Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday 16 September 2010

'Dia' Muncul Lagi

10 tahun lepas 'dia' pernah muncul betul-betul di hadapan Dr Anuar ketika kami berdua meninjau di hutan belakang Gimnasium FSR untuk dijadikan Kawasan Rekreasi Universiti (KRU). Doc tak perasan dengan kemunculan 'si-dia'. Sebabnya Doc hanya berjalan menonong ja meredah belukar ketika sesi tinjauan. Bila saya dah ternampak si-dia, spontan saya menjerit nama Doc. Tanpa banyak bertanya, Doc terus cabut. Lari tak cukup tanah. Apabila Doc dah hampir dengan saya, terus saya bertanya samada Doc tahu sebab musabab saya menjerit namanya tadi. Doc hanya menggeleng kepala. Saya tunjukkan puncanya saya menjerit tadi. 'Si-dia' masih 'berdiri' di situ, sambil menunjukkan dirinya. Ya Allah... Doc hanya mampu menarik nafas lega... sesungguhnya Doc bernasib baik kali ini. Kalau tak dah tentu Doc akan disemburnya. Kami batalkan niat untuk terus meninjau kawasan itu. Cukuplah 'si-dia' dah tunjukkan diri yang 'dia' ada di situ. Di situ sarang dan kawasan permainannya. Jadi jangan diganggu.

10 tahun telah berlalu, kenangan itu masih lagi saya ingat dan tak akan saya lupakan selagi hayat dikandung badan.

Semalam saya ke kubur ayahanda mertua, arwah Ali Wee bin Abdullah. Raya ke-5 baru dapat menziarahi kubur arwah di Kg Gelam, Melaka kerana raya tahun ni kami sekeluarga beraya di Kulim. Seperti kebiasaannya, kalau Liza tak dapat ke kubur, Kamil lah yang akan menjadi peneman. Anak-anak ni kena diajar dari kecil untuk menziarahi kubur. Kalau tak.... nanti bila kita dah tak ada, tak reti pula dia nak menziarahi pusara kita. Maka tertunggulah kita di 'sana'... bilalah anak-anak, menantu dan cucu yang tak kunjung tiba.

Kawasan perkuburan ternyata sunyi dan mendamaikan. Tiada kelibat orang lain yang menziarahi pusara di situ. Iya lah... dah masuk hari ke-5. Kebanyakan orang dah ada agenda tersendiri sempena raya ni. Selalunya pun hari pertama rayalah paling ramai orang yang menziarahi kubur saudara mara yang telah pergi terlebih dahulu meninggalkan kita.

Saya ajar Kamil untuk memberi salam kepada 'warga' kubur. Kamil bertanya,"Orang mati pun boleh dengar dan balas salam ka papa?". "Kalau depa semua jawab kuat-kuat, Kamil lari kot", balas saya. Kamil hanya tersengih. Diam, mungkin takut dengan jawapan saya.

Alhamdulillah, tak susah untuk saya cari pusara ayah mertua. Saya tumpang duduk di atas simen yang telah dipasang marmar betul-betul di sebeluh kubur arwah ayah mertua dengan beralaskan plastik hitam. Kamil macam cuak semacam ja. Dia duduk rapat-rapat di sebelah kiri saya. Dek kerana saya tengok keadaannya yang kurang selesa, saya suruh dia alihkan tempat duduknya di sebelah kanan saya. Kamil patuh.

Saya memulakan bacaan Surah Yaasiin yang dibawa. Saya baca dengan senyaring mungkin bagi mengisi kesunyian di kawasan pusara. Saya dapat menjeling keadaan Kamil yang agak tidak selesa. Saya nampak dia cuba menenangkan dirinya dengan mengambil bunga di hadapannya untuk dibuat mainan bagi menghilangkan kebosanan.

Saya semakin menghampiri ke penghabisan Surah Yaasiin, sehinggalah saya terhenti apabila Kamil menjerit ...! Saya pandang ke arah yang ditunjukkan Kamil. Dengan jelas saya nampak 'si-dia' muncul dan 'berdiri' betul-betul di sebelah Kamil. Jaraknya cuma 2-3 jengkal sahaja daripada Kamil. Secara spontan saya menjerit Allahu Akbar sambil menarik tangan Kamil dan mengheret Kamil yang dah tak mampu bergerak dek kerana terkejut. Kamil menangis terkejut. Capal yang saya pakai sebelumnya tertanggal dan tertinggal semasa menarik dan mengheret Kamil untuk menyelamatkan diri. Plastik hitam yang saya jadikan alas duduk pun tertinggal dan diserbu 'si-dia'.

Saya berjalan menuju ke pagar sambil mata cuba memandang ke arah 'si-dia'. Saya tak nampak lagi 'si-dia' selepas itu... tetapi yang saya nampak hanyalah sebuah lubang yang agak besar di bawah simen bermarmar 'jiran' kubur arwah ayah mertua yang saya tumpang duduk tadi. Mungkin saya menggangggu tidur lenanya di awal pagi dengan suara nyaring saya hingga 'dia' keluar untuk memberi amaran dan memaklumkan tentang kewujudannya di situ.

Walau bagaimanapun saya bersyukur kehadrat Allah subhanahu wata'ala kerana masih lagi dikurniakan dengup jantung untuk beribadat kepada-Nya. Walaupun Kamil trauma dek kemunculan 'si-dia', namun saya akan terus membawa Kamil ke pusara atuk-atuk, nenek dan mak saudaranya di masa akan datang.

Nota: Terima kasih di atas ingatan tulus ikhlas, ucapan dan doa penjenguk-penjenguk sekalian dan penghantar-penghantar SMS serta panggilan telefon rakan-rakan sekalian sempena Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin.

Foto 'si-dia' sekadar hiasan.

8 comments:

yazilahyazir said...

salam bos..
ular eh?

PPT said...

Si 'dia' perlukan duit raya....

T@SBIH said...

msti nk kenal lbh dekat lg.......

AieSha said...

siapakah dia ya...

Haron said...

Si dia tu pun nak beraya juga...nak bersuara minta duit raya tak leh. menempek di sebelah pun jadilah. Alhamdulillah syukur tak ada kemalangan yg menimpa.

hisyamchemat said...

Bro & sis semua,
Saya dah cuba 'munculkan si-dia' di paparan ini tetapi masih gagal setelah berpuluh kali cubaan. Mungkin inipun cobaan. Saya akan terus berusaha dan mencuba.

aimanarif said...

salam cik... selamat hari raya... nak tau juga siapa "sidia" 2.....dok nunggu nie...

azharinho said...

sir...suspen ah sir ni...aduh...penat je bc dengan teliti