Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Sunday, 30 December 2007

Kasih Seorang Ayah

Semasa saya belajar di La Trobe University, Bendigo, dengan izin Allah saya telah dipertemukan dengan seorang Kakak L yang berasal dari Malaysia dan berkahwin dengan Brother M yang berasal dari Croatia. Mereka kini menetap di KV [kira-kira 150km dari Bendigo]. Saya begitu tersentuh apabila mendengar kisah kehidupan Brother M berkenaan dirinya yang penuh dengan onak duri.

Ibunya yang disayangi meninggal dunia ketika beliau baru berumur 2½ tahun dan beliau juga mempunyai seorang kakak berumur 17 tahun ketika itu. Setahun kemudian, ayahnya berkahwin semula. Bermulalah satu kehidupan yang tidak diduga. Kakaknya diminta berkahwin dan beliau dibesarkan oleh Ayahnya dan Ibu tirinya. Beliau didera setiap hari tanpa ada sebarang belas kasihan apabila berlaku pertikaman lidah di antara ayah dan ibu tirinya. Ayahnya hanya mampu melihat kerana terlalu sayangkan ibu tirinya dan takut kehilangan buat kali kedua [ takut tidak ada orang yang akan menjaga makan minumnya]. Dalam pada itu, Ayahnya juga mahu beliau belajar dan tidak mahu beliau hidup susah di masa akan datang. Seterusnya beliau telah bertemu jodoh dan dikurniakan sepasang cahaya mata. Sayangnya rumahtangga mereka tidak kekal lama. Akibat terlalu banyak dugaan yang dilaluinya sejak kecil sehingga dewasa dan permasalahan perkahwinan di mana beliau terpaksa menjaga kedua-dua anaknya beliau akhirnya mengambil keputusan nekad untuk merantau ke Australia.

Kedua-dua anaknya ditatang seperti minyak yang penuh. Kehidupannya mula berubah apabila anaknya memeluk agama Islam tanpa pengetahuannya. Beliau agak terkilan dengan tindakan anaknya itu dan beliau sentiasa bersamanya untuk mendapatkan maklumat sebenarnya tentang keistimewaan agama yang baru dianuti oleh anaknya dengan menghadiri kuliah agama di sekitar Melbourne. Dari situlah hatinya mula terpaut dengan agama Islam. Hatinya yang dahulunya keras seperti batu dan panas seperti api kini bertukar menjadi lembut seperti baldu dan sejuk seperti salji. Dari kuliah-kuliah agama itu jugalah beliau mula mendalami ajaran Islam dan pada tahun 1999 ketika berusia 52 tahun beliau secara rasminya memeluk agama suci Islam.

Beliau telah bertemu dengan sepasang suami isteri ketika berada di Malaysia. Kemurnian hati seorang ayah yang mahu melihat anak lelakinya berkahwin telah menyebabkan beliau meluahkan niat mencari menantu kepada pasangan berkenaan. Dengan izin Allah, doa beliau dimakbulkan. Bakal isteri anak lelakinya itu merupakan seorang yang berpengetahuan tinggi dalam agama Islam dan Brother M menganggap itu sebagai suatu anugerah Illahi buat anaknya. Tetapi disangka panas hingga ke petang rupa-rupanya hujan di tengah hari. Menantu yang diharapkan boleh membimbing anaknya menjadi anak yang soleh rupa-rupanya telah menjadi duri dalam daging dalam keluarga mereka. Na’uzubillah.

Brother M telah dicampak lebih hina daripada sampah. Cucu kesayangan hanya dihadkan berjumpa dengan datuk mereka [Brother M] sekali dalam sebulan, itupun untuk 1 malam sahaja. Undang-undang dan peraturan apakah yang digunapakai ini. Syukurlah Brother M dikurniakan seorang isteri [Kakak L] yang penyabar dan penyayang. Ini merupakan perkahwinan ketiga Brother M setelah kedua-dua perkahwinan sebelumnya menemui kegagalan.

Tergamak seorang anak sanggup mempermainkan hati ayahnya. Kisah tragis ini bermula apabila Brother M menjemput anak lelakinya sekeluarga agar berkunjung ke rumahnya di KV kerana rindukan cucu-cucunya. Akhirnya anaknya meminta Brother M menjemput mereka sekeluarga dengan alasan kereta mereka tidak boleh berjalan jauh. Dengan harapan yang menggunung tinggi, Brother M terpaksa mengambil risiko bertolak ke Melbourne seorang diri dengan meninggalkan isterinya keseorangan di rumah mereka untuk menjemput anak, menantu dan cucu-cucu kesayangan.

