Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday, 10 June 2008

Menarik di Ulu Yam

Hutan Lipur Sg Tua, Ulu Yam sememangnya tempat yang menarik untuk berkelah. Ianya sering dikunjungi oleh orangramai pada hujung minggu dan lebih-lebih lagi di waktu cuti sekolah. Kalau di hujung minggu tidak cukup ruang parkir yang disediakan. Kenderaan pengunjung melimpah hingga ke tepi-tepi jalan. Antara aktiviti lain yang boleh dijalankan di sini selain daripada berkelah adalah seperti mandi manda, berkhemah, merentas hutan, aktiviti ikhtiar hidup, river trekking dan macam-macam lagi. Air terjun dan sungainya yang jernih dan sejuk sentiasa mengamit pengunjung untuk terus mengunjungi hutan lipur ini.


Namun sehari dua ini kita dikejutkan dengan aktiviti yang tidak bermoral yang dilakukan oleh segelintir manusia yang hanya memikirkan keseronokan dunia. Mereka menjadikan sebuah premis di kawasan hutan lipur ini sebagai tempat untuk berpoya-poya dan melakukan aktiviti seks. Kata wakil daripada sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab ke atas kawasan ini, premis ini telah wujud kira-kira empat tahun yang lalu [2005] dan aktiviti sebegini pula dikesan baru beroperasi dua tahun lalu. Dengan intipan baru dua minggu lalu maka pihak berwajib telah bertekad untuk menyerbu premis terbabit hujung minggu lalu. Hujan lebat jadi penghalang. Tiada tangkapan.

Kasihan... kawasan yang bersih dan tenang ini telah dinodai dengan aktiviti lewat malam yang sememangnya tidak bermoral langsung. Jauhnya daripada kesibukan kota sepatutnya menjadikan kawasan ini amat bersesuaian sebagai tempat untuk mencari ketenangan diri dan berhibernasi. Disalahgunakan pula untuk berdangdut dan aktiviti seks. Tuding menuding pun berlangsunglah di antara dua agensi yang memegang tanggungjawab.

Saya pernah melalui satu pengalaman yang telah meragut nyawa pengunjung di sebuah kawasan air terjun seperti di Ulu Yam ini. Tentu ada yang masih ingat tragedi yang berlaku pada 16 Ogos 1999 di air terjun Sagil iaitu di kaki Gunung Ledang. Akibat aktiviti manusia yang tidak bermoral di kaki Gunung Ledang tersebut maka Allah telah menurunkan bala. 'Kepala air' turun dengan tidak semena-mena. Orang yang tidak berdosa yang sedang mandi manda dan menikmati kesejukan air sungai di kaki Gunung Ledang maut dan hanyut dibawa arus deras kesan daripada 'kepala air'. Ketika itu saya sedang mengendalikan program alam sekitar untuk penuntut daripada UTM. Nasib baik peserta saya baru hendak memulakan aktiviti 'blind trail'. Jadi tidak ada yang mandi manda di dalam sungai. Sedih saya menyaksikan mayat-mayat ini dibawa keluar dari celah-celah batu oleh penyelamat selepas 'kepala air' reda. Ahli-ahli keluarga mangsa menangis menantikan mayat-mayat yang telah dijumpai dibawa ke tepi sungai. Seingat saya, kejadian tersebut telah meragut enam mangsa.

Kita tidak mahu perkara sama berlaku di mana-mana pun jua. Oleh itu pihak yang telah dipertanggungjawabkan perlulah peka dan jujur di dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan. Janganlah menantikan sehingga berlaku malapetaka baru kelam kabut menuding jari. Orang ramai juga perlu turut sama menyalurkan maklumat kepada pihak berwajib kerana kadang-kadang pihak berwajib tidak 'nampak' aktiviti kurang sihat yang dijalankan oleh pihak yang licik ini.

2 comments:

Anonymous said...

Dari Penjengok-Penjengok Tegar,

Bagi memastikan industri rekreasi Malaysia berkembang dan maju seadanya, Enforcement dari agensi-agensi penting untuk memastikan masalah yang berpunca dari 'Human Error. dibendung dan dalam masa yang sama dicegah secepat mungkin. Contoh lain yang boleh diberikan adalah aktiviti di Sungai Congkak pada waktu malam.

Cheers ............

HiCMat said...

PPT,
Saya risaukan orang yang tidak bersalah dan tidak bernasib baik menjadi mangsanya. Gerun saya sekiranya kejadian yang tidak diingini berulang seperti ribut Greg di Sabah, bencana Tsunami di utara tanahair dan taufan Nargis di Delta Irrawaddy, Myanmar.