Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday, 2 July 2008

Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu

Semalam seorang rakan menghantar email berserta gambar beliau di puncak Gunung Kinabalu. Beliau menyatakan kesyukuran kerana berjaya mendaki puncak yang tertinggi di Asia Tenggara itu. Cuaca yang kurang mengizinkan menyebabkan beliau bercadang untuk mendaki Kinabalu untuk kali ke-2.

Memang betul. Gunung Kinabalu sentiasa mengamit tetamunya dengan cara yang tersendiri. Keindahan dan pemandangan yang indah cukup mensyahdukan.

Saya pernah membentangkan tentang pengalaman pendakian ke Gunung Kinabalu semasa seminar di La Trobe University. Kesemua pensyarah dan audien yang mendengar teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang khazanah alam yang unik dan menarik ini. Mereka sendiri seperti terpanggil untuk berkunjung dan melihat sendiri gunung kebanggaan rakyat Malaysia ini. Struktur geologinya yang unik menambahkan lagi keterujaan mereka.

Sebenarnya Kinabalu begitu dekat di hati saya. Biarpun ianya terletak nun jauh di negeri di bawah bayu, namun bila disebut sahaja Gunung Kinabalu, auranya segera terasa. Saya dapat membayangkan setiap langkah menuju ke puncak. Oleh sebab itulah sekiranya ada pelajar di universiti dan sekolah yang teringin mendengar celoteh saya tentang pengalaman Kinabalu, saya cuba tidak hampakan.


Alhamdulillah kunjungan saya beberapa kali ke Gunung Kinabalu dengan kumpulan yang berbeza disambut dengan cuaca yang cukup baik. Saya dapat melihat kebesaran Allah ini dengan sejelas-jelasnya. Dari jauh lagi Gunung Kinabalu kelihatan seperti mengamit dan bersedia menyambut tetamu dari semenanjung ini.


Mendaki Gunung Kinabalu ini tidaklah terlalu sukar seperti mendaki Gunung Tahan. Ianya bertangga-tangga yang telah tersedia. Selain daripada kekuatan fizikal, minda memainkan peranan yang penting. Oleh sebab itulah saya sering memberikan nasihat kepada para pendaki supaya cuba membayangkan laluan yang akan dilalui. Saya akan menceritakan bermula dari pendaftaran di Kinabalu Park Headquarters, menaiki bas ke Timpohon Gate hinggalah ke puncak satu persatu. Setiap perjalanan yang ditempuh akan saya ceritakan dengan sejelas-jelas mungkin agar bakal-bakal pendaki dapat mengambarkan yang diri mereka sudah berada di trek pendakian ke Gunung Kinabalu.

Tiada apa yang mustahil. Kak Sad (staf di FSR) telah membuktikan. Biarpun beliau yang berumur 52 tahun pada ketika itu dan mempunyai penyakit tiga serangkai yang kronik, Kak Sad berjaya sampai ke puncak. Berbekalkan keazaman dan sedikit latihan beliau berjaya. Di situlah pentingnya motivasi diri.


Terdapat rakan saya yang jogging hampir setiap hari pun merasa sukar untuk sampai ke puncak. Kenapa ya? Sebenarnya berlari sahaja di trek atau di kawasan rata tidak mencukupi. Pendaki perlu merasai sendiri ‘kenikmatan’ mendaki tangga. Tidak kisahlah samada ianya 5 tingkat, 10 tingkat atau 20 tingkat. Yang penting lakukan. Selain menguatkan jantung ianya sangat bersesuaian kerana pendakian di Gunung Kinabalu memang bertangga. Kak Sad juga telah membuktikannya.

Tidak cukup dengan itu, cubalah menjengah ke kolam renang. Kalau pandai berenang lagi baik. Kalau tidak pandai berenang cukuplah sekadar berlari atau berjalan di dalam air. Selain daripada latihan pengawalan pernafasan, ia juga dapat membiasakan badan kita dengan suhu persekitaran yang sejuk.

Pemakanan juga adalah sesuatu yang penting. Saya gemar membawa kismis, kurma dan sebuku roti. Itulah makanan saya sepanjang pendakian ketika lapar. Ini juga telah terbukti ketika saya membawa beberapa kumpulan yang tidak cukup cergas (mereka sibuk di pejabat hingga tidak sempat bersenam). Hanya dengan nasihat supaya mereka ‘menelan’ makanan yang saya bawa tadi, majoriti daripada pendaki tadi telah berjaya sampai. Akibat daripada nasihat dan penceritaan pengalaman saya tadi juga, sekumpulan pelajar tahun akhir FSR yang bersama-sama saya mendaki pada tahun 2006 telah membawa sebuku roti bersaiz besar setiap seorang. Daripada 23 orang pendaki, hanya 2 orang sahaja yang tidak sampai ke puncak. Keduanya-duanya pula secara kebetulannya pula merupakan pelajar dari Sabah. Kedua-duanya juga telah hilang selera makan ketika di Laban Rata. Yang makan atau ‘telan’ roti tadi semuanya sampai ke Low’s Peak.

Altitude Mountain Sickness atau AMS adalah sesuatu yang cukup ditakuti oleh para pendaki. AMS kebiasaannya ‘menyerang’ mangsa ketika berada di anggaran ketinggian 2500 meter dari aras laut. Antara tanda-tanda AMS adalah pening-pening, mengantuk, loya-loya(nausea), keresahan (malaise) dan keletihan melampau. Untuk mengurangkannya senang sahaja. Badan kita memerlukan masa untuk membiasakan dengan keadaan persekitaran tempat tinggi. Oleh itu tidak perlulah kita yang tidak biasa ini terlalu memaksa diri berlari ketika mendaki. Jangan bergocoh-gocoh. Takkan lari gunung dikejar. Ambillah masa dan mengikut langkah dan kedherat diri sendiri.

Yang pastinya bergeraklah di dalam kumpulan untuk menghindari sesuatu yang tidak dijangka daripada berlaku. Sesungguhnya malang tidak berbau. Sekiranya malang itu berbau tentu mudah, kan. Apabila kita ada terbau sesuatu yang busuk pada hari pendakian tentu ada malang yang akan dihadapi oleh kita. Tapi itu mustahil berlaku…kan.

Tidak lupa juga jaga mulut dan tingkah perbuatan. Setiap tempat ada penghuninya. Jadi hati-hati ya apabila berkata. Kerana santan pulut binasa, kerana mulut badan binasa.


Akhirnya berdoa dan bertawakallah kepada illahi setelah kita berusaha. Semoga pendakian anda selamat dan berjaya. Dengan kuasa Allah swt jualah, insyaallah sekiranya diberi peluang anda akan dapat menyaksikan kebesaran illahi yang saujana mata memandang. Subhanallah, Allahuakbar.

12 comments:

Anonymous said...

Kenangan indah semasa berada dipuncak Gunung Kinabalu memang sentiasa berada dalam kenangan saya semasa PERLU UiTM membuat program ke sana. Tapi yang tak best nya, En Syam tidak turut serta ketika itu. Kalau En. Syam ada pasti lebih menyeronokkan. Boleh dapat keluarga angkat.

-ust-

Tropic Puppet said...
This comment has been removed by the author.
Tropic Puppet said...

Kita kena AMS la ustat. Dah macam Frodo dengan Sam dlm cite Lord of the Ring panjat gunung berapi nak musnahkan cincin. Nak berjalan dah xlarat... Merangkak nak ke puncak. Nasib baik semangat kuat lg, kalau tak memang dah patah balik la. Dah sampai puncak bleh lak tido.

moncet said...

hehehe..
kengangan kat kinabalu memang best..
:)

ADDIN "My Life Is Beautiful" said...

Salam,

aku baru berjumpa dengan PPT diserdang...baru saje aku tanya ada sesiapa yang ingin mendaki G.kinabalu...tup2x tgk adala citer mngenainya dilaman blog ini...hem sungguh ada chemistry betoi...

p/s ada sesiapa yang nak mendaki ke ????jemput - jemput la tq

HiCMat said...

Saya sedang merancang untuk mendaki bersama staf FSR tahun hadapan. Projek dakian dengan OKU juga sedang dalam perancangan.

Anonymous said...

harap geng2 perlu/fsr/uitm dapat buat project mendaki di semenanjung terlebih dahulu..kerana terdapat beberapa gunung G7 disemenanjung ni akan pupus dek hakisan..Trans TTwangsa V1 sdg diancam hakisan..sblm terlambat..baik la ambil peluang..kerana pengalamannya xsama dgn g.kinabalu..

Anonymous said...

bila bos citer nie makin kuat raanya nak jengok balik family angkat kat kg kauluan dulu..rasanya dah besar panjang dah goku dgn angel(adik angkat yang comel2 belaka)..teringat kenangan manis mas mendaki gnng, melepak di Poring Hotspring, hidup bersama keluarga angkat yang jauh bezanya budaya dan cara hidup mereka dan bermcm2 lagi kenangan yang manis..harap2 ada lagi trip2 ke sana daripada Persatuan pembimbing rekreasi luar UiTM..
-mus-

Anonymous said...

bila bos citer nie makin kuat raanya nak jengok balik family angkat kat kg kauluan dulu..rasanya dah besar panjang dah goku dgn angel(adik angkat yang comel2 belaka)..teringat kenangan manis mas mendaki gnng, melepak di Poring Hotspring, hidup bersama keluarga angkat yang jauh bezanya budaya dan cara hidup mereka dan bermcm2 lagi kenangan yang manis..harap2 ada lagi trip2 ke sana daripada Persatuan pembimbing rekreasi luar UiTM..
-mus-

Penjengok-Penjengok Tegar said...

Kengkangan lalu tentang Kinabalu membuatkan PPT kaku dan terkenangkan sesuatu.


Cheers ....

HiCMat said...

PPT,
Cerita la kenangan tu. hehehe

Anonymous said...

saya tengah berangan nak tawan puncak kinabalu...

boleh tak saya tau :
1. org extra size boleh ke naik?
2. latihan macammana yg perlu sbg persediaan?
3. track pendakian spt tangga ye? curam ke?
4. dr pengalaman...selalunya mereka yg mendaki mmg terdiri drp org2 yg selalu mendaki atau sebagai riadah pun boleh?

harap sgt dpt membantu...thanks...