Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday 20 August 2014

Sedekah Bukan Sekadar Dengan Harta Sahaja

Saya sekeluarga berkesempatan meladeni seorang bekas anak murid di UiTM dan keluarganya ketika beliau berkunjung ke Melbourne. Ketika menyelusuri laluan di sepanjang Swanston Street, saya dapat menyaksikan bagaimana beliau tak henti-henti memasukkan wang ke tabung-tabung si-pengemis dan gelandangan yang sememangnya menjadikan laluan di sepanjang Swanston Street dan Bourke Street yang sentiasa penuh dengan manusia sebagai 'port' untuk mereka 'mencari rezeki. Hebat sahabat ini, moga Allah swt rahmati dia dan keluarganya. 

Namun tak semua di antara kita faham akan konsep rezeki dan bersedekah. Sesungguhnya kita perlu tahu bahawa bukan semua rezeki yang dikurniakan Allah swt itu milik kita kesemuanya. Kita perlu berkongsi. Sedekah bukan hanya perlu dengan wang ringgit, dollar Amerika, emas, intan ataupun permata. Kalau dah tidak mampu memberi sedekah dalam bentuk kewangan, boleh sedekah melalui sumbangan tenaga pada jalan Allah. Jika tidak mampu juga, cukuplah sekadar senyuman ketika menemui insan di sekeliling kita. Banyak lagi kaedah sedekah sebenarnya.

Teringat juga saya akan Kuliah Hadith yang disampaikan oleh Ustaz Azizee (mantan penghulu kami di Desa Bundoora, Melbourne) suatu ketika dahulu. Saya sering mencatatkan intisari hadith2 yang disampaikan beliau. Semoga Allah rahmati guru kami ini. 


Ustaz Azizee membincangkan tentang Hadis ke-26 dalam Arba'in an-Nawawiah hasil karya agung Imam al-Nawawi r.hm yang berkaitan dengan sedekah dan mendamaikan pertikaian dengan adil. Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Setiap sendi tubuh manusia wajib mengeluarkan sedekah, setiap hari di mana matahari terbit padanya, engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertelingkah) adalah sedekah, engkau menolong seseorang pada kenderaannya lalu engkau membantunya untuk naik di atas kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju solat adalah sedekah dan menghilangkan gangguan daripada jalan adalah sedekah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ayuh jangan bertangguh lagi. Jom bersedekah. Perbanyakkan sedekah, kurangkan memberi alasan
.

No comments: