Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday, 15 April 2008

Bukit Sekilau dalam Kenangan

Ini merupakan kali pertama saya ke Kampus Kota UiTM Bukit Sekilau. Bagaimanalah agaknya keadaan di sana? Itulah yang sentiasa bermain di kotak fikiran saya di sepanjang pemanduan ke sana tiga hari lepas. Saya mendapat maklumat awal daripada En Wan Roslin dan Puan Noor Aini [(kedua-dua mereka merupakan pegawai di pusat sukan UiTM Jengka –lebih kurang 2 jam perjalanan ke Bukit Sekilau) tentang kemudahan yang serba kekurangan di kampus Bukit Sekilau. Mereka bertanya saya, “Kenapalah Encik Hisyam nak temuduga calon dan buat ujian kecergasan di Bukit Sekilau… kampus kami di Jengka lagi lengkap kemudahan”. Tambah mereka lagi, “Jengka terletak di tengah-tengah negeri Pahang jadi senang sekiranya calon-calon dari seluruh Pahang hendak berkumpul... mini stadium pun ada”. Saya nyatakan kepada mereka berdua, “Saya ni hanya menurut perintah...ke mana dihantar, ke situlah saya”. Kedua-dua mereka bertanyakan soalan yang sama kepada saya, “Takkanlah pensyarah penemuduga dahulu tak maklumkan kepada fakulti tentang kekurangan dari segi kemudahan di Kampus Sekilau”. Jawapan saya mudah, “Itu saya tak tahu, sepatutnya tentulah ada laporan... takkan tak belajar dari pengalaman lepas-lepas kot”. Tapi saya memujuk diri untuk memastikan kejayaan proses temuduga dan ujian kecergasan kali ini biarpun sudah dimaklumkan tentang rintangan yang saya akan hadapi nanti.

Benar bagai dikata dan dijangka, tiada kemudahan untuk ujian kecergasan. Stadium Darul Makmur yang terletak berhampiran Kampus Bukit Sekilau perlu disewa. Jadi saya Encik Wan Roslin memilih jogging track di Taman Gelora berhampiran Kolej IKIP untuk dijadikan lokasi ujian kecergasan. Calon-calon terpaksa dibawa dari Kampus Sekilau tepat jam 8.30 pagi dengan menggunakan bas UiTM [pemandunya Pak Usu] ke lokasi ujian kecergasan yang mengambil masa 10 minit. Saya seterusnya membawa calon-calon membuat orientasi kawasan yang akan digunakan untuk ujian kecergasan selepas selesai sesi taklimat, memanaskan badan dan regangan. Alhamdulillah dengan pertolongan daripada kakitangan Pusat Sukan UiTM Pahang yang diketuai oleh Encik Wan Roslin dengan dibantu oleh Puan Noor Aini dan Hajah Afzan maka sesi ujian kecergasan telah selamat dijalankan. Terima kasih tidak terhingga juga kepada Khir, Ian, Isma, Ayie dan Munzir [pelajar-pelajar UiTM Kampus Jengka] serta Alif dan Jad [pelajar UiTM Malaysia yang kebetulan pulng bercuti] yang sanggup meluangkan masa membantu biarpun sibuk dengan tanggungjawab mentelaah pelajaan di kala cuti minggu mengulangkaji.

Sesi temuduga pula ada cabarannya yang tersendiri. Pihak pentadbiran UiTM Kampus Bukit Sekilau gagal menyediakan kemudahan untuk sesi tersebut. Rasa-rasa saya dah dimaklumkan. Tiada penunjuk arah untuk memaklumkan calon tentang bilik temuduga. Terpaksalah saya bersama Encik Wan Roslin menjadi ‘Belanda’ . Tengok bilik yang kosong aja, terus kami pilih dan susun sendiri meja dan kerusi agar nampak seperti bilik temuduga. Nasib baik pelajar-pelajar yang membantu ujian kecergasan tadi belum pulang. Dapatlah kami meminta jasa baik mereka untuk mempercepatkan proses temuduga yang dijalankan. Alhamdulillah, tepat jam 5.30 petang, kesemua calon yang hadir selesai ditemuduga.

Foto-foto di sekitar Sesi Ujian Kecergasan




Friday, 11 April 2008

Macamanalah Agaknya Ye?

Saya akan ke Kuantan dari 12 hingga 14 April 2008. Tujuan untuk sesi temuduga dan ujian kecergasan untuk kemasukan pelajar-pelajar baru Diploma Pengajian Sukan. Macamanalah agaknya di sana ya? Saya pun baru pertama kali ke UiTM Kampus Kota di Bukit Sekilau, Kuantan. Tunggu ajalah laporannya nanti. Tentu ada yang menarik di sana. Doakan perjalanan saya selamat pergi dan kembali serta diberkati. Amin

Menariknya

Hari ini saya digandingkan dengan Cik Maizan untuk menilai pembentangan ‘Business Plan’ oleh pelajar FSR untuk kursus ‘Fundamentals of Entrepreneurship’. Kumpulan pertama membentangkan tentang syarikat mereka Out_Thinkers Outdoor Centre. Menariknya mereka terdiri daripada kumpulan pelajar Sarjana Muda Sains Sukan yang tidak mempunyai pengalaman secara formal dan pengalaman yang kurang dalam bidang rekreasi. Kerana mula minat dengan rekreasi luar mereka bersepakat untuk membentangkan ‘Business Plan’ berkaitan perniagaan rekreasi luar. Kumpulan kedua pula tentang World Silat Academy. Menarik juga kerana mereka mempunyai pengalaman tersendiri di dalam bidang persilatan.

Kumpulan ketiga dan keempat pula terdiri daripada pelajar Diploma Pengajian Sukan. Dah lain pula jadinya. Dengan kreativiti pembentangan tersendiri Kumpulan Frozen Zone Sdn Bhd membentangkan tentang perniagaan ‘Frozen Food’. Dah la tak breakfast, ditayang pula dengan kuih muih kumpulan ini. Tercabar juga perut kedua-dua penilai ini. Pembentangan ini nampak lebih realistik dan menarik biarpun daripada pelajar Diploma. Akhirnya kami dijamu dengan kuih muih yang ‘dilayur’ di hadapan kami. Kumpulan terakhir membentangkan tentang perniagaan Soapy Rides Car Wash.


Apa yang boleh saya katakan di sini, pelajar-pelajar di FSR ini sebenarnya serba boleh. Ssegulung ijazah dan diploma itu hanyalah tiket untuk meneroka pelbagai bidang yang lebih mencabar di luar sana. Peluang untuk membuat kajian tentang peluang perniagaan yang luas terbuka di luar sana menjadikan pelajar-pelajar ini lebih bersedia menghadapi dunia luar. Semoga ada di antara pelajar-pelajar ini menjadi ahli perniagaan bumiputera yang berjaya suatu hari nanti. Insyaallah.

Thursday, 10 April 2008

Sandiwara Dunia

Hari ini sekali lagi rekod tercipta. Saya terpaksa membawa sendiri peralatan untuk amali mendaki tembok. Secara tradisinya pelajar yang kan meminjam dan memulangkan peralatan. Apa dah jadi? Bukan apa pelajar sibuk sangat. Saya tak sanggup melihat amali terakhir untuk semester ini dibatalkan kerana kegagalan mendapatkan peralatan. Jadi tak apalah sekali sekala biar saya pula yang secara sukarela membawa peralatan tersebut untuk amali di Pusat Sukan Ekstrem (PSE) Seksyen 13 Shah Alam. Biar pelajar pula datang berlenggang.

Ketika saya tiba di PSE pada jam 8.45 pagi, masih belum nampak kelibat pelajar-pelajar saya. Rupa-rupanya mereka semuanya masih menunggu di Stor Peralatan Rekreasi. Takkan tak tau kot? Atau buat-buat tak ingat? Maa janji kita 2 mingu lepas? Juga dah saya maklumkan minggu lepas. Takpa saya tak marah... suka.
Kesemua mereka sampai tepat jam 9.15 pagi. Saya mulakan dengan teorinya dahulu sementara menantikan Azmi, Shawn dan Yasir memasang tali.

Alhamdulilah kesemua pelajar berjaya mendaki hingga ke atas.



Jasamu Dikenang

Tak sah sekiranya saya tidak mengucapkan kata keramat TERIMA KASIH kepada kesemua mereka yang banyak membantu saya di dalam menjayakan Amali Perkhemahan Akhir di Tasik Kenyir. Kesudian Dekan untuk memberi kelulusan sangat-sangat saya hargai. Seterusnya beliau juga sudi untuk merasmikan upacara pelepasan pelajar-pelajar untuk ke Tasik Kenyir. Walaupun beliau sibuk dengan jadual tugas, tuan Dekan juga berjaya meluangkan masa untuk ‘turun padang’ melawat para peserta di tapak perkhemahan di Kenyir Sanctuary Resort. Ini telah memberikan semangat baru kepada para peserta setelah bersengkang mata dan berpenat lelah menjalani aktiviti yang padat.

Cik Sue (bekas Timbalan Dekan) yang sekali lagi berjaya meluangkan masa berkhemah biarpun sibuk dengan pengajian peringkat PhD beliau. Seperti tidak sah Amali Perkhemahan Akhir tanpa kehadiran Cik Sue kerana para Alumni dan fasilitator sentiasa menantikan kemunculan beliau.



Pendatang baru dalam ‘Final Camp’ adalah saudara Hosni dan Saudara Shahril telah menambahkan lagi koleksi pensyarah yang sudi melapangkan masa untuk bersama-sama pelajar-pelajar di luar daripada bilik kuliah.

Kedua mereka juga diterima dengan senang hati oleh para fasilitator dan peserta. Tidak dilupakan juga kepada saudara Adnan yang banyak membantu mmpermudahkan kerja saya berkaitan peralatan aktiviti. Kehadiran beliau telah menjadikan Amali Perkhemahan Akhir mendapat ahli keluarga baru.





Saudara Mazlin Othman yang hadir bersama Nurul Safinas [isteri] dan Maisarah [cahayamata] telah banyak membantu saya di dalam merencanakan program untuk pelajar diploma. Sokongan dan bantuan beliau bersama alumni PERLU seperti Yazilah, Shawn, Hafiz, Yasir, Azlina Karim dan bakal alumni Razif a.k.a Boy amat saya hargai. Mereka ini sanggup mengambil cuti tahunan dan ada sebahagiannya sanggup menggunakan bajet sendiri untuk menghadirkan diri di Tasik Kenyir. Diharapkan di lain perkhemahan akan ‘muncul’ lebih ramai alumni yang telah lama tidak bersua. Ema Syamsida yang bertugas di Sabah telah membuktikan apabila beliau muncul bersama suami dan cahayamatanya. Yang lain, bila lagi? Buang yang keruh, ambillah yang jernih... Barang yang lepas janganlah dikenang. Yang baik jadikan ikutan, buruk jadikan sempadan.

Tidak saya lupakan saudara Mohd Muqharabbin Moktaruddin di atas kesudian beliau menziarahi kami semua di Tasik Kenyir. Terima kasih di atas kesudian beliau mengisi satu slot bersama Wira Negara. Biarpun telah menjejakkan kaki ke ‘puncak dunia’ dan berbasikal mengelilingi dunia, Qobain yang saya temui kini tetap merupakan insan saya sama ketika saya kenal dulu sebelum mencipta nama. Beliau seorang yang suka merendah diri dan sentiasa bersedia untuk berkongsi pengalaman dan cerita suka duka beliau kepada sesiapa sahaja yang sudi mendengar. Di Tasik Kenyir beliau merupakan jurugambar sepenuh masa [rasanya mungkin ini hobi baru beliau]. Masa lapangnya diisi dengan memancing [sanggup meminjam joran dan seterusnya membeli di Kuala Berang].

Kepada barisan fasilitator daripada Persatuan Pembimbing Rekreasi Luar (PERLU) UiTM yang diketuai oleh Presidennya, saudara Syariman ingin saya ucapkan berbanyak terima kasih. Tanpa kehadiran mereka dan bantuan yang telah mereka curahkan kepada para peserta sebelum program tentu sukar untuk program ini mencapai objektifnya. Di samping membantu saya memberi tunjuk ajar kepada adik-adik mereka, ahli PERLU juga banyak menimba pengalaman bagaimana untuk menjadi fasilitator yang lebih efisien. Barisan fasilitator kali ini juga dianggotai oleh ahli yang akan bergraduat [insyaallah] seperti saudara Firdaus a.k.a Ustat, Mustakim, Azmi dan Elham a.k.a Abe. Keempat-empat mereka ini telah mengikuti program saya bermula daripada mereka masih peringkat Diploma lagi sehinggalah akan bergraduat di peringkat ijazah. Saya mendoakan kejayaan mereka semua. Di samping itu kehadiran fasilitator dari pelbagai kemahiran di dalam kumpulan fasilitator ini sesungguhnya dapat membantu percambahan ilmu di kalangan mereka juga. Terima kasih juga khas buat Hazriq a.k.a John, Lenny, Dilla, Hafiz Hadran, Boyington, Napisah, Tengku, Pak Lah, Adzimah dan Shafizi dari PERLU UiTM.

Tak lupa untuk isteri tersayang Norliza Ali Wee dan anak-anak Kamilia Afiqah dan Kamil Afiq yang sanggup berhujan panas untuk memberi semangat. Kehadiran mereka cukup signifikan untuk menambahkan lagi kasih sayang di dalam keluarga saya.

