Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday 24 February 2016

Hari Ini...25 Tahun Yang Lalu

Hari ini kalau diikutkan tahun masehi, maka sudah 25 tahun mak pergi meninggalkan alam yang fana ini. Petang sebelum mak pergi 'meninggalkan' abah, Kak Ti dan saya, dia hanya memandang sayu saya mengayuh basikal untuk pulang ke rumah mami (ibu saudara). Saya terpaksa bergegas kerana Maghrib hampir tiba. Baba (bapa saudara) kurang gemar sekiranya ada ahli isi rumah yang pulang selepas daripada waktu Maghrib. Kami semua telah diajar supaya solat Maghrib berjemaah.

Permintaan mak yang ingin makan mee goreng dan minta saya tolong belikan tidak saya layan. Minda saya pada waktu itu hanya risau sekiranya tidak sempat sampai ke rumah mami sebelum waktu Maghrib.

Usai solat, telefon berdering. Saya angkat kerana sayalah yang paling hampir dengan telefon. Terdengar suara abah cemas di hujung talian, "Syam cepat balik, mak semput, dia dah tenat... bagitau baba dan mami sekali". Terus saya teringatkan mee goreng yang mak pesan tadi. Saya terkedu. Saya sampaikan apa yang abah katakan tadi kepada baba dan mami. Tanpa bicara panjang lagi saya terus keluar dan mencapai basikal untuk ke rumah mak.

Sampai di rumah saya lihat mak dah tak mampu berkata-kata. Saya hanya bersimpuh di sisi mak sambil memohon maaf. Air mata bercucuran tanpa henti. 

Ambulan yang kami naiki saya rasakan bergerak begitu perlahan. Saya genggam tangan mak, mulut tak berhenti doa agar mak disembuhkan. Namun Allah swt lebih sayangkan mak. Mak meninggal di dalam ambulan yang kami naiki sebelum sempat sampai ke hospital. 

Semuanya sudah terlambat. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kenapalah saya tidak penuhi permintaan mak sebelum saya balik ke rumah mami. Saya memang anak derhaka! Mesti mak kecewa kerana tak dapat makan mee goreng yang dia pesan. Kenangan ini tidak akan luput dari ingatan saya.

Semasa di sekolah rendah saya biasa mendengar dan melagukan nasyid ini. Tidak pula saya sangka lagu yang saya suka nyanyikan ini bersangkutan dengan perjalanan hidup saya sendiri di suatu hari nanti. Tentu pembaca sekalian pernah mendengar, menyanyi dan menghafal lirik lagu di bawah.


Sewaktu azan mendayu-dayu, 

Ibuku pergi meninggalkan ku, 

Perginya takkan kembali lagi, 

Kerna takdir telah menentukan...

Doa restu ku pohonkan untuk mu ibu, 

Semoga diri ibu bahgia di akhirat kekal abadi...






Sesungguhnya saya tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan besar kedua ibu bapa saya di dalam mengasuh, menjaga dan mendidik saya sehingga saya menjadi manusia seperti hari ini.

Ya Allah, Engkau limpahkanlah rahmat-Mu ke atas roh kedua ibubapaku. Tempatkanlah kedua mereka di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Ya Allah, Engkau kasihanilah kedua ibu dan bapaku. Kasihanilah mereka Ya Allah, sebagaimana mereka mengasihani dan mendidikku ketika aku masih kecil. Ya Allah, Engkau ampunilah dosa mereka dan jauhilah keduanya daripada api neraka mu. Ya Allah, jika aku dipanggil olehMu, tempatkanlah aku di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Temukanlah aku dan keluargaku di syurgaMu Ya Allah. Syurga yang paling istimewa Ya Allah. Syurga Firdaus-Mu. Amin Amin Ya Rabbal 'alamin.

No comments: