Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday, 12 June 2008

Pesan Abah

"Syam, belajaq [belajar] rajin-rajin, kalau abah dah takdak nanti...abah takdak apa harta nak tinggaikan[tinggalkan] kat hang. Cuma pelajaran saja boleh tolong hang". Itu antara pesan abah yang saya masih ingat.

Abah kerja dengan gomen. Abah pernah bawa saya ke tempat kerja dia. Tepi jalan saja 'pejabat' abah. Kerja potong rumput. "Nak kerja macam abah ka", ringkas soalan abah. Saya hanya mampu menggeleng kepala.

Abah kebiasaannya berulang-alik naik basikal ke tempat kerja sebelum Cik Dan sedekahkan motosikal.

Abah memang kuat semangat. Abah banyak berkorban. Abah juga kuat bekerja. Siang malam cari duit untuk menampung kehidupan kami sekeluarga.

Saya menghabiskan zaman kanak-kanak di rumah atuk sebelah abah. Kami sekeluarga menumpang tinggal di rumah pusaka peninggalan Tok Leha.

Awal-awal pagi sebelum abah ke 'pejabat' dia akan keluar mengadap pokok getah. Kebun getah pusaka Tok Leha. Saya turut serta. Tolong abah. Nak masuk tengahari, tugas mak pula kutip susu getah yang dah beku buat getah sekerap. Abah balik tengahari jemur.

Bila abah dapat tawaran duduk di rumah pangsa (flat) kos rendah, kami semua suka hati. Bersyukur. Tidaklah kami menumpang lagi. Berubah angin ke pekan pula. Suasana baru. Kawan-kawan pun baru.

Dulu di kampung keliling rumah ada tanah. Rumah baru sesak. Tak ada laman. Semua berkongsi. Rumah bertingkat macam rumah merpati.

Abah kena kuat bekerja. Cari pendapatan sampingan. Gaji tetap RM400 sebulan perlu ditambah.

Mula-mula abah tolong Pakcik Azmi, jiran dekat rumah berniaga jagung rebus lepas waktu kerja. Abah dapat upah. Saya pun tolong.

Bila dah maju Pakcik Azmi tukar ke bisnes barangan runcit pula. Habis semua pasar malam dan pasar tani sekitar Kulim dia bawa barang-barang runcit untuk dijual. Abah tolong. Dapat upah. Saya cuma bantu.

Pernah sekali tu abah naik angin. Menyinga. Abah malu. Saya tumpahkan minyak masak masa isi dalam botol pelanggan di gerai Pakcik Azmi. Bukannya apa, saya jadi seronok bila kawan-kawan sekelas menegur saya semasa membantu abah meniaga di pasar tani. "Oii Che Mat [nama timangan saya di sekolah] hang bisnes noo...", kata salah seorang kawan sekelas saya. Seterusnya saya leka berbual kosong dengan kawan-kawan dan terlupa paip tangki minyak masak yang tengah dibuka untuk diisi ke botol pelanggan. Habis melimpah minyak masak.

Saya panik. Abah pun saya tengok panik. Muka dia pun dah lain macam. Saya dapat 'hasilnya' di situ juga. Pakcik Azmi cuba mengawal keadaan. Dia berkata, "Takpa takpa... budak-budak, jangan marah dia". Saya rasa itu cuma di mulut, di dalam hanya tuhan yang tahu. Dia dah rugi banyak. Kawan-kawan yang tadinya ada dah hilang entah ke mana.

Abah bagi duit untuk beli tiket bas. Abah halau saya balik rumah. Selepas daripada kejadian tersebut, abah dah tak bagi saya ikut dia tolong Pakcik Azmi meniaga.

Abah dah cukup modal. Dia buka warung jual ais kacang [ABC] dan rojak buah. Laku. Saya jadi tukang pusing mesin ais kacang. Abah tak mampu beli mesin elektrik.

Kali ini saya tak nak buat silap lagi. Abah happy tengok perubahan saya.

Mak pula jenis tak boleh duduk diam. Awal-awal pagi lagi dah bangun. Goreng cucur udang dan cucur karia yang bahannya dah disiapkan malam sebelumnya. Semua kuih tersebut diletakkan di warung Tok Nah dan Mak Tam. Mak pun cari pendapatan sampingan. Saya tolong hantarkan ke warung-warung tersebut sebelum ke sekolah.
Mak juga buat kerepek ubi kayu. Abah tanam pokok ubi kayu belakang rumah flat. Tanah sekangkang kera. Balik tengahari saya hantar kerepek ubi kayu mak kat warung laksa Pak Desa. Laku dan selalunya habis. Rezeki.

Semuanya saya lakukan kerana nak tolong mak dan abah. Tak pandai dan terfikir pun nak dapatkan komisen atau upah daripada mereka.

Sekarang mak dan abah dah 'tak ada' lagi. Cucu-cucu mak dan abah mungkin tak dapat merasa buat apa yang anak mak dan abah dah buat dulu. Semuanya kerana anak abah ini sentiasa ingat pesan abah.

Semoga Allah subhanahuwataala mencucuri Rahmat ke atas roh mak dan abah. Al-Fatihah untuk kedua-duanya dan seluruh umat Islam yang terlebih dahulu meninggalkan kita semua. Kita juga akan mengikuti jejak langkah mereka suatu hari nanti.

Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa-bapa yang menjengok blog ini.

2 comments:

Anonymous said...

Entah macam mana hendak digambarkan dengan kata-kata. Tapi apa yang dilalui oleh En. Hisyam amat berliku. Usaha yang tegar pasti menjadi azimat yang kuat dipegang oleh En. Hisyam untuk menghadapi kehidupan sebegitu.

Terasa sebak dalam diri saya apabila En. Hisyam sendiri bercerita tentang pengalaman hidupnya kepada saya apabila saya berkunjung ke biliknya. Hendak saja saya menitiskan air mata apabila mendengar cerita tersebut, kerana kasih sayang ayah dan ibu untuk membesarkan anak-anak mereka.

Saya teringatkan kembali kisah yang diceritakan sewaktu pulang dari bilik En. Hisyam menuju ke pusat Islam. Tidak semena-mena, air mata saya membasahi pipi sewaktu berdoa selepas selesai solat asar. Mungkin kerana teringatkan mak dan ayah yang berada di rumah.

Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada ibu bapa kita samada yang masih hidup atau pun yang sudah meninggal dunia. Al-Fatihah...

Anonymous said...

walaupun sudah arwah semangat beliau dapat saya lihat dgn mata kasar pada En. Hisyam Che Mat....