Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday, 9 April 2008

Yang Dinanti Dah Tiba

Bukan senang saya nak mencuri masa nak membuat coretan untuk Amali Perkhemahan Akhir di Tasik Kenyir. Tugasan yang muncul tanpa ada titik noktah menyebabkan coretan mengenai amali tersebut terpaksa ditunda dari hari ke hari. Biarpun 'Final Camp' sudah melabuhkan tirainya lebih daripada 2 minggu yang lalu, namun pengalaman yang perolehi untuk kem ini sangat banyak. Meskipun kem ini dilaksanakan di tempat yang boleh saya katakan sebagai 'gelanggang permainan' saya sejak menjadi siswa di UPM dulu, namun kenangan bersama kumpulan yang berbeza akan menghasilkan pengalaman yang berbeza buat saya.

Nostalgia Di KOLA
Kali pertama saya menjejakkan kaki ke Tasik Kenyir adalah pada 1 haribulan April tahun 1998 bersama dua orang sahabat iaitu saudara Kudult [Mohd Zainal Mohamed Arshed dan Pak Tam[Hazrul Uza Yaakob]untuk latihan praktikal selama sebulan setengah [1/4/1998 hingga 15/5/1998]. Di sini jugalah saya mendapat ramai kenalan baru seperti En Jasni, En Rosbi, Saudara Joe, Saudara Khairul, Zaza, Sudin, Saudara Mat Cook, Arwah Armie a.k.a Abu dan banyak lagi. Di Kenyir Outdoor Leadership Academy (KOLA) atau kini dikenali sebagai Kenyir Sanctuary Resort (KSR) kami belajar mengenal dan berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan rekreasi luar. Kami bertiga bertugas siang dan malam tanpa mengenal erti penat lelah kerana minat yang teramat sangat dengan aktiviti rekreasi luar. Di KOLA boleh dikatakan semuanya ada. Aktiviti air dan daratnya cukup lengkap. Yang penting kesanggupan untuk melakukannya.

Final Camp
Kalau dulu saya datang sebagai pelajar kini saya 'kembali' sebagai tenaga pengajar yang membawa bersama 52 orang pelajar subjek Rekreasi Luar. Saya dibantu oleh 16 orang fasilitator daripada Persatuan Pembimbing Rekreasi Luar (PERLU) UiTM. Selain daripada itu seramai 7 orang Alumni FSR turut serta turun padang untuk membantu menjayakan kem pada kali ini. Barisan pensyarah yang sudi melapangkan masa untuk bersama-sama pelajar memeriahkan lagi program kali ini adalah Cik Suhana, Saudara Hosni dan Saudara Shahril. Program diceriakan lagi dengan kehadiran Dekan FSR, Prof Madya Dr Mohd Khairi bin Zawi.

Cabaran dan Dugaan
Biarpun program ini menempatkan pelajar Diploma Pengajian Sukan dan pelajar Sarjana Muda Pengurusan Sukan(Pengkhususan Pengurusan Rekreasi)di lokasi yang sama, namun aktivitinya adalah berbeza. Fasilitatornya juga berbeza. Cabaran dan dugaan juga berbeza.

Dari awal lagi peserta perkhemahan terkejut apabila dimaklumkan tapak perkhemahan mereka telah diubah ke kawasan belukar dan semak berbanding dengan pilihan awal mereka ketika datang untuk survei. Di atas kecekalan para peserta, kawasan yang sebelumnya dianggap mustahil untuk didirikan khemah dan 'berkampung' telah menjadi kawasan yang 'sayang' untuk ditinggalkan. Manakan tidak, kawasan yang sebelumnya berbonjol kini rata, yang semak kini cerah dan yang kotor menjadi bersih. Semuanya berkat kerjasama semua peserta. Sebenarnya tiada yang mustahil sekiranya segala kerja dijalankan secara bergotong royong dan bertolak ansur.

Tidur? Ini bukanlah tempatnya untuk peserta datang dan nyenyak beradu. Mereka perlu bekerja siang dan malam. Perkhemahan selama 5 hari terlalu singkat untuk mengumpul ilmu berkaitan rekreasi luar. Masa perlu digunakan secara sepenuhnya. Namun masa rehat tetap diperuntukkan untuk mengelakkan pelajar hilang fokus dan berlakunya kecederaan.
Alhamdulillah selesai perkhemahan tiada peserta dan fasilitator yang tercedera atau ditimpa kemalangan.

Terima kasih daun keladi
Sebenarnya banyak kenangan yang ingin saya catatkan di sini. Namun masa saya begitu terhad. Saya boleh menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri perubahan yang berlaku pada para peserta. Selama 5 hari berkampung dan dalam suasana yang agak tertekan, karakter sebenar seseorang individu juga akan 'tertonjol' dengan sendiri. Tiada apa yang dapat diselindungkan lagi. Namun ada juga yang boleh 'berlakon' tanpa mengetahui diri mereka sedang diperhatikan. Moga mereka mendapat hidayah daripadaNYA.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Dekan FSR di atas sokongan dan kepercayaan beliau yang tidak berbelah bahagi. Barisan pensyarah yang sudi hadir tidak akan saya lupakan peranan mereka. Pengorbanan Alumni PERLU dan FSR yang sudi mengambil cuti tahunan tidak akan saya lupakan juga. Di samping itu kehadiran PERLU sangat-sangat membantu di dalam menjayakan program saya. Khidmat mereka akan sentiasa diperlukan di dalam program perkhemahan saya. Jazakallahi khathira.

Sekitar Gambar Perkhemahan Pelajar Diploma










Sekitar Gambar Perkhemahan Pelajar Ijazah

















Monday, 7 April 2008

Kali Pertama


Mungkin dah basi kot? Inilah yang bermain di pemikiran saya apabila ingin mengenangkan kembali kenangan semasa ke Tanjung Gosong. Dah lama sangat dah program ini berakhir baru sekarang nak dibuat laporannya.

Ceritanya bermula apabila saudara Sadek (Koordinator Program Usahasama FSR) meminta saya ke Pahang untuk menilai Amali Perkhemahan Akhir Rekreasi Luar Kolej-Kolej Bersekutu. Ini kerana kedua-dua kolej yang terlibat iaitu Kolej Shahputra dan INSTEDT telah menggunapakai Program Diploma Pengajian Sukan [SR113] daripada UiTM sebagai salah satu daripada program yang ditawarkan oleh kolej mereka. Siswa-siswi SR113 pula perlu mendaftar untuk subjek wajib iaitu Rekreasi Luar. Maka terpaksalah atlit-atlit ini yang sebahagian besarnya tidak biasa dengan kehidupan di kawasan perkhemahan, berkampung selama 4 hari 3 malam di Pusat Kokurikulum Tanjung Gosong, Pahang. Seramai 54 orang pelajar telah menghadiri amali ini dengan 6 orang pensyarah yang turut serta membantu menjayakan program ini. Pada tahun ini kedua-dua kolej telah bersepakat untuk menjadikan Kolej Shahputra atau negeri Pahang sebagai tuan rumah. Tetapi lain pulak jadinya. Akibat kekurangan atau lebih tepat lagi tiada fasilitator, saya pulak terpaksa mengambil alih tugas fasilitator. Nasib baik ada Mustakim, Usop dan Bin yang banyak membantu serta tidak dilupa juga para pensyarah dari Kolej Shahputra yang banyak memainkan peranan di dalam menjayakan amali ini.

Penilaian keseluruhannya saya berkenaan program ini mudah sahaja:-
1. Pihak penganjur perlu mengadakan persediaan yang lebih rapi di dalam merancang program dan aktiviti secara keseluruhannya. Peta yang tidak mencukupi dilihat sebagai kelemahan [ia hanya cukup untuk kumpulan sahaja - fasilitator tiada peta untuk dirujuk sekiranya berlaku sebarang kemalangan atau kecemasan].

2. Ketiadaan fasilitator yang berkebolehan dilihat telah merencatkan aktiviti yang ingin dijalankan. Fasilitator yang dijanjikan oleh pengurusan Pusat Kokurikulum Pahang tidak muncul-muncul sehinggalah program tamat. Adakah pihak penganjur menghubungi pihak Pusat Ko sebelum program untuk memastikan kehadiran para fasilitator?

3. Kedua-dua kolej juga mempunyai kekangan dari segi peralatan untuk aktiviti. Peralatan untuk aktiviti diperlukan oleh kedua-dua kolej untuk memastikan produk yang mereka hasilkan sama seperti di induk [Shah Alam] iaitu dari segi ilmu dan pengalaman berekreasi. Kedua-dua kolej perlu memperuntukkan bajet untuk membeli peralatan asas perkhemahan, peralatan tali temali dan peralatan orienteering.

4. Saya kurang berkenan dengan jurulatih daripada sebuah organisasi menyelamat yang datang membantu [dibayar]. Saya ada bukti yang boleh menunjukkan mereka tidak memakai peralatan keselamatan ketika bertugas sebagai 'dispatcher' untuk aktiviti abseiling. Katalah ada peserta yang gayat dan turut sama menarik anggota Bomba terbabit, tentu ia akan jadi isu besar. Sepatutnya sebelum kita memastikan orang lain selamat kita hendaklah memastikan diri kita dulu yang selamat. Bukannya kita yang 'terselamat'.
Oleh kerana itu dalam bahasa mudahnya, adalah lebih baik sekiranya pihak kedua-dua kolej bersekutu terbabit melatih para pensyarah dan pelajar-pelajar yang berkebolehan untuk bertugas sebagai fasilitator. Ini akan dapat memastikan objektif program yang telah dirancang akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

5. Kenderaan 'standby' tiada. Nasib baik ada kenderaan pensyarah dan kereta rasmi daripada UiTM induk. Kenderaan ini diperlukan ketika aktiviti dan di kala kecemasan. Adakalanya ketika kecemasan khidmat pemandu yang berkemahiran dan cukup rehat diperlukan untuk menghantar pesakit ke hospital atau klinik berhampiran [pensyarah dan fasilitator kebiasaannya akan keletihan mengendalikan program]

6. Pengetahuan tentang kawasan yang ingin dijalankan aktiviti juga diperlukan oleh penganjurdan fasilitator. Ini bagi memastikan tidak berlaku kes kehilangan, lemas ketika pasang surut [aktiviti di air] dan sebagainya. Program juga perlu dimaklumkan kepada Balai Polis dan Hospital berhampiran. Tak lupa juga kepada masyarakat setempat melalui Tok Penghulu.

Bukan niat saya untuk mencari kesalahan. Hanya untuk berkongsi kelemahan yang ada ruang untuk sama-sama diperbaiki. Melalui penilaian di atas diharapkan pihak penganjur dapat berusaha mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang ada daripada program tempohari dan memastikan ianya tidak berulang lagi. Janganlah sehingga ada peserta yang cedera atau kehilangan nyawa barulah kita hendaklah menyalahkan antara satu sama lain. Kita tak mahu ada ibubapa/penjaga yang menangis dan meratap hiba akibat kecuaian kita di dalam mengendalikan kem, nauzubillahiminzalik.

Antara foto-foto yang sempat dirakamkan disepanjang program yang berlangsung selama 4 hari 3 malam.

Tanya Jangan Tak Tanya

Ada yang dah mula tertanya-tanya kenapa dah lama tak 'update' blog. Dah tak minat lagi ka? Hangat-hangat taik ayam ja kot! Dah tak da idea lagi ka? Jawapan mudah saya, tak dak masa hehehe... Walaupun Allah kurniakan kita semua masa yang sama iaitu 24 jam sehari, tetapi orang macam saya ni kadang-kadangnya tak pandai nak mengurus masa.

Sepanjang hampir sebulan saya tidak menulis ini, banyak aktiviti yang telah saya hadiri dan terlibat secara langsung. Antaranya Perkhemahan Akhir Kursus Rekreasi Luar bagi siswa-siswi Kolej-kolej Bersekutu UiTM iaitu Kolej Shahputra dan Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) yang bertempat di Tanjung Gosong @ TanGo, Kuantan,Pahang. Selain itu juga siswa-siswi FSR UiTM juga telah selamat menjalankan Perkhemahan Akhir bertempat di Tasik Kenyir, Terengganu.

Laporan keseluruhan kem akan saya masukkan dalam 'posting' seterusnya. Semoga penjengok-penjengok blog ini akan terus setia mengikuti perkembangan coretan saya.

Thursday, 6 March 2008

Papa... kakak pening

[UPDATE 7/3/2008]

Alhamdulillah, berkat doa rakan-rakan semua, anakanda saya, Kamilia Afiqah sudah sihat walafiat. Kalau harisebelumnya Kamilia langsung tak berselera untuk makan, pagi ini berselera sekali dia makan ketika saya bawanya ke kedai untuk sarapan pagi.

[posting asal]
Itulah ungkapan yang keluar daripada mulut Kamilia ketika bangun tidur pagi tadi. "Kakak tak nak ke sekolah" sambung Kamilia sambil merengek minta simpati. Terkejut saya dibuatnya. Mana taknya... selalunya Kamilia akan cepat-cepat bersiap selepas bangun kerana dia cukup seronok nak ke sekolah. Bila dah minta taknak ke sekolah, maka tandanya teruklah sakitnya tu. Jarang saya dengar kanak-kanak pening.

Selepas solat Subuh, sekali lagi saya memujuk Kamilia agar ke sekolah, tetapi hampa. Dia tetap enggan bersiap untuk ke sekolah. Katanya nak tinggal di rumah saja. Mana boleh kata saya. Takkan nak tinggal sorang-sorang.

Pagi ni pula ada amali kayak dan menyelamat di air. Saya tak boleh batalkan kerana Kem Akhir semakin hampir. Pelajar-pelajar ini perlu diajar teknik berkayak dan menyelamat di air agar memudahkan perjalanan kem nanti. Seterusnya saya membuat panggilan kepada Firdaus a.k.a 'Ustaz'. Minta 'talian hayat' agar menggantikan saya untuk mengajar teori kayak. Alhamdulillah Firdaus bersetuju.

Saya perlu bawa Kamilia ke DEMC dulu untuk mengenalpasti punca penyakitnya. Sesampai sahaja di DEMC tiba-tiba Kamilia merengek...katanya nak muntah. Arghhh makin parah ni. Tadi pening sekarang dah muntah pula. Beberapa kali dia muntah sebelum berjumpa doktor. Selepas diperiksa oleh doktor, rupa-rupanya Kamilia didatangi asma. Penyakit yang pernah dihidapinya ketika berumur antara 1 dan 2 tahun. Dah lama tak kena ni. Kenalah Kamilia di'neubilizer'kan.

Tak boleh ke sekolah dan tak selera untuk makan terpaksalah saya membawa Kamilia ke kelas saya. Di tepi kolam, Kamilia tidur keletihan dan langsung hilang selera untuk makan. Sebaik sahaja Kamilia makan dan minum, pasti dia muntah semula. Semoga Kamilia cepat sembuh. Amin

Wednesday, 5 March 2008

Maklumat Terkini!

PERUBAHAN TEMPAT DAN TARIKH PROGRAM AMALI PERKHEMAHAN AKHIR

Salam sejahtera,

KEPADA : SEMUA RAKAN-RAKAN YANG DIHORMATI SEKALIAN
DARIPADA : HISYAM CHE MAT (PENSYARAH KURSUS REKREASI LUAR)


Untuk pengetahuan tuan/puan Program Amali Perkhemahan Akhir yang telah dirancang terpaksa dibuat perubahan tempat kerana masalah yang tak dapat dielakkan. Maklumat berkenaan program tersebut adalah seperti berikut:

Program : Amali Perkhemahan Akhir
Tarikh Program : 18 - 23 Mac 2008 (Selasa-Ahad)
Tempat : Tapak Perkhemahan Kenyir Sanctuary Resort, Tasik Kenyir,Terengganu
Jumlah peserta : 52 (pelajar SR113/02 & sr221/03) dan 15 PERLU Instructor
Aktiviti : Pengurusan perkhemahan, berkayak, navigasi, berbasikal bukit, ikhtiar hidup, abseiling dan merentas halangan.

Penyertaan pihak tuan/puan di dalam menjayakan program ini adalah amat dialu-alukan. Pihak tuan/puan bolehlah berhubung terus dengan saya sekiranya terdapat sebarang pertanyaan dan kemusyikilan. Diharapkan program ini mendapat sambutan daripada rakan-rakan pensyarah dan ALUMNI. Kerjasama dan sokongan daripada pihak tuan/puan didahului dengan ucapan terima kasih. Wassalam

Tuesday, 4 March 2008

Di Mana Regulator?

Pagi ini diadakan sesi 'Bubble Maker Program' atau 'Discovery Scuba' bertempat di Kolam Renang UiTM. Seramai 18 orang pelajar yang turut serta. Saya menjemput Mejar (R)Goh a.k.a Mejar (R) Mike sebagai tenaga pengajar pada hari ini. Beliau telah mempunyai pengalaman menyelam selama 30 tahun bermula pada tahun 1976. Alhamdulillah, program semalam telah mencapai objektifnya iaitu untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar mempelajari asas-asas selam scuba.






Hilang lagi...
Saya telah dimaklumkan sebelum program ini dimulakan bahawa sebanyak 4 set regulator telah hilang. Ketika pelajar-pelajar ini ingin mengumpulkan peralatan scuba untuk dibawa ke kolam renang, didapati bahawa 4 set regulator telah hilang daripada rak penyimpanan di stor. Ke mana perginya peralatan ini? Siapalah yang terbuka hati nak mencuri benda ni? Tak tahukah hamba Allah tersebut, bahawa regulator itu merupakan 'nyawa' ketika di dalam air. Tak takutkah beliau kalau-kalau regulator yang dicuri tu tak berfungsi ketika berada 20 meter di dalam laut. Saya mendoakan agar hamba Allah yang 'terambil' 4 set regulator hakmilik Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi agar memulangkannya semula.

Itulah kesan peninggalan saya selama 10 bulan untuk menuntut ilmu. Stor Peralatan Pengajaran Rekreasi Luar jadi cacamerba. Ibarat..."tiada kucing, tikuspun bermaharajalela".

Terima kasih sahabat sekalian

Itulah yang sepatutnya saya ucapkan. Ramai rakan-rakan yang sudi memberi komen tentang isu bertajuk "Nampak Gayanya...". Kebanyakan mereka tidak mahu komen mereka dibaca oleh pembaca yang lain. Sebagai menghormati kehendak rakan-rakan ini, saya turuti. Apapun segala komen dan cadangan yang diberi akan segera saya ambil perhatian. Terima kasih daun keladi, kalau ada masa sila komen lagi. Agar diri ini dapat diperbaiki.

Monday, 3 March 2008

Nampak gayanya...

Tak tau la nak kata apa lagi. Dari sehari ke sehari perubahan demi perubahan terpaksa dibuat. Amali Akhir yang sepatutnya akan diadakan di Pulau Perhentian telah diubah tempatnya ke Pulau Redang. Atas faktor kewangan dan kekangan cuaca pula, maka pada minggu lepas pelajar-pelajar telah sepakat untuk diubah tapak perkhemahan Amali Akhir ke tapak perkhemahan Kenyir Sanctuary Resort di Tasik Kenyir, Terengganu. Saya tak kisah, kat manapun ianya dilaksanakan. Yang penting ianya perlu dilaksanakan.

Hari ni lain pula ceritanya. Saya mendapat berita terbaru daripada pelajar-pelajar saya bahawa program yang sepatutnya bermula dari 16 Mac 2008 sehingga 22 Mac 2008 perlu ditunda ke 18 Mac 2008. Alasannya kerana ada di kalangan pensyarah-pensyarah yang tidak boleh berkompromi dengan jadual kuliah mereka. Tak boleh pinda, tunda atau tukar waktu kuliah. Dasyatnya. Aduh.. kenapa jadi begini? Berilah pelepasan kepada pelajar-pelajar ini. Tolonglah cari hari lain untuk diganti kuliahnya. Kenapa begitu 'keras hati' sangat. Langsung tak boleh bertolak ansur. Fahamilah... bahawa pelajar-pelajar ini ke amali akhir adalah juga untuk menuntut ilmu. Hanya inilah masa yang paling sesuai untuk mereka ke amali akhir setelah amali pendedahan terpaksa 'dibatalkan' kerana pilihanraya. Cuti Maulidur Rasul yang jatuh pada hari Khamis telah menyebabkan saya memilih minggu tersebut sebagai minggu yang paling sesuai dengan Amali Akhir tersebut. Selain daripada itu juga, saya mengambilkira faktor masa. Pelajar-pelajar ini juga mempunyai masa rehat yang cukup sebelum Peperiksaan Akhir. Jadi tiada alasan mereka mengalami keletihan 'melampau' sehingga tidak boleh mendapat keputusan yang cemerlang untuk Peperiksaan Akhir pada bulan April nanti.

Itupun saya masih menerima permintaan pihak fakulti untuk menyediakan kurikulum baru untuk Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Rekreasi. Sekiranya para pensyarah tidak bersatu hati, maka akan sia-sialah program baru yang dicanang-canang nak dibuat itu. Bakal pelajar nanti akan rugi kerana tidak diberi peluang untuk menjalankan amali yang sepatutnya mereka jalankan.

Semasa saya di UPM dahulu, program Pengkhususan Pengurusan Rekreasi dan Taman memerlukan kami semua untuk menjalankan amali luar hampir setiap minggu. Ini menghasilkan graduan yang sentiasa bersedia menghadapi cabaran dunia luar. Tanpa adanya amali seperti ini, saya merasakan produk yang akan dihasilkan nanti adalah graduan yang 'lembik' dan mudah diperkotak-katikkan oleh masyarakat di luar sana. Isu yang 'pahit' yang cuba saya sampaikan inilah yang diharapkan menjadi 'penawar' kepada 'penyakit' yang sedang berlaku. Harapan saya agar warga fakulti bersatu hati dan menjauhi permusuhan. Tiada siapa yang dapat mengubah fakulti kecuali kita dan dengan kuasa Allah subhanahuwataala. Waallahuaklam bissawab.

Thursday, 28 February 2008

Selamat Hari Jadi Kamil Afiq


Alhamdulillah, hari ini Kamil Afiq genap berusia 3 tahun. Awal-awal lagi saya dan Liza sudah merancang untuk membuat satu majlis ringkas untuk anak kesayangan kami ini di rumah baru. Antara yang akan dijemput adalah jiran-jiran dan rakan-rakan terdekat.

Tetapi perancangan Allah jualah yang paling sempurna. Saya terpaksa membatalkan majlis tersebut yang sepatutnya diadakan malam esok di saat-saat akhir. Ini kerana saya perlu ke Melaka pada petang esok untuk menjemput ibu mertua yang kurang sihat untuk temujanji dengan doktor di Kuala Lumpur.

Secara kebetulan pula, dua hari lepas saya mendapat memo daripada pengurusan taman asuhan tempat Kamil dijaga yang menyatakan mereka akan mengadakan majlis sambutan ulang tahun untuk kanak-kanak yang dilahirkan pada bulan Februari. Majlis itu pula akan diadakan pada 28 Februari 2008 iaitu bersamaan hari Khamis. Ia jatuh pada hari Kamil dilahirkan 3 tahun lalu. Maka, tanpa melepaskan peluang ini, Liza bertekad untuk turut serta dan bersama-sama membeli juadah untuk majlis tersebut.

Majlis yang diadakan pada petang ini berlangsung dengan penuh keceriaan. Kanak-kanak ini teruja melihat banyaknya makanan yang disediakan oleh ibu bapa yang terlibat dan guru-guru Tabika dan Taman Asuhan UiTM. Majlis dimulakan dengan mengumpulkan anak-anak ini dan seterusnya nyanyian lagu ‘Selamat Hari Jadi’.

Oleh kerana saya satu-satunya bapa yang hadir di majlis tersebut, maka sayalah orangnya yang dipilih sebagai pembaca doa. Semoga kesemua anak-anak ini menjadi anak yang soleh dan solehah, dipanjangkan umur, diberi keberkatan umur, dimurahkan razeki, menjadi anak yang pintar, sentiasa menghormati ibubapa dan guru. Amin.

Wednesday, 27 February 2008

Tak semudah yang disangka


Bukan mudah rupanya nak mengajar anak sendiri berenang. Hujung minggu lepas saya membawa Kamilia dan Kamil ke Kolam Renang UiTM. Hasrat saya nak mengajar anak-anak sendiri berenang. Asyik mengajar anak orang sahaja. Apa salahnya saya meluangkan masa untuk mengajar anak sendiri pula.

Lain pula jadinya. Kamilia dan Kamil yang pada mulanya teruja apabila diberikan peluang mandi di kolam kanak-kanak di luar menjerit ketakutan apabila saya mengajak kedua mereka untuk mandi di kolam dewasa [biasalah tu, naluri manusia… takut]. Namun saya tidak putus asa. Saya cuba memujuk keduanya untuk bersama-sama mandi di dalam kolam dewasa tersebut. Setelah dipujuk dan didukung, akhirnya keduanya mula memberanikan diri untuk masuk ke dalam kolam dewasa.

Keduanya sudah boleh kicking tetapi perlu mengambil masa untuk diajar teknik renangan yang betul. Semoga keduanya akan berupaya berenang suatu hari nanti berkat tunjuk ajar papa mereka sendiri. Amin

Lain dari yang lain

Untuk semester ini saya mempunyai seramai 34 orang pelajar-pelajar Diploma Pengajian Sukan yang mendaftar untuk subjek Rekreasi Luar. Majoriti daripada mereka benar-benar komited ketika menghadiri kuliah dan amali subjek ini.

Beberapa hari yang lepas pelajar-pelajar ini telah menjalankan amali aktiviti abseiling. Nak dijadikan cerita, para fasilitator aktiviti tali yang sepatutnya datang membantu saya pada hari tersebut tidak dapat menghadirkan diri kerana perlu menghadiri kuliah masing-masing.

Maka kenalah saya mempercayai pelajar-pelajar ini untuk memasang dan menjadi belayer untuk rakan-rakan mereka. Saya menunjukkan demonstrasi dan teknik-teknik yang betul untuk melaksanakan aktiviti ini. Mereka tekun mendengar dan memerhati kerana tahu selepas itu mereka akan diberikan amanah untuk menurunkan rakan-rakan mereka. Mereka juga tahu tentang peri pentingnya dititikberatkan keselamatan di dalam melaksanakan aktiviti yang berisiko ini. Ini untuk mengurangkan risiko kemalangan dan seterusnya mengelakkan kecelakaan.

Alhamdulillah berkat sokongan daripada beberapa orang fasilitator yang akhirnya datang membantu dan keazaman pelajar-pelajar yang berani mencuba untuk menurunkan rakan-rakan mereka, kesemua pelajar selamat menjalankan amali abseiling pada pagi tersebut.

Friday, 22 February 2008

Jiran Muda

Sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia, selain daripada bertugas sebagai pensyarah saya juga dipertanggungjawabkan sebagai Pegawai Pembangunan Pelajar (PPP) atau Resident Staff di Kolej Cemara [kolej kediaman untuk pelajar-pelajar cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara] selama 7 tahun. Selama tujuh tahun itu jugalah saya tinggal di rumah yang disediakan oleh UiTM. Bermula dengan tinggal bersama-sama Azhan, Norasrusdin dan Masrudin iaitu tiga orang rakan yang sama-sama bujang pada ketika itu sehinggalah berpindah ke blok lain setelah berumahtangga dan seterusnya dikurniakan sepasang cahayamata. Sebagai PPP, segala kemudahan disediakan bermula dari kemudahan rumah sehinggalah ke isi rumah. Jadi saya tak perlu membeli sebarang perabut dan segala bil ditanggung kerajaan.

Menjaga disiplin bekas pelajar-pelajar cemerlang SPM dari seluruh negara ini rupanya bukan senang. Bermacam-macam kerenah yang perlu saya dan PPP lain tangani hampir setiap hari. Kolej Cemara meninggalkan banyak kenangan manis di dalam kehidupan saya. Kenangan seperti menangkap pelajar pecah/potong pagar, balik terlalu lewat malam, main mercun dan macam-macam lagi. Yang peliknya juga, pelajar-pelajar ini gemar bermain bola sepak pada lewat malam atau awal pagi. Mereka akan mula bermain seawall 11.00 malam sehinggalah ke jam 3.00 pagi.

Syukur kehadrat Illahi, rumah yang saya beli sebelum ke La Trobe University siap sebelum saya menamatkan pengajian. Maka berpindahlah kami sekeluarga ke sana. Tak perlulah menjadi PPP lagi. Kini barulah terasa. Rumah perlu diisi perabot. Bil perlu dibayar. Macam-macam cukai perlu dibayar.


Saya kini menetap di Taman Cahaya Alam. Kawasan kejiranan yang saya tinggal kini sangat memuaskan. Suasana seperti tinggal di kampung. Saling mengenali dan bertegur sapa. Kanak-kanaklah yang paling gembira. Setiap petang mereka akan bermain bersama-sama di sekitar kawasan perumahan kami. Tepat jam 5.30 petang mereka dah menunggu untuk keluar bermain. Kalau tak dibenarkan atau dikunci pagar rumah, sudah pastinya mereka akan memberontak. Begitulah istimewanya kawasan perumahan yang baru saya sekeluarga diami.

Thursday, 21 February 2008

Apa Dah Jadi...


Saya pun tak tahu apa yang tak kena. Sejak dua minggu kebelakangan ni Kamil [anak bongsu] sering ja meragam dan menangis bila nak dihantar ke taman asuhan. Bila masuk ja pintu pagar UiTM, mulalah Kamil bersuara, “Adik nak ikut papa…adik nak ikut papa”. Berulang-ulang menagih simpati. Jatuh kasihan pulak saya.

Saya tahu kalau dulu-dulu mak sayalah yang menjaga saya ketika masih kecil. Tak pernah pun merasa tinggal di taman asuhan. Arwah mak tak bekerja. Jual kuih ja nak menampung kehidupan. Banyak masa dengan anak-anak.

Apabila berumur 5 tahun barulah saya dihantar ke tadika bersama kakak saya. Dua tahun berturut-turut saya bertadika. Namun kini zaman dah berubah, kedua-dua suami dan isteri perlu sama-sama bekerja. Isteri yang bekerja, selain daripada dapat menambahkan sumber pendapatan keluarga, dapatlah juga menghilangkan kebosanan tinggal di rumah. Minda pun lebih terbuka.

Kalau dibandingkan semasa di Bendigo dulu, Kamil seronok sangat apabila nak menghantar kakaknya ke pre-school. Awal-awal pagi lagi Kamil akan bangun dan bersiap sedia nak ke sekolah. Kalau tak dibawa, Kamil akan menangis semahu-mahunya. Sebabnya di sana anak-anak yang masih di pre-school akan diberi peluang bermain di awal pagi, seterusnya melukis, menyanyi dan bercerita. Jadi saya rasa sistem pembelajarannya lebih menyeronokkan. Tak tertekan.

Kenapa Kamil asyik merengek ja tak mahu ke taman asuhannya di sini? Sampai ke hari ini saya masih belum menemui jawapannya. Bila ditanya pada Kamil… tiada jawapan yang saya perolehi.

Wednesday, 20 February 2008

Mudahnya Kan!

Hari ini saya meluangkan masa mengajar dua orang staf daripada Fakulti Sains Sukan & Rekreasi untuk berenang di Kolam Renang UiTM. Saya memperuntukkan masa daripada jam 10.30 pagi hinggalah ke jam 12.00 tengahari kepada kedua-dua 'anak murid' saya itu. Saya memberi jaminan kepada mereka, sekiranya kedua-duanya ada kemahuan dan tekun berusaha sudah semestinya setelah tamat sesi nanti kedua-duanya akan boleh berenang.

Saya pun sebenarnya bukannya perenang yang hebat. Pernah jugaklah hampir-hampir mati lemas semasa berkursus di Tasik Cini ketika cuba menyelamatkan dua orang rakan peserta wanita [badan kedua-duanya boleh tahan la jugak] sekitar tahun 1993. Bertitik tolak daripada situlah saya bertekad untuk belajar teknik renangan yang betul. Secara kebetulannya pula, saya perlu mengambil kursus renang yang wajib kepada semua pelajar Pengurusan Taman dan Rekreasi semasa di UPM dulu. Dapat A lagi tu!

Berbalik kepada cerita dua orang 'anak murid' saya itu, alhamdulillah di akhir sesi tengahari tadi kedua-dua mereka dapat berenang dengan teknik yang betul dalam tempoh tidak sampai 2 jam. Yang pentingnya kemahuan dan usaha. Dengan adanya kedua-dua ini, yang susah akan menjadi mudah. Barulah seterusnya kita boleh bertawakal setelah berusaha.

Itulah khidmat bakti saya untuk hari ini. Mengadakan kelas renang 'segera'.

Gayat La Pulak

Hanya orang yang kurang siuman saja yang tidak gayat bila dah berdiri di platform untuk menuruni Tingkat 11 Menara Sains dan Teknologi UiTM dengan menggunakan dua utas tali sebesar jari telunjuk.

Semalam pelajar-pelajar Pengurusan Rekreasi diberi peluang untuk menguji keyakinan diri mereka untuk aktiviti aras tinggi. Selain itu juga pelajar dapat menguji dan merasai sendiri kekuatan peralatan yang digunakan dan belajar untuk menyelenggara peralatan yang mahal harganya ini. Inilah antara tujuan aktiviti abseiling kepada pelajar-pelajar pengurusan rekreasi.

Sebelum aktiviti dimulakan saya memberikan penerangan tentang aktiviti dan peralatan yang akan digunakan. Saya memberi penekanan terhadap penyelenggaraan peralatan untuk aktiviti ini kerana ia melibatkan keselamatan nyawa peserta.

Pelajar-pelajar seterusnya diajar beberapa cara untuk mengikat anchor. Amali semalam telah dibantu oleh beberapa orang fasilitator daripada PERLU UiTM.

Kesemua pelajar berjaya menuruni ketinggian 33 meter dari tanah dengan tiga kaedah [kaedah abseil biasa (kaki di bawah), Spider (kepala di bawah) dan Australian style atau running down (badan menghadap tanah)]dengan menggunakan pelbagai peralatan keselamatan terkini seperti seat harness, tali kernmantle, carabiner/karabiner, huit figure 8 descender, sarung tangan kulit dan topi keselamatan.

Alhamdulillah tiada kejadian yang tidak diingini berlaku berkat doa sebelum aktiviti dijalankan. Semoga pelajar-pelajar ini dapat memanfaatkan dan mempraktikkan kaedah pengajaran serta tatacara pengendalian aktiviti abseiling.

Insyaallah, sekiranya prosidur keselamatan dipatuhi, aktiviti yang berisiko tinggi ini akan dapat memberi kepuasan diri kepada individu yang pada mulanya takut untuk turun.

Tuesday, 19 February 2008

Tertelan Air Kolam

Semalam merupakan minggu kedua saya mengadakan amali keyakinan diri di air. Amali tambahan selepas menyaksikan rata-rata pelajar saya tidak tahu berenang dan seterusnya mereka juga tidak yakin berada di dalam air. Amali ini dijalankan di Kolam Renang UiTM dengan dihadiri seramai 18 orang pelajar ijazah sarjana muda pengurusan sukan pengkhususan dalam pengurusan rekreasi.

Berbanding dengan minggu pertama, lebih separuh daripada ahli kelas dah mula yakin di dalam air. Ada sebahagian pula dah mula boleh berenang. Saya rasakan inilah penangan kelas renang 'segera' yang saya jalankan pada minggu sebelumnya.
Apa yang penting adalah 'kemahuan'. 'Kemahuan' untuk belajar agar apabila berlaku sesuatu yang tak dijangka di laut, sungai atau tasik, mereka dapat terus survive sementara menanti penyelamat tiba.

Kelas semalam juga menyaksikan masih ada pelajar yang hanya menantikan dengan penuh 'tenang' di dalam air agar diselamatkan apabila saya mengarahkan mereka terjun ke bahagian kolam sedalam 2 meter. Mereka ini langsung tidak mencuba untuk menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi. Banyak jugalah air di dalam kolam UiTM yang ditelan pelajar-pelajar saya semalam.

Harapan saya agar mereka tekun berusaha untuk belajar berenang. Saya hanya mampu mengajar, tetapi kemahuan untuk belajar itu berada di dalam diri individu masing-masing. Tanpa kemahuan diri sendiri, ia akan gagal biarpun 'mahaguru' tersebut datangnya dari langit.

Friday, 15 February 2008

Tak Jadi La Pulak

Manusia hanya merancang, tetapi Allah jualah perancang yang terbaik untuk hamba-hambanya.

Kem yang sepatutnya diadakan bermula pada hari ini terpaksa dibatalkan [bukan ditunda]. Ini ekoran pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri yang kita kasihi dengan perkenan YDP Agong. Seterusnya pihak KPT telah mengeluarkan arahan agar sebarang program yang membawa pelajar keluar dari kampus sebelum tarikh pilihanraya adalah dilarang sama sekali. Pastinya saya akan PATUH pada arahan ketua.

Perasaan pelajar-pelajar saya bercampur baur. Ada yang sedih dan tak kurang juga ada yang gembira dan bersyukur. Kepada yang sedih saya sangat bersimpati dengan mereka. Segala usaha bertungkus lumus mereka selama beberapa minggu untuk membuat persediaan sebelum kem seperti sia-sia sahaja. Namun sebenarnya mereka ini telah mendapat banyak pengalaman pengurusan yang berharga. Kepada mereka yang sedang bergembira juga saya sangat-sangat bersimpati. Ini kerana mereka ini sebenarnya terlepas peluang untuk mempelajari asas-asas wajib pendidikan luar yang sepatutnya diterapkan kepada pelajar-pelajar subjek 'Outdoor Recreation' semasa Kem Asas pada hujung minggu ini.

Kita dah tak punya masa lagi. Kem Asas tak dapat dijalankan. Kem Akhir pula betul-betul seminggu selepas tarikh pilihanraya. Pelajar-pelajar ini perlu betul-betul bersedia daripada segi mental dan fizikal. Ini kerana Kem Akhir memerlukan mereka menjalankan aktiviti ikhtiar hidup, ekspidisi berkayak, meredah hutan dan seterusnya berbasikal bukit. Saya doakan kesemua pelajar-pelajar saya yang akan menjadi peserta Kem Akhir berjaya mengharungi cabaran yang akan mereka temui semasa di di Kem Akhir nanti. Kerja berpasukan sangat-sangat diperlukan agar segala cabaran dapat direntasi bersama.

Kepada fasilitator Persatuan Pembimbing Rekreasi Luar UiTM, ingin saya ucapkan berbanyak terima kasih kerana kesudian anda semua membantu adik-adik anda mengenal erti berekreasi dan berkongsi pengalaman. Jasa anda semua akan senantiasa saya ingati.

Thursday, 14 February 2008

Rekod Baru

Hari ini dalam sejarah. Kuliah 'Outdoor Recreation' semester ini dimulakan seawal jam 7.15 pagi. Ini kerana ada antara pelajar-pelajar yang lambat hadir ke kuliah pada minggu sebelumnya. Jadi setiap seorang daripada ahli kelas perlu bertanggungjawab di atas kelewatan rakan-rakan mereka yang lain. Sebagai balasannya setiap kali ada rakan-rakan yang lewat menghadiri kuliah 'Outdoor Recreation', maka saya akan mempercepatkan 15 minit masa untuk permulaan kuliah bagi minggu berikutnya.

Saya sampai ke Stor Rekreasi Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi pada jam 7.10 pagi. Terkejut saya apabila secara tiba-tiba kereta saya dikerumuni oleh sekumpulan manusia. Rupa-rupanya mereka ini adalah penuntut-penuntut semester dua Diploma Pengajian Sukan yang mendaftar untuk subjek 'Outdoor Recreation'. Kesemua ahli kelas telah mula berkumpul berhampiran Stor Rekreasi seawal jam 6.45 pagi lagi. Mereka saling menghubungi antara satu dengan yang lain agar tidak seorangpun yang terlewat menghadiri kelas saya pada pagi ini. Inilah yang saya mahukan! Saling mengingati.

Alhamdulillah sekurang-kurangnya dengan cara ini mereka akan bangun awal, solat Subuh dan seterusnya dapat datang awal ke kuliah di kala pemikiran kesemuanya masih 'fresh'.

Saya dapat merasakan kesungguhan pelajar 'Outdoor Recreation' semester ini berdasarkan persediaan mereka sebelum memasuki kelas. Kesemua peralatan pengajaran yang saya perlukan berjaya mereka sediakan.

Mereka ini juga tidak segan silu untuk mendapatkan pandangan dan teguran daripada pelajar senior berkaitan perkhemahan yang akan mereka jalani. Ini kerana, pelajar-pelajar ini akan mengikuti Kem Asas Rekreasi Luar di Tapak Perkhemahan Camar Rimba, Taman Pertanian Malaysia, Shah Alam pada hujung minggu ini. Semoga mereka semua mendapat manfaat daripadanya dan diberi kekuatan mental dan fizikal untuk menamatkan program tersebut. Amin.

Monday, 11 February 2008

Ada Gunanya

Tak sangka ya, laman sesawang saya yang kerdil itu ada juga gunanya. Laman sesawang www.freewebs.com/hicmat telah memberikan maklumat berguna kepada dua orang penuntut Malaysia yang kini menuntut di Monash University. Mereka yang secara kebetulannya akan menjalankan 'clinical practice' di kawasan 'rural' telah memilih Bendigo. Azlan dan Aishah telah meng'google' "solat Jumaat di Bendigo" dan seterusnya mengutus email kepada saya untuk mengetahui maklumat lanjut tentang komuniti Muslim di Bendigo.

Terkenang saat sebelum saya sekeluarga berhijrah ke Bendigo. Itulah langkah awal yang saya lakukan semasa ingin menuntut di La Trobe University Bendigo suatu ketika dahulu. Mencari dalam 'google' samada ada atau tidak komuniti Muslim di Bendigo. Tetapi hampa. Tiada maklumat langsung. Di 'Islamic Finder' pun tak ada. Saya sekeluarga akhirnya bertawakal kepada Allah swt dengan berhijrah ke Bendigo selama hampir satu tahun tanpa mendapat maklumat yang lengkap tentang komuniti Islam di Bendigo.

Alhamdulillah saya dipertemukan dengan saudara seagama yang baik-baik dan saling bantu membantu semasa di Bendigo. Brother Heri sekeluarga, Dr Preena, Dr Radzaq, Bro Mamoun, Bro Mikail sekeluarga dan Bro Mike seluarga sentiasa di ingatan. Kini sampailah tugas saya pula untuk menyampaikan maklumat dan membantu saudara-saudara saya yang ingin ke Bendigo.

Wednesday, 6 February 2008

Al-Fatihah

Marilah sama-sama kita sedekahkan surah Al-Fatihah ke atas roh Allahyarham Hj Shahidan bin Mohamad Noh [pakcik saya] yang telah kembali ke Rahmatullah semalam. Al-Fatihah.

Kini kami sekeluarga sedang berada di Bandar Darul Aman Kedah untuk melawat keluarga allahyarham. Alhamdulillah ketika kami sampai di Masjid al-Mutaqqin Bandar Darul Aman, jenazah baru sahaja selesai disembahyangkan. Namun dugaan muncul apabila kenderaan saya gagal dihidupkan ketika hendak mengiringi van jenazah ke tanah perkuburan. Setelah dicuba beberapa kali, kereta saya masih gagal dihidupkan.

Syukur ada jemaah yang prihatin dan cuba menghubungi mekanik berhampiran untuk mengenalpasti kerosakan yang sedang dialami. Pak Mat [mekanik] mengambil masa hampir 45 minit untuk mengenalpasti kerosakan yang dialami oleh kereta saya. Akhirnya beliau mendapati pam minyak saya gagal berfungsi. 'Wiring' semua OK katanya. Beliau kemudiannya memperkenalkan saya dengan sebuah bengkel memperbaiki kereta yang berhampiran dengan masjid yang secara kebetulannya masih belum ditutup. Ini kerana beliau sebenarnya mempunyai temujanji dan perlu ke Bandar Jitra atas urusan peribadi.

Brother Solahudin [pemilik bengkel] mencadangkan kepada saya untuk meninggalkan kereta di bengkelnya kerana alat ganti[pam minyak] tiada dalam simpanan dan perlu ditunggu esok pagi.

Alhamdulillah hari ini semuanya berjaya diselenggarakan oleh staf Bro Solahudin.

Thursday, 31 January 2008

Apa dah Jadi!

Lawatan saya ke Stor Peralatan Pengajaran Aktiviti Rekreasi Luar setelah melapor diri di fakulti sungguh mengecewakan. Baru 10 bulan saya tinggalkan fakulti, peralatan rekreasi yang telah dibeli sebelum saya berangkat ke Australia betul-betul tidak terurus. Alatan rekreasi tersebut diletakkan di atas lantai dan tidak diselenggarakan dengan betul. Ada juga peralatan yang telah hilang. Dua buah dinghy (bot getah) dan engin sangkut telah rosak teruk akibat penangan mereka yang tidak bertanggungjawab dan tidak tahu menggunakannya dengan kaedah yang betul. Di sudut hati saya masih kecewa dengan rakan-rakan yang sepatutnya bersama-sama berusaha menjaga alatan yang telah dibeli dengan nilai ratusan ribu ringgit ini tetapi tidak menunaikan amanah yang telah diberikan.

Alhamdulillah setelah dibuat teguran dan pemantauan kepada rakan-rakan yang bertugas di stor tersebut, kini alatan rekreasi diselenggarakan semula dan disusun rapi. Kerja-kerja menceriakan semula stor telah dijalankan. Cuma dinghy dan beberapa peralatan aktiviti tali tidak dapat diselamatkan akibat tangan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Semoga semangat staf dan penuntut-penuntut di FSR untuk sama-sama menjaga peralatan pengajaran aktiviti rekreasi luar akan berterusan.

Tuesday, 22 January 2008

Rumah Dimasuki Pencuri

Terkejut saya apabila dimaklumkan oleh Liza bahawa rumah Dr Awei dimasuki pencuri awal pagi semalam. Saya yang baru lepas solat Asar terus bergegas melawat rumah jiran saya itu. Mudahnya pencuri tersebut mengumpil cermin tingkap dan seterusnya membuka skru grill besi dan mengangkat keseluruhan grill dapur untuk memasuki rumah Dr Awei. Pencuri tersebut berjaya melarikan komputer riba dan beberapa barangan lain lagi. Nasib baik keluarga Dr Awei tidak diapa-apakan oleh pencuri tersebut.

Ini bukanlah kali pertama kejadian sebegini berlaku di kawasan perumahan kami. Biar pun ada pengawal yang sentiasa meronda, tetapi pencuri masih juga dapat memecah masuk rumah penghuni di kawasan kami. Saya sempat berkongsi dengan Dr Awei petua daripada ayat-ayat suci al-Quran yang boleh diamalkan untuk mengelakkan rumah dimasuki pencuri dan anasir-anasir jahat yang lain yang saya perolehi daripada Baba dan beberapa orang tok guru. Semoga kawasan perumahan kami terus aman daripada anasir-anasir jahat ini. Amin

Saturday, 19 January 2008

Pertemuan yang Dinantikan

Saya menggunakan sepenuhnya seminggu pertama setelah menjejakkan kaki di bumi Malaysia bersama isteri dan anak-anak. Maklumlah dah dua bulan kami sekeluarga tak bersua. Kamil dengan pelatnya tersendiri pernah menyatakan hasratnya untuk menaiki kapal terbang untuk bertemu papanya. Katanya, “mama… jom aik kapa erbang umpa papa”. Kamilia [anak sulung] pula pernah merayu dengan mamanya untuk terbang semula ke Australia untuk bertemu papanya. Katanya sambil menunjukkan duit raya seringgit-seringgit simpanannya, “Jom la mama… kakak ada duit nak naik kapal terbang nak pi Osborne St [rumah di Bendigo]”.

Alhamdulillah dengan izin Allah kami sekeluarga dipertemukan semula di KLIA setelah dua bulan berjauhan. Saya selamat sampai di KLIA lebih awal berbanding Liza dan anak-anak. Setelah solat jamak dan sujud syukur saya menuju ke balai ketibaan KLIA. Liza dan anak-anak masih juga belum sampai.

Ketika sedang menukar wang di kaunter pengurup wang, saya ternampak kelibat Liza dan anak-anak berpimpinan tangan di balai ketibaan. Mereka baru saja sampai dari Shah Alam. Saya cuba melambai pada Kamil yang secara kebetulan sedang memerhatikan ke arah saya. Tapi Kamil cuba melarikan pandangan dan terus memegang erat tangan mamanya. Takut barangkali. Sengaja saya tidak memanggil namanya untuk melihat respons anak bongsu kesayangan kami ini. Dia langsung tidak memberikan sebarang respons. Kaget juga saya. Ya Allah… anak aku dah tak kenal papanya. Itu baru dua bulan.

Saya berjalan ke arah mereka. Liza masih lagi mencari-cari. Beliau masih lagi belum dapat melihat kelibat suaminya. Ketika semakin hampir dengan mereka bertiga, Kamilia menjerit, “mama… tu papa”. Seronoknya mereka bertiga, tak ketinggalan juga saya. Berlakulah adegan jejak kasih antara kami berempat bersaksikan orang ramai yang sedang menunggu sahabat taulan dan saudara mara di balai ketibaan. Ya Allah… hambaMu bersyukur kehadratmu kerana telah disatukan semula kami sebagai sebuah keluarga.

Wednesday, 16 January 2008

Alhamdulillah

Syukur kehadrat Illahi, saya telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana. Kini saya sudah berada di tanahair. Isnin lepas saya telah melapor diri di Pejabat Pembangunan Sumber Manusia, UiTM dan seterusnya dibenarkan bercuti tanpa rekod selama seminggu. Insyaallah, saya akan memulakan tugas pada 22 Januari 2008.

Saturday, 5 January 2008

Kenapa ya… kenapa?

Pernah juga saya bertanya pada diri sendiri, kenapa perlunya blog sebegini di dalam kehidupan saya. Apakah kepentingannya?

Sebenarnya Bendigo banyak mengubah corak kehidupan saya. Di sini saya banyak menggunakan masa untuk bermuhasabah diri. Sesuatu yang jarang saya lakukan semasa di tanahair.

Hidup Bermasyarakat

Kalau di tanahair saya dikelilingi oleh masyarakat Melayu yang beragama Islam dari kecil hinggalah saya ditugaskan di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Apabila sampai di Bendigo, segala ‘nikmat’ hidup bermasyarakat tersebut telah ‘ditarik’ buat sementara oleh Allah s.w.t. Terpaksalah saya sekeluarga mengadaptasikan diri kami dengan suasana baru ini. Tidak ada langsung masyarakat Melayu di sini. Terkapai-kapai kami selama hampir sebulan tanpa berjumpa dengan seorangpun orang Melayu di sini.

Alhamdulillah…Allah membantu hambaNYA ini. Kami dipertemukan dengan keluarga Brother Heri dan seterusnya dengan sekumpulan 23 orang penuntut dari Indonesia. Itupun hanya untuk 2 bulan kerana selepas itu penuntut-penuntut Indonesia terbabit tamat pengajian dan pulang ke tanahair mereka. Tinggallah keluarga saya dan Brother Heri.

Ilmu Baru

Bagi saya setiap hari merupakan hari baru di dalam kehidupan saya. Setiap hari saya belajar ilmu-ilmu baru. Ia semestinya ilmu-ilmu baru yang tidak akan dapat dipelajari di dalam bilik darjah. Ilmu tentang kehidupan yang wajar dikongsi bersama.

Dahulunya saya kurang mahir dan jahil dalam bidang teknologi maklumat. Terlalu takut dengan dunia tanpa sempadan. Tidak berani menonjolkan diri. Biarlah orang lain yang ke depan. Perkataan takpa, biaq pi dan nanti la sentiasa menjadi mainan bibir. Kini saya cuba kurangkan penggunaan perkataan tersebut. Perkataan sebeginilah yang sebenarnya menjadi duri dalam daging kepada diri kita dan dalam diam-diam boleh menyekat usaha kita untuk berjaya.

Laman Sesawang Terhasil

Saya mula berjinak-jinak dengan pembinaan laman sesawang atas desakan dan motivasi daripada sahabat saya, saudara Md Amin Md Taff, pensyarah UPSI. Beliau berjaya mengubah minda saya supaya berkongsi pengalaman melalui laman sesawang ini. Kata Md Amin, melalui laman sesawang yang dibina ini, lebih mudah percambahan ilmu akan berlaku. Tidak ada apa yang perlu dimalukan. Yang penting NIAT kita untuk berkongsi pengalaman dengan khalayak. Pengalaman yang begitu istimewa. Pengalaman sebuah keluarga Melayu yang ‘tercampak’ di sebuah tempat yang tiada penghuni Melayu.

Bertitik tolak daripada situlah, saya mula mengorak langkah membina laman sesawang yang di dalamnya mengkisahkan sekitar kehidupan saya sekeluarga ketika berhijrah ke Bendigo. Akhirnya terhasillah catatan peribadi dalam laman sesawang bertajuk 'Khabar dari Bendigo'. Laman sesawang ini menjadi penghubung antara saya sekeluarga dengan keluarga dan rakan-rakan di tanahair.

Lahirnya Blog Coretan di Kala Senggang

Tidak cukup dengan itu, apabila ada masa lapang saya mula menjengok dari blog ke blog. Antara blog yang kerap saya dan isteri lawati semasa di Bendigo adalah blog Prof Muhd Kamil Ibrahim (bekas Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi).

Mengambil kira trend masakini. Saya merasakan blog mempunyai peminatnya yang tersendiri. Blog boleh menjadikan penulisnya lebih rapat dengan penjengoknya. Penjengok boleh terus memberikan komen untuk setiap isu yang diutarakan.

Maka terhasillah blog Hisyam Che Mat bertemakan ‘Coretan di Kala Senggang’. Blog ini berkisar pengalaman saya di sekitar kehidupan seharian dan sesekali saya mengimbau kembali kenangan masa lampau saya.

Friday, 4 January 2008

Khutbah Terakhir

Hari Jumaat menjelma. Mamoun [Imam 1] dari Jordan baru sahaja 3 minggu pulang ke tanahairnya. Beliau tidak akan kembali ke Bendigo kerana mendapat pekerjaan yang jauh lebih baik di negara asalnya. Sultan [Imam 2] pula pulang ke Arab Saudi 2 bulan lepas kerana cuti semester dan beliau juga akan melangsungkan perkahwinan pertengahan bulan Januari nanti. Beliau akan pulang pada penghujung bulan Februari nanti bersama isteri tersayang. Maka hari ini tiadalah lagi imam yang boleh ‘diharapkan’ di surau La Trobe University, Bendigo.

Tak ada rotan, akar pun berguna [no rattans, roots will do]. Oleh kerana tiada pilihan lain sayalah kena bersedia untuk menjadi khatib dan mengimami solat Jumaat pada hari ini. Awal-awal pagi lagi saya mula bersedia dengan topik yang dirasakan bersesuaian untuk dikhutbahkan pada hari ini.

Topiknya Appreciating Other Cultures [Menghargai Budaya Lain]. Ianya menyentuh tentang hikmah Allah subhanahu wata’ala mencipta manusia berbangsa-bangsa dengan pelbagai budaya, dan penciptaan manusia mengikut pelbagai kepercayaan dan agama. Antara tujuan penciptaan manusia sebegitu adalah kerana Allah s.w.t mengkehendaki agar kita saling kenal mengenal, dan belajar antara satu sama lain. Selain itu juga Allah s.w.t. mengkehendaki agar kita dapat menghakis sifat takabur dan sombong di dalam diri kita. Teks khutbah tersebut saya muat-turun daripada siri khutbah Majlis Ugama Islam Singapura [kerana berbahasa Inggeris].


Solat Jumaat di sini kebiasaannya bermula pada pukul 1.30 petang. Menjelang jam 1.45 petang, hanya 4 orang sahaja yang menghadirkan diri. Maka kami berempat bersolat Zohor dengan saya menjadi imamnya. Maka tidak kesampaianlah hajat saya untuk menyampaikan khutbah yang terakhir di Bendigo sebelum pulang ke tanahair. Sesungguhnya, kita hanya mampu merancang, Allah s.w.t jualah yang menentukan segalanya. Semoga surau La Trobe University, Bendigo akan dimakmurkan lagi dengan kehadiran lebih ramai penuntut-penuntut yang akan mendaftar tidak lama lagi. Amin.

Kawan Baru

Setiap hari ada saja kawan baru yang akan saya temui.

Di Melbourne tempohari, saya dipertemukan oleh Allah subhanahu wata'ala dengan Mejar Khairuddin(MINDEF), Ruzman (Swinburne University of Technology), Fazli a.k.a Oli (RMIT University) dan Ustaz Nushi (Melbourne University). Mereka semuanya baik-baik dan ramah.


Mejar Khairuddin saya temui ketika berkunjung ke rumah Dr Ali. Isterinya dan anak-anak baru sahaja pulang ke tanahair. Beliau juga akan pulang ke tanahair pada 26 Januari 2008 setelah beberapa tahun bertugas di Australia. Mejar juga sangat bermurah hati menghantar saya dan Qobain ke Dewan Malaysia dari rumah Dr Ali. Keesokan harinya pula beliau juga telah sudi menghantar saya dari Queen Victoria Market ke Southern Cross Station. Jasa beliau hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.

Ruzman saya temui ketika menginap di Dewan Malaysia Melbourne. Beliau seorang yang mudah mesra. Kini sedang menuntut di peringkat sarjana di Swinburne University of Technology dalam bidang Network System. Beliau ini sangat mengemari aktiviti rekreasi terutama sekali selam skuba. Telah melakukan 20 jam selaman di Great Barrier Reef sepanjang berada di Australia. Melakukan terjunan bungee [bungy jumping] di Queenstown New Zealand. Banyak lagi aktiviti lasak lain yang telah beliau lakukan walaupun baru 10 bulan berada di Australia.

Ustaz Nushi dan Oli saya temui ketika sedang menjamah makan tengahari di Restoran Lazzat di Melbourne. Ustaz Nushi yang bertugas di UIA kini sedang menuntut pada peringkat PhD di Melbourne University. Beliau juga melakukan kerja sambilan sebagai tukang masak di Restoran Lazzat [kepunyaan orang Singapura, semestinya halal dan lazat]. Selain itu beliau juga mengajar kelas fardu ain kepada masyarakat di sini. Bertuahnya bertemu Ustaz muda ini.

Oli pula baru sahaja beberapa bulan sampai ke Melbourne. Beliau bertugas di UTM Skudai dan kini menuntut di peringkat PhD dalam bidang kejuruteraan elektrikal di RMIT University City Campus. Sudah berkeluarga dan mempunyai seorang cahayamata berumur setahun lebih. Sengaja saya melontarkan soalan tentang RMIT untuk menguji beliau. Soalan saya, "Kenapa ya bangunan RMIT ni buruk semacam ja?...universiti kat Malaysia punya bangunan lagi cantik-cantik'. Sesungguhnya Oli begitu setia [loyal]dengan universiti yang baru beberapa bulan beliau sertai ini. Oli dengan tenang menjawab,"Syam... yang nak belajarnya kita, bukannya bangunan...walaupun buruk tapi mereka mempunyai pakar-pakar dalam bidang masing-masing". Hebat jawapan Oli. Dalam masa beberapa minit sahaja berkenalan, kami menjadi sahabat yang baik dan banyak berkongsi pengalaman.


Seterusnya Ruzman dan Oli menemani saya untuk ke Queen Victoria Market untuk membeli buah tangan yang dipesan oleh Liza dan anak-anak. Sesungguhnya pertemuan yang singkat dengan rakan-rakan baru daripada Malaysia di Melbourne telah menambahkan lagi koleksi saudara seagama yang baik-baik. Semoga persahabatan yang baru disemai ini dapat diteruskan lagi apabila berada di Malaysia nanti. Amin... ya rabal'alamin.

Thursday, 3 January 2008

Derita Qobain Hanya Allah Yang Tahu

Saya kini berada di Melbourne. Menginap di Dewan Malaysia atas ehsan Dr Ali [sebenarnya tetamu perlu tempah 2 minggu lebih awal untuk menginap di sini]. Alhamdulillah saya dibenarkan menginap di sini walaupun hanya membuat panggilan 1 jam sebelum berangkat ke Melbourne. Terima kasih Dr Ali.

Tujuan sebenar saya ke Melbourne adalah untuk bertemu Qobain yang baru sampai dari Sydney dan seterusnya membalas kunjungan dan menziarahi Dr Ali sekeluarga di Port Melbourne. Saya bersama Dr Ali juga akan mengiringi Qobain ke Melbourne Airport untuk memberi sokongan moral terakhir di bumi Australia sebelum anak muda ini meneruskan penjelajahannya ke negara 'Matahari Terbit'. Sama-samalah kita doakan keselamatan dan kejayaan Qobain. Amin.

Kalau diikutkan perancangan dan janji awal, saya akan membawa Qobain ke The Great Ocean Road dan ke Grampians National Park untuk bercuti dan berehat sebelum Qobain meneruskan penjelajahannya ke Jepun. Namun atas desakan masa maka perancangan tersebut terpaksa dibatalkan. Ini kerana baru semalam Qobain tiba di Melbourne setelah beliau menunggang motosikalnya sejauh 1100km dan selama 13 jam. Beliau jelas keletihan.

Saya menunggu Qobain di kediaman Dr Ali. Apabila tiba di rumah Dr Ali, Qobain bersungguh-sunguh memohon maaf kepada saya kerana tidak dapat memenuhi undangan saya untuk melawat kawasan-kawasan semulajadi yang menarik di Victoria. Dari raut wajah beliau saya dapat melihat keikhlasannya.

Kami makan malam bersama-sama Dr Ali sekeluarga. Turut sama berada di rumah Dr Ali adalah pegawai dari MINDEF iaitu Mejar Khairuddin Mohd Noor [Malaysia Liaison Officer] yang kini ditempatkan di Defence International Training Centre, Laverton, Australia. Beliau ditugaskan menjaga dan menguruskan latihan dan pembangunan semua anggota dan pegawai tentera Malaysia yang datang ke Australia.





Menu makan malam kami sungguh istimewa. Kami dihidangkan dengan kari ayam, rendang daging, ikan goreng, taugeh dan tauhu masak kicap dan yang paling istimewa sekali adalah sambal tempoyak. Sambal tempoyak di Australia... memang sesuatu yang jarang kita dengar di Australia. Tapi Kak Aida, isteri Dr Ali sememangnya mempunyai banyak stok tempoyak yang dibuat sendiri daripada buah durian yang dibeli di Melbourne. Setelah habis makan nasi, juadah roti canai pula disajikan. Walaupun ianya roti canai segera, tetapi keenakkannya menyamai roti canai di Malaysia. Terima kasih Dr Ali dan Kak Aida.

Malam itu saya dan Qobain menginap di Malaysia Hall Melbourne. Rupa-rupanya Qobain ada rahsia yang ingin dikongsikan dengan saya. Beliau menunjukkan sebuah blog yang mengutuk dan menyindir beliau. Blog tersebut dibina oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Tanpa ada maklumat penulisnya, hanya gambar-gambar Qobain daripada laman sesawangnya sahaja disalin dan ditampal. Seterusnya dimasukkan pula caci dan nista. Ia seolah-olah sikap 'melontar batu, sembunyi tangan'. Tidak mahu bertanggungjawab dan tidak berani bersemuka. Nasihat saya mudah sahaja kepada penulis blog tersebut. Berhentilah buat kerja yang tidak berfaedah ini. Hubungi saya sekiranya ada masalah. Email dan nombor telefon telah saya sertakan. Nasihat saya kepada Qobain, teruskan usaha murni anda itu. Janganlah dilayan mereka ini.

Apalah salah si Qobain ni. Beliau sanggup berhujan dan berpanas untuk menaikkan nama negara. Di sepanjang perjalanannya di seluruh pelusuk dunia jalur gemilang sentiasa bersama beliau. Pamplet dan tanda kenangan dari Malaysia sering dihulurkan kepada masyarakat di tempat yang dilalui dan disinggahinya untuk mempromosikan Malaysia. Mngkin staf Tourism Malaysia sndiripun belum pernah pergi ke sesetengah tempat yang dilalui dan disinggahinya. Tidak salah kan? Apa pula sumbangan kita untuk negara? Takkan hanya mencaci dan mencerca?


Mungkin ada yang mengatakan, aah... senanglah naik motosikal. Soalan saya mudah sahaja. Sanggupkah anda menunggang motosikal dengan kepanasan persekitaran antara 40-44 darjah Celcius. Di selangseli pula dengan angin dan hujan lebat serta cuaca yang tidak menentu. Saya sendiri rasanya tidak sekuat Qobain biarpun saya sendiri mengajar dan mempraktiskan aktiviti rekreasi dalam kehidupan seharian saya. Beliau sememangnya Allah ciptakan sebagai seorang yang tabah dan mempunyai daya tahan yang tinggi. Sanggup meredah hujan, salji dan panas untuk menambahkan pengalaman diri.


Terimalah pengorbanan Qobain ini, yang sanggup keluar daripada 'zon selesa' di usia mudanya untuk menimba pengalaman dengan menjelajah ke seluruh dunia. Sesungguhnya pengalaman berharga Qobain itu memang sepatutnya dikongsikan dengan masyarakat di Malaysia terutama sekali anak-anak muda suatu hari nanti. Itulah sumbangan besar beliau untuk diri sendiri, agama, bangsa dan negara.

Wednesday, 2 January 2008

Bertuahnya HambaMu Ini Ya Allah...

Semakin tiba hari untuk meninggalkan bumi Bendigo, semakin ramai Allah temukan hambaNya ini dengan orang yang baik-baik. Terasa sedih untuk meninggalkan bumi Bendigo, lokasi di mana saya sekeluarga menetap buat sementara waktu untuk menuntut ilmu.

Semakin hampir dengan tarikh penerbangan, semakin ramai rakan-rakan yang melawat saya di Bendigo. Semalam sahaja seramai 13 orang datang menziarahi saya. Mereka datang dari sejauh 2 jam perjalanan berkereta hinggalah ke 1 minit berjalan kaki.


Saya sangat berbesar hati apabila Dr Mohamed Ali, Atase Pendidikan di MSD Australia menyatakan kesudiannya untuk menziarahi saya di Bendigo. Walaupun dengan jadual tugasnya yang ketat di Melbourne, beliau akhirnya diberikan kelapangan masa oleh Allah subhanahu wata’ala untuk menziarahi saya iaitu satu-satunya penuntut Malaysia di La Trobe University, Bendigo. Terasa betapa bertuahnya diri ini apabila menjadi pilihan penuntut yang akan diziarahi oleh beliau. Sayangnya Liza dan anak-anak tidak ada sama di sini. Kalau tidak tentu suasana akan menjadi lebih meriah.

Pertama kali saya bertemu muka dengan Dr Ali adalah ketika saya sekeluarga pertama kali ke Melbourne dan menginap di Dewan Malaysia Melbourne pada 8 Mac 2007. Walaupun baru pertama kami bertemu, beliau sungguh ramah melayan kami sekeluarga seperti telah lama saling mengenali. Dr Ali sememangnya seorang yang sangat prihatin akan kebajikan penuntut di bawah jagaannya. Ianya amatlah bersesuaian dengan tugas beliau sebagai atase pendidikan. Semoga kontrak beliau akan terus disambung untuk menyumbang bakti di sini. Ini kerana pegawai yang komited sebeginilah sangat diperlukan untuk membimbing dan memantau penuntut-penuntut terutamanya di luar negara.


Semalam Dr Ali membawa isterinya, Pn Aida dan anak lelaki mereka ke Bendigo. Bersama-