Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday 6 November 2013

Kembara Tasmania (Hari Kedua) - Lebatnya Salji

Bangun awal pagi kami dikejutkan dengan sesuatu yang di luar jangka. Kalau diikutkan daripada ramalan cuaca yang saya tengok beberapa hari sebelumnya, cuaca di Cradle Mountain hanya hujan dan berangin. Namun lain pula yang berlaku. Seluruh kawasan kabin kami dipenuhi salji tebal. Subhanallah... salji lebat di pertengahan musim bunga. Kami anak beranak jadi teruja. Dari tingkap kabin kami melihat kereta yang kami sewa dilitupi salji tebal. Pepohon yang semalamnya menghijau kini bertukar wajah menjadi putih dek diselaputi salji. 


Bukan tak pernah lihat salji tetapi, keterujaan melampau ini disebabkan ianya tidak dijangka. Ketika mendaki ke pergunungan bersalji di Mt Buller, Mt Hotham dan Mt BawBaw dahulu memang kami tahu kami akan melihat salji. Jadi keterujaannya sangat berlainan. Kali ini tanpa pakaian yang sesuai tentulah akan menimbulkan masalah untuk beraktiviti nanti. Itulah yang bermain di minda saya.


Tanpa berlengah lagi saya keluar untuk mandi salji. Dengan hanya memakai baju tanpa jaket dan berkain pelikat saya terjah keluar. Ingin rasai sendiri dinginnya pagi yang bersalji. Bukan nak menunjuk kebal, rupa salji ni taklah sesejuk mana hehehe... Apa lagi saya capai kamera dan beraksi. Kebetulan pula kabin-kabin berhampiran kami tidak berpenghuni, maka makin menjadi-jadilah dibuatnya. Mak bapak anak sama ja naik. Peluang bukan datang selalu. Lama jugalah berada di luar untuk merasai kedinginan pagi tanpa baju snow. Memang menarik.




Jam 10 pagi kami perlu check-out. Di kaunter pusat maklumat pelancong saya dikejutkan dengan berita penutupan Cradle Mountain - Lake St Clair National Park (CMNP). Aduhai Taman Negara ini ditutup pada pagi ini akibat salji tebal. Petugas di situ sendiri pun tak pasti pada jam berapakah ianya akan dibuka. Mereka menjangkakan ianya akan ditutup seharian kerana tiada tanda-tanda salji akan reda. 



Pada saat itu, kecewa di hati tiada siapa yang tahu. Wang yang banyak sudah dilaburkan untuk sekeluarga terbang dari Melbourne ke Tasmania dan berkunjung ke CMNP, namun bayang Cradle Mountain tak dapat dilihat dengan mata kepala sendiri huhuhu...



Kami tidak mudah berputus asa, kami sanggup menunggu. Terus sahaja kami menunggu. Harapnya salji yang turun akan reda dan matahari di tengahari muncul untuk mencairkan salji yang menebal. Tunggu punya tunggu, salji tak juga reda reda. Makin lebat lagi ada la. Setelah dua jam setengah menunggu, akhirnya kami mengambil keputusan untuk berangkat ke Hobart. 



Kami tak boleh menunggu lebih lama lagi kerana perjalanan ke Hobart dari CMNP mengambil masa 4 jam 30 minit. Jalannya pula bukannya lurus. Bengkang bengkok pula. Banyak selekoh 'maut' yang perlu ditempuhi.

Cradle Mountain - Lake St Clair National Park kami tinggalkan dengan redha. InsyaAllah kami akan kembali. Bila? Entahlah... kami masih belum merancang. Tentu ada hikmah di sebalik perancangan Allah itu. Perjalanan kami diiringi dengan salji yang terus 'galak' turun. Memang rasanya hingga ke lewat petang belum tentu akan seriat (berhenti). Kawasan yang semalamnya ketika kami sampai menghijau kini bertukar keputihan dek diliputi salji yang tebal. Alhamdulillah jalan yang rata dan permukaan jalan yang kasar memudahkan pemanduan saya. Syukur juga ianya tidak licin walaupun bersalji. 







No comments: