Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday, 7 May 2009

Mampukah Kita Bila Diduga?

Saya suka menggunakan contoh ini untuk menggambarkan besar dan kecilnya dugaan seseorang. Kata saya kepada mereka yang mendengar, "Kita sering merungut apabila tak mampu membeli kasut baru seperti yang dipakai oleh kawan-kawan kita yang mampu, tetapi sedarkah kita bahawa ada di antara rakan-rakan kita di luar sana yang bukan sahaja tidak mampu untuk membeli kasut bahkan tidak juga mempunyai kaki untuk menyarungkan kasut yang ingin dimilikinya".

Maka bersyukurlah dengan dugaan kecil yang Allah berikan kepada kita. Itu tandanya Allah masih sayangkan hamba-Nya. Kita jangkakan dugaan yang Allah turunkan pada kita itu sudah terlalu teruk tetapi kadang-kadang kita terlupa bahawa ada orang lain yang lebih teruk dugaannya daripada kita. Allah hanya menguji setakat yang hambanya mampu sahaja.

Semasa di universiti dahulu saya pernah ceritakan kisah hidup saya pada seorang sahabat, bagaimana Allah 'tarik kenikmatan' mempunyai kedua ibubapa ketika saya masih memerlukan kasih sayang keduanya. Saya jangkakan itulah dugaan terhebat di dalam kehidupan saya. Namun saya lupa tentang dugaan orang lain. Terus kawan saya ceritakan kisah hidupnya sehingga membuatkan saya lebih bersyukur. Katanya dia masih mempunyai kedua ibu dan bapa namun dia tidak pernah merasa nikmatnya dapat mencium tangan keduanya. Ini kan pula memeluk keduanya sebelum ke sekolah dahulu sehinggalah ke zaman universitinya. Pernah sekali ibunya menghamburkan perkataan yang tidak ingin mana-mana anak sekalipun mendengarnya. Ibunya tidak mengaku bahawa dia ini sebagai darah dagingnya.

Saya bersyukur kerana pernah melalui pengalaman mencium tangan mak dan abah. Pernah memeluk dan mencium mereka sebelum ke sekolah. Paling penting arwah mak dan abah tidak pernah mengeluarkan perkataan yang sahabat saya dapat dengari dari mulut ibunya sendiri. Saya bersyukur.

Nota: Selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu yang membaca coretan saya pada kali ini. Semoga anda segala dosa-dosa anda diampunkan Allah S.W.T dan ditempatkan di Syurga Firdaus. Amin.

2 comments:

Budak Bijak - 54L said...

Kasih seorang Ibu tiada penghujungnya...
"Biar mati Adat,jangan mati ANAK..." Biarla apa pun orang nak cakap..
Anak adalah segala2nya,anugerah Ilahi yang tidak terhingga

Terima Kasih atas ucapan hari ibu..Amin

Bijak2.....

HiCMat said...

Terima kasih Ibu Salwati kerana sudi datang melawat Liza dan Kamilia di hospital bersama anak-anak. Semoga Sal tergolong di kalangan Ibu-Ibu Mithali.