Mendengar Khutbah selepas solat sunat Eidul Adha sungguh menginsafkan. Walaupun kisah berkaitan pengorbanan Nabi Allah Ibrahim alaihi wassalam dan anaknya Nabi Ismail a.s. serta isteri beliau Siti Hajar acapkali saya dengar, namun penyampaian dengan penuh perasaan daripada Khatib yang juga Pengerusi Surau Al-Mawaddah Seksyen 7 cukup menusuk kalbu.
Sudah pastilah setiap kali apabila tibanya Eidul Adha, kita tidak akan lupa mengimbas kembali kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail ‘alaihi wassalaam. Kita sebagai umat Islam perlu mengambil iktibar daripada pengorbanan besar yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s., yang patuh dengan sepenuh hati dan ketakwaan serta dengan penuh rela hati bersedia mengorbankan atau menyembelih anaknya.
Saya juga ingin sama-sama megimbas kembali kisah pengorbanan Saidatina Siti Hajar, ibunda kepada Nabi Ismail a.s. di dalam usahanya untuk menyelamatkan anaknya yang kehausan. Dengan penuh kesungguhan dan kasih sayang, beliau berusaha tanpa lelah berlari dan mendaki di antara Bukit Safa dan Marwah. Sepanjang itu, beliau tidak lupa akan Allah s.w.t. dan meminta bantuan serta pertolongannya. Walaupun pada mulanya beliau tidak memperolehi air yang dicari, beliau tetap meneruskan usahanya. Akhirnya, berkat kegigihan dan kemantapan jiwa yang dimiliki oleh Saiyidatina Siti Hajar, Allah mengurniakan apa yang dicarinya. Sikap positif Siti Hajar telah mendorong beliau untuk meneruskan usahanya tanpa lelah dan mengalah. Berkat kegigihan dan keyakinannya, Allah s.w.t. telah membalas pengorbanannya dengan pancuran air Zam Zam yang dikekalkan sehingga hari ini untuk dimanfaatkan oleh jutaan manusia. Siti Hajar terus meminta bantuan Allah s.w.t. dan tidak berputus asa denganNya.
Kisah di atas boleh dijadikan pelajaran yang begitu penting sekali bagi kita di dalam berdepan dengan sesuatu dugaan. Kekalkan sikap positif dan tingkatkan keyakinan kita pada Allah s.w.t. Usahakan supaya kita dapat meraih manfaat di dalam melalui kepayahan dan menjalani pengorbanan.
1 comment:
Segala usaha kita akan dibalas dengan ganjaran, walaupun bukan di dunia tapi diakhirat kelak pasti ada. Jangan cepat mengalah.
Post a Comment