Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday, 11 July 2013

Al-Kisah Ramadhan Enam Tahun Lalu Di Bendigo



Ramadhan 2007/1428H menjadi kenangan manis dan cukup bermakna kepada kami sekeluarga. Ianya merupakan Ramadhan yang pertama kami sekeluarga di bumi Bendigo. 

Ikhlas saya katakan, sebelum memasuki ke bulan Ramadhan di tahun tersebut saya cuba untuk membayangkan bagaimanakah suasananya berpuasa dan berterawih di sini? Saya teramat rindukan kemeriahan bazaar Ramadhan seperti di Stadium Shah Alam dan bazaar Seksyen 18, Shah Alam dengan pelbagai jenis juadah kuih muih, lauk pauk, minuman yang pelbagai warna. Pada malamnya pula berterawih di masjid 'unta' Seksyen 18 dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari suara hafiznya yang menusuk kalbu walaupun tak difahami maksudnya dan seterusnya solat Subuh berjemaah di situ selepas bersahur. Namun realitinya suasana tersebut memang tidak berlaku di Bendigo.

Berbuka puasa dan bersahur di Bendigo hanya yang ala kadar aja. Tapi saya bersyukur kerana dianugerahkankan isteri yang pandai memasak. Walaupun dengan ramuan masakan yang terhad (tiada lagi Asian Grocery Store di Bendigo pada ketika itu) Liza masih mampu mengadunkan masakannya menjadi makanan yang cukup enak rasanya untuk kami sekeluarga menjamunya. Kalau sekiranya kami ingin membeli bahan masakan bercitarasa Asia atau lebih tepat lagi makanan melayu kami perlu berangkat ke Pasaraya Laguna yang terletak di Melbourne yang kebiasaannya mengambil masa 2 jam perjalanan dengan menaiki keretapi dari Bendigo.

Usai berbuka puasa setiap malam Kamilia pula sudah bersiap sedia untuk turut serta ke surau di La Trobe Uni tanpa menghiraukan kedinginan malam untuk bersolat terawih dan seterusnya moreh. Kamilia tidak bersolat, dia hanya memerhatikan papanya mengimami solat terawih dan dia akan turut serta mengaminkan bacaan al-Fatihah dan doa yang dibacakan. Seperti kebiasaannya kanak-kanaklah merupakan insan yang paling seronok bila tiba waktu moreh. Kamilia akan turut serta membantu membentangkan kertas suratkhabar lama sebagai alas untuk juadah moreh yang dibawa secara potluck seperti kek epal, muffin, spring roll, sandwich dan karipap.

Pada setiap hari Sabtu di bulan Ramadhan kami sekeluarga akan berbuka puasa bersama komuniti muslim lain di surau La Trobe Uni. Komuniti di sini terdiri dari Arab, Jordan, Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh, Australia, Pakistan dan kami  empat beranak dari Malaysia. Juadah yang dibawa kebiasaannya tidak boleh yang pedas-pedas kerana rupa-rupanya mereka ini lebih gemarkan masakan yang manis-manis. Jadi Liza yang telah terbiasa memasak makanan yang pedas-pedas terpaksa menukar resepi semuanya menjadi manis. 



Kalau diikutkan kebiasaannya kami di surau La Trobe Uni ada dua imam (lantikan tak rasmi) yang sering membaca khutbah Jumaat dan memimpin solat kami iaitu saudara Sultan seorang pelajar undergrad dari Saudi Arabia dan saudara Mamoun seorang penyelia di Hazeldene’s Chicken Farm yang berasal dari Jordan. Beruntung sungguh kami dapat berkenalan dengan saudara Mamoun nie kerana kami mendapat bekalan ayam halal yang cukup murah dengan harga cuma AUD2.50 untuk seekor ayam sedangkan kalau dibeli di Butcher’s Shop ia biasanya berharga sekitar AUD13.00 seekor pada ketika itu. 

Itulah sedikit cebisan pengalaman Ramadhan yang berlaku 6 tahun lalu di Bendigo yang telah meninggalkan memori indah untuk kami sekeluarga. Ramadhan di Bendigo memberikan pengalaman yang cukup signifikan di dalam sejarah hidup saya dan kami sekeluarga dan akan diingati di sepanjang hayat, insyaallah.

Salam Ramadhan Al-Mubarak 1434H dari kami sekeluarga di bumi Melbourne. Semoga kita bersama dapat istiqamah membuat kebajikan dan berusaha mengecapi kenikmatan dan keberkatan bulan mulia ini…

Thursday, 6 June 2013

Musim Luruh di Victoria

Musim luruh merupakan musim yang memang ditunggu-tunggu. Musim ini amat saya tunggu-tunggu kerana cuacanya yang tidak terlalu panas dan tidaklah pula melampau sejuknya. Setiap manusia yang cintakan keindahan alam pasti menunggu musim ini kerana pada musim inilah dedaunan di pepohonan akan berubah warna dan menghasilkan panorama yang sangat menarik untuk dipandang mata.

Pada tahun ini saya berpeluang untuk mengembara ke 2 lokasi yang cukup terkenal di Victoria terutamanya ketika musim luruh. Mount Macedon yang letaknya sejauh 70 km  dan Bright yang sejauh 300 km dari rumah saya di Mill Park.



Subhanallah... seperti yang dijangkakan warna warni dedaunan di pepohonan sememangnya tidak mengecewakan. Ianya seperti melihat hasil lukisan di kanvas. Memang indah panoramanya. Anak-anak dan saya sendiri teruja dengan warna-warna yang terhasil dari dedaunan di pepohon maple yang menanti saat untuk gugur. Dedaunannya yang terbiar gugur di lantai bumi juga menghasilkan sesuatu yang sedap mata memandang. Mahu sahaja diri ini baring di atas daun-daun yang telah sedia gugur, namun kebasahan dek hujan yang turun sebelumnya membatalkan niat di hati.





















Kini musim luruh telah tiba ke penghujungnya dan masuklah musim sejuk. Tak sabar rasa hati untuk menunggu musim luruh seterusnya untuk menyaksikan pula keindahan panorama dedaunan dan pepohon di lokasi lain pula. Khabarnya Daylesford pun tak kurang cantiknya untuk pemandangan musim luruh. InsyaAllah itulah lokasi seterusnya untuk musim luruh yang akan datang .



Selamat Tinggal Musim Luruh 2013 dan Selamat Datang Musim Sejuk 2013...



Wednesday, 5 June 2013

Permulaan Salji di Mount Hotham

Mount Hotham merupakan antara lokasi percutian tanah tinggi yang mempunyai pemandangan yang indah di Victoria. 'Perkampungan' Hotham ataupun lebih dikenali dengan Hotham Alpine Resort berketinggian 1750 meter dari paras laut. Pergunungan ini terletak kira-kira 360 km dari Mill Park. Pemanduan kami untuk ke sini mengambil masa kira-kira 4 jam.

Kembara kami kali ini turut  disertai oleh keluarga Jaronie. Kami bertolak agak lewat dan singgah di Bright untuk berehat, solat dan makan tengahari sebelum meneruskan pendakian ke puncak Hotham. Ketika singgah di Bright sempatlah kami bergambar kerana sememangnya Bright mempunyai keistimewaannya yang tersendiri terutamanya ketika di musim luruh.Dedaunan berwarna kuning, oren dan merah yang menunggu masa untuk luruh dan kebanyakannya yang telah luruh menambahkan keindahan pekan kecil ini sehingga terkenal ke seluruh pelusok Australia dek keistimewaannya itu.


Kami cukup bertuah kerana dapat menikmati dua keindahan ciptaan Illahi sekaligus dalam satu kembara kali ini. Satunya keindahan penghujung musim luruh di Bright dan seterusnya musim sejuk bersalji di puncak Mt Hotham. Penginapan bertaraf 4 bintang yang masih murah di puncak gunung di samping menggunakan peluang untuk melihat keindahan musim luruh di Bright menjadikan ianya alasan utama kenapa kami memilih untuk berkunjung ke Mount Hotham sebelum musim sejuk menjelang.


Untuk pengetahuan penjengok-penjengok sekalian, apartment satu bilik bernilai $190 (untuk 3 orang) manakala apartment 2 bilik bernilai $285 (untuk 5 orang) ketika di luar musim salji. Harga penginapan di apartment tersebut akan meningkat 3 kali ganda ketika di musim salji (peak season) dan perlu ditempah sekurang-kurangnya untuk 2 malam, tiada tempahan untuk satu malam. Jadi lain kali kalau nak merasa 'duduk' di tempat orang berada duduk ketika musim sejuk bolehlah pergi sebelum tiba betul-betul musimnya ya.


Peringatan ini ingin saya sampaikan kepada kawan-kawan yang akan ke Mount Hotham untuk bermain salji. Anda perlu berhati-hati ketika melalui jalan selepas perkampungan Harrietville (perkampungan terakhir) untuk ke puncak. Ini kerana jalan tersebut telah menjadi sangat merbahaya kepada pengguna selepas satu kebakaran besar yang telah berlaku di sekitar pergunungan berhampiran Harrietville sekitar awal tahun 2013 yang lalu. Kebakaran yang amat dahsyat dalam sejarah Australia selepas berlakunya Black Saturday telah memusnahkan pepohon yang menghijau dan haiwan-haiwan yang menghuni kawasan tersebut.



Ini meninggalkan batang-batang pokok mati yang menunggu masa sahaja untuk tumbang, permukaaan cerun yang menunggu masa untuk runtuh dan batu-batuan yang sedia bergolek dari atas bukit dan menghuni tengah laluan yang ingin kita gunakan. Kami bertuah kerana pada hari kami menggunakan laluan ini, ianya baru sahaja dibuka kepada pengguna selepas beberapa minggu ianya ditutup pada waktu siang untuk kerja-kerja membersihkan laluan tersebut akibat kejadian tanah runtuh.


Sebelum mendaki ke puncak Hotham, kami agak kecewa kerana mendapat khabar bahawa hujan lebat beberapa yang lepas telah menyebabkan salji mencair. Di sebalik kekecewaan itu kami teruskan juga pendakian dek kerana bilik yang telah ditempah kalau tak dihuni alamatnya rugi sajalah jadinya. Oleh itu pemanduan untuk ke puncak diteruskan.

Keesokan paginya, suasana berbeza... salji mula turun. Ketika di dalam usaha mencari lokasi yang menarik untuk anak-anak bermain salji, alhamdulillah saya terlihat satu kawasan cerun yang telah mula dipenuhi salji. Apalagi, terus saya meletak kenderaan dan kesemua anak-anak 'terjun' dari kereta dan memanjat cerun dek kerana terlalu teruja untuk bermain salji. 'Toboggan' yang kami bawa mulalah diluncurkan. Walaupun bukan toboggan sebenar (pusat sewaan belum dibuka kerana belum masuk musim salji), namun anak-anak saya lihat seronok dapat meluncur cerun yang curam yang mula dipenuhi salji yang memutih. Kami tak boleh terlalu lama di situ, sekadar 45 minit dek kerana tiupan angin yang terlalu kuat amat-amat menyejukkan walaupun pakaian yang dipakai bolehlah dikatakan sesempurna untuk bermain salji.




Pengalaman bermain salji di Mt Hotham amat berbeza sekali berbanding pengalaman tahun lepas di Mt Buller. Kalau ikutkan saya Mt Hotham mempunyai pemandangan pergununganbersalji  yang lebih menarik berbanding Mt Buller. Cuma sayangnya kembara kami kali ini tidak dapat melihat salji yang memutih itu menyelaputi keseluruhan pergunungan di Mt Hotham. Saya rasakan kesan kebakaran besar dan kemusnahan pohon-pohon yang menghijau berhampiran Mt Hotham awal tahun 2013 turut menyumbang kepada lambatnya pembentukan salji di Mt Hotham.

InsyaAllah panjang umur dan murah rezeki saya sekeluarga akan 'mencari' salji di pergunungan lain pula.


Friday, 31 May 2013

Apa kebendanya yang bergulung-gulung tu?


Siapa jua yang pertama kali menyaksikannya pemandangan di atas pasti akan tertanya-tanya, apakah kebendanya itu yang bergulung-gulung di tengah-tengah ladang yang saujana mata memandang tu. Bukan satu dua gulung, malahan ianya mencecah ratusan gulung.

Kepada yang belum sedia maklum, itulah gulungan di ladang gandum yang baru dituai. Sekiranya anda melalui sesuatu kawasan yang luas di Australia seperti di atas samada di negeri Victoria, New South Wales, South Australia dan Australia Barat maka itulah pemandangan biasa yang akan anda lihat.

Menurut fakta, Australia adalah di antara sepuluh pengeluar gandum yang terbesar di dunia. Kepada yang masih belum tahu lagi, bijiran gandum-gandum yang telah matang ini kemudiannya akan dikisar dan dijadikan tepung. Iya.... tepung gandum. Seterusnya, macam-macam boleh dibuat dengan tepung ini seperti dibuat roti dan pasta. Gandum Australia yang berkualiti ini kemudiannya dieksport kepada banyak negara-negara di dunia antaranya termasuklah Iran, Iraq, Pakistan, Korea dan Jepun. Tak lupa juga ada sebahagiannya dijadikan sebagai makanan untuk haiwan ternakan.

Jadi apabila anda berkunjung ke Australia dan melihat pemandangan seperti di atas tu, maka bolehlah anda bercerita tentang benda gulung-gulung tu dengan rakan-rakan lain yang turut sama melancong.

Tuesday, 28 May 2013

Bot Stim di Echuca

Echuca letaknya kira-kira 200km ataupun lebih kurang 2 jam 20 minit pemanduan dari Mill Park/Melbourne. Echuca yang letaknya di Victoria merupakan bandar kembar kepada Moama di New South Wales. Kedua-dua bandar ini dipisahkan oleh Sungai Murray. Bandar Echuca suatu ketika dahulu merupakan pelabuhan pedalaman yang terbesar di Australia. Ia mendapat nama dari perkataan orang asal Australia bermaksud 'meeting of the waters', manakala Moama bermaksud 'place of the dead'.



Pelabuhan ini cukup terkenal dengan keunikan kapal stimnya. Kapal stim yang dahulunya digunakan untuk memunggah bulu biri-biri dan kargo di limbungan Echuca kini diubahsuai dan digunakan pula untuk membawa pelancong melayari sambil menikmati keindahan flora dan fauna di sepanjang Sungai Murray. 

Saya boleh melihat suasana di mana pengunjung yang datang boleh duduk merenung penuh minat paddlesteamer yang lalu lalang. Keunikan kapal stim ini terletak pada pengayuhnya dan kepulan-kepulan asap yang memenuhi ruang udara di atasnya. Selain itu juga hon yang dibunyikan turut menarik perhatian pengunjung yang berada di situ. Khabarnya hon itu adalah simbolik menandakan kapal tersebut sudah berada berhampiran dengan jeti dan penumpang yang ingin menggunakan khidmat kapal ini samada sebagai penumpang atau memunggah barangan perlu bersedia berhampiran jeti.

Sunday, 19 May 2013

Kejayaan Anak-Anak

Walaupun jauh beribu batu namun hati mana yang tidak gembira apabila FB menjadi penghubung khabar berita. Khabarnya hari ini hari bersejarah untuk graduan2 dari Fakulti Sains Sukan & Rekreasi. Hari Konvokesyen! Ada sebilangan daripada graduan2 ini sempat saya berkongsi ilmu & pengalaman yang tak seberapa sebelum saya berhijrah ke Melbourne. Tahniah saya ucapkan.

Jari jemari 'gatal' untuk mencoret di sini. Izinkan saya... Ini kisah tentang pengorbanan. Pengorbanan insan yang kadangkala dilupakan, padahal merekalah yang turut menyumbang kepada kejayaan anda. Mereka ini telah banyak berkorban. Pengorbanan yang semestinya para graduan semua wajib hargai adalah pengorbanan ibu dan bapa.

Merekalah yang berusaha mencari rezeki membesarkan anak-anak mereka. Seorang penjaga yang bekerja sebagai penoreh getah perlu bangun seawal pagi mengadap pokok getah. Seorang ibu atau bapa yang bekerja sebagai petani atau pesawah perlu membanting tulang di tengah terik mentari dan hujan yang turun di ladang atau sawah untuk mencari rezeki. Seorang nelayan pula perlu turun ke laut dengan dialun gelombang dan pulang dengan tangkapan yang tidak seberapa. Begitu juga penjaga yang bekerja sebagai pengayuh beca dan pemandu teksi yang bergantung harap kepada penumpang yang sudi menggunakan khidmatnya. Dugaan bagi ibubapa yang bertugas sebagai polis juga sangat mencabar. Mereka perlu berdepan dengan sebarang kemungkinan ketika bertugas untuk mencari nafkah membesarkan anak-anak.

Ibubapa ini telah berkorban masa, wang dan sudah semestinya doa untuk anak-anak mereka. Jangan lupa jasa ibubapa. Jangan tunggu hingga esok. Mungkin tiada hari esok. Peluk dan ciumlah mereka sepertimana mereka memeluk cium kita ketika masih kecil dahulu. Mungkin peluh mereka berbau. Tetapi peluh yang berbau itulah yang telah berpenat lelah siang dan malam membesarkan kita. 
Ini hari gembira, berkongsilah bersama mereka. Tinggalkan sementara pakwe & makwe. Layanlah dan raikanlah hari bahagia ini bersama kedua insan yang tersayang. Pasti beruntung dan berbangga sungguh kedua insan ini pada hari 'kebesaran' ini. Anak yang telah mereka didik dari tapak kaki sebesar ibu jari mereka kini sudah berjaya dan boleh 'dilepaskan' untuk terus melebarkan sayap untuk menempuh kehidupan seterusnya.  InsyaAllah kejayaan seterusnya akan dapat dicapai dengan restu kedua mereka.

Friday, 17 May 2013

Selamat Hari Guru - Khas Buat Guru-Guruku Sayang


Benar... saya pernah menjadi pelajar tercorot sekali di dalam kelas. Nombor paling banyak sekalilah menjadi kedudukan saya dalam senarai kelas kalau diikut dari segi ranking.

Masa tu saya berada di Darjah 5 Merah (kelas kedua terbaik dari 6 kelas kesemuanya). Saya ditempatkan bersama kawan-kawan yang berada dalam kelompok terlemah di dalam kelas kerana keputusan ujian yang terlampau teruk. Padahal tahun tersebut adalah tahun terpenting. Ada peperiksaan Penilaian Darjah Lima. 

Guru kelas bernama Cikgu Khan. Kalau di Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Malik, cikgu ini cukup dikenali antara seorang cikgu yang paling tegas dan ce'nge. Tiap-tiap kali apabila Cikgu Khan masuk untuk mengajar Matematik, sayalah mangsa yang akan dipanggil untuk 'mengadap' beliau di hadapan kelas. Saya akan disuruhnya ketuk ketampi, ditarik sideburns, dicubit di perut (berparut sampai hari ini) , berdiri di atas kerusi dan macam-macam lagi hukuman pelik yang lain. Hukuman akibat dapat kedudukan tercorot. Hukumannya pula berbeza-beza untuk hari yang berbeza (kreatif sungguh guru ini menghukum). Itulah juga penangannya kerana malas nak belajar sangat. Kepala otak asyik ingat nak main saja. 

Cikgu Khan memang seorang pendidik yang sebenar dan berwawasan. Saya tidak dibiarkan berterusan dalam 'kejahilan'. Dijemputnya saya ke rumah beliau di sebelah petang selepas tamat sesi persekolahan. Saya dan beberapa orang rakan lain diberikan kelas tambahan. Semuanya secara percuma. Siap diberi makan lagi. Cikgu Khan sendiri yang mengajar saya & rakan-rakan lain. 

Alhamdulillah... saya lulus Penilaian Darjah 5 berkat usaha, dorongan dan doa keluarga, guru2 dan saudara mara terdekat. Tidaklah cemerlang sangat pun, tapi saya gembira. Saya dapat 4A dan 1B. Keputusan B untuk Bahasa Melayu.

Ada sekali tu saya balik kampung, saya singgah untuk solat Asar di Masjid al-Huda Kilang Lama. Usai solat saya ternampak kelibat seorang lelaki tua sedang berjalan meraba-raba dinding untuk keluar dari masjid. Terus saya menuju ke arah lelaki tua tersebut dan memberi salam. Salam saya berjawab. Seterusnya lelaki tua itu bertanya, "Siapa ni?". "Cikgu dah tak kenai saya lagi ka... bekas anak murid cikgu?", duga saya pula. Lelaki tua itu menjawab, "Maaf la, sekarang ni saya dah rabun teruk, maklumla makin berumoq . ... mata pun kurang nampak, tapi saya rasa hang ni Hisyam Che Mat kan... anak penakan Cikgu Lah". Terkejut saya. Seorang cikgu yang memang dah lama saya tak jumpa masih mengenali anak didiknya. Seterusnya saya duduk di tangga masjid bersama beliau dan tidak melepaskan peluang untuk bersembang panjang dengan cikgu yang tak pernah jemu-jemu mendidik saya hingga menjadi insan seperti hari ini. Jasamu tetap saya kenang selagi hayat dikandung badan, wahai cikguku sayang...


Sudah pasti amat berdosalah saya sekiranya tidak pandai berterima kasih dengan guru-guruku semua. Di kesempatan ini ingin saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua guru-guruku sayang dari tadika hingga ke menara gading. Saya sayang dan hormati semua guru-guru saya. Semoga kehidupan mereka semua diberkati dan ilmu mereka kepada saya mohon dihalalkan. Kepada yang telah 'mendahului' kita sama2lah kita sedekahkan al-Fatihah. Semoga mereka tenang di sana bersama amalan mulia mereka semasa hayat. Guru2ku sayang... moga kalian semua beroleh pahala dan kemuliaan di sisi Allah swt. InsyaAllah.

