Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday, 23 December 2008

Rapuhnya Kini

Beberapa hari lepas saya tengok ada sekumpulan anak-anak Melayu dan India sedang berkumpul betul-betul di depan TESCO Extra. Suasana petang tadi nampaknya agak gawat. Dua orang pemuda mungkin awal 20-an masing-masing satu India dan satu Melayu dah bersedia nak bertinju. Masing-masing nak tunjuk gagah. Apa sebabnya tidak pula dapat saya pastikan. Saya menjangkakan mungkin sebab terlanggar bahu sahaja (firasat saya sahaja). Ramai penonton tak berbayar di sekeliling mereka. Saja seronok nak menonton.

Nasib baiklah ada seorang mamat India ni yang masih nak pakai otak (rasional) dan bukannya emosi semata-mata. Dia nampaknya lebih dewasa daripada kedua-dua budak Melayu dan India tadi. Dari pakaian seragam yang dipakai, mungkin dia staf TESCO. Disuruhnya si India tadi beralah dan meminta yang Melayu tadi berhentilah tolak menolak. Hujan renyai-renyai tidak menghalang lebih ramai penonton tidak berbayar mengerumuni mereka. Saya hanya sekali sekala memandang dari jauh sambil memasukkan barang ke dalam but kereta. Biasalah nak tahu juga apa kesudahannya.

Alhamdulillah keduanya berdamai akhirnya walaupun jelas kelihatan muka tak puashati di antara keduanya yang masih lagi menebal. Nasib baik ada PBB (lelaki India dewasa) yang sudi mendamaikan kedua. Nasib baik Allah kurniakan keberanian dan kekuatan kepada PBB tersebut untuk menjadi pendamai. Kalau tidak, sudah tentulah peristiwa petang tadi akan menjadi rentetan kepada aksi yang lebih ganas lagi. Mana taknya, rupa-rupanya kedua-dua budak lelaki tadi dah ada kawan masing-masing yang telah bersedia di samping keduanya. Yang ramai-ramai tadi tu rakan-rakan merekalah tu.

Teringat saya di zaman sekolah dahulu. Mungkin inipun pernah saya ceritakan dahulu. Saya ada kawan baik dari sekolah rendah sampai menengah. Nama dia Punaneswaran. Budak India ni memang suka nyanyi lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Alleycats. Kebetulan pula memang kami peminat Alleycats maka kami memang ngam. Sambil-sambil tu Punanes juga mengajar saya beberapa sebutan di dalam bahasa Tamil dan mengajar saya menyanyi beberapa lagu dalam bahasa Tamil dan Hindustan. Persahabatan kami tak lama. Selepas tamat SRP (atau PMR sekarang), Punaneswaran tak muncul-muncul lagi. Kata jirannya, dia dah pindah ke Sekolah Tinggi Bukit Mertajam ikut makciknya (Nota: Ibubapanya dah lama meninggal). Saya hilang seorang kawan dari bangsa lain yang cukup ngam pada masa itu. Selain daripada itu saya ada beberapa orang lagi kawan dari bangsa lain antaranya Ooi (anak pemilik Klinik Ooi yang terkenal di Kulim, Chong Cheng Min (anak pemilik Night Bookstore), Wong Chee Meng, Kumaladewi dan beberapa nama lagi yang saya dah lupa. Kami semua berkawan baik sehinggalah masing-masing tamat SPM.

Ketika belajar di universiti pula saya ada kawan baik yang sering bersama saya. Shamraj namanya. Walaupun kami dari program yang berbeza di universiti, tetapi outdoor yang menemukan dan merapatkan kami. Kami sama-sama aktif dalam Kelab Outward Bounders pada ketika itu. Sehingga kini kami masih berhubung. Kesibukan tugas dan rutin kehidupan masing-masing yang memisahkan kami.

Di tempat kerja sekarang pula sebenarnya FSR sangat bertuah kerana mempunyai beberapa orang pensyarah dari bangsa lain. Mereka ini sudi berkhidmat untuk memajukan anak bangsa saya. Mereka tidak kisah bekerja di dalam satu organisasi yang majoritinya Bumiputera berbangsa Melayu. Tan, Ong, Kee, Tham, Khor, Dr Wee, Mahendran, Dr Kwame dan Vincent adalah antara mereka yang setia mendidik anak-anak bumiputera di UiTM. Kesetiaan dan semangat mereka kadangkalanya melebihi daripada semangat mendidik daripada bangsaku sendiri. Sesungguhnya kita di UiTM patut bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan dari bangsa lain yang sanggup berkongsi ilmu seperti ini.

Oleh nasihat saya kepada penjengok-penjengok sekalian, janganlah dimusnahkan kehidupan kita yang aman damai di bumi bertuah ini. Jangan kita asyik nak bersengketa dek kerana benda yang remeh temeh sahaja. Banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk membangunkan bangsa, agama dan Negara. Sesungguhnya Negara kita ini kecil sahaja. Kalau semua orang nak bergaduh siapalah lagi yang boleh kita harapkan untuk menjaganya.

Fikir-fikir renung-renunglah dengan mata hati.

1 comment:

Anonymous said...

En Hisham,

Pertamanya kita mesti menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan - ini untuk tujuan komunikasi.

Yang kedua, kita harus jujur dalam berkawan.

Bersikap adil kepada kawan dan lawan.

Kita jangan lekas sangat mengikut rentak mereka yang ada kepentingan. Kita harus memperkasa diri kerana ia akan membantu kita memisahkan yang baik dan buruk.

Saya sangat ramai kawan dari bangsa lain dan gembira mengenali mereka.

Dalam surah al-Hujurat, Allah s.w.t. bagi bottom line yang sangat clear - manusia diciptakan dengan kepelbagaian untuk saling kenal.