Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday 5 November 2008

Rambut Sama Hitam

Yasu dan Futoshi adalah antara rakan saya ketika menuntut di Bendigo. Kedua-duanya berasal dari Jepun. Mereka belajar di La Trobe University dengan perbelanjaan sendiri.

Rakan sekelas saya di peringkat sarjana tak ramai, enam orang sahaja jumlahnya. Selain daripada mereka berdua, yang lain datangnya dari Mexico, Singapura, Ireland, Australia dan sudah tentulah saya dari Malaysia.

Walaupun kedua-duanya datang dari negara yang sama namun masing-masing mempunyai karakter yang jauh berbeza. Mereka sering tidak sependapat. Seorang berperwatakan tegas dan kasar sementara seorang lagi pendiam dan ‘cool’. Seorang sentiasa menepati masa dan seorang lagi sentiasa sahaja terlewat. Seorang bersemangat pendekar dan seorang lagi berhati lembut. Seorang mudah tersenyum dan seorang yang sentiasa masam macam Shogun Tokugawa (pejuang).


Futoshi sering dibuli di dalam kelas oleh Yasu. Ada sahaja yang tidak dipersetujui oleh Yasu ketika Futoshi membentangkan hasil kerjanya. Futoshi banyak bersabar. Yasu sering menekan Futoshi dengan pelbagai soalan, namun Futoshi terus bertahan dan menjawab. Pernah sekali tu, Futoshi gagal mengawal tekanan dan terus menangis di hadapan kelas ketika pembentangan hasil kerja untuk kursus Advanced Outdoor Education. Kami seisi kelas termasuk pensyarah begitu simpati dengan beliau. Yasu yang sememangnya bersemangat pahlawan Jepun tidak langsung menunjukkan rasa simpati. Terus dituduh rakan senegaranya itu menciplak hasil kerja yang sedang dibentangkan. Katanya itu hasil kerja dari seorang penyelidik Jepun di dalam journal Pendidikan Luar berbahasa Jepun. Aduh kesian Futoshi, tak terjawab dia dibuatnya. Nak dijadikan cerita, penyelia penyelidikan Futoshi juga hadir ketika pembentangan tersebut.


Kesabaran Futoshi terbalas. Penderitaan selama setahun akhirnya dibalas. Beliau antara rakan sekelas kami yang terawal berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana. Tekanan yang dialami tidak mematahkan semangat juang beliau.

Saya tidak juga menyalahkan Yasu. Mungkin itu caranya. Seperti yang saya katakan sebelumnya, rakan saya yang seorang ini sememangnya tegas dalam berbicara, berprinsip dan seterusnya tidak pandai memendam rasa. Segala ketidakpuashatiannya dilepaskan. Sebab itulah juga beliau pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Penuntut-Penuntut Antarabangsa di La Troe University Bendigo. Beliau berjaya memperjuangkan nasib penuntut-penuntut dari negara-negara lain dengan membawa sebarang isu yang berbangkit ke pihak pentadbiran. Suara Yasu sememangnya sentiasa diberi perhatian oleh pihak universiti.

Itulah kisah dua rakan baik saya semasa di Bendigo.

4 comments:

Ahmad Firdaus Ibrahim said...

Seronok baca artikel kali ni, macam niat nak sambung belajar tu makin kuat la, nak rasa macam mane seronoknya belajar master ni. Lagi jauh kita jalan, makin banyak ragam manusia kita lihat. Macam-macam ada.

Ahmad Firdaus Ibrahim said...

En. Syam, kawan sepejabat saya muka en. syam macam pelakon Piere Andre. Hehehe..

hisyamchemat said...

Firdaus,
Hahahaha

wegreentheearth said...

bos,
bila nak kuar jangan pandang belakang 2?
hehee..