Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday, 27 May 2008

Berkorban Apa Saja

Sebentar tadi saya menghadirkan diri ke Upacara Konvokesyen UiTM ke-68 bertempat di Dewan Seri Budiman, UiTM. Pelajar-pelajar kumpulan pertama ketika saya menjadi Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan dengan Kepujian (KP221) bergraduat. Meriah sungguh upacara petang ini. Budak-budak sukan bergabung dengan budak-budak law tentulah kecoh jadinya. Ianya sampai ditegur oleh Pro-Canselor, Y. Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad dipermulaan ucapan beliau. Tetapi saya faham, inilah hari gembira para graduan selepas berhempas pulas berusaha menamatkan pengajian mereka di universiti. Ini hari gembira mereka.


Seperti yang dicoretankan di awalnya, konvokensyen ini menemukan kembali saya dengan pelajar-pelajar batch pertama ketika saya menjadi KP 221. Saya masih ingat lagi pelajar yang lebih mesra saya panggil dengan nickname mereka seperti Itik, Boy, Peon, Baom, Omri, Gayah, Arthur, Kojet, Pia, Bebika, Shaleha, Harry, Adib, OZ, Yus, Najib, Mariatun, Azirul, Rude, Rahman, Norisham dan Uda. Tidak banyak masalah yang ditimbulkan oleh mereka ketika saya baru dilantik sebagai KP221. Senang kerja saya. Kini kebanyakan mereka dari batch yang sama telah bergraduat. Yang tinggal hanya seorang dua lagi yang akan bergraduat pada konvokesyen akan datang disebabkan tersangkut di peringkat thesis.

Saya merasakan kebanyakan daripada tetamu pada petang ini tersentuh dengan ucapan daripada Tan Sri Pro-Canselor. Beliau mengingatkan kepada hadirin terutamanya kepada para graduan tentang pengorbanan golongan tertentu yang tidak sepatutnya dilupakan. Ianya bermula dengan pengorbanan guru-guru sekolah rendah. Jasa mereka tidak terkira bermula dengan mengajar kita membaca, menulis dan seterusnya mengira. Guru-guru ini tidak mengharapkan sebarang balasan daripada anak muridnya. Sebaliknya gembira dengan kejayaan anak didik mereka. Di sekolah menengah pula graduan-graduan diingatkan supaya tidak melupakan jasa-jasa guru-guru mereka yang mengajar anak murid mereka menilai dan mengkaji. Jasa-jasa barisan pensyarah semasa mereka menuntut di universiti juga diingatkan oleh Pro-Canselor supaya tidak dilupakan.


Seterusnya pengorbanan yang semestinya para graduan semua wajib hargai adalah pengorbanan ibu dan bapa. Merekalah yang berusaha mencari rezeki membesarkan anak-anak mereka. Seorang penjaga yang bekerja sebagai penoreh getah perlu bangun seawal pagi mengadap pokok getah. Seorang ibu atau bapa yang bekerja sebagai petani atau pesawah perlu membanting tulang di tengah terik mentari dan hujan yang turun di ladang atau sawah untuk mencari rezeki. Seorang nelayan pula perlu turun ke laut dengan dialun gelombang dan pulang dengan tangkapan yang tidak seberapa. Begitu juga penjaga yang bekerja sebagai pengayuh beca dan pemandu teksi yang bergantung harap kepada penumpang yang sudi menggunakan khidmatnya. Dugaan bagi ibubapa yang bertugas sebagai polis juga sangat mencabar. Mereka perlu berdepan dengan sebarang kemungkinan ketika bertugas untuk mencari nafkah membesarkan anak-anak.

Ibubapa ini telah berkorban masa, wang dan sudah semestinya doa untuk anak-anak mereka. Di akhir ucapan beliau, Tan Sri Pro-Canselor sekali mengingatkan kepada para graduan, jangan lupa jasa ibubapa. Jangan tunggu hingga esok. Mungkin tiada hari esok. Peluk dan ciumlah mereka sepertimana mereka memeluk cium kita ketika masih kecil dahulu. Mungkin peluh mereka berbau. Tetapi peluh yang berbau itulah yang telah berpenat lelah siang dan malam membesarkan kita.

4 comments:

Anonymous said...

tersentuh juga hati bila membaca coretan bos yang ini. ingatla pada ibu bapa kita. jangan bila dah tiada nanti baru sibuk nak peluk cium. biarlah peluh yang berbau itu jadi pewangi pada kita sebagai ank2.

HiCMat said...

Betul tu bersyukurlah kepada yang masih ada kedua-duanya. Kalau dah tak ada menangis airmata darah sekalipun tak akan 'membangkitkan' mereka kembali. Sayangilah ibubapa anda sebagaimana mereka menyayangi, menjaga dan membelai anda sedari anda masih kecil hinggalah anda telah dewasa. Jika mereka telah tiada di dunia ini maka berdoalah agar Allah mengampunkan dosa mereka dan menempatkan mereka di kalangan mereka yang beriman.

moncet said...

turn saya plak..
:)

HiCMat said...

Tahniah Abe. Akhirnya...