Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Friday 9 July 2010

Setia Kasih

Saya masih lagi teringatkan keratan akhbar bertarikh 23 Jun yang lalu. Mahu sahaja saya coretkan sedikit catatan berdasarkan kebesaran Allah ini sebaik sahaja membaca berita sedih ini. Namun kekangan masa sering menggagalkan coretan ini menjadi kenyataan.

Beritanya tentang ikrar cinta sehidup semati sepasang suami isteri. Mungkin itulah ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan tentang kisah sedih di mana seorang isteri yang meninggal dunia di sisi suaminya sebelum suaminya pula menghembuskan nafas terakhir kira-kira 15 minit kemudian. Si isteri rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia sebaik sahaja doktor memberitahu penyakit barah hati yang dihidapi oleh suaminya semakin kritikal.

Masyaallah terlalu hebat ikatan kasih sayang di antara pasangan ini. Ikrar sehidup semati mereka telah dikota. Seorang tidak sanggup lagi hidup apabila pasangannya pergi atau akan pergi meninggalkannya. Kedua-duanya berebut untuk tidak pergi dahulu. Tak sanggup menangis, meratap dan bersedih di atas kehilangan pasangan yang dikasihi.

Semoga roh pasangan ini dicucuri dan ditempatkan bersama-sama insan yang soleh.

Teringat kembali selepas mak pergi meninggalkan kami. Abah jadi tidak keruan. Dia sayang dan terlalu menyayangi mak. Dia rasa bersalah dek tabiat merokoknya yang terlalu kuat, mak menjadi mangsa. Kerana sayangkan mak jugalah abah sanggup berhenti merokok. Namun sudah terlambat. Mak pergi meninggalkan kami kerana masalah pernafasan. Abah kembali merokok. Itupun selepas 'dipujuk' oleh kawan-kawan yang menjadi peneman sembang abah. Kononnya mereka ini pembantu untuk mententeram dan menenangkan abah. Penenangnya rokok. Dek kerana 'ubat penenangnya' jugalah penyakit abah kembali tak lama selepas itu. Sesak nafas akibat asma yang kronik. Abah pergi selamanya meninggalkan saya dan kakak.

Terbaca diari abah menyebabkan hati makin tersentuh. Abah yang garang ini rupanya seorang yang sentimental. Dalam diam dia menulis catatan di diari kecil yang kebetulan saya jumpa ketika mengemas rumah. Kebanyakan catatannya menceritakan betapa rindunya dia kepada arwah emak. Dicatatkan juga tentang janji mereka untuk sehidup semati. Hebat kasih sayang mereka. Kalau dia marahkan emak, tak pernah dia tinggikan suara, dengan berdiam sahaja emak dah tahu abah tak suka. Bila abah marah mak akan berdiam begitu jugalah sebaliknya. Walaupun abah garang, tapi saya tahu dia sayangkan kami semua. Pesan abah ada di sini.

Mak kebiasaannya menjadi penyimpan rahsia saya. Kalau dah lewat balik [selepas azan Maghrib], pasti emak akan bukakan pintu belakang untuk 'memasukkan' saya ke dalam rumah. Abah yang menunggu di pintu hadapan tak terkejut sekiranya tiba-tiba saya dah berada di dalam rumah di tempat yang sebelum tak ada ketika azan berkumandang tadi. Jawapnya tali pingganglah akan menjadi 'peneman' belakang badan saya. Mak akan jadi pembela. Abah akan kembali cool dek pujuk rayu mak. Kalau tak, mahu saja saya dah patah riuk dek panas baran kerana kerap balik lewat selepas main bola di padang. Namun semuanya kini tinggal kenangan. Jasa keduanya tidak akan saya lupakan selagi hayat dikandung badan.

Keredupan dan kelembutan wajah mak mampu melembutkan hati abah yang panas dek kenakalan anak lelaki yang seorang ini. Pujuk rayu mak berjaya menyejukkan perasaan 'menggila' abah di dalam mengajar anaknya supaya tidak kurang ajar dan mendengar kata orang tua. Berkat didikan keduanya saya mampu berdiri, cekal dan tabah di dalam menghadapi kerenah anak-anak dan kehidupan yang makin mencabar.

Terus terang saya katakan, saya rindukan keduanya. Terlalu rindukan keduanya. Oh Tuhanku, berikanku kekuatan agar dapat meneruskan kehidupan yang semakin mencabar ini. Walaupun kadangkala diriku ini tergelincir, namun ku pohon kepada-Mu agar Engkau tunjukkanlah aku ke jalan yang lurus. Ya Allah, ku pohon kesabaran dan ketabahan di dalam menghadapi kehidupan ini. Kurniakan kasih sayang dan kebahgiaan kepada keluarga ku sebagaimana Engkau kurniakan kepada aku ketika kedua ibubapaku masih ada. Ya Allah hamba ini terlalu rindukan mak dan abah. Ya Allah, ampunilah dosa keduanya. Ampuni dosa satu-satunya kakak kandungku Kak Yati. Jauhilah mereka daripada api nerakaMu. Kasihanilah mereka Ya Allah. Tempatkanlah mereka di syurgamu. Syurga yang kami umatmu idamkan, syurga-syurga Firdaus-Mu. Amin ya rabbal'alamin.

7 comments:

FoO dA fIrSt#1 said...

amin...

aimanarif said...

SALAM CIK..SABAR YE...SAYA SEDIH BACA ..saya pun rindukan mak saya....apapun terima kasih atas tunjuk ajar dan ilmu cik pada saya selama ini....

ima_yo said...

tempatkan juga ayahku dikalangan org yg beriman dan disisi Nabi Muhammad S.A.W..Amin

wegreentheearth said...

amin atas doa2 tersebut.....

Ahmad Firdaus Ibrahim said...

Amin....terharu sangat saya baca post kali ni..even saya jauh dari mak ayah, tapi hp slalu menjadi peneman rindu..

hijau bumi Tuhan... said...

amin...

sname said...

ameen..
sebak