Ini merupakan isu lapuk. Tapi isu yang pernah saya bangkitkan sebelum ini. Sanggupkah kita memboikot produk Yahudi dan Amerika Syarikat? Saya rasa sudah sampai masanya untuk kita semua masyarakat tidak kira apa jua agama sepakat untuk memboikot produk mereka. Yahudi yang sudah semestinya bersama sekutu kuat mereka, Amerika Syarikat sudah lebih dari melampau. PBB langsung tidak dihormati. Seruan masyarakat dunia melalui usaha memprotes melalui demonstrasi dan perarakan jalanan gagal menghentikan usaha penyembelihan masyarakat di Gaza. Saban hari kita terus dipertontonkan dengan wajah-wajah ngeri anak-anak kecil yang tidak berdosa menjadi mangsa pengeboman membuta tuli askar Zionis. Seperti biasa apa yang mampu umat Islam lakukan hanyalah merintih dan menangis ketika satu per satu babak menyayat hati muncul di kaca-kaca televisyen dan di dada-dada akhbar.
Sudah ribuan nyawa masyarakat Palestin yang tidak berdosa jatuh ke tangan perosak keamanan dunia ini. Maka mulai saat ini kita cubalah sebaik mungkin untuk mengurangkan atau menghentikan terus produk penggunaan dari dua negara tersebut. Semoga dengan usaha kecil kita boleh melumpuhkan ekonomi negara penjenayah tersebut.
Semalam saya sebuah pasaraya perabut terkemuka di Bandar Utama. Saya masih menyaksikan terlalu ramai masyarakat kita yang masih tidak peka dengan isu ini. Mereka masih bangga makan dan minum di sebuah restoran segera yang sememangnya semua orang tahu asal usulnya. Kenapa ini terjadi? Sudah pastilah kerana kita terlalu jauh untuk merasai penderitaan masyarakat di Palestin. Jadi mulai sekarang sekali lagi saya menyeru agar rakan-rakan blogawan semua beralih ke produk tempatan. Kerajaan juga perlu terus mempromosikan alternatif kepada produk-produk yang nak kita boikot ini. Baru saya rasa kesannya akan lebih menjadi. Media cetak dan elektronik pula janganlah hanya menunjukkan foto-foto dan berita sedih dari Gaza hanya untuk melariskan akhbar mereka. Mereka perlu lebih tegas dan sepakat memboikot iklan-iklan yang sememangnya telah sedia maklum menyumbang ke arah peningkatan ekonomi negara Uncle Sam dan Zionis ini.
Sedarilah wahai rakan-rakan blogawan bahawa cabaran terbesar umat kini adalah keperluan untuk kita untuk bersatu dan bersepakat bagi menghadapi realiti musuh-musuh Islam yang senantiasa mencari jalan untuk menghancur dan membinasakan kita. Selagi kesatuan umat tidak mampu dicapai selagi itulah kejayaan yang dijanjikan Allah akan ditangguhkan.
Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat ke-11: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa itu kecuali mereka berusaha untuk mengubah segala kepincangan yang berlaku dalam diri mereka sendiri.
No comments:
Post a Comment