Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday 17 June 2008

UPM Sejati

Semalam, sepetang saya di Serdang. Hasrat nak jumpa dengan sifu-sifu di Fakulti Perhutanan. Sebelum ke sana saya telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mereka. Tetapi tiada balasan. Saya menjangkakan mereka sibuk. Jadi, tanpa salam saya terjah saja. Kecewa. Rupanya semua sedang bercuti.

Dah terlajak ke sana terus saya mencari Kudult, rakan lama yang kini bekerja dengan Azamil [rakan sekuliah yang kini sudah menjadi usahawan berjaya di dalam bidang Park Planning]. Kami berbual panjang. Sembang kedai kopi kami juga turut disertai oleh Boot.

Boot pernah menjadi Presiden Kelab Outward Bounders (KOB)UPM. Kelab 'elit' yang saya dan Kudult menjadi ahlinya suatu masa dahulu semasa di UPM. Boot sememangnya alumni UPM sejati. Jatuh bangunnya semuanya di UPM. Kami pernah bersama-sama belajar di peringkat Matrikulasi Sains UPM. Boot gagal dan diberhentikan semasa di tahun pertama lagi. Mungkin kejutan budaya. Kemudian Boot memohon untuk menyambung pengajian di peringkat diploma di dalam bidang Pertanian. Boot diterima masuk. Dia cemerlang pada tahun pertama. Boot tak perlu menamatkan pengajian di peringkat diploma beliau yang perlu mengambil masa 3 tahun. Pihak universiti seterusnya menawarkan Boot untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama dalam bidang Hortikultur tanpa perlu menamatkan pengajian di peringkat diploma. Di peringkat ijazah pertama Boot gagal di tahun akhir. Semuanya berpunca apabila beliau diserang demam Malaria. Beliau tidak dapat fokus dalam pelajaran. Boot sekali lagi gagal dan diberhentikan.

Gagal dua kali bukan bererti gagal selamanya. Boot kuatkan semangat. Boot tidak kecewa dan rendah diri. Beliau merayu untuk kembali belajar semula di peringkat diploma dalam bidang Pertanian. Kali ini Boot menamatkan pengajian dan lulus dengan cemerlang. Beliau seterusnya berjaya ke program ijazah pertama dalam bidang Pembangunan Manusia di UPM. Boot sekali lagi berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Hampir tiga tahun saya tidak bertemu Boot. Petang semalam Boot memaklumkan kepada saya bahawa beliau telah berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah lanjutan (Master) beliau dalam bidang Komunikasi Korporat dari UPM. Boot akan berkonvokesyen pada bulan Ogos nanti. Tahniah Boot.

Kecekalan Boot di dalam mengharungi kepayahan hidup di kampus UPM akhirnya terbayar jua. Gagal sekali bukan bererti gagal selamanya. Daripada kegagalan itu jualah sebenarnya kita akan berinovasi agar kita lebih pintar di dalam memilih laluan kejayaan.

Boot kini bekerja sendiri sebagai kontraktor. Beliau bercita-cita menjadi usahawan berjaya suatu hari nanti. Sama-samalah kita doakan kejayaan beliau. Insyaallah.

Kisah sahabat saya ini boleh dijadikan teladan kepada kita semua. Saya telah memohon izin daripada empunya diri sebelum kisah hidupnya ini dipaparkan. Alhamdulillah, beliau bersetuju. Sama-samalah kita renung-renungkan dengan mata hati.

5 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum..che mat,
Dengan nama Allah, yang maha pengasih dan maha penyayang

Tiada apa yg ingin dikatakan melainkan kesyukuran kepadanya yg esa kerana mengizinkan saya melalui pengalaman gagal (dare to fail)...pengalaman ini banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan
(learn from experience)....bagaimana untuk bangun semula serta merancang agar kegagalan dapat ditukarkan kepada sebuah kejayaan....keazaman serta tekad berbekalkan kata - kata serta harapan ayah dan ibu serta sokongan dari kejayaan kengkawan menjadikan azimat untuk meneroka kembali jalan yang berliku...alhamdulillah kini segala jerih payah telah berbayar...
perjuangan tetap akan diteruskan dengan keazaman baru untuk melanjutkan keperingkat PHD dalam bidang Psychology Communication semoga apa yang dirancang akan menjadi kenyataan..."alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan" kehidupan yang sementara ini mengizinkan kita untuk melakukan yang terbaik dalam hidup...serta merasai "every single moment" yang terindah dalam hidup....pilihan terbentang luas..samaada ingin berada dalam kelompok berjaya atau merintih nasib yang tiada berkesudahan..terima kasih saya ucapkan kepada sahabat c'mat kerana sudi menulis mengenai jatuh bangun saya untuk dijadikan pengajaran serta teladan kepada anak didiknya didalam blognya....kejayaan perlukan pengorbanan dan kita sentiasa diberikan 'PILIHAN'..........

Ikhlas,
Dari Menara Ke Puncak Menara
MUHD AZHARUDDIN HJ.CHE AZMAN
1992-2008

hisyamchemat said...

Syabas Sahabatku, Muhd Azharuddin. Semoga kisah jatuh bangun anda ini akan dijadikan teladan oleh penjengok-penjengok blog ini.

Anonymous said...

teringin rasanya teamtact nak jumpa orang yang macam ni.... mungkin juga pengalaman beliau boleh diambil teladan oleh persatuan yang kurang konsisten prestasinya....jangan paduli apa orang kata dan bila buat sesuatu buat sungguh2.....

PPT said...

Salam,

KUdud pun dah mula menjadi blogger. Tahniah Boss.
PPT kena tunggu lagi sebab harga minyak dah naik.

Cheers ...

hisyamchemat said...

Semoga lebih ramai lagi rakan taulan saya berkongsi maklumat, pengalaman dan idea melalui penulisan di blog. Saya pun masih baru.