Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Monday 4 November 2013

Kembara Tasmania (Hari Pertama)

Kalau diikutkan, memang dah lama saya pasang impian untuk terbang ke Tasmania. Melihat kepada promosinya hati terus meronta-ronta untuk segera ke sana. Memang tidak dapat dinafikan lagi, bermula dari hari pertama menjejakkan kaki ke Pulau Tasmania ini saya telah jatuh cinta dengan keindahan dan ketenangan apabila berada di pulau ini.



Untuk pengetahuan penjengok sekalian, Pulau Tasmania amat terkenal kerana keindahan semulajadinya. saya ulang sekali lagi... keindahan semulajadi. Pulau yang terletak di selatan Australia ini memiliki gunung-­ganang yang indah, tasiknya yang jernih bak permata, pelbagai spesies hidupan liar yang hidup bebas, dan tidak dilupakan juga pantainya yang bersih lagi indah.




Sekiranya dah menjejakkan kaki ke Tasmania, sudah tentulah tidak sah bagi penggemar-penggemar aktiviti lasak untuk tidak menjengah ke sebuah lokasi yang terletak di barat daya Tasmania ini. Lokasinya adalah Cradle Mountain - Lake St Clair National Park. Lokasi ini merupakan pusat tarikan pelancong semulajadi yang amat popular di Tasmania. Keindahan dan keunikan gunungnya dan ditambah pula dengan kejernihan dan ketenangan Dove Lake pasti boleh menambat jiwa sang pengembara. Keindahan dan keunikan inilah hingga menjadikan Cradle Mountain - Lake St Clair National Park tersenarai sebagai salah sebuah daripada Warisan Dunia.


Oleh kerana keinginan yang amat sangat untuk berkunjung dan menyaksikan sendiri keindahan dan keunikan Cradle Mountain dan Dove Lake ini, saya tempah tiket penerbangan ke Launceston dan tidak ke Hobart. Ini kerana lokasi Launceston ke Cradle Mountain hanya mengambil masa 2 jam 30 minit sahaja berbanding  perjalanan dari Hobart ke Cradle Mountain yang mengambil tambahan masa lagi 2 jam.
 

Setelah mendarat di Lapangan Terbang Launceston, saya mengambil kereta sewa yang telah disewa daripada syarikat RentforLess. Untuk makluman memang banyak syarikat yang menawarkan khidmat sewaan kenderaan di Australia seperti Budget, AVIS, Thrifty, Hertz, Europcar etc. Namun setelah dibuat perbandingan pada hari yang saya ingin ke Tasmania, RentforLess menawarkan potongan 40%. Alhamdulillah penjimatan yang amat berbaloi-baloi. Selain itu juga kepada kepada yang tidak biasa membuat sewaan kenderaan di Australia, saya galakkan anda untuk mengambil insuran. Sekurang-kurangnya pengurangan sekiranya berlaku sebarang kecelakaan sehingga AUD$1500. Iyalah... malang tidak berbau.



Sebelum bertolak ke Cradle Mountain, kami singgah di Coles di bandar Launceston yang terletak sekitar 12km atau anggaran 15 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Launceston untuk membeli barangan dapur (kering & basah). Sememangnya cara ia lebih menjimatkan. Masak sendiri.



Selepas itu kami bergerak ke Devonport yang jaraknya sekitar 100km atau sejam dari bandar Launceston. Tujuannya untuk melihat dan bergambar di lokasi pendaratan feri atau lebih tepat pelabuhan bagi kapal Spirit of Tasmania yang bertolak setiap hari dari pelabuhan di Melbourne ke Devonport. Malangnya kami membatalkan hasrat untuk menggunakan khidmat Spirit of Tasmania kerana ada yang tak tahan dengan keadaan di laut. Bahasa mudahnya, tengok ombak atau gelombang terus muntah. Untuk tidak 'merosakkan' kembara kami, saya batalkan niat untuk merasai keunikan mengembara ke Tasmania dengan kapal Spirit of Tasmania ini dan menempah tiket penerbangan.



Setelah puas bergambar di situ, kami teruskan perjalanan ke lokasi penginapan kami iaitu di Discovery Holiday Parks Cradle Mountain yang terletak kira-kira 80 km atau sekitar 1 jam 20 min perjalanan. Kami melalui kawasan penternakan lembu tenusu dan kambing biri yang indah dan saujana mata memandang. Subhanallah...






Alhamdulillah kami sekeluarga selamat sampai di Discovery Holiday Parks Cradle Mountain. Cuaca petang itu masih terang dan sedikit dingin. Oleh kerana kami sampai agak lewat, anak-anak tidak mahu keluar dari kabin sebaik kami mendaftar masuk. Semuanya kerana TV dan telah menjumpai 'zon selesa' mereka.



Keluarlah saya seorang diri bertemankan kamera dan tripod untuk menikmati keindahan berhampiran kabin kami. Oleh kerana sudah lewat saya tidak berjaya mendapat permit untuk hari tersebut dan perlu menunggu hingga hari esok kerana pusat maklumat pelancongan telah ditutup. Saya hanya mampu bergambar di pinggir pintu masuk ke taman negara sahaja pada hari pertama.

No comments: