Saya menggunakan sepenuhnya seminggu pertama setelah menjejakkan kaki di bumi Malaysia bersama isteri dan anak-anak. Maklumlah dah dua bulan kami sekeluarga tak bersua. Kamil dengan pelatnya tersendiri pernah menyatakan hasratnya untuk menaiki kapal terbang untuk bertemu papanya. Katanya, “mama… jom aik kapa erbang umpa papa”. Kamilia [anak sulung] pula pernah merayu dengan mamanya untuk terbang semula ke Australia untuk bertemu papanya. Katanya sambil menunjukkan duit raya seringgit-seringgit simpanannya, “Jom la mama… kakak ada duit nak naik kapal terbang nak pi Osborne St [rumah di Bendigo]”.
Alhamdulillah dengan izin Allah kami sekeluarga dipertemukan semula di KLIA setelah dua bulan berjauhan. Saya selamat sampai di KLIA lebih awal berbanding Liza dan anak-anak. Setelah solat jamak dan sujud syukur saya menuju ke balai ketibaan KLIA. Liza dan anak-anak masih juga belum sampai.
Ketika sedang menukar wang di kaunter pengurup wang, saya ternampak kelibat Liza dan anak-anak berpimpinan tangan di balai ketibaan. Mereka baru saja sampai dari Shah Alam. Saya cuba melambai pada Kamil yang secara kebetulan sedang memerhatikan ke arah saya. Tapi Kamil cuba melarikan pandangan dan terus memegang erat tangan mamanya. Takut barangkali. Sengaja saya tidak memanggil namanya untuk melihat respons anak bongsu kesayangan kami ini. Dia langsung tidak memberikan sebarang respons. Kaget juga saya. Ya Allah… anak aku dah tak kenal papanya. Itu baru dua bulan.
Saya berjalan ke arah mereka. Liza masih lagi mencari-cari. Beliau masih lagi belum dapat melihat kelibat suaminya. Ketika semakin hampir dengan mereka bertiga, Kamilia menjerit, “mama… tu papa”. Seronoknya mereka bertiga, tak ketinggalan juga saya. Berlakulah adegan jejak kasih antara kami berempat bersaksikan orang ramai yang sedang menunggu sahabat taulan dan saudara mara di balai ketibaan. Ya Allah… hambaMu bersyukur kehadratmu kerana telah disatukan semula kami sebagai sebuah keluarga.
2 comments:
Assalamualaikum!
Coretan ini yang kami nanti-nantikan. Abang ada beritahu kpd akak tentang kejutan yg bakal tiba. Nampak gayanya, papanya terkejut dgn riaksi kamil. tapi tak kisahlah. Janji Syam selamat sampai ke tanahair.
KV
Betul kak. Bukan depa anak beranak yang terkejut, tapi saya yang terkejut. Anak tak kenal bapaknya, hehehe...
Liza pun saja nak buat kejutan kat anak-anak. Dia kata kat anak-anak, kita nak ke KLIA nak jemput kawan mama. Tak sangka pulak kawan yang dimaksudkan tu, Hisyam Che Mat.
Post a Comment