Thursday, 9 May 2013

Cerita 'Sang Juara'

Seingat saya harga pelekat kenderaan di UiTM hanyalah RM2 sahaja. Itu pun ada juga staf dan pelajar yang liat untuk mendapatkannya dan ditampal di kenderaan masing-masing. Bila operasi menyaman dipergiatkan barulah kalut masing-masing beratur panjang di pejabat keselamatan untuk mendapatkan sekeping dua pelekat ini. Tak pasti la pula apa sebabnya ini berlaku. Mungkin sebab malas nak beratur untuk membeli pelekat ataupun ini sebahagian daripada usaha berjimat cermat untuk wang tersebut digunakan sebagai modal sarapan pagi capati dan teh tarik gelas kecil. Wallahu'aklam.

Berbalik kepada cerita saya di RMIT Uni, memang alasan saya tidak membeli pelekat kenderaan adalah disebabkan HARGANYA yang terlampau lampau mahal. Sekeping pelekat kenderaan untuk setahun berharga AU$150. Tu dia... memang mahal. Ianya mencecah RM450 setahun. Makanya, untuk menjimatkan saya akan meletak kenderaan agak jauh/terpencil setiap kali ke uni agar tak disaman 'sang koboi' yang sering mundar mandir mencari mangsa. Apa boleh buat nak hidup da... Tahun lepas rezeki saya baik, dapat beli dengan separuh harga. Jadi tahun 2013 saya 'pasang' strategi yang sama. Untung-untung berhasil.

Namun jerat tak pernah lupakan pelanduk, hanya pelanduk yang seringkali terlupakan jerat yang setia menunggu. Kusangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari... Akhirnya saya 'tewas'! Dari kejauhan saya dapat melihat sekeping kertas putih dilekatkan di cermin depan kereta saya ketika ingin pulang untuk mengambil anak-anak dari sekolah. Memang tidak syak lagi itulah surat saman. Saya terima surat saman dari 'sang koboi' pengawal keselamatan uni. Aduhai, inilah saman pertama di Australia (moga-moga inilah saman yang pertama dan yang terakhir... Amin...)


Alahai lagi sebulan ja lagi nak ditunggu untuk separuh harga tuptup dah kena saman la pulak. Apa boleh buat dah bukan rezeki tahun ini.... bayar sajala kalau tak nilai saman akan meningkat dari hari ke hari selagi tak dibayar. Mereka memang serius tentang hal ini. Tiada kompromi. Saya perlu bayar saman dan beli pelekat kenderaan kalau mahu meletakkan kenderaan di kawasan uni. Bayar saman dan beli sahajalah Hisyam...

Beberapa hari lepas saya menumpang kenderaan seorang Professor untuk ke sebuah sekolah pendidikan khas berhampiran uni untuk membincangkan tentang projek yang bakal saya laksanakan di sekolah terbabit. Sebelum memasuki kenderaan beliau saya dapat melihat pensyarah tersebut sedang melekatkan sekeping pelekat kenderaan uni di cermin hadapan kenderaannya. Rupa-rupanya dia pun telah disaman oleh 'sang koboi'. Nilai saman kami sama sahaja. Dia pun perlu bayar nilai saman yang telah saya bayar. Tiada kompromi dan dwi standard.

 

Berkisar tentang itu saya pun 'gatal mulut' bertanyakan ke mana perginya pelekat-pelekat kenderaan yang sebelumnya. Beliau mengatakan bahawa ini adalah pembelian pelekat kenderaan RMIT Uni yang kedua dibelinya selepas pembelian pelekat kenderaan yang pertama pada tahun 2004. Tu dia lagi hebat dia nie! Kita ingat student ja yang lari dari 'sang koboi', rupa-rupanya Professor pun sama naik. Yang paling menariknya lagi, saya ingat saya dah hebat dapat lari dari 'sang koboi' kaki saman selama 5-6 bulan, tapi rupa-rupanya dia lagi hebat, berjaya lari dari saman 'sang koboi' selama 9 tahun! Bolehlah saya katakan di sini dia CHAMPION!


Thursday, 14 February 2013

Seteguh Tekad.. usaha mengubah hidup

Buku Seteguh Tekad ini entah macam mana boleh saya terfikir untuk dimasukkan ke dalam bagasi dan dibawa bersama sewaktu berhijrah ke Melbourne pada Mac 2012. Tentu sekali ada banyak yang tersirat di sebalik buku yang telah saya beli pada 27hb Jun 2008 ketika berkunjung ke Pesta Buku yang dianjurkan oleh Alaf 21. Pada mulanya, apabila saya melihat kulit buku yang dipamerkan di rak, terlintas sejenak tanggapan seakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu ingin menayang diri. Di kulit buku tersebut menampilkan penulis berpakaian segak dengan basikal tua. Apa relevannya basikal tua dengan penulis yang siap bersut lengkap itu. Oleh kerana ingin mengetahui akan isinya, saya melabur wang sebanyak RM13.00 bagi memiliki naskah buku yang dimaksudkan. Setelah membelek helaian demi helaian buku setebal 319 halaman itu dan menghayati kisah pahit manis yang dilalui penulis, timbul pula kesedaran yang kehidupan ini tidak akan terlepas daripada dugaan tetapi bagaimana kita menghadapinya adalah keutamaan.
 
 
Menyelak helaian demi helaian, pembaca bagaikan turut dibawa bersama merasai kesusahan dan penderitaan yang dialami seorang anak yang berjiwa besar tapi hidup dalam serba kekurangan. Buku ini sebenarnya adalah sebuah rentetan pengalaman hidup yang menekankan aspek motivasi dan berupaya merangsang jiwa agar sentiasa bersemangat kental.  
 
Seteguh Tekad adalah sebuah buku nukilan anak kelahiran negeri Melaka, Prof. Dr. Sidek Baba di mana pembaca akan dapat menyelami liku-liku kehidupan yang dialami oleh beliau untuk menuju puncak kejayaan. Pendakian tangga kejayaan akan dapat diselami melalui rentetan pengalaman kehidupan yang menekankan aspek motivasi dan merangsang jiwa supaya pembaca sentiasa bersemangat kental di dalam menempuh dugaan dalam kehidupan.

Buku ini telah ditulis sendiri oleh yang empunya diri. Buku autobiografi ini dapat memberi peluang kepada pembaca berkongsi pengalaman yang dilalui tokoh pendidik berjiwa besar, Dr. Sidek yang telah dilahirkan ke dunia ini dalam serba kekurangan tetapi kini telah berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang.

Ini adalah bukti melalui kata-kata beliau di mana tanggapan kemiskinan boleh menyebabkan kegagalan dalam hidup kerana kekurangan pada beliau adalah sebenarnya pendorong kuat yang akhirnya mampu menghasilkan lonjakan perubahan ke arah kejayaan.

Profesor Dr. Sidek Baba merupakan seorang tokoh pendidik dan pejuang pendidikan Islam yang tidak pernah mengenal erti penat lelah dan jemu di dalam kamus kehidupannya. Tokoh berjiwa besar ini mengajak pembaca melalui bukunya agar menilai tentang erti sebuah kehidupan yang amat memerlukan ilmu sebagai pengisiannya.

Salah satu faktor penting yang turut ditekankan di dalam buku ini adalah pengalaman yang dilalui selalunya akan mendekatkan lagi manusia dengan Penciptanya, merenung nasib diri, memahami erti kehidupan serta mengenal kebenaran. Ciri ini tergambar daripada watak bapanya yang sentiasa mengadu hal kepada Allah di samping watak lain yang secara langsung dan tidak langsung membentuk jiwa beliau hingga menjadi manusia yang cintakan jiwa seorang pendakwah.

Sesuai untuk semua lapisan khalayak pembaca, buku Seteguh Tekad mampu menyuntik semangat di hati pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh, menyedarkan mereka yang berputus asa bahawa selepas kesusahan akan ada kesenangan dengan syarat kita bersedia merubah nasib diri. Buku ini juga mampu memotivasikan pendidik-pendidik agar ikhlas di dalam mendidik anak bangsa dan seterusnya tidak lupa mendekati dan memahami permasalahan yang dihadapi oleh pelajar.

Buku nukilan Dr. Sidek ini penuh dengan semangat dan emosi. Di suatu peringkat, saya hampir menitiskan air mata dek penceritaannya yang memilukan. Sampai di suatu peringkat yang lain pula, semangat saya untuk berusaha marak menyala kerana didorong oleh kejayaan penulis buku tersebut atas hasil usahanya yang tidak pernah mengenal erti penat dan jemu.

Begitulah hebatnya buku ini. Banyak pengajaran dan nilai-nilai positif yang boleh pembaca ambil iktibar dari buku ini.

Saya membahagikan pengajaran yang boleh diperolehi daripada buku ini kepada beberapa bahagian iaitu: 
   1.    Pengorbanan untuk perubahan
   2.    Kecekalan dan keazaman
\  3.    Kasih sayang
 
 
PENGORBANAN UNTUK PERUBAHAN
 
Dr. Sidek telah melakukan satu pengorbanan yang cukup besar dalam hidupnya iaitu berhijrah. Jelas dapat disaksikan bagaimana pelajar miskin yang dahagakan ilmu ini yang bermula dari sekolah rendah telah sanggup berhijrah ke Bandar Melaka untuk menyambung pelajarannya di peringkat sekolah menengah. Seterusnya beliau berhijrah ke Maktab Perguruan Sultan Idris dan Universiti Malaya untuk peringkat sijil dan ijazahnya. Kemudian diberi peluang pula untuk menuntut di universiti di Amerika Syarikat. Pengorbanannya di dalam melakukan hijrah amat berbaloi dan telah berjaya mengubah kehidupan beliau.

Sesungguhnya tidak ada perubahan yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan pula adalah suatu tuntutan hidup. Setiap umat Islam mesti ada semangat dan cita-cita untuk berubah. Berubah dari sesuatu yang buruk kepada yang baik dan dari yang baik kepada yang terbaik adalah tuntutan agama (Noor, 2004).

Di dalam Seteguh Tekad, Prof. Dr. Sidek menggarap liku-liku kehidupan yang ditempuhinya dengan tenang dan teratur dan disulami dengan emosi dan doa.  Beliau mengisahkan hidupnya sebagai insan biasa yang berjiwa besar, mengait impian demi impian dan berpijak di alam nyata.  Pengorbanan keluarga beliau adalah amat bernilai dan tidak dapat disangkal di dalam kehidupannya. Dr. Sidek sering mengungkapkan pesanan ayahanda yang tersayang:
 
“Kalau takdir kau jadi orang yang dikenali, jangan lupa ALLAH.  Selalu tolong orang yang susah.  Selalu kaitkan rezeki dengan berkat.  Kalau kau jujur dengan ALLAH, pertolongan ALLAH akan datang”.

Selain daripada itu pengorbanan yang amat luar biasa juga telah dipamerkan oleh isteri Dr. Sidek. Isterinya sanggup meninggalkan jawatan semata untuk memberi tumpuan mendidik anak-anak dan menjadi pendorong utama kejayaan hidupnya. Semasa di luar negara pula isteri bertindak sebagai pemberi inspirasi dan penguat semangat. Benarlah kata bijak pandai bahawa tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia. Melalui pengorbanan daripada si-isterilah menyebabkan Dr. Sidek lebih tenang menempuh dugaan bagi mengecapi kejayaan.


KECEKALAN DAN KEAZAMAN
 
Pengalaman Sidek yang mengayuh basikal sejauh 45 batu pergi balik setiap hari dari rumahnya ke sekolah yang terletak di Bandar Melaka wajar menginsafkan kerana kayuhan demi menuntut ilmu itu bersama tekad teguh akhirnya telah melahirkan insan yang menjadi contoh kepada umat Islam pada hari ini. Inilah antara salah satu contoh kecekalan beliau di dalam menuntut ilmu. Beliau faham bahawa ibubapanya tidak mampu untuk membayar tambang bas untuk berulangalik ke sekolah. Maka untuk mengelakkan dirinya tercicir daripada meneruskan pengajian sekolah menengah, beliau sanggup mengorbankan tenaga dan masanya untuk mengayuh basikal untuk destinasi yang sebegitu jauh pada setiap hari persekolahan. Akibatnya pelajaran beliau merosot dan tercorot.
 
Dr. Sidek juga tidak menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk beliau tidak boleh berjaya. Selain daripada itu Dr. Sidek tidak pernah sekalipun bersungut akibat kegagalannya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan utama seperti Higher School Certificate (HSC). Beliau tidak jemu-jemu mencuba berulangkali menduduki peperiksaan untuk HSC sehinggalah mendapat keputusan yang cemerlang dan melayakkannya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.  Dr. Sidek telah membuktikan bahawa gagal sekali bukan bermakna dia akan gagal untuk selamanya. Sesungguhnya belajar dari masa lalu dapat membantu membentuk masa hadapan agar menjadi lebih berkesan (Syed Zakaria, 2005).

Kecekalan beliau dan isterinya telah dengan izin Allah berjaya mendidik kesemua lapan-lapan anak mereka melepasi pendidikan di universiti juga boleh diambil iktibar. Di dalam kehidupan yang semakin mencabar ini, bukanlah suatu tugas yang mudah sebenarnya untuk mendidik anak sekiranya ibubapa tidak memberikan tumpuan yang sewajarnya berkaitan perkembangan anak-anak. Peranan ibubapa sama penting di dalam mendidik anak-anak (Redzuan & Munji, 1990).
 
Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hambaNYA yang tidak pernah berputus asa, bersabar mendepani kerenah hidup dan cekal dalam keazaman. Allah amat mengerti akan tangisan dan doa, airmata dan keringat hambaNYA.
 
 
KASIH SAYANG
 
Sesungguhnya kasih sayang sukar untuk dijual beli. Prof. Dr. Sidek Baba sangat beruntung kerana dikurniakan dengan ahli keluarga yang saling sayang menyayangi. Beliau juga sungguh bertuah kerana dikelilingi oleh guru-guru yang telah memberi sumbangan yang amat besar dalam hidupnya.
 
Selain daripada itu Dr. Sidek juga dikurniakan sahabat-sahabat perjuangan yang sentiasa membantu ketika diperlukan. Ini dibuktikan apabila rumah beliau dipenuhi dengan sahabat-sahabatnya yang menanti setelah beliau dilepaskan daripada tahanan ISA.
 
Sudah tentulah isteri menjadi pendamping yang paling setia di dalam kehidupan beliau. Anak-anak pula adalah harta yang tidak ternilai harga yang menjadi kurniaan Illahi. Kesemua anak-anaknya dibawa bersama sewaktu melanjutkan pelajaran di Amerika. Beliau tidak sanggup meninggalkan walau seorangpun anaknya di Malaysia. Biarlah sama-sama susah. Itulah yang menjadi pendirian beliau.
 
Anak-anak memerlukan kasih sayang. Sekira kasih sayang tidak diberikan, contoh teladan tidak ditunjukkan maka mereka akan belajar dari contoh-contoh yang melintas di hadapan mereka. Sudah tentu bukan itu yang kita mahukan.
 
Betapa indahnya dunia sekiranya manusia saling berkasih sayang, saling bantu membantu dan bekerjasama. Orang kaya tolong orang miskin dengan kekayaannya, orang sihat tolong orang sakit mengikut kemampuannya, kerana takutkan Allah semata-mata dan bukannya kerana mahukan sesuatu selain Allah. Pesan Tuk Hitam kepada Dr. Sidek sememangnya ada kebenarannya. Pesan Tuk Hitam:
 
“Kalau berjaya nanti, ramai orang boleh tumpang senang. Tapi bila berjaya cu, jangan sombong dan jangan tinggi diri. Ingat asal-usul kita. Kita orang susah. Bila kita ada ilmu dan senang sikit, mesti tolong orang. Ilmu ni cu… jangan kedekut. Kedekut ilmu, berkat hidup hilang. Ilmu itu penyuluh. Ilmu itu penunjuk jalan. Tak berilmu kita lalu jalan gelap. Berilmu kita ada arah tuju. Kita kena murah hati. Orang susah kita tolong. Orang miskin jangan dihina”.
 