Brother M sebenarnya bukannya sihat seperti di usia mudanya dahulu. Kini beliau mengidap penyakit kencing manis dan permasalahan buah pinggang. Sebaik sahaja sampai di Melbourne, pelbagai dalih diberikan oleh anak dan menantunya untuk membatalkan niat asal mereka untuk berkunjung ke rumah Brother M sehinggalah kesabaran Brother M teruji. Akibat perasaan amarah, beliau seterusnya memberi amaran kepada menantunya menyebabkan perasaan takut dan tersentak sehinggakan cucu-cucunya lari masuk ke dalam bilik dan menyembunyikan diri di bawah katil. Anak lelaki beliau cuba memujuk anak-anaknya tapi hampa. Akhirnya minta bantuan daripada beliau dan cucu-cucunya keluar dan terus memeluknya. Brother M mengambil inisiatif menerangkan perkara sebenarnya kepada cucu-cucunya. Tersentuh sungguh hati Brother M apabila mendengar cucu sulungnya yang berumur 4 tahun menyebut, “Grandpa… grandpa… I don’t want you to be upset…”, setelah mereka melihat pertikaman lidah sebelumnya. Walaupun kanak-kanak itu masih belum matang tetapi mereka lebih memahami masalah kesihatan Brother M berbanding anak dan menantunya yang berumur mencecah 40 tahun. Setelah memujuk cucu-cucunya supaya redha dengan ketentuan illahi, Brother M melangkahkan kaki meninggalkan rumah anaknya untuk pulang semula ke KV. Beliau tersangat sedih kerana beliau menjangkakan mungkin inilah peluang terakhirnya untuk melihat cucu-cucu kesayangannya.

Brother M dengan hati yang hancur luluh pulang dengan tangan kosong tanpa kehadiran anak, menantu dan cucu-cucu kesayangannya yang berjanji untuk bercuti di KV. Hati ayah mana yang tidak tersentuh apabila dipermainkan oleh darah dagingnya sendiri akibat hasutan si-isteri. Teringat saya kisah si-Tanggang ketika mendengar kisah benar dari mulut Brother M. Sedih saya mengenangkan kisah yang jujur daripada seorang ayah yang rindukan kasih sayang anak, menantu dan cucunya di usia emasnya.

Oleh kerana rindukan suara cucunya, keesokan harinya Brother M dengan berat hati membuat panggilan ke rumah anak lelakinya. Kebetulan ketika itu cucu lelaki kesayangannya yang mengangkat panggilan tersebut. Akibat terbatuk-batuk ketika berkomunikasi dengan cucunya, beliau mendengar satu ayat yang ikhlas dari mulut seorang kanak-kanak berumur 4 tahun. Cucunya berkata, “Grandpa…Grandpa, I don’t want you to be 'sakit'… I need you here, Grandpa… if you’re 'sakit’ I’ve the 'ubat'. Terkedu Brother M mendengar ayat yang keluar dari mulut cucu yang disayanginya.

Di pagi yang hening ini saya bangun untuk solat sunat tahajjud dan seterusnya solat sunat hajat. Menitis airmata saya di sejadah memohon Allah subhanahu wataala melembutkan hati dan melimpahkan taufik dan hidayahNYA kepada anak dan menantu Brother M supaya mereka insaf akan kesalahan yang telah mereka lakukan ke atas orang tua yang tidak berdosa ini. Rintihan seorang ayah yang tidak menginginkan harta benda milik anak-anaknya. Cukuplah sekadar kasih sayang sementara nyawa dikandung badan.

Kepada rakan-rakan dan saudaraku sekalian, berkongsilah kasih sayang dengan orang tua kita ketika mereka masih bernyawa. Jika mereka telah pergi meninggalkan kita, tiada apa yang boleh dikesalkan lagi. Biar menangis airmata darah sekalipun tidak akan mengembalikan mereka ke dunia yang fana ini. Hanya doa daripada anak yang soleh sahajalah yang dapat memudahkan urusan mereka di akhirat kelak.

Nota: Sekiranya anda ada sebarang nasihat, pandangan peribadi atau pengalaman berkaitan isu di atas, silalah menghantarnya terus ke email saya. Nasihat dan pandangan anda akan saya panjangkan kepada Brother M dan Kakak L. Terima kasih