Terima kasih semuanya... Allah sahaja bisa membalas jasa kalian semua. Amin

Wednesday, 9 April 2008

Yang Dinanti Dah Tiba

Bukan senang saya nak mencuri masa nak membuat coretan untuk Amali Perkhemahan Akhir di Tasik Kenyir. Tugasan yang muncul tanpa ada titik noktah menyebabkan coretan mengenai amali tersebut terpaksa ditunda dari hari ke hari. Biarpun 'Final Camp' sudah melabuhkan tirainya lebih daripada 2 minggu yang lalu, namun pengalaman yang perolehi untuk kem ini sangat banyak. Meskipun kem ini dilaksanakan di tempat yang boleh saya katakan sebagai 'gelanggang permainan' saya sejak menjadi siswa di UPM dulu, namun kenangan bersama kumpulan yang berbeza akan menghasilkan pengalaman yang berbeza buat saya.

Nostalgia Di KOLA
Kali pertama saya menjejakkan kaki ke Tasik Kenyir adalah pada 1 haribulan April tahun 1998 bersama dua orang sahabat iaitu saudara Kudult [Mohd Zainal Mohamed Arshed dan Pak Tam[Hazrul Uza Yaakob]untuk latihan praktikal selama sebulan setengah [1/4/1998 hingga 15/5/1998]. Di sini jugalah saya mendapat ramai kenalan baru seperti En Jasni, En Rosbi, Saudara Joe, Saudara Khairul, Zaza, Sudin, Saudara Mat Cook, Arwah Armie a.k.a Abu dan banyak lagi. Di Kenyir Outdoor Leadership Academy (KOLA) atau kini dikenali sebagai Kenyir Sanctuary Resort (KSR) kami belajar mengenal dan berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan rekreasi luar. Kami bertiga bertugas siang dan malam tanpa mengenal erti penat lelah kerana minat yang teramat sangat dengan aktiviti rekreasi luar. Di KOLA boleh dikatakan semuanya ada. Aktiviti air dan daratnya cukup lengkap. Yang penting kesanggupan untuk melakukannya.

Final Camp
Kalau dulu saya datang sebagai pelajar kini saya 'kembali' sebagai tenaga pengajar yang membawa bersama 52 orang pelajar subjek Rekreasi Luar. Saya dibantu oleh 16 orang fasilitator daripada Persatuan Pembimbing Rekreasi Luar (PERLU) UiTM. Selain daripada itu seramai 7 orang Alumni FSR turut serta turun padang untuk membantu menjayakan kem pada kali ini. Barisan pensyarah yang sudi melapangkan masa untuk bersama-sama pelajar memeriahkan lagi program kali ini adalah Cik Suhana, Saudara Hosni dan Saudara Shahril. Program diceriakan lagi dengan kehadiran Dekan FSR, Prof Madya Dr Mohd Khairi bin Zawi.

Cabaran dan Dugaan
Biarpun program ini menempatkan pelajar Diploma Pengajian Sukan dan pelajar Sarjana Muda Pengurusan Sukan(Pengkhususan Pengurusan Rekreasi)di lokasi yang sama, namun aktivitinya adalah berbeza. Fasilitatornya juga berbeza. Cabaran dan dugaan juga berbeza.

Dari awal lagi peserta perkhemahan terkejut apabila dimaklumkan tapak perkhemahan mereka telah diubah ke kawasan belukar dan semak berbanding dengan pilihan awal mereka ketika datang untuk survei. Di atas kecekalan para peserta, kawasan yang sebelumnya dianggap mustahil untuk didirikan khemah dan 'berkampung' telah menjadi kawasan yang 'sayang' untuk ditinggalkan. Manakan tidak, kawasan yang sebelumnya berbonjol kini rata, yang semak kini cerah dan yang kotor menjadi bersih. Semuanya berkat kerjasama semua peserta. Sebenarnya tiada yang mustahil sekiranya segala kerja dijalankan secara bergotong royong dan bertolak ansur.

Tidur? Ini bukanlah tempatnya untuk peserta datang dan nyenyak beradu. Mereka perlu bekerja siang dan malam. Perkhemahan selama 5 hari terlalu singkat untuk mengumpul ilmu berkaitan rekreasi luar. Masa perlu digunakan secara sepenuhnya. Namun masa rehat tetap diperuntukkan untuk mengelakkan pelajar hilang fokus dan berlakunya kecederaan.
Alhamdulillah selesai perkhemahan tiada peserta dan fasilitator yang tercedera atau ditimpa kemalangan.

Terima kasih daun keladi
Sebenarnya banyak kenangan yang ingin saya catatkan di sini. Namun masa saya begitu terhad. Saya boleh menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri perubahan yang berlaku pada para peserta. Selama 5 hari berkampung dan dalam suasana yang agak tertekan, karakter sebenar seseorang individu juga akan 'tertonjol' dengan sendiri. Tiada apa yang dapat diselindungkan lagi. Namun ada juga yang boleh 'berlakon' tanpa mengetahui diri mereka sedang diperhatikan. Moga mereka mendapat hidayah daripadaNYA.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Dekan FSR di atas sokongan dan kepercayaan beliau yang tidak berbelah bahagi. Barisan pensyarah yang sudi hadir tidak akan saya lupakan peranan mereka. Pengorbanan Alumni PERLU dan FSR yang sudi mengambil cuti tahunan tidak akan saya lupakan juga. Di samping itu kehadiran PERLU sangat-sangat membantu di dalam menjayakan program saya. Khidmat mereka akan sentiasa diperlukan di dalam program perkhemahan saya. Jazakallahi khathira.

Sekitar Gambar Perkhemahan Pelajar Diploma










Sekitar Gambar Perkhemahan Pelajar Ijazah

















Monday, 7 April 2008

Kali Pertama


Mungkin dah basi kot? Inilah yang bermain di pemikiran saya apabila ingin mengenangkan kembali kenangan semasa ke Tanjung Gosong. Dah lama sangat dah program ini berakhir baru sekarang nak dibuat laporannya.

Ceritanya bermula apabila saudara Sadek (Koordinator Program Usahasama FSR) meminta saya ke Pahang untuk menilai Amali Perkhemahan Akhir Rekreasi Luar Kolej-Kolej Bersekutu. Ini kerana kedua-dua kolej yang terlibat iaitu Kolej Shahputra dan INSTEDT telah menggunapakai Program Diploma Pengajian Sukan [SR113] daripada UiTM sebagai salah satu daripada program yang ditawarkan oleh kolej mereka. Siswa-siswi SR113 pula perlu mendaftar untuk subjek wajib iaitu Rekreasi Luar. Maka terpaksalah atlit-atlit ini yang sebahagian besarnya tidak biasa dengan kehidupan di kawasan perkhemahan, berkampung selama 4 hari 3 malam di Pusat Kokurikulum Tanjung Gosong, Pahang. Seramai 54 orang pelajar telah menghadiri amali ini dengan 6 orang pensyarah yang turut serta membantu menjayakan program ini. Pada tahun ini kedua-dua kolej telah bersepakat untuk menjadikan Kolej Shahputra atau negeri Pahang sebagai tuan rumah. Tetapi lain pulak jadinya. Akibat kekurangan atau lebih tepat lagi tiada fasilitator, saya pulak terpaksa mengambil alih tugas fasilitator. Nasib baik ada Mustakim, Usop dan Bin yang banyak membantu serta tidak dilupa juga para pensyarah dari Kolej Shahputra yang banyak memainkan peranan di dalam menjayakan amali ini.

Penilaian keseluruhannya saya berkenaan program ini mudah sahaja:-
1. Pihak penganjur perlu mengadakan persediaan yang lebih rapi di dalam merancang program dan aktiviti secara keseluruhannya. Peta yang tidak mencukupi dilihat sebagai kelemahan [ia hanya cukup untuk kumpulan sahaja - fasilitator tiada peta untuk dirujuk sekiranya berlaku sebarang kemalangan atau kecemasan].

2. Ketiadaan fasilitator yang berkebolehan dilihat telah merencatkan aktiviti yang ingin dijalankan. Fasilitator yang dijanjikan oleh pengurusan Pusat Kokurikulum Pahang tidak muncul-muncul sehinggalah program tamat. Adakah pihak penganjur menghubungi pihak Pusat Ko sebelum program untuk memastikan kehadiran para fasilitator?

3. Kedua-dua kolej juga mempunyai kekangan dari segi peralatan untuk aktiviti. Peralatan untuk aktiviti diperlukan oleh kedua-dua kolej untuk memastikan produk yang mereka hasilkan sama seperti di induk [Shah Alam] iaitu dari segi ilmu dan pengalaman berekreasi. Kedua-dua kolej perlu memperuntukkan bajet untuk membeli peralatan asas perkhemahan, peralatan tali temali dan peralatan orienteering.

4. Saya kurang berkenan dengan jurulatih daripada sebuah organisasi menyelamat yang datang membantu [dibayar]. Saya ada bukti yang boleh menunjukkan mereka tidak memakai peralatan keselamatan ketika bertugas sebagai 'dispatcher' untuk aktiviti abseiling. Katalah ada peserta yang gayat dan turut sama menarik anggota Bomba terbabit, tentu ia akan jadi isu besar. Sepatutnya sebelum kita memastikan orang lain selamat kita hendaklah memastikan diri kita dulu yang selamat. Bukannya kita yang 'terselamat'.
Oleh kerana itu dalam bahasa mudahnya, adalah lebih baik sekiranya pihak kedua-dua kolej bersekutu terbabit melatih para pensyarah dan pelajar-pelajar yang berkebolehan untuk bertugas sebagai fasilitator. Ini akan dapat memastikan objektif program yang telah dirancang akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

5. Kenderaan 'standby' tiada. Nasib baik ada kenderaan pensyarah dan kereta rasmi daripada UiTM induk. Kenderaan ini diperlukan ketika aktiviti dan di kala kecemasan. Adakalanya ketika kecemasan khidmat pemandu yang berkemahiran dan cukup rehat diperlukan untuk menghantar pesakit ke hospital atau klinik berhampiran [pensyarah dan fasilitator kebiasaannya akan keletihan mengendalikan program]

6. Pengetahuan tentang kawasan yang ingin dijalankan aktiviti juga diperlukan oleh penganjurdan fasilitator. Ini bagi memastikan tidak berlaku kes kehilangan, lemas ketika pasang surut [aktiviti di air] dan sebagainya. Program juga perlu dimaklumkan kepada Balai Polis dan Hospital berhampiran. Tak lupa juga kepada masyarakat setempat melalui Tok Penghulu.

Bukan niat saya untuk mencari kesalahan. Hanya untuk berkongsi kelemahan yang ada ruang untuk sama-sama diperbaiki. Melalui penilaian di atas diharapkan pihak penganjur dapat berusaha mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang ada daripada program tempohari dan memastikan ianya tidak berulang lagi. Janganlah sehingga ada peserta yang cedera atau kehilangan nyawa barulah kita hendaklah menyalahkan antara satu sama lain. Kita tak mahu ada ibubapa/penjaga yang menangis dan meratap hiba akibat kecuaian kita di dalam mengendalikan kem, nauzubillahiminzalik.

Antara foto-foto yang sempat dirakamkan disepanjang program yang berlangsung selama 4 hari 3 malam.

Tanya Jangan Tak Tanya

Ada yang dah mula tertanya-tanya kenapa dah lama tak 'update' blog. Dah tak minat lagi ka? Hangat-hangat taik ayam ja kot! Dah tak da idea lagi ka? Jawapan mudah saya, tak dak masa hehehe... Walaupun Allah kurniakan kita semua masa yang sama iaitu 24 jam sehari, tetapi orang macam saya ni kadang-kadangnya tak pandai nak mengurus masa.

Sepanjang hampir sebulan saya tidak menulis ini, banyak aktiviti yang telah saya hadiri dan terlibat secara langsung. Antaranya Perkhemahan Akhir Kursus Rekreasi Luar bagi siswa-siswi Kolej-kolej Bersekutu UiTM iaitu Kolej Shahputra dan Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) yang bertempat di Tanjung Gosong @ TanGo, Kuantan,Pahang. Selain itu juga siswa-siswi FSR UiTM juga telah selamat menjalankan Perkhemahan Akhir bertempat di Tasik Kenyir, Terengganu.

Laporan keseluruhan kem akan saya masukkan dalam 'posting' seterusnya. Semoga penjengok-penjengok blog ini akan terus setia mengikuti perkembangan coretan saya.

Thursday, 6 March 2008

Papa... kakak pening

[UPDATE 7/3/2008]

Alhamdulillah, berkat doa rakan-rakan semua, anakanda saya, Kamilia Afiqah sudah sihat walafiat. Kalau harisebelumnya Kamilia langsung tak berselera untuk makan, pagi ini berselera sekali dia makan ketika saya bawanya ke kedai untuk sarapan pagi.

[posting asal]
Itulah ungkapan yang keluar daripada mulut Kamilia ketika bangun tidur pagi tadi. "Kakak tak nak ke sekolah" sambung Kamilia sambil merengek minta simpati. Terkejut saya dibuatnya. Mana taknya... selalunya Kamilia akan cepat-cepat bersiap selepas bangun kerana dia cukup seronok nak ke sekolah. Bila dah minta taknak ke sekolah, maka tandanya teruklah sakitnya tu. Jarang saya dengar kanak-kanak pening.

