila nyanyi...

HiCMat said...

Yasir & Lenny
Selalunya kita leka dan lalai ketika mereka masih ada. Bila mereka sudah tak ada lagi di mukabumi ini barulah rasa nak menangis sampai keluar air mata darah. Tapi semuanya dah tak berguna lagi pada masa itu.

aiShaH said...

Mmg sayu baca blog kali nie.. Teringgat pula mak saya yang meninggal ketika umur 49thn. Tapi mak saya berlainan pula, kerana mmg dah nak masuk 2 bln dia terlantar tak boleh nak jalan.. seminggu sebelum meniinggal dr dah bagitahu bahawa mak saya tinggal 20% je untuk diselamatkan.. Bila mak menninggal, sayala yang diamanahkan bagitahu kat jiran-jiran. Teringat kembali waktu tu hujan renyai-renyai di subuh hari. Setiap pintu rumah jiran saya ketuk untuk maklumkan pemergian mak ke rahmatullah.. tak dapat cakap apa-apa cuma tangisan je yang mengalir.. mak semoga rohmu dicucuri rahmat dan diletakkan dalam golongan orang yang beriman.. amin

HiCMat said...

Amin