Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday, 6 November 2013

Kembara Tasmania (Hari Kedua) - Lebatnya Salji

Bangun awal pagi kami dikejutkan dengan sesuatu yang di luar jangka. Kalau diikutkan daripada ramalan cuaca yang saya tengok beberapa hari sebelumnya, cuaca di Cradle Mountain hanya hujan dan berangin. Namun lain pula yang berlaku. Seluruh kawasan kabin kami dipenuhi salji tebal. Subhanallah... salji lebat di pertengahan musim bunga. Kami anak beranak jadi teruja. Dari tingkap kabin kami melihat kereta yang kami sewa dilitupi salji tebal. Pepohon yang semalamnya menghijau kini bertukar wajah menjadi putih dek diselaputi salji. 


Bukan tak pernah lihat salji tetapi, keterujaan melampau ini disebabkan ianya tidak dijangka. Ketika mendaki ke pergunungan bersalji di Mt Buller, Mt Hotham dan Mt BawBaw dahulu memang kami tahu kami akan melihat salji. Jadi keterujaannya sangat berlainan. Kali ini tanpa pakaian yang sesuai tentulah akan menimbulkan masalah untuk beraktiviti nanti. Itulah yang bermain di minda saya.


Tanpa berlengah lagi saya keluar untuk mandi salji. Dengan hanya memakai baju tanpa jaket dan berkain pelikat saya terjah keluar. Ingin rasai sendiri dinginnya pagi yang bersalji. Bukan nak menunjuk kebal, rupa salji ni taklah sesejuk mana hehehe... Apa lagi saya capai kamera dan beraksi. Kebetulan pula kabin-kabin berhampiran kami tidak berpenghuni, maka makin menjadi-jadilah dibuatnya. Mak bapak anak sama ja naik. Peluang bukan datang selalu. Lama jugalah berada di luar untuk merasai kedinginan pagi tanpa baju snow. Memang menarik.




Jam 10 pagi kami perlu check-out. Di kaunter pusat maklumat pelancong saya dikejutkan dengan berita penutupan Cradle Mountain - Lake St Clair National Park (CMNP). Aduhai Taman Negara ini ditutup pada pagi ini akibat salji tebal. Petugas di situ sendiri pun tak pasti pada jam berapakah ianya akan dibuka. Mereka menjangkakan ianya akan ditutup seharian kerana tiada tanda-tanda salji akan reda. 



Pada saat itu, kecewa di hati tiada siapa yang tahu. Wang yang banyak sudah dilaburkan untuk sekeluarga terbang dari Melbourne ke Tasmania dan berkunjung ke CMNP, namun bayang Cradle Mountain tak dapat dilihat dengan mata kepala sendiri huhuhu...



Kami tidak mudah berputus asa, kami sanggup menunggu. Terus sahaja kami menunggu. Harapnya salji yang turun akan reda dan matahari di tengahari muncul untuk mencairkan salji yang menebal. Tunggu punya tunggu, salji tak juga reda reda. Makin lebat lagi ada la. Setelah dua jam setengah menunggu, akhirnya kami mengambil keputusan untuk berangkat ke Hobart. 



Kami tak boleh menunggu lebih lama lagi kerana perjalanan ke Hobart dari CMNP mengambil masa 4 jam 30 minit. Jalannya pula bukannya lurus. Bengkang bengkok pula. Banyak selekoh 'maut' yang perlu ditempuhi.

Cradle Mountain - Lake St Clair National Park kami tinggalkan dengan redha. InsyaAllah kami akan kembali. Bila? Entahlah... kami masih belum merancang. Tentu ada hikmah di sebalik perancangan Allah itu. Perjalanan kami diiringi dengan salji yang terus 'galak' turun. Memang rasanya hingga ke lewat petang belum tentu akan seriat (berhenti). Kawasan yang semalamnya ketika kami sampai menghijau kini bertukar keputihan dek diliputi salji yang tebal. Alhamdulillah jalan yang rata dan permukaan jalan yang kasar memudahkan pemanduan saya. Syukur juga ianya tidak licin walaupun bersalji. 







Monday, 4 November 2013

Kembara Tasmania (Hari Pertama)

Kalau diikutkan, memang dah lama saya pasang impian untuk terbang ke Tasmania. Melihat kepada promosinya hati terus meronta-ronta untuk segera ke sana. Memang tidak dapat dinafikan lagi, bermula dari hari pertama menjejakkan kaki ke Pulau Tasmania ini saya telah jatuh cinta dengan keindahan dan ketenangan apabila berada di pulau ini.



Untuk pengetahuan penjengok sekalian, Pulau Tasmania amat terkenal kerana keindahan semulajadinya. saya ulang sekali lagi... keindahan semulajadi. Pulau yang terletak di selatan Australia ini memiliki gunung-­ganang yang indah, tasiknya yang jernih bak permata, pelbagai spesies hidupan liar yang hidup bebas, dan tidak dilupakan juga pantainya yang bersih lagi indah.




Sekiranya dah menjejakkan kaki ke Tasmania, sudah tentulah tidak sah bagi penggemar-penggemar aktiviti lasak untuk tidak menjengah ke sebuah lokasi yang terletak di barat daya Tasmania ini. Lokasinya adalah Cradle Mountain - Lake St Clair National Park. Lokasi ini merupakan pusat tarikan pelancong semulajadi yang amat popular di Tasmania. Keindahan dan keunikan gunungnya dan ditambah pula dengan kejernihan dan ketenangan Dove Lake pasti boleh menambat jiwa sang pengembara. Keindahan dan keunikan inilah hingga menjadikan Cradle Mountain - Lake St Clair National Park tersenarai sebagai salah sebuah daripada Warisan Dunia.


Oleh kerana keinginan yang amat sangat untuk berkunjung dan menyaksikan sendiri keindahan dan keunikan Cradle Mountain dan Dove Lake ini, saya tempah tiket penerbangan ke Launceston dan tidak ke Hobart. Ini kerana lokasi Launceston ke Cradle Mountain hanya mengambil masa 2 jam 30 minit sahaja berbanding  perjalanan dari Hobart ke Cradle Mountain yang mengambil tambahan masa lagi 2 jam.
 

Setelah mendarat di Lapangan Terbang Launceston, saya mengambil kereta sewa yang telah disewa daripada syarikat RentforLess. Untuk makluman memang banyak syarikat yang menawarkan khidmat sewaan kenderaan di Australia seperti Budget, AVIS, Thrifty, Hertz, Europcar etc. Namun setelah dibuat perbandingan pada hari yang saya ingin ke Tasmania, RentforLess menawarkan potongan 40%. Alhamdulillah penjimatan yang amat berbaloi-baloi. Selain itu juga kepada kepada yang tidak biasa membuat sewaan kenderaan di Australia, saya galakkan anda untuk mengambil insuran. Sekurang-kurangnya pengurangan sekiranya berlaku sebarang kecelakaan sehingga AUD$1500. Iyalah... malang tidak berbau.



Sebelum bertolak ke Cradle Mountain, kami singgah di Coles di bandar Launceston yang terletak sekitar 12km atau anggaran 15 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Launceston untuk membeli barangan dapur (kering & basah). Sememangnya cara ia lebih menjimatkan. Masak sendiri.



Selepas itu kami bergerak ke Devonport yang jaraknya sekitar 100km atau sejam dari bandar Launceston. Tujuannya untuk melihat dan bergambar di lokasi pendaratan feri atau lebih tepat pelabuhan bagi kapal Spirit of Tasmania yang bertolak setiap hari dari pelabuhan di Melbourne ke Devonport. Malangnya kami membatalkan hasrat untuk menggunakan khidmat Spirit of Tasmania kerana ada yang tak tahan dengan keadaan di laut. Bahasa mudahnya, tengok ombak atau gelombang terus muntah. Untuk tidak 'merosakkan' kembara kami, saya batalkan niat untuk merasai keunikan mengembara ke Tasmania dengan kapal Spirit of Tasmania ini dan menempah tiket penerbangan.



Setelah puas bergambar di situ, kami teruskan perjalanan ke lokasi penginapan kami iaitu di Discovery Holiday Parks Cradle Mountain yang terletak kira-kira 80 km atau sekitar 1 jam 20 min perjalanan. Kami melalui kawasan penternakan lembu tenusu dan kambing biri yang indah dan saujana mata memandang. Subhanallah...