Selepas solat Subuh, sekali lagi saya memujuk Kamilia agar ke sekolah, tetapi hampa. Dia tetap enggan bersiap untuk ke sekolah. Katanya nak tinggal di rumah saja. Mana boleh kata saya. Takkan nak tinggal sorang-sorang.

Pagi ni pula ada amali kayak dan menyelamat di air. Saya tak boleh batalkan kerana Kem Akhir semakin hampir. Pelajar-pelajar ini perlu diajar teknik berkayak dan menyelamat di air agar memudahkan perjalanan kem nanti. Seterusnya saya membuat panggilan kepada Firdaus a.k.a 'Ustaz'. Minta 'talian hayat' agar menggantikan saya untuk mengajar teori kayak. Alhamdulillah Firdaus bersetuju.

Saya perlu bawa Kamilia ke DEMC dulu untuk mengenalpasti punca penyakitnya. Sesampai sahaja di DEMC tiba-tiba Kamilia merengek...katanya nak muntah. Arghhh makin parah ni. Tadi pening sekarang dah muntah pula. Beberapa kali dia muntah sebelum berjumpa doktor. Selepas diperiksa oleh doktor, rupa-rupanya Kamilia didatangi asma. Penyakit yang pernah dihidapinya ketika berumur antara 1 dan 2 tahun. Dah lama tak kena ni. Kenalah Kamilia di'neubilizer'kan.

Tak boleh ke sekolah dan tak selera untuk makan terpaksalah saya membawa Kamilia ke kelas saya. Di tepi kolam, Kamilia tidur keletihan dan langsung hilang selera untuk makan. Sebaik sahaja Kamilia makan dan minum, pasti dia muntah semula. Semoga Kamilia cepat sembuh. Amin

Wednesday, 5 March 2008

Maklumat Terkini!

PERUBAHAN TEMPAT DAN TARIKH PROGRAM AMALI PERKHEMAHAN AKHIR

Salam sejahtera,

KEPADA : SEMUA RAKAN-RAKAN YANG DIHORMATI SEKALIAN
DARIPADA : HISYAM CHE MAT (PENSYARAH KURSUS REKREASI LUAR)


Untuk pengetahuan tuan/puan Program Amali Perkhemahan Akhir yang telah dirancang terpaksa dibuat perubahan tempat kerana masalah yang tak dapat dielakkan. Maklumat berkenaan program tersebut adalah seperti berikut:

Program : Amali Perkhemahan Akhir
Tarikh Program : 18 - 23 Mac 2008 (Selasa-Ahad)
Tempat : Tapak Perkhemahan Kenyir Sanctuary Resort, Tasik Kenyir,Terengganu
Jumlah peserta : 52 (pelajar SR113/02 & sr221/03) dan 15 PERLU Instructor
Aktiviti : Pengurusan perkhemahan, berkayak, navigasi, berbasikal bukit, ikhtiar hidup, abseiling dan merentas halangan.

Penyertaan pihak tuan/puan di dalam menjayakan program ini adalah amat dialu-alukan. Pihak tuan/puan bolehlah berhubung terus dengan saya sekiranya terdapat sebarang pertanyaan dan kemusyikilan. Diharapkan program ini mendapat sambutan daripada rakan-rakan pensyarah dan ALUMNI. Kerjasama dan sokongan daripada pihak tuan/puan didahului dengan ucapan terima kasih. Wassalam

Tuesday, 4 March 2008

Di Mana Regulator?

Pagi ini diadakan sesi 'Bubble Maker Program' atau 'Discovery Scuba' bertempat di Kolam Renang UiTM. Seramai 18 orang pelajar yang turut serta. Saya menjemput Mejar (R)Goh a.k.a Mejar (R) Mike sebagai tenaga pengajar pada hari ini. Beliau telah mempunyai pengalaman menyelam selama 30 tahun bermula pada tahun 1976. Alhamdulillah, program semalam telah mencapai objektifnya iaitu untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar mempelajari asas-asas selam scuba.






Hilang lagi...
Saya telah dimaklumkan sebelum program ini dimulakan bahawa sebanyak 4 set regulator telah hilang. Ketika pelajar-pelajar ini ingin mengumpulkan peralatan scuba untuk dibawa ke kolam renang, didapati bahawa 4 set regulator telah hilang daripada rak penyimpanan di stor. Ke mana perginya peralatan ini? Siapalah yang terbuka hati nak mencuri benda ni? Tak tahukah hamba Allah tersebut, bahawa regulator itu merupakan 'nyawa' ketika di dalam air. Tak takutkah beliau kalau-kalau regulator yang dicuri tu tak berfungsi ketika berada 20 meter di dalam laut. Saya mendoakan agar hamba Allah yang 'terambil' 4 set regulator hakmilik Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi agar memulangkannya semula.

Itulah kesan peninggalan saya selama 10 bulan untuk menuntut ilmu. Stor Peralatan Pengajaran Rekreasi Luar jadi cacamerba. Ibarat..."tiada kucing, tikuspun bermaharajalela".

Terima kasih sahabat sekalian

Itulah yang sepatutnya saya ucapkan. Ramai rakan-rakan yang sudi memberi komen tentang isu bertajuk "Nampak Gayanya...". Kebanyakan mereka tidak mahu komen mereka dibaca oleh pembaca yang lain. Sebagai menghormati kehendak rakan-rakan ini, saya turuti. Apapun segala komen dan cadangan yang diberi akan segera saya ambil perhatian. Terima kasih daun keladi, kalau ada masa sila komen lagi. Agar diri ini dapat diperbaiki.

Monday, 3 March 2008

Nampak gayanya...

Tak tau la nak kata apa lagi. Dari sehari ke sehari perubahan demi perubahan terpaksa dibuat. Amali Akhir yang sepatutnya akan diadakan di Pulau Perhentian telah diubah tempatnya ke Pulau Redang. Atas faktor kewangan dan kekangan cuaca pula, maka pada minggu lepas pelajar-pelajar telah sepakat untuk diubah tapak perkhemahan Amali Akhir ke tapak perkhemahan Kenyir Sanctuary Resort di Tasik Kenyir, Terengganu. Saya tak kisah, kat manapun ianya dilaksanakan. Yang penting ianya perlu dilaksanakan.

Hari ni lain pula ceritanya. Saya mendapat berita terbaru daripada pelajar-pelajar saya bahawa program yang sepatutnya bermula dari 16 Mac 2008 sehingga 22 Mac 2008 perlu ditunda ke 18 Mac 2008. Alasannya kerana ada di kalangan pensyarah-pensyarah yang tidak boleh berkompromi dengan jadual kuliah mereka. Tak boleh pinda, tunda atau tukar waktu kuliah. Dasyatnya. Aduh.. kenapa jadi begini? Berilah pelepasan kepada pelajar-pelajar ini. Tolonglah cari hari lain untuk diganti kuliahnya. Kenapa begitu 'keras hati' sangat. Langsung tak boleh bertolak ansur. Fahamilah... bahawa pelajar-pelajar ini ke amali akhir adalah juga untuk menuntut ilmu. Hanya inilah masa yang paling sesuai untuk mereka ke amali akhir setelah amali pendedahan terpaksa 'dibatalkan' kerana pilihanraya. Cuti Maulidur Rasul yang jatuh pada hari Khamis telah menyebabkan saya memilih minggu tersebut sebagai minggu yang paling sesuai dengan Amali Akhir tersebut. Selain daripada itu juga, saya mengambilkira faktor masa. Pelajar-pelajar ini juga mempunyai masa rehat yang cukup sebelum Peperiksaan Akhir. Jadi tiada alasan mereka mengalami keletihan 'melampau' sehingga tidak boleh mendapat keputusan yang cemerlang untuk Peperiksaan Akhir pada bulan April nanti.

Itupun saya masih menerima permintaan pihak fakulti untuk menyediakan kurikulum baru untuk Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Rekreasi. Sekiranya para pensyarah tidak bersatu hati, maka akan sia-sialah program baru yang dicanang-canang nak dibuat itu. Bakal pelajar nanti akan rugi kerana tidak diberi peluang untuk menjalankan amali yang sepatutnya mereka jalankan.

Semasa saya di UPM dahulu, program Pengkhususan Pengurusan Rekreasi dan Taman memerlukan kami semua untuk menjalankan amali luar hampir setiap minggu. Ini menghasilkan graduan yang sentiasa bersedia menghadapi cabaran dunia luar. Tanpa adanya amali seperti ini, saya merasakan produk yang akan dihasilkan nanti adalah graduan yang 'lembik' dan mudah diperkotak-katikkan oleh masyarakat di luar sana. Isu yang 'pahit' yang cuba saya sampaikan inilah yang diharapkan menjadi 'penawar' kepada 'penyakit' yang sedang berlaku. Harapan saya agar warga fakulti bersatu hati dan menjauhi permusuhan. Tiada siapa yang dapat mengubah fakulti kecuali kita dan dengan kuasa Allah subhanahuwataala. Waallahuaklam bissawab.