Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Saturday, 5 January 2008

Kenapa ya… kenapa?

Pernah juga saya bertanya pada diri sendiri, kenapa perlunya blog sebegini di dalam kehidupan saya. Apakah kepentingannya?

Sebenarnya Bendigo banyak mengubah corak kehidupan saya. Di sini saya banyak menggunakan masa untuk bermuhasabah diri. Sesuatu yang jarang saya lakukan semasa di tanahair.

Hidup Bermasyarakat

Kalau di tanahair saya dikelilingi oleh masyarakat Melayu yang beragama Islam dari kecil hinggalah saya ditugaskan di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Apabila sampai di Bendigo, segala ‘nikmat’ hidup bermasyarakat tersebut telah ‘ditarik’ buat sementara oleh Allah s.w.t. Terpaksalah saya sekeluarga mengadaptasikan diri kami dengan suasana baru ini. Tidak ada langsung masyarakat Melayu di sini. Terkapai-kapai kami selama hampir sebulan tanpa berjumpa dengan seorangpun orang Melayu di sini.

Alhamdulillah…Allah membantu hambaNYA ini. Kami dipertemukan dengan keluarga Brother Heri dan seterusnya dengan sekumpulan 23 orang penuntut dari Indonesia. Itupun hanya untuk 2 bulan kerana selepas itu penuntut-penuntut Indonesia terbabit tamat pengajian dan pulang ke tanahair mereka. Tinggallah keluarga saya dan Brother Heri.

Ilmu Baru

Bagi saya setiap hari merupakan hari baru di dalam kehidupan saya. Setiap hari saya belajar ilmu-ilmu baru. Ia semestinya ilmu-ilmu baru yang tidak akan dapat dipelajari di dalam bilik darjah. Ilmu tentang kehidupan yang wajar dikongsi bersama.

Dahulunya saya kurang mahir dan jahil dalam bidang teknologi maklumat. Terlalu takut dengan dunia tanpa sempadan. Tidak berani menonjolkan diri. Biarlah orang lain yang ke depan. Perkataan takpa, biaq pi dan nanti la sentiasa menjadi mainan bibir. Kini saya cuba kurangkan penggunaan perkataan tersebut. Perkataan sebeginilah yang sebenarnya menjadi duri dalam daging kepada diri kita dan dalam diam-diam boleh menyekat usaha kita untuk berjaya.

Laman Sesawang Terhasil

Saya mula berjinak-jinak dengan pembinaan laman sesawang atas desakan dan motivasi daripada sahabat saya, saudara Md Amin Md Taff, pensyarah UPSI. Beliau berjaya mengubah minda saya supaya berkongsi pengalaman melalui laman sesawang ini. Kata Md Amin, melalui laman sesawang yang dibina ini, lebih mudah percambahan ilmu akan berlaku. Tidak ada apa yang perlu dimalukan. Yang penting NIAT kita untuk berkongsi pengalaman dengan khalayak. Pengalaman yang begitu istimewa. Pengalaman sebuah keluarga Melayu yang ‘tercampak’ di sebuah tempat yang tiada penghuni Melayu.

Bertitik tolak daripada situlah, saya mula mengorak langkah membina laman sesawang yang di dalamnya mengkisahkan sekitar kehidupan saya sekeluarga ketika berhijrah ke Bendigo. Akhirnya terhasillah catatan peribadi dalam laman sesawang bertajuk 'Khabar dari Bendigo'. Laman sesawang ini menjadi penghubung antara saya sekeluarga dengan keluarga dan rakan-rakan di tanahair.

Lahirnya Blog Coretan di Kala Senggang

Tidak cukup dengan itu, apabila ada masa lapang saya mula menjengok dari blog ke blog. Antara blog yang kerap saya dan isteri lawati semasa di Bendigo adalah blog Prof Muhd Kamil Ibrahim (bekas Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi).

Mengambil kira trend masakini. Saya merasakan blog mempunyai peminatnya yang tersendiri. Blog boleh menjadikan penulisnya lebih rapat dengan penjengoknya. Penjengok boleh terus memberikan komen untuk setiap isu yang diutarakan.

Maka terhasillah blog Hisyam Che Mat bertemakan ‘Coretan di Kala Senggang’. Blog ini berkisar pengalaman saya di sekitar kehidupan seharian dan sesekali saya mengimbau kembali kenangan masa lampau saya.

4 comments:

zlaa said...

Salam ziarah. Kenapa ya? Entahlah.. Mind if akak link you from my blog? Interesting especially cerita ttg Qobain. Mudahan Qobain berjaya menamatkan misi-nya.

hisyamchemat said...

Terima kasih kak,
Saya pernah menjengok blog kakak semasa di Bendigo melalui blog Prof MKI.
Qobain memang seorang yang bersemangat waja dan sentiasa merendah diri. Sebab itulah saya akan sentiasa menyokong beliau. Sama-samalah kita mendoakan kejayaan beliau

aminkenu said...

Salam bro,

Tahniah kerana telah maju setapak lagi dengan mengendalikan blog sendiri. Teurskan usaha untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan rakan seperjuangan di luar sana.

Bersama kita majukan pendidikan luar dan rekreasi di Malaysia.

Syabas n tahniah sekali lagi

Md Amin Md Taff

hisyamchemat said...

Salam Tuan,
Terima kasih kerana sudi berkongsi ilmu. Syukur hamba panjatkan pada Illahi kerana dipertemukan dengan sahabat yang tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman. Semoga Allah bisa membalas jasamu sahabat.