Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Monday, 31 December 2007

Selamat Datang 2008 Masehi



Selamat tinggal 2007. Selamat datang 2008 Masehi!

Alhamdulillah, berkat doa baba, mami, isteri, ibu mertua, anak-anak, sanak saudara, guru-guru, rakan-rakan, anak murid dan semua yang mengenali saya, maka azam untuk menamatkan pengajian peringkat sarjana secepat mungkin telah terlaksana [untuk pengetahuan umum, masa dan wang saya telah terbuang begitu saja ketika menyambung pengajian peringkat sarjana di UPM dari tahun 2002 hingga 2005]. Allah subhanahu wata’ala telah mempermudahkan segala kerja buat saya semasa berada di La Trobe University, Bendigo. Ada hikmahnya di sebalik kegagalan saya menamatkan pengajian peringkat sarjana di UPM. Allah Maha Mengetahui.

Azam untuk mempunyai laman sesawang dan blog sendiri pada tahun 2007 juga telah terlaksana. Allah telah menemukan saya dengan mereka yang baik-baik sepanjang berada di Bendigo. Md Amin bin Md Taff, pensyarah UPSI yang secara kebetulannya saya temui semasa sama-sama menghadiri National Outdoor Education Conference 2007 di Ballarat, Australia telah menjadi guru saya untuk membina laman sesawang. Beliau bersama keluarganya sudi singgah ke rumah saya di Bendigo sebelum bertolak pulang ke tanahair dan seterusnya meluangkan masa untuk mengajar saya untuk membina laman sesawang. Jasa anda tidak akan saya lupakan sahabatku.

Pagi ini saya bangun dengan azam baru. Saya berazam untuk terus meningkatkan ilmu duniawi dan ukhrawi. Semakin banyak saya belajar semakin banyak yang saya rasai kekurangannya. Terlalu kerdil diri ini rupanya. Saya berazam untuk membuat persediaan awal untuk meneruskan pengajian di peringkat PhD. Saya juga berazam untuk berkongsi sebanyak mungkin ilmu berkaitan rekreasi dan kehidupan bersama-sama rakyat Malaysia. Saya berazam untuk menghasilkan buku-buku ilmiah berkaitan rekreasi yang sememangnya sangat kurang di pasaran tanahair. Ini kerana kebanyakan buku rekreasi di Malaysia datangnya daripada Amerika Utara dan United Kingdom. Moga Allah memberikan saya kekuatan dan semangat untuk berkarya.

Saya juga bertekad untuk terus memberi peluang kepada Orang Kurang Upaya (OKU) untuk terlibat sama dalam sebarang aktiviti sukan dan rekreasi yang akan saya anjurkan. Seterusnya untuk keluarga pula biarlah ia menjadi rahsia antara saya dan isteri. Tunggu sehingga ke hujung tahun ini untuk mengetahui hasilnya.

Apakah azam anda untuk tahun 2008? Adakah azam anda pada tahun 2007 telah terlaksana? Pastikan kita mempunyai azam dan terus berusaha untuk memenuhi azam kita agar azam itu tidak menjadi ‘pekasam’.

Akhir kalam, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2008 Masehi kepada semua rakyat Malaysia.

1 comment:

Anonymous said...

macam nak dapat adik baru jer?????
hehehe.....