Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Friday, 23 January 2009

Makin Berisi Makin Tunduk

Teringat semasa menuntut di UPM dahulu. Saya ditempatkan di Kolej Kediaman Keempat (kini ditukar ke Kolej Canselor). Pada awalnya kolej ini dikenali sebagai Kolej Jelapang kerana keempat-empat blok diberi nama sempena nama padi iaitu Blok Murni, Mahsuri, Masria dan Malinja. Saya di Blok Murni.

Banyak cerita suka dan duka sepanjang saya mendiami kolej ini. Namun saya menganggap semua pengalaman yang saya alami sepanjang mendiami Kolej Jelapang sebagai asam garam kehidupan yang paling menarik dalam lipatan kehidupan saya. Saya tidak akan melupakan semuanya.

Warga kolej ini sering diingatkan agar mengikut resmi padi, makin berisi makin tunduk! Itu yang sering berkumandang di telinga kami sejak minggu orientasi lagi. Sehinggalah peribahasa ini menjadi cukup sinonim dengan kami semua warga kolej. Saya rasakan itulah di antara pesan orang tua dulu dulu yang masih lagi relevan untuk digunapakai oleh generasi masa kini. Peribahasa tersebut kemudiannya disambung pula dengan menasihatkan kita supaya janganlah ikut resmi lalang, makin tinggi makin tiada berisi. Ditiup ke kanan ia ke kanan, di tiup ke kiri ia ke kiri. Bila dah panjang hanya dipotong dijadikan makanan haiwan ternakan sahaja. Padi pula sudah tentu kita semua sedia maklum gunanya.

Harap-harap janganlah di antara kita yang mengikut resmi lalang. Lagi tinggi pangkat dan ilmu lagi mendabik dada, bongkak dan sombong. Ingatlah... takkan ke mana pangkat (ilmu) tu kalau tak digunakan dengan cara yang betul.

Semoga surah Al-Asr ini boleh kita jadikan sebagai prinsip hidup kita. “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran .”

3 comments:

wegreentheearth said...

thanks a lot bos...
kerana sentiasa mengingatkan kami...

Ahmad Firdaus Ibrahim said...

Semua nasihat bos memang berguna, dan surah Al-Asr tu sentiasa saya jadikan panduan hidup, tapi gagal jugak nak ikut.

m.k.afiq said...

ya kdg2 org yang dah berpangkat sering mendabik dada mnunjukn bhwa dirinya hebat dan tidak menghormati org bawahan.thanx En Hisyam krn mengingatkan..