Alhamdulillah kami sekeluarga selamat sampai di Discovery Holiday Parks Cradle Mountain. Cuaca petang itu masih terang dan sedikit dingin. Oleh kerana kami sampai agak lewat, anak-anak tidak mahu keluar dari kabin sebaik kami mendaftar masuk. Semuanya kerana TV dan telah menjumpai 'zon selesa' mereka.



Keluarlah saya seorang diri bertemankan kamera dan tripod untuk menikmati keindahan berhampiran kabin kami. Oleh kerana sudah lewat saya tidak berjaya mendapat permit untuk hari tersebut dan perlu menunggu hingga hari esok kerana pusat maklumat pelancongan telah ditutup. Saya hanya mampu bergambar di pinggir pintu masuk ke taman negara sahaja pada hari pertama.

Sunday, 3 November 2013

Bermain Salji di Mt BawBaw

Gunung Mt BawBaw menjadi kawasan pergunungan ketiga yang sempat kami 'daki' untuk menikmati keindahan dan suasana gunung di musim sejuk. Tidak seperti di Mt Buller tahun lepas, salji di Mt BawBaw tidaklah terlalu tebal. Namun kepuasan pemanduan selama lebih 4 jam berbaloi-baloi. Kami dihidangkan dengan pemandangan yang cukup indah... subhanallah...

Begitulah hebatnya Maha Pencipta....diciptakan oleh-Nya sesuatu tempat itu dengan panorama yang berbeza untuk hamba-Nya terus bersyukur dan sentiasa mengingati akan kebesaran-Nya.

Anak-anak mula teruja untuk meluncur dengan tobaggan yang baru dibeli. Semua dah tak sabar untuk meluncur menuruni cerun yang agak curam di sini. 'Kenakalan' anak melayu terbawa hingga ke sini. Sengaja kami memilih lokasi yang tak dibenarkan untuk meluncur untuk kali ini. Bukannya apa, lokasi yang diperuntukkan untuk aktiviti toboggan oleh Mt BawBaw Resort tak cukup mencabar. Tak cukup curam cerunnya. Makanya kami redah salji yang agak tebal dan jarang dilalui orang ramai ke lokasi yang lain yang nampaknya dari jauh lebih curam dan lebih terpencil.


Memang tak sia-sia tempat yang dipilih ini. Ianya betul-betul boleh menggugat semangat bila tobanggan meluncur laju. Kalau tak kena gaya dan tak sempat berhenti, pasti terus menjunam masuk anak sungai yang sedia menanti di bawah ataupun terlajak hingga terlanggar pokok yang memang sedia menunggu. Memang patut pun kawasan tu dilarang daripada menjalankan aktiviti toboggan. Merbahaya!



Selepas hampir sejam setengah bergambar dan meluncur, akhirnya aktiviti kami 'diganggu' dan terpaksa dihentikan. Ada pula Atendan Keselamatan baru perasan tentang kewujudan kami di lokasi tu. Dia datang dan mengarahkan kami berpindah ke lokasi untuk aktiviti toboggan yang sebenar. Dia sudah terlambat da... kami dah puas bermain. Kami minta maaf dan kata tak tahu kawasan itu dilarang... dan kami kemaskan barang dan berjalan ke cafe untuk solat dan minum-minum sebelum berangkat pulang.

Friday, 18 October 2013

Jinaknya Kanggaru di Phillip Island



Kali ini saya ingin berkongsi sedikit tentang suatu lokasi yang ramai orang jarang lawati sekiranya ke Melbourne. Lokasi tempat ini terletak di Phillip Island yang terkenal dengan Penguin Parade di waktu senjanya. Ianya adalah Phillip Island Wildlife Park (PIWP). Taman ini terletak di suatu kawasan berkeluasan hampir 60 ekar. Ianya menjadi ‘teduhan’ buat lebih daripada 100 jenis haiwan yang menjadi ikon dan cukup terkenal di Australia. Di sini pengunjung bukan sahaja boleh melihat, tetapi boleh menghulurkan makanan di tangan dan merasai sendiri pengalaman merapati dan bermesra dengan hidupan liar. 

Kebiasaannya di habitat semulajadi, haiwan-haiwan ini akan cuba menjauhi apabila dirapati. Di sini tidak! Selepas ‘yakin’ kita tidak merbahaya dan ada ‘sesuatu’ dibawa sama, haiwan-haiwan ini seperti faham-faham sahaja akan merapati. Kalau tak biasa mau bertempiaran juga larinya, risaukan haiwan ini mengganas 

Tersangat menariknya di PIWP adalah di mana kanggaru-kanggaru dan walabi dibiarkan berkeliaran dan lepas bebas di seluruh kawasan, jinak makan di tangan dan ‘mesra’ bila diusap dan ditepuk haiwan-baiwan ini. Bertuah lagi apabila dapat melihat joey, si-bayi kanggaru yang kelibat sekejap ada dan sekejapnya ‘hilang’ di kantung ibu kanggaru.


Selain kanggaru dan wallaby, banyak juga spesis burung yang boleh ditemui di dalam PIWP. Burung yang bersaiz besar dan tidak boleh terbang Emu and Kasawari (burung unta) pasti menggerunkan pengunjung. Bila diberi hulur tangan untuk diberi makan kanggaru, pasti burung unta akan mencelah untuk memagut sama. Memang burung-burung besar ini akan bikin kacau dan mengganggu bila pengunjung ingin bergambar bersama kanggaru-kanggaru yang jiran. Kena berhati-hati lah jawabnya bila emu dan burung unta ini merapati.  Selain itu di dalam sangkar terdapat beberapa sepsis burung hantu dan juga burung kakaktua selain terdapat juga burung pemangsa besar dan kecil.

Memang cepat rasanya masa berlalu apabila berada bersama-sama haiwan-haiwan di sini. Alhamdulillah saya sekeluarga berpeluang mengunjungi PIWP ini di dunia musim yang berbeza dan dapat melihat suasana yang berbeza. Suatu ketika ladangnya seperti padang jarak dan suatu musimnya ladangnya menghijau. Kalau anda ke Phillip Island, pastikan lokasi ini termasuk dalam senarai tempat yang ingin dilawati. Memang saya rekomen kerana ianya berbaloi-baloi bukan sahaja kepada orang dewasa, tetapi pasti anak-anak juga akan jadi teruja apabila menghampiri dan dihampiri haiwan-haiwan ini di alam liar.




Friday, 11 October 2013

Pelancongan Australia: Betul-betul Peranan Dimainkan

Ini cerita tentang pelancongan di Australia. Cerita tentang hebatnya orang depa dok promosi negara depa sampaikan saya pun dok sibuk nak promosi orang kita mai sini. Bukan apa, ada orang kata melancong ke Australia mahal, tapi sebenarnya....kalau kena dengan caranya ianya amat menjimatkan. Apa yang penting, perancangan lawatan hendaklah dibuat rapi dan bukannya lawatan itu dibuat secara tergesa-gesa. Nak jimat dan enjoy la katakan.

Kalau di Malaysia kita ada Tourism Malaysia, di Australia pula ada Tourism Australia (TA). TA hanya memainkan peranan di peringkat federal tetapi peranan yang lebih besar dimainkan oleh negeri/wilayah masing-masing kerana Australia adalah sebuah negara yang cukup besar. Kalau dibandingkan dari segi saiz, Malaysia hanya sebesar jari kelingking (atau lebih kecil) manakala Australia pula sebesar tapak tangan. Walaupun Australia besar, namun jumlah penduduknya lebih kurang sama ramainya dengan penduduk di Malaysia. Majoriti penduduk Australia kebanyakannya memenuhi sekitar bandar-bandar besar seperti Sydney dan Melbourne.


Berbalik kepada pelancongan di Australia, menurut Australian Bureau of Statistics (ABS) pada bulan Februari 2013 sahaja Australia telah menerima perangkaan ketibaan pelancong sekitar 604,600 orang di mana sejumlah 25,000 daripadanya adalah daripada Malaysia. Untuk dua bulan pertama tahun ini pelancong dari Malaysia mencatat sejumlah 37,300 orang iaitu peningkatan sebanyak 12.7% relatif menurut jangkamasa yang sama tahun sebelumnya. Tu dia... ramai kan! Begitulah laporan yang dikeluarkan oleh ABS yang sentiasa bekerjasama rapat dengan TA dalam menyalurkan maklumat yang terperinci tentang kemasukan pelancong ke seluruh Australia.

Memang TA memainkan peranannya sebaik mungkin untuk tarik pelancong untuk melancong ke negara mereka. Dek kerana tahu betapa ramainya orang Malaysia yang gemar melancong ke Australia, maka TA sanggup menyediakan satu wadah penyampai maklumat yang  menggunakan Bahasa Malaysia. Laman sesawang Pelancongan Australia tersebut yang pada pendapat saya tidaklah terlalu lengkap, namun ianya tetap berguna seperti kata peribahasa lama, tiada rotan...akar pun jadilah.Tak banyak, sedikit pun ia turut boleh membantu kepada mereka yang baru pertama kali yang nak menjejakkan kaki ke Australia. Sekurang-kurangnya bakal pelancong dapat tahu sedikit sebanyak tentang Australia... ke mana destinasi yang nak dituju dan perancangan tentang barangan yang perlu dibawa bersama. Untuk makluman semua penjengok sekalian, laman  sesawang berbahasa Inggeris tentang produk-produk pelancongan di Australia memanglah cukup banyak dan lebih lengkap tentang sesuatu lokasi berserta alamat. Kena rajin-rajin Google ja. Begitulah hebatnya teknologi.

Kesimpulannya... memang saya tak boleh menafikan kehebatan Australia mempromosikan produk pelancongan mereka. Mereka menggunakan sepenuhnya segala media yang ada untuk mempromosikan segala khazanah alam semulajadi dan keunikan yang terdapat samada di bandar-bandar besar sehinggalah ke seluruh pelusuk bumi Australia. Sememangnya di sini punya terlalu banyak tempat yang boleh dilawati.


Klik JOM JELAJAH AUSTRALIA untuk coretan sebahagian daripada pengalaman kembara saya di Australia.


Wednesday, 9 October 2013

Jihad ini jihad ilmu


Teringat lagu yang sangat popular suatu ketika dahulu yang dinyanyikan oleh Mawi. Saya cukup minat betul dengan part pada lirik ini. Kerapkali juga saya lagukan part ini...Tekanan boleh hilang, "I cakap you..."

Liriknya berbunyi " Apakah yang dikejar dalam hidupmu...Berkali ku kata padamu...Kita singgah di dunia yang sementara...Penuh tipu daya... Yang kekal...Disana... Biarlah..kita bersama...Usahlah Hanyut terus terlena...Kerana dunia..."

Kalau diikutkan tekanan buat PhD nie memanglah banyak. Bila dah nak penghujung tahun kedua nie mulalah 'otak' dok menerawang dengan macam-macam. Sekejap saja rasanya dah nak masuk tahun ke-3. Mulalah 'otak' dok pikiar  apa sebenaqnya lagi yang nak dikejar. Tak cukup lagikah dengan apa yang ada??? Bisikan, lintasan & hasutan yang tak baik ini mula bermain di minda. Dah dok elok-elok kat Shah Alam... kenapa la nak menyusahkan diri… Angkut anak bini merantau jauh sebegini. Kalau setakat mahukan ilmu… cukupla dengan membaca seberapa banyak buku-buku dan jurnal yang berkaitan, akhirnya dapat jugak ilmu yang dicari. Kalau hendakkan pengalaman rekreasi, teruskan aktif merancang dan sertai aktiviti rekreasi. Apa nak letih-letih perah otak sambung belajar nie.

Begitulah bisikan, ‘hasutan’ dan lintasan jahat yang seringkali menerpa ke minda saya. Jenuh jugak la nak diperbetulkan kembali fokus awal HIJRAH ini agar ianya sentiasa berada di landasan sebenar agar tidak terlalu lama tergelincir.
 

Semuanya itu saya ambil sebagai sebahagian daripada ujian, dugaan dan cabaran dalam menempuh perjalanan PhD ini. Walau dibanjiri keringat dan air mata, perjuangan ini perlu diteruskan. Segala keperitan yang dialami bukan penyebab yang menjadi penghalang untuk kaki terus gagah melangkah. Jika tersungkur bukan bermakna saya akan terus berputus asa. Semangat perlu terus kuat,untuk bangun melangkah dan terus melangkah demi mengejar sebuah impian...

