Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Monday 15 June 2009

Dah Agak Dah

OKU adalah akronim/singkatan kepada Orang Kurang Upaya. Sekarang ini pun dah ada Akta OKU 2008 yang telah diwartakan pada 24hb Januari 2008 dan dikuatkuasakan pada 7hb Julai 2008. Seperti yang saya coretkan sebelumnya, saya berani jamin bahawa masih ramai khalayak yang belum mengetahui tentang akta ini dah apa manfaatnya kepada OKU.

Kita tinggalkan sementara isu TAK TAHU ini.

Saya pernah menulis tentang isu tukar menukar panggilan yang sesuai untuk hamba Allah ini. Coretannya ada di sini.

Rupa-rupanya dalam beberapa hari lepas sudah menjadi kenyataan. Mana taknya dalam tempoh beberapa tahun dah beberapa kali bertukar panggilan untuk golongan ini. Mulanya dengan orang cacat. Kemudian golongan istimewa. Tak sedap dengan golongan istimewa ditukar ke Orang Kurang Upaya. Terbaru, panggilan yang difikirkan sesuai oleh Dato' Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik kepada golongan ini sekali lagi ditukarkan iaitu kepada Orang Kelainan Upaya.

Saya sokong sahaja apa jua panggilan yang nak diberi. Asalkan maksudnya untuk menunjukkan sebahagian daripada golongan ini sebenarnya lebih berkemampuan daripada kita yang cukup segalanya. Memang dari dulu saya tak setuju dengan panggilan Orang Kurang Upaya. Tapi siapalah saya ini. Bercakap di kedai kopi sajalah.

Oooo sebelum terlupa nak juga ditanya tentang persoalan imbuhan untuk atlit Orang Kelainan Upaya ini. Adakah sama dengan atlit elit normal yang lain sekiranya mereka mengharumkan nama negara. Saya masih ingat tentang janji Dato' Menteri yang sebelumnya untuk mengkaji tentang persoalan ini. Saya rasa tentu atlit-atlit inipun setia menunggu.

[Nota: Saya dan pasukan dari FSR sudah menghantar satu Kertas Konsep lengkap beserta modul untuk Program Jatidiri OKU. Sehingga kini tiada respon dari pihak sebelah sana. Takkan terus diam seribu bahasa. Ataupun pisang terus berbuah berkali-kali. Hai lah nasib badan.]


Petikan penuh dari laporan Bernama tersebut di bawah ini:-

Gantikan 'Orang Kurang Upaya' Dengan 'Orang Kelainan Upaya'

KEMAMAN, 13 Jun (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek mencadangkan agar penggunaan istilah 'orang kelainan upaya' (OKU) diperluaskan bagi menggantikan 'orang kurang upaya'.

Menurut beliau istilah orang kelainan upaya lebih menggambarkan keistimewaan dan kelebihan golongan itu berbanding istilah lama yang memberi maksud lebih negatif dan seolah-olah merendahkan keupayaan golongan itu.

"Kita mungkin terlalu terikut dengan perkataan bahasa Inggeris 'disable' yang menggambarkan ketidakupayaan serta kelemahan golongan ini sedangkan sebenarnya mereka mempunyai kelainan dan kelebihan luar biasa yang kadang kala tidak terdapat pada orang normal.

"Contohnya, atlet paralimpik yang mempunyai semangat dan iltizam yang tinggi, serta kebolehan yang kadang kala manusia sempurna sendiri tidak mempunyai keupayaan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup program 'Higher Institution National Expedition and Camping (HINEX) 2009' di sini hari ini.

Katanya, golongan OKU juga tidak ketinggalan menyumbang jasa dalam pembangunan negara termasuk menjadi pembuat kraftangan, doktor, guru, pensyarah, serta ahli perniagaan.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ahli Exco Majlis Pengakap Malaysia Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Rektor Kolej Universiti TATI, Dr Mohd Rozilan Mamat.

-- BERNAMA

No comments: