Di awal semester lepas dia datang ke pejabat saya. Diminta saya membantu menyusun semula pelan pengajiannya yang dah berterabur dek kerana asyik mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan dan gagal di dalam subjek tertentu. Saya tengok keputusan dia. Keputusan dia memang kurang memuaskan. Saya bertanya kenapa dia gagal menyinar di semester-semester sebelumnya. Dia tunduk dan seterusnya bersuara, "Saya tak salahkan orang lain. Diri saya sendiri yang patut dipersalahkan. Saya tak pandai membahagikan masa di antara sukan dan belajar. Saya banyak main". Saya tanya samada dia gembira dengan keputusan yang dia perolehi di dalam peperiksaan sebelumnya. Saya pasti penjengok-penjengok sekalian pun boleh menjangkakan jawapannya. Sudah tentulah dia tak puashati.
Maka penyelesaiannya mudah sahaja. Saya katakan pada pelajar tersebut bahawa saya boleh menyusun semula pelan pengajiannya. Saya boleh membantu menyusun jadualnya. Saya boleh membantu memberi kata-kata semangat. Namun pokok pangkalnya dirinya sendiri juga yang perlu berusaha untuk mendapat keputusan yang terbaik. Dia sendiri yang perlu berubah. Saya ceritakan bagaimana mudahnya untuk mendapat keputusan cemerlang di universiti berbanding semasa di sekolah dahulu terutama di peringkat SPM. Semasa menduduki peperiksaan SPM, guru hanya mengajar tetapi penyemak transkrip jawapannya pula tidak kita ketahui sesiapa. Manakala di universiti pula kita tahu siapa penilai kita. Kita tahu siapa pemberi markah untuk kerja kursus kita dan seterusnya penyemak transkrip jawapan Peperiksaan Akhir. Maka bertemulah pensyarah berkenaan. Jadikanlah pensyarah sebagai rakan bukan musuh.
Sebelum keluar dari bilik saya, dia berjanji untuk belajar bersunggguh-sungguh pada semester tersebut dan mendapat keputusan yang akan membolehkan dia menyambung pengajian di peringkat seterusnya. Saya katakan pada dia bahawa tiada yang mustahil. Yang penting berusaha, berdoa dan bertawakal.
Semester ini di awal semester, dia sekali lagi berkunjung ke pejabat saya. Dia tunjukkan keputusan dia pada semester lepas. Dia mendapat keputusan yang cemerlang. Banyak keputusan A yang dia kumpulkan untuk semester lepas. Dia gembira. Saya bangga. Dia dah membuktikan bahawa tiada yang mustahil. Yang penting keinginan untuk berjaya. Di semester ini dia akan mengambil subjek yang masih tinggal berdasarkan kepada pelan yang saya atur dan dipersetujui olehnya pada semester lepas. Saya doakan dia terus berjaya dan dapat menyambung pengajiannya ke peringkat yang seterusnya.
3 comments:
tahniah buat en hisyam krna telah mmbntu student trbabit..pasti dia sgt gmbira dgn kjyaannya mnmtkan pengajian..
en hisyam the best !!!
setiap kali sy bc blog ini,pasti semuanya menyentuh perasaan sy..en.hisyam memang seorg pensyarah yg berkaliber. sy ykn kata2 en.hisyam tlh menaikkan semangat pelajar terbabit..alangkah beruntungnya kami dpt pensyarah bernama en.hisyam..u are the most wonderful man i ever met..
insyaallah..sy jg akan bersungguh2 dlm pengajian ini..
Post a Comment