Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday, 11 December 2008

Yang dan Pak Lang

Memang saya cukup teruja untuk mempunyai ramai anak. Ketika bercinta dahulupun saya pernah menyatakan kepada Liza tentang hasrat saya yang menginginkan anak seramai mungkin sekiranya kami ditakdirkan hidup bersama. Saya tak kisah untuk menjaga mereka kesemuanya. Saya yakin saya mampu. Nah, sekarang Allah sudah kurniakan kami 3 orang cahaya mata. Alhamdulillah sehingga ke hari ini saya dan Liza masih mampu menangani karenah ketiga-tiga mereka.

Saya tidak akan lupakan jasa Yang (adik mak saya) dan Pak Lang yang sanggup datang dari Kulim untuk mengajar saya cara untuk memandikan dan menguruskan Kamilia yang ketika itu masih bayi. Mula-mulanya memanglah saya melakukan dalam keadaan yang akan kekok dan serba tak kena. Tetapi setelah beberapa kali ditunjukkan cara yang betul, saya memberanikan diri untuk memandikan bayi yang masih lembik itu. Pengalaman ini cukup berguna untuk saya gunakan hinggalah ke hari ini.

Sayangnya Yang telah pergi untuk selama-lamanya genap dua tahun lalu di Tanah Suci Mekah selepas selesai wukuf di Padang Arafah. Jasa arwah Yang tidak akan saya dan Liza lupakan selagi hayat dikandung badan. Keikhlasan arwah Yang dan Pak Lang juga jelas terpancar ketika kedua-dua mereka datang semata-mata untuk mengajar saya dan Liza tentang cara untuk mengerjakan ibadah umrah pada tahun 2002. Alhamdulillah dengan pengajaran melalui pengalaman mereka telah memudahkan saya dan Liza di dalam mengerjakan ibadah umrah. Semoga roh allahyarhamah Hamidah binti Mohamad Noh dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan golongan yang beriman. Al-Fatihah.

1 comment:

Ahmad Firdaus Ibrahim said...

Al-Fatihah kepada Arwah Yang, insan seperti ini penting dalam mengajar anak2 muda erti kehidupan.