Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Friday 9 April 2010

Tembok 12 Kaki

Ketika di Outward Bound School (OBS), Lumut dahulu ketika saya dan peserta-peserta lain menjalani Standard Course selama 25 hari, kami semua dikehendaki memanjat dan melepasi tembok yang setinggi 12 kaki. Tembok tersebut sangat licin. Ketinggiannya tidak terjangkau oleh hujung tangan saya walaupun saya panjang. Saya perlukan kawan-kawan untuk melepasi tembok tersebut. Saya tak boleh bersendirian.

Sekali lagi diulang... untuk melepasi dinding tembok tersebut kami semua para peserta perlu bekerjasama dan merancang strategi. Siapa yang akan dibawa naik dahulu, siapa yang akan membantu menolak, siapa yang akan berkorban untuk dirinya dipijak hinggalah dirancang juga siapa orang terakhir yang akan bertindak sebagai 'sweeper'atau 'last man'. Kalaulah orang terakhir ini gagal melompat dan menyambut tangan rakan-rakan yang sedia menanti untuk membantu dari atas, maka terpaksalah kami semua menunggu hingga orang terakhir tersebut berjaya memaut tangan rakan-rakan di atas. Misi ini dianggap berjaya sekiranya kesemua peserta berjaya 'terjun' ke bawah dan melepasi dinding tembok tersebut.

Namun pengajaran daripada aktiviti di atas sangat banyak sekali. Selepas hampir 16 tahun menjalani aktiviti tesebut di OBS Lumut saya kembali menyorot iktibar yang boleh diperolehi daripada aktiviti yang menguji fizikal dan mental ini untuk diadaptasikan di dalam kehidupan dan dunia sebenar.

Sudah tentulah tanpa kerjasama sesama kami, tembok 12 kaki tersebut tidak akan berjaya kami lepasi. Namun untuk melepasi tembok tersebut kita akan dapat melihat di mana ada rakan-rakan yang akan membantu dari mula hingga tamat tugasan. Ada yang akan memberi sokongan moral kerana keadaan kesihatan yang menyekat mereka daripada membantu. Ada yang asyik memberi arahan sahaja dan tak kurang juga yang hanya melihat sebelum dan selepas mereka melepasi tembok tersebut. Pelbagai perangai dan tingkahlaku yang akan kita lihat ketika aktiviti ini dijalankan.

Sudah tentulah iktibar selanjutnya yang saya perolehi daripada aktiviti ini adalah sifat sabar. Iyalah, ketika hendak membantu kawan, ada yang terpaksa mengorbankan kaki, tangan dan bahu mereka agar dapat dipijak oleh kawan-kawan yang ingin naik ke atas. Kadang-kadang ada juga yang kepala orang yang membantu itu dipijak [arghhh... sebegitu teruk sekali rasanya bila kepala dipijak, dihenjak semata-mata untuk naik ke atas. Namun ini sebenarnya berlaku]. Kalau di dunia sebenar tentu dah bergaduh, bertekak kerana kepala dipijak beb. Iyalah kepala bayar zakat. Namun sabar...sabar.

Di alam yang sebenar pula perilaku tekan menekan, injak menghenjak sememangnya berlaku. Ada yang hendak naik ke atas sanggup memijak kawannya sendiri. Biar aku yang naik dahulu, engkau tunggu di bawah. Ketika berada di atas pula lain jadinya, orang di bawah terus ditekan ke bawah, tiada peluang untuk rakannya itu naik. Oh zalimnya dunia. Kasihan kan.

Apalah salahnya kita saling bantu membantu. Sekali kita membantu orang, Allah akan melipat kali gandakan bantuan dan ganjaran kepada kita. Aman dunia. Tak salahkan! Seronokkan kalau kita sama-sama dapat naik ke atas. Itulah yang sepatutnya berlaku.

Bantu membantu amalan mulia. Apa salahnya kita bantu kawan kita yang dah sedia berada di bawah. Bantu mereka untuk naik. Tarik mereka agar mereka berada di samping kita bukannya di belakang dan terus di belakang. Tak salah kan! Sebelumnya mereka-mereka ini juga yang membantu kita untuk naik dan ke hadapan. Jadi jangan jadi seperti kacang lupakan kulit.

Banyak lagi pengajaran daripada aktiviti memanjat tembok 12 kaki ini. Namun ini merupakan sebahagian daripadanya. Ada masa saya tambah lagi. Atau anda yang punya pengalaman boleh coretkan di ruangan komen.

No comments: