Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday, 11 February 2009

Hijrahlah Saudaraku

Memang dah lama saya dah suruh Kak Ti dan suaminya berpindah ke Kulim. Semenjak awal tahun 2000 lagi. Saya tidak pernah jemu memujuk kedua mereka untuk berhijrah. Suami Kak Ti masih berpegang pada prinsip. Memang dia keras hati. Dia nak buktikan pada Pak Njang bahawa kampungnya di Sik bukan seperti yang disangkakan oleh Pak Njang. Dia masih boleh mencari rezeki di Sik. Saranan Pak Njang memang tidak setuju langsung. Adakah patut Pak Njang katakan sekiranya selepas kahwin nanti mereka menetap di Sik... seluar dalam pun belum tentu dia boleh beli. Hina sangatkah Sik ini! Tapi saya faham maksud Pak Njang. Dia tidak mahu Kak Ti hidup susah. Tapi suami Kak Ti buat-buat tak faham.

Pertengahan tahun 2001 saya pernah singgah di rumah mak mertua Kak Ti. Tempat di mana mereka menumpang ketika itu selepas mereka berumahtangga. Bukan nak memalukan kakak sendiri tetapi saya teramat simpati. Kehidupan mereka amat dhaif. Kalau arwah mak dan abah masih ada tentu mereka sedih. Susah mereka pun tidak sampai ke tahap itu. Padahal Kak Ti dah berjawatan Penyelia ketika bekerja di sebuah kilang di Kulim. Tapi dia sanggup berhenti dan mengikut suaminya menetap di Sik.

Ketika di dalam perjalanan untuk melawat pelajar FSR yang sedang menjalani latihan praktikal di Tasik Pedu bersama-sama dua orang sahabat, Boot dan Kudult pada pertengahan tahun 2001. Saya terjah sahaja rumah mereka seawal jam 4 pagi. Saya hanya membuat panggilan ke rumah mak mertua Kak Ti ketika saya benar-benar hampir dengan rumah mereka. Saya nak tunjukkan kepada kawan-kawan saya tentang kedhaifan hidup kakak kandung saya. Saya mahu Boot dan Kudult cuba menasihati Kak Ti dan suaminya agar berhijrah. Kami gagal. Suami Kak Ti memang keras hati.

Dari sehari ke sehari, tahun ke tahun saya masih tidak jemu mengajak Kak Ti sekeluarga agar berhijrah. Semuanya saya lakukan kerana simpati dengan keadaan hidup kakak kandung saya itu. Saya kasihan anak-anak buah saya. Bukan mudah untuk belajar dalam suasana yang serba kekurangan tanpa bekalan elektrik dan air. Rumah mereka pula sukar untuk saya gambarkan di sini. Kudult, Boot dan saudara mara saya yang pernah ke Sik tentu lebih mengetahui.

Bukannya keluarga kami di Kulim tak mampu. Saya dah hadiahkan rumah peninggalan arwah abah di Kulim untuk Kak Ti sekeluarga. Kalau tak cukup besar, saya anugerahkan lagi tanah peninggalan arwah emak dan abah. Pilihlah mana satu nak dibina rumah. Sinar kehidupan di Kulim sememangnya lebih cerah. Tapi sayangnya suami Kak Ti masih keras hati. Semua itu tidak dipandangnya. Dia masih berpegang pada prinsip hidupnya. Kebanyakan saudara mara di Kulim dianggap sebagai musuh. Mereka yang cuba menasihati terus dianggap musuh.

Ketika saya membawa Liza dan anak-anak beraya di Sik tahun lepas, Kak Ti gembira melayan kami. Kak Ti menjamu kami dengan kuih raya dan lauk pauk yang disediakannya sendiri bagi menyambut kami. Dia hadiahkan duit raya kepada anak-anak saya yang pada tahun sebelum-sebelumnya memang dia tidak mampu untuk berikan. Saya tahu kehidupan Kak Ti sekeluarga ada sedikit perubahan. Saya dapat melihat raut wajah Kak Ti yang keletihan. Wajahnya lebih tua dari usia. Mungkin kerana penat bekerja membantu suami.


Kasihan Kak Ti dan anak-anak. Kak Ti tak sempat merasakan sepenuhnya kesenangan yang ditinggalkan oleh pusaka Mak dan Abah. Kak Ti sememangnya seorang isteri yang taat pada suaminya. Arwah setia menemani suaminya di kala kehidupan mereka yang susah. Dia tak sanggup meninggalkan suaminya walau sedetik untuk mengejar kesenangan yang dijanjikan di tempat kelahirannya. Begitulah taat dan setianya seorang isteri terhadap suaminya. Kini saya faham Kak Ti tidak mengharapkan bahagia dunia semata tetapi bahagia abadilah yang dicarinya.

Saya berdoa agar arwah Abah, Mak dan Kak Ti mendapat kemewahan sebenar di syurga Firdaus. Dan tunggulah kami di sana...

11 comments:

mommysarah said...

mudah-mudahan arwah tergolong dalam orang2 yg beriman. pengorbanan arwah belum tentu boleh dilaksanakan oleh semua insan yang bergelar isteri termasuklah diri saya juga. agar menjadi pedoman untuk kite semua. salam dr kami bertiga.

aiShaH said...

Semoga rohnya dicucri rahmat. InsyaAllah ada sinar menanti di sana atas apa yang telah dikorbankan. Bukan senang ingin melupakan mereka yang telah pergi..

wegreentheearth said...

amin ya rabbalalamin...

Ahmad Firdaus Ibrahim said...

Arwah seorang isteri yang taat kepada suaminya. Harap-harap semua isteri juga begitu. Saya doakan arwah ditempatkan di dalam syurga Firdaus. Amin...

RIMBA said...

Assalammualaikum....

Ya Allah... berikanlah keampunan Mu kepada arwah kak Ti, berilah rahmat Mu kepada arwah kak ti... Kau tempatkan lah arwah kak Ti dikalangan orang-orang yang beriman dan taat pada perintah Mu... Ya Allah kau kuatkan dan kau kurniakanlah keberkatan,keimanan dan semangat pada En.Hisyam Che Mat dan seluruh keluarganya...

Amin YA RABBAL A'LAMIN

kuDULT said...

Salam.

Arwah seorang isteri solehah. Sukar untuk memahami arwah jika kurang menghayati kehidupan dan perjuangan arwah....

Aku baru balik dari Sik 2 minggu lepas. Masa carik guide utk tunjuk jalan pegi Lata Lembu, aku belanja makan orang Sik satu kedai...sarapan je laaa....bukan nak tunjuk baik tapi nak bagi tau jumlah keseluruhan satu kedai yang aku bayar utk sarapan tu cuma RM13.40. Aku tanya tuan kedai sampai 4 kali... sampai Yusran marah dan suruh bayar je...jgn byk tanya! Katanya ini kampung, bukan KL...emmm

aku duduk chalet bekas ahli parlimen Sik, Serendah Sekebun Bunga. Orangnya sangat peramah, buatkan air kopi petang dan malam. Layan bukan macam tetamu tapi macam sedara....

aishahadnan said...

salam takziah diatas pemergian insan yang amat en.hisyam sayangi..iaitu kakak en.hisyam..semoga roh beliau ditempatkan bersama orang2 yang beriman...diharap en.hisyam tabah menghadapi segala dugaan dan ujian dari-Nya...dan dengan ujian berkenaan diharap en.hisyam akan menjadi insan yang lebih tabah dan berjiwa kental...amin...

yazilahyazir said...

Salam En. Hisyam..
Salam Takziah dari saya sekeluarga. Semoga arwah kakak En. Hisyam ditempatkan dikalangan org yg beriman dan solehah. Amin..

HiCMat said...

Along, Pn Aishah, Mus, Ustad, Rimba, Ecah,Yazilah dan penjenguk-penjenguk sekalian,
Terima kasih di atas doa-doa kalian semua.

Kudult,
Sememangnya orang Sik ramah tamah. Kos kehidupan di sana juga rendah. Kuih muih masih boleh dibeli dengan harga RM1 untuk 4@5 biji. Makan pun murah. Kalau hang ke Baling pula, ada seorang makcik tu nama Halipah masih jual sebiji kuih dengan harga 10 sen kat Pasar Ramadhan dari dulu sampai sekarang.

Penerus Hidup said...

salam bos... mungkin agak lambat, tapi saya ucapkan takziah di atas pemergian kakak en hisyam... semoga arwah dicucuri rahmat dan di tempatkan dikalangan muslimah yang solehah... semoga arwah tergolong dlm golongan penghuni syurga firdaus... insya allah... amin..

Mazlan Anjang said...

Assalamualaikum,saya berharap bantuan tuan untk mendapatkan no telefon makcik halipah,saya ada job nk bg utk makcik tu buat kuih,mazlan 016-4152248