Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Friday 22 November 2013

Kembara Tasmania - Hastings Caves

Hobart tak best, sama saja macam bandar-bandar pelabuhan lain. Kami perlu keluar dari bandar ini untuk lihat dengan lebih dekat lagi keunikan alam semulajadi Pulau Tasmania.

Akhirnya kami sepakat untuk ke Hastings Caves di hari ketiga. Gua ini terletak kira-kira 110 kilometer atau 1 jam 30 minit dari lokasi penginapan kami di Discovery Holiday Park, Mornington. 

Sebelum sampai ke sana, kami melalui beberapa pekan kecil seperti Grove, Huonville dan Dover. Pemandangannya amat indah sekali terutama sekali apabila melalui jalan di tebing Huon River. Laluan ini juga dihiasi dengan kapal-kapal layar yang berlabuh dan 'berlindung' di Great Bay iaitu teluk di antara Tasmania dan Bruny Island.


Lebih kurang 5 kilometer juga laluan sebelum sampai ke Pusat Informasi Hastings Caves tidak berturap. Hujan yang turun pada hari sebelumnya menambahkan cabaran pemanduan akibat lecak dan licin, Nasib baik pakai kereta sewa. Apa lagi lanyak saja la. Kereta yang pada mulanya berkilat akhirnya dah tak nampak rupa dek percikan lumpur dari laluan yang agak becak.


Setelah melalui detik pemanduan yang mencabar di laluan yang tidak berturap dengan kenderaan 2WD, akhirnya kami tiba di Pusat Informasi Hastings Caves. Untuk menjelajah gua ianya perlukan permit. Bayaran tiketnya untuk kami sekeluarga adalah $60.00 termasuk bayaran untuk masuk ke Newdegate Cave berserta renjer/penunjuk arah untuk jelajah selama hampir 2 jam dan bayaran untuk memasuki kolam air panas (Therma Springs). Sementara menunggu masa yang telah ditetapkan untuk menjelajah gua kami habiskan masa dengan menjejaki beberapa denai berhampiran dan seterusnya berehat di kolam air panas sambil makan tengahari.

Dari Pusat Informasi Hastings Caves pula kami perlu memandu sejauh 5 kilometer lagi sebelum sampai ke denai untuk ke Newdegate Cave iaitu salah sebuah gua yang terdapat di Hastings Caves. Newdegate Cave ini mendapat nama dari Sir Francis Newdegate iaitu Gabenor Tasmania dari tahun 1917 hingga ke 1920. Ianya mula dibuka pada tahun 1939 dan merupakan satu-satunya gua di dalam Hastings Caves State Reserve yang dibuka kepada orang awam.

Dari kawasan meletak kenderaan pula, kami perlu melalui denai yang di sepanjangnya penuh dengan pokok paku pakis dan hutan yang menghijau. Sejuk mata memandang. Untuk sampai ke muka gua pula kami perlu memanjat tangga yang agak curam.



Namun semuanya memang berbaloi-baloi. Pengembaraan bersama renjer yang berpengalaman ditambah pula dengan keindahan di dalam gua telah menjadikan kembara ini amat menyeronokkan dan menarik. Ianya menjadi suatu pengalaman yang amat menarik dann berharga apabila berada di dalam gua yang penuh dengan pelbagai rupa bentuk stalaktit dan stalagmite. Bukan sahaja anak-anak, mak bapak pun turut sama teruja dan kagum dengan keindahan ciptaan Ilahi di dalam gua ini. Tidak terusik dek tangan manusia. Kekal semulajadi dan ianya sukar untuk digambarkan dengan kata kata... Subhanallah. 


Alhamdulillah...perjalanan sejam setengah yang penuh mencabar menjadi terubat hingga hilang segala kepenatan apabila mengenangkan semula keindahan hutan hujan dan keunikan gua di Hastings Caves. 
  


No comments: