Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Monday 31 December 2007

Qobain oh Qobain

Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin a.k.a Qobain merupakan seorang anak muda yang hebat dan bersemangat waja!

Setelah beliau bersama-sama Ahmad Reduan berjaya menjejakkan kaki ke Puncak Everest pada tahun 2004 dalam usianya baru 22 tahun, kini Qobain sedang dalam misi keduanya iaitu penjelajahan mengelilingi dunia dengan berbasikal secara solo.

Apabila mendapat perkhabaran bahawa Qobain akan menjejakkan kaki ke Australia setelah tamat penjelajahannya di India, saya memasang niat dan azam untuk menjemput beliau agar menjadikan Bendigo sebagai salah sebuah destinasi singgahannya di Australia nanti. Alhamdulillah SMS saya berbalas. Qobain kemudiannya membuat panggilan dan menyatakan minatnya untuk singgah di Bendigo.

Di Australia Qobain gagal meneruskan kayuhannya. Ini kerana kecederaan pada ligamen lututnya menyebabkan doktor di Canberra mencadangkan beliau berehat daripada meneruskan kayuhan selama 2 bulan. Qobain tidak patah semangat sebaliknya menukarkan rancangan asalnya. Beliau kini akan mengelilingi Australia dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi yang disewanya di Melbourne. Itupun dilakukannya setelah mendapatkan ‘lampu hijau’ daripada penaung penjelajahannya iaitu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ada hikmah di sebalik penjelajahan bermotosikalnya itu. Allah Maha Mengetahui. Sekiranya beliau berbasikal secara solo dari satu destinasi ke destinasi seterusnya di Ausralia, tentu ia berbahaya. Jarak yang terlalu jauh di antara sebuah bandar dengan bandar yang lain [kebanyakan rakyat Australia tinggal di bandar-bandar besar]. Jarak rumah di kawasan luar bandar pula adalah terlalu jauh di antara satu dengan yang lain. Cuaca di sini pula pada ketika ini terlalu panas dan kering. Tentu sukar untuk beliau meminta pertolongan sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.


Sayangnya ketika Qobain singgah di Bendigo ia merupakan hari cuti umum Boxing Day. Jadi tak dapatlah saya kenalkan beliau kepada pensyarah-pensyarah saya di sini. Ini kerana saya pernah membentangkan tentang penjelajah-penjelajah hebat di Malaysia seperti Qobain, Ahmad Reduan, Datuk Azhar Mansor dan Datin Paduka Sharifah Mazlina di dalam pembentangan kelas saya di sini.

Saya cuma sempat membawa Qobain bersiar-siar di sekitar La Trobe University Bendigo dan bandar Bendigo. Qobain terpegun melihat bangunan School of Outdoor Education & Environment, tempat saya belajar yang katanya mesra persekitaran [environmental friendly]. Kawasan berbukit di situ tidak dipotong, sebaliknya bangunan di situ yang diubahsuai untuk mengikut bentuk mukabumi.

Keesokan harinya Qobain meneruskan perjalanannya ke Sydney sebelum ke Brisbane. Sama-samalah kita doakan keselamatan dan kejayaan Qobain. Amin

1 comment:

Unknown said...

terima kasih atas segala doa dan kebajikan yang diberikan..semoga kejayaan mengiringi setiap perjalanan kita..amin