Pesanan di atas kalau kita semua ambil iktibar sudah tentulah dunia ini akan aman dan tiada kemusnahan.

***************************************************************************** 
 
Yang pasti, setelah menutup helaian terakhir ini saya terus terdorong untuk membaiki diri bagi menuju redha Allah SWT. Walaupun kehidupan saya tidaklah sesusah beliau, ada ruang-ruang ujian dan dugaan hidup yang memerlukan sifat sabar dan cekal untuk menanggung dan menghadapinya. Saya suka membaca kisah-kisah tokoh-tokoh yang telah berjaya, kerana terselit seribu pengajaran untuk pembangunan diri saya.
 
Pada hemat saya kehidupan yang berlaku pada setiap manusia terdapat hikmah dan pengajaran yang boleh kita jadikan pengajaran dan dorongan untuk bangkit membina diri. Melalui pengalaman Dr. Sidek ini telah saya pecahkan perbincangan kepada pentingnya pengorbanan untuk mengecapi perubahan; kecekalan dan keazaman untuk mencapai kejayaan dan kasih sayang sesama insan.
Di sini saya ingin mencadangkan pendidik-pendidik, bakal pendidik, dan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pendidikan agar membaca buku ini. Pengalaman Dr. Sidek sedikit sebanyak menyedarkan bahawa pendidik bukan berfungsi untuk mengajar pelajar yang telah pandai. Sebaliknya, pendidik berperanan mengajar setiap pelajar yang ada di dalam kelas.  Pelajar yang sedikit terkebelakang di dalam memahami pelajaran tidak harus ditinggalkan begitu sahaja. Adalah menjadi tanggungjawab seorang pendidik untuk membimbing pelajar itu mengikut tahap pelajar tersebut. Itulah sebenarnya dikatakan seseorang pendidik itu merupakan pendidik yang baik, bukan sekadar mengajar tetapi membimbing.

 
 Sekian, selamat membaca.

 
Hisyam Che Mat
Mill Park, Vic


Rujukan:


Baba, S. (2007). Seteguh tekad. Shah Alam: Alaf 21 Sendirian Berhad.
Noor, I. (2004). Kepimpinan nabi Muhammad s.a.w: Model ikutan sepanjang  masa pengurusan altruistik: Perbandingan-silang dengan kepimpinan dan pengurusan semasa. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors
Redzuan, M., & Munji, S. H. (1990). Pengantar psikologi. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.
Syed Zakaria, S. A. (2005). Panduan dan strategi motivasi diri. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors 

Tanggungjawab Kita





Jangan salahkan individu di atas, dia memang seorang yang jahil tentang Islam. Maka menjadi tanggungjawab kitalah sebagai umat Islam untuk mendekati golongan sebegini dan seterusnya menunjukkan (bukan menunjuk-nunjuk) atau menzahirkan akhlak dan peribadi Muslim yang terbaik di samping memberi kefahaman terhadap nilai Islam yang sebenar. Kejahilanlah yang menyebabkan mereka ini menentang Islam, mereka tidak faham akan kesucian Islam. Menjadi lebih parah lagi apabila umat Islam sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik sebagai Muslim sejati hingga  agama suci ini terpalit dek 'kebusukan' akhlak umatnya sendiri. 

Kalau diimbas kembali sejarah di zaman Rasulullah S.A.W mula menyebarkan ajaran Islam secara terang-terangan dahulu, Saidina Umar al-Khattab pula kuat mempertahankan ajaran turun temurun masyarakatnya. Beliaulah yang paling keras menentang Islam pada ketika itu. Namun dengan hidayah yang Allah kurniakan kepada beliau, akhirnya beliau memeluk Islam dan berjanji pula untuk melindungi Islam sehingga ke titisan darahnya yang terakhir.  Kisah seterusnya tentang sahabat Rasulullah S.A.W yang dijamin masuk syurga ini ada di sini.


Daniel Streich, seorang ahli politik di sebuah negara Eropah sangat terkenal dengan kekerasannya di dalam kempen menentang pembinaan masjid di negaranya, namun hidayah Allah hadir bersamanya di mana tanpa disangka-sangka beliau telah memeluk agama Islam. Selepas pengislamannya, beliau pula aktif memperjuangkan hak pembinaan masjid di negaranya. Kisah pengislaman Streich ada di sini.

Kisah Shive Prasad yang berasal dari Faisabad, daerah di mana terletaknya masjid Babri di India turut menyentuh rasa di awal pengislamannya. Prasad merupakan antara dalang utama di sebalik runtuh dan musnahnya Masjid Babri. Beliau hidup penuh kegelisahan selepas peristiwa meruntuhkan masjid tersebut. Namun kegelisahannya berakhir berkat hidayah Allah swt. Alhamdulillah... ketenangan yang dicari beliau perolehi selepas memeluk Islam. Kisah runtuhnya masjid umat Islam di India dan kisah Prasad memeluk Islam atau nama Islamnya Mohammed Mustafa ada di sini.

Banyak lagi kisah-kisah menarik yang berlaku kepada penentang-penentang Islam yang kemudiannya dikurniakan Allah dengan hidayahNya untuk memeluk Islam. Maka tugas kitalah umat Islam untuk sama-sama mendekati mereka dan menzahirkan akhlak yang terpuji. Di samping kita berdakwah (berusaha), kita berdoa kerana Allah berhak mengurniakan hidayah kepada sesiapa sahaja yang disukaiNya. Wallahu'aklam.