Ini JIHAD ILMU! Saya perlu terus berusaha. Allah telah berikan peluang di kala ramai lagi menantikan peluang ini. Allah juga yang hantar dan seterusnya beri keazaman untuk saya buat PhD.

Ini JIHAD ILMU wahai HiCMat… ianya perlu untuk kamu pulang berbakti untuk agama, anak bangsa dan seterusnya negara tercinta. Kumpulkan semangat untuk buat sehabis baik dan buat hingga ke garisan penamat wahai HiCMat.

Wahai rakan2 ku sekalian doakan yang terbaik untuk HiCMat sekeluarga. Aamiin Allahumma Aamiin…
— at RMIT University Bundoora Campus.

Thursday, 11 July 2013

Al-Kisah Ramadhan Enam Tahun Lalu Di Bendigo



Ramadhan 2007/1428H menjadi kenangan manis dan cukup bermakna kepada kami sekeluarga. Ianya merupakan Ramadhan yang pertama kami sekeluarga di bumi Bendigo. 

Ikhlas saya katakan, sebelum memasuki ke bulan Ramadhan di tahun tersebut saya cuba untuk membayangkan bagaimanakah suasananya berpuasa dan berterawih di sini? Saya teramat rindukan kemeriahan bazaar Ramadhan seperti di Stadium Shah Alam dan bazaar Seksyen 18, Shah Alam dengan pelbagai jenis juadah kuih muih, lauk pauk, minuman yang pelbagai warna. Pada malamnya pula berterawih di masjid 'unta' Seksyen 18 dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari suara hafiznya yang menusuk kalbu walaupun tak difahami maksudnya dan seterusnya solat Subuh berjemaah di situ selepas bersahur. Namun realitinya suasana tersebut memang tidak berlaku di Bendigo.

Berbuka puasa dan bersahur di Bendigo hanya yang ala kadar aja. Tapi saya bersyukur kerana dianugerahkankan isteri yang pandai memasak. Walaupun dengan ramuan masakan yang terhad (tiada lagi Asian Grocery Store di Bendigo pada ketika itu) Liza masih mampu mengadunkan masakannya menjadi makanan yang cukup enak rasanya untuk kami sekeluarga menjamunya. Kalau sekiranya kami ingin membeli bahan masakan bercitarasa Asia atau lebih tepat lagi makanan melayu kami perlu berangkat ke Pasaraya Laguna yang terletak di Melbourne yang kebiasaannya mengambil masa 2 jam perjalanan dengan menaiki keretapi dari Bendigo.

Usai berbuka puasa setiap malam Kamilia pula sudah bersiap sedia untuk turut serta ke surau di La Trobe Uni tanpa menghiraukan kedinginan malam untuk bersolat terawih dan seterusnya moreh. Kamilia tidak bersolat, dia hanya memerhatikan papanya mengimami solat terawih dan dia akan turut serta mengaminkan bacaan al-Fatihah dan doa yang dibacakan. Seperti kebiasaannya kanak-kanaklah merupakan insan yang paling seronok bila tiba waktu moreh. Kamilia akan turut serta membantu membentangkan kertas suratkhabar lama sebagai alas untuk juadah moreh yang dibawa secara potluck seperti kek epal, muffin, spring roll, sandwich dan karipap.

Pada setiap hari Sabtu di bulan Ramadhan kami sekeluarga akan berbuka puasa bersama komuniti muslim lain di surau La Trobe Uni. Komuniti di sini terdiri dari Arab, Jordan, Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh, Australia, Pakistan dan kami  empat beranak dari Malaysia. Juadah yang dibawa kebiasaannya tidak boleh yang pedas-pedas kerana rupa-rupanya mereka ini lebih gemarkan masakan yang manis-manis. Jadi Liza yang telah terbiasa memasak makanan yang pedas-pedas terpaksa menukar resepi semuanya menjadi manis. 



Kalau diikutkan kebiasaannya kami di surau La Trobe Uni ada dua imam (lantikan tak rasmi) yang sering membaca khutbah Jumaat dan memimpin solat kami iaitu saudara Sultan seorang pelajar undergrad dari Saudi Arabia dan saudara Mamoun seorang penyelia di Hazeldene’s Chicken Farm yang berasal dari Jordan. Beruntung sungguh kami dapat berkenalan dengan saudara Mamoun nie kerana kami mendapat bekalan ayam halal yang cukup murah dengan harga cuma AUD2.50 untuk seekor ayam sedangkan kalau dibeli di Butcher’s Shop ia biasanya berharga sekitar AUD13.00 seekor pada ketika itu. 

Itulah sedikit cebisan pengalaman Ramadhan yang berlaku 6 tahun lalu di Bendigo yang telah meninggalkan memori indah untuk kami sekeluarga. Ramadhan di Bendigo memberikan pengalaman yang cukup signifikan di dalam sejarah hidup saya dan kami sekeluarga dan akan diingati di sepanjang hayat, insyaallah.

Salam Ramadhan Al-Mubarak 1434H dari kami sekeluarga di bumi Melbourne. Semoga kita bersama dapat istiqamah membuat kebajikan dan berusaha mengecapi kenikmatan dan keberkatan bulan mulia ini…

Thursday, 6 June 2013

Musim Luruh di Victoria

Musim luruh merupakan musim yang memang ditunggu-tunggu. Musim ini amat saya tunggu-tunggu kerana cuacanya yang tidak terlalu panas dan tidaklah pula melampau sejuknya. Setiap manusia yang cintakan keindahan alam pasti menunggu musim ini kerana pada musim inilah dedaunan di pepohonan akan berubah warna dan menghasilkan panorama yang sangat menarik untuk dipandang mata.

Pada tahun ini saya berpeluang untuk mengembara ke 2 lokasi yang cukup terkenal di Victoria terutamanya ketika musim luruh. Mount Macedon yang letaknya sejauh 70 km  dan Bright yang sejauh 300 km dari rumah saya di Mill Park.



Subhanallah... seperti yang dijangkakan warna warni dedaunan di pepohonan sememangnya tidak mengecewakan. Ianya seperti melihat hasil lukisan di kanvas. Memang indah panoramanya. Anak-anak dan saya sendiri teruja dengan warna-warna yang terhasil dari dedaunan di pepohon maple yang menanti saat untuk gugur. Dedaunannya yang terbiar gugur di lantai bumi juga menghasilkan sesuatu yang sedap mata memandang. Mahu sahaja diri ini baring di atas daun-daun yang telah sedia gugur, namun kebasahan dek hujan yang turun sebelumnya membatalkan niat di hati.





















Kini musim luruh telah tiba ke penghujungnya dan masuklah musim sejuk. Tak sabar rasa hati untuk menunggu musim luruh seterusnya untuk menyaksikan pula keindahan panorama dedaunan dan pepohon di lokasi lain pula. Khabarnya Daylesford pun tak kurang cantiknya untuk pemandangan musim luruh. InsyaAllah itulah lokasi seterusnya untuk musim luruh yang akan datang .



Selamat Tinggal Musim Luruh 2013 dan Selamat Datang Musim Sejuk 2013...



Wednesday, 5 June 2013

Permulaan Salji di Mount Hotham

Mount Hotham merupakan antara lokasi percutian tanah tinggi yang mempunyai pemandangan yang indah di Victoria. 'Perkampungan' Hotham ataupun lebih dikenali dengan Hotham Alpine Resort berketinggian 1750 meter dari paras laut. Pergunungan ini terletak kira-kira 360 km dari Mill Park. Pemanduan kami untuk ke sini mengambil masa kira-kira 4 jam.

Kembara kami kali ini turut  disertai oleh keluarga Jaronie. Kami bertolak agak lewat dan singgah di Bright untuk berehat, solat dan makan tengahari sebelum meneruskan pendakian ke puncak Hotham. Ketika singgah di Bright sempatlah kami bergambar kerana sememangnya Bright mempunyai keistimewaannya yang tersendiri terutamanya ketika di musim luruh.Dedaunan berwarna kuning, oren dan merah yang menunggu masa untuk luruh dan kebanyakannya yang telah luruh menambahkan keindahan pekan kecil ini sehingga terkenal ke seluruh pelusok Australia dek keistimewaannya itu.


Kami cukup bertuah kerana dapat menikmati dua keindahan ciptaan Illahi sekaligus dalam satu kembara kali ini. Satunya keindahan penghujung musim luruh di Bright dan seterusnya musim sejuk bersalji di puncak Mt Hotham. Penginapan bertaraf 4 bintang yang masih murah di puncak gunung di samping menggunakan peluang untuk melihat keindahan musim luruh di Bright menjadikan ianya alasan utama kenapa kami memilih untuk berkunjung ke Mount Hotham sebelum musim sejuk menjelang.


