Rekreasi memang telah menjadi budaya di Bendigo. Orang di sini memang suka berekreasi. Cuti hujung minggu memang mereka gunakan sepenuhnya sekurang-kurangnya untuk beriadah bersama keluarga di Taman-Taman Rekreasi. Bagi yang mampu pula akan menyewa caravan untuk bercuti.
Budaya berbasikal memang telah lama wujud di sini. Setiap pagi dan petang akan ada orang yang akan berbasikal di sepanjang jalan yang sememangnya telah disediakan laluan untuk pengguna basikal. Bagi yang suka berjalan atau jogging pula, masih perbandaran di sini telah menyediakan laluan khas untuk mereka. Jadi tiada masalah conflict of interest di kalangan pengguna kenderaan bermotor, basikal dan pejalan kaki. Yang pentingnya juga, semua pengguna berdisiplin dan mematuhi undang-undang.
Penduduk di Bendigo hanya lebih kurang 81,000 orang. Bandarnya adalah yang ketiga terbesar di Victoria iaitu selepas bandar Geelong dan bandaraya Melbourne. Budaya berekreasi di kalangan masyarakatnya telah menarik beberapa syarikat besar yang mempunyai rangkaian kedai peralatan rekreasi luar di Australia untuk membuka cawangannya di Bendigo. Tidak kurang dari 5 kedai yang menjual peralatan rekreasi luar yang beroperasi di Bendigo. Antaranya Snowgum, Ray's Outdoors, Outbound Camping, Kathmandu dan Aussie Disposals.

Tidak mustahil suatu hari nanti negara kita juga akan dilanda demam rekreasi luar di mana setiap hari kita akan mendengar orang bercakap tentang aktviti luar. Orang meancang ke mana mereka ingin pergi pada hujung minggu. Apa projek-projek besar yang akan mereka rancang berkaitan aktiviti rekreasi luar pada tahun tersebut dan macam-macam lagi berkaitan rekreasi luar. Mungkin juga akan ada di dalam akhbar-akhbar tentang berita-berita terkini tentang rekreasi luar. Tidak mustahil juga Berita di rangkaian televisyen yang akan menyampaikan maklumat terkini berkaitan aktiviti rekreasi untuk sepanjang hari yang berlangsung di seluruh tanahair.
Mungkin imaginasi saya ini jauh dari realiti. Tapi segalanya mungkin.