Hari ini merupakan hari bersejarah kepada sekumpulan pelajar FSR. Dua orang wakil mereka telah diberi peluang untuk mempertahankan kertas cadangan mereka untuk terbang ke Negeri di Bawah Bayu bersama beberapa orang kelainan upaya (OKU).
Pengarah Projek dengan tenangnya di hadapan Jawatankuasa Tabung Amanah FSR telah berjaya menerangkan rasionalnya mereka memilih Sabah. Tidak pernah dalam sejarah FSR, pelajar dipanggil untuk membentangkan kertas cadangan mereka di hadapan Jawatankuasa. Kebiasaannya kertas cadangan dihantar ke Pejabat Am FSR dan kemudiannya dikumpulkan sebelum dibawa ke dalam mesyuarat Tabung Amanah FSR untuk dibincangkan. Kali ini berbeza daripada sebelumnya. Sudah tentulah ini merupakan pengalaman yang paling berharga kepada pelajar berkenaan.
Alhamdulillah setelah puas diperdebatkan maka projek ini disokong sepenuhnya oleh pihak FSR dan wakil Bendahari. Peruntukan yang mereka perolehi juga cukup lumayan. Terbayar sudah pengorbanan mereka. Tahniah kepada kumpulan ini. Mereka sanggup melupakan sementara cuti semester mereka semata-mata untuk menyiapkan kertas cadangan dan slaid untuk pembentangan pada hari ini.
Kepada pelajar-pelajar FSR yang lain, lakukan persediaan lebih awal. Rancanglah lebih awal projek anda. Contohi kumpulan pelajar ini. Jangan tunggu hingga tahun hadapan baru hendak dihantar kertas cadangan untuk sebarang projek. Persediaan awal perlu bagi memastikan projek yang akan dilaksanakan dapat berjalan seperti yang telah dirancangkan.
Selamat ke Kinabalu kepada kumpulan ini! Pengalaman saya bersama staf FSR ada di sini.