Untuk pengetahuan penjengok-penjengok sekalian, apartment satu bilik bernilai $190 (untuk 3 orang) manakala apartment 2 bilik bernilai $285 (untuk 5 orang) ketika di luar musim salji. Harga penginapan di apartment tersebut akan meningkat 3 kali ganda ketika di musim salji (peak season) dan perlu ditempah sekurang-kurangnya untuk 2 malam, tiada tempahan untuk satu malam. Jadi lain kali kalau nak merasa 'duduk' di tempat orang berada duduk ketika musim sejuk bolehlah pergi sebelum tiba betul-betul musimnya ya.


Peringatan ini ingin saya sampaikan kepada kawan-kawan yang akan ke Mount Hotham untuk bermain salji. Anda perlu berhati-hati ketika melalui jalan selepas perkampungan Harrietville (perkampungan terakhir) untuk ke puncak. Ini kerana jalan tersebut telah menjadi sangat merbahaya kepada pengguna selepas satu kebakaran besar yang telah berlaku di sekitar pergunungan berhampiran Harrietville sekitar awal tahun 2013 yang lalu. Kebakaran yang amat dahsyat dalam sejarah Australia selepas berlakunya Black Saturday telah memusnahkan pepohon yang menghijau dan haiwan-haiwan yang menghuni kawasan tersebut.



Ini meninggalkan batang-batang pokok mati yang menunggu masa sahaja untuk tumbang, permukaaan cerun yang menunggu masa untuk runtuh dan batu-batuan yang sedia bergolek dari atas bukit dan menghuni tengah laluan yang ingin kita gunakan. Kami bertuah kerana pada hari kami menggunakan laluan ini, ianya baru sahaja dibuka kepada pengguna selepas beberapa minggu ianya ditutup pada waktu siang untuk kerja-kerja membersihkan laluan tersebut akibat kejadian tanah runtuh.


Sebelum mendaki ke puncak Hotham, kami agak kecewa kerana mendapat khabar bahawa hujan lebat beberapa yang lepas telah menyebabkan salji mencair. Di sebalik kekecewaan itu kami teruskan juga pendakian dek kerana bilik yang telah ditempah kalau tak dihuni alamatnya rugi sajalah jadinya. Oleh itu pemanduan untuk ke puncak diteruskan.

Keesokan paginya, suasana berbeza... salji mula turun. Ketika di dalam usaha mencari lokasi yang menarik untuk anak-anak bermain salji, alhamdulillah saya terlihat satu kawasan cerun yang telah mula dipenuhi salji. Apalagi, terus saya meletak kenderaan dan kesemua anak-anak 'terjun' dari kereta dan memanjat cerun dek kerana terlalu teruja untuk bermain salji. 'Toboggan' yang kami bawa mulalah diluncurkan. Walaupun bukan toboggan sebenar (pusat sewaan belum dibuka kerana belum masuk musim salji), namun anak-anak saya lihat seronok dapat meluncur cerun yang curam yang mula dipenuhi salji yang memutih. Kami tak boleh terlalu lama di situ, sekadar 45 minit dek kerana tiupan angin yang terlalu kuat amat-amat menyejukkan walaupun pakaian yang dipakai bolehlah dikatakan sesempurna untuk bermain salji.




Pengalaman bermain salji di Mt Hotham amat berbeza sekali berbanding pengalaman tahun lepas di Mt Buller. Kalau ikutkan saya Mt Hotham mempunyai pemandangan pergununganbersalji  yang lebih menarik berbanding Mt Buller. Cuma sayangnya kembara kami kali ini tidak dapat melihat salji yang memutih itu menyelaputi keseluruhan pergunungan di Mt Hotham. Saya rasakan kesan kebakaran besar dan kemusnahan pohon-pohon yang menghijau berhampiran Mt Hotham awal tahun 2013 turut menyumbang kepada lambatnya pembentukan salji di Mt Hotham.

InsyaAllah panjang umur dan murah rezeki saya sekeluarga akan 'mencari' salji di pergunungan lain pula.