Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday, 17 November 2009

Calon Jaya

Pagi ini saya dihubungi oleh beberapa orang ibubapa dan penjaga melalui panggilan telefon. Ada seorang yang sanggup datang hanya untuk mengetahui tentang keputusan yang telah diwarwarkan semalam. Mereka ingin bertanyakan tentang keputusan permohonan diploma anak-anak di bawah jagaan mereka. Alahai.. mungkin mereka tidak punya masa untuk menjenguk laman sesawang UiTM.

Maka sayalah menjadi pembantu untuk mengesahkan samada anak-anak mereka berada di dalam senarai pemohon yang berjaya atau gagal ke FSR.

Seorang penjaga agak kecewa apabila anak di bawah jagaannya gagal berada di dalam senarai. Beliau ingin melihat di manakah silapnya sehingga anaknya gagal. Alhamdulillah dia boleh menerima kenyataan walaupun saya faham dia kecewa. Saya cadangkan beliau membuat rayuan bagi pihak anaknya yang tidak datang bersama.

Seorang bapa ternyata gembira apabila mengetahui melalui panggilan telefon bahawa anaknya berjaya. Dia sedar anaknya kurang cemerlang dari segi akademik kerana terlalu 'mengejar' sukan ketika di peringkat sekolah sehingga tidak menekankan akademik. Beliau amat bersyukur dan berterima kasih kerana UiTM memberi peluang kedua kepada anaknya untuk berjaya.

Jadi kepada anak-anak yang telah berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, jangan lupa jasa dan pengorbanan kedua ibu bapa anda. Mereka senantiasa mendoakan kejayaan anda di dunia dan akhirat. Jangan disia-siakan peluang yang ada. Belajar bersungguh-sungguh dan balas jasa keduanya. Tentu anda tidak mahu melihat mereka menangis kerana kegagalan anda. Biarlah air mata mereka menitis dek kerana kejayaan anda.

Akhir kalam, tahniah kepada pemohon-pemohon yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading. Semoga anda terus cemerlang di dalam bidang masing-masing. Kepada yang gagal, cubalah merayu. Mana tahu sekiranya masih terdapat kekosongan dalam bidang pengajian yang dipohon.

2 comments:

cebad said...

maklumkan kpd mereka yg tak berjaya untuk memohon ke kolej bersekutu yg menawarkan prg fsr

HiCMat said...

Terima kasih cebad. Sudah dan sedang diuruskan.