Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday 6 November 2013

Kembara Tasmania - Bersiar di Hobart

Dari Cradle Mountain ke Hobart mengambil masa 4 jam 30 minit. Laluan yang kami gunakan lebih dahsyat selekohnya dari jalan di Bukit Putus (laluan lama Seremban-Kuala pilah). Penuh dengan selekoh berbahaya dan kebanyakannya menuruni bukit hinggalah ke sebuah pekan kecil Sheffield. Alhamdulillah selamat....



Di sepanjang perjalanan kami disajikan dengan ladang lembu tenusu dan biri-biri yang seluas mata memandang. Ianya sungguh menakjubkan...




Kami sampai di Hobart sekitar jam 5.30 petang. Berehat sebentar di kabin yang telah ditempah sebelum disambung dengan rancangan seterusnya.


Kami sepakat untuk memanjat Mount Wellington. Sebuah gunung yang menjadi tarikan pengunjung sekiranya ke Hobart. Tiba di puncak sekitar jam 6.50 petang. Kelihatannya ada banyak tompokan salji. Barangkali ianya tinggalan dari salji yang turun dan kesejukan melampau malam sebelumnya seperti di Cradle Mountain.



Rupa-rupanya di sini kami tewas. Kesejukannya teramat melampau. Bukannya disebabkan oleh salji, tetapi sebenarnya dek angin yang bertiup terlalu kencang. Di ketinggian 1270 meter dari aras laut, ditambah pula dengan angin kencang dan kesejukan melampau kami tidak dapat bertahan lama. Pakaian dan kelengkapan diri yang tidak sesuai juga menjadi punca. Muka, telinga dan tapak tangan kebas. Terasa amat perit anggota-anggota yang terdedah ini. Untuk membuka dan menolak pintu kereta pun agak susah akibat tolakan angin kencang. Badan seakan melayang, untuk bergambar pun agak susah. Risau tripod yang telah 'dipasak' tumbang. Alhamdulillah ada pengunjung dari kalangan pelajar University of Tasmania yang secara kebetulan berada di situ sudi menghulurkan bantuan untuk memotretkan foto kami sekeluarga.




Usai bergambar kami mengambil keputusan untuk berangkat turun ke Hobart kembali. Rasa tak puas berada di puncak Mt Wellington. Rasa tak puas melihat keindahan dari mata burung takala berada di menara pandang lihat di puncak Mt Wellington. Namun apakan daya, boleh beku jadinya kalau kami berterusan berada di puncak. Kami tinggalkan pemandangan yang indah dari puncak Mt Wellington sekitar jam 7.15 petang untuk mencari kiranya ada kedai makanan halal di Hobart bagi diisi perut yang mula mengalunkan muzik.



Sayang seribu kali sayang, Hobart tidak seperti bandaraya Melbourne. Di sini agak susah untuk mencari kedai makanan halal. Di Melbourne terdapat ratusan kedai makanan halal, tetapi di Hobart nak cari satu pun susah. Sebuah kedai masakan India yang dikatakan halal cuba kami masuk dengan harapan dapat menjamah tosai, roti canai dan ayam tandoori. Setelah meninjau keadaan di dalam kedai, ianya sungguh mengecewakan. Sayangnya, ia tak kena dengan selera...Kurang bersih!



Akhirnya pada malam kedua kami cuma menjamah fish and chips di Fish Frenzy yang terletak di Elizabeth Piers iaitu berhampiran kawasan dermaga atau waterfront yang cukup indah tak kira samada siang mahupun di waktu malam. Seterusnya pasaraya Coles juga menjadi pilihan untuk membeli barangan kering dan basah untuk dijadikan juadah untuk hari-hari seterusnya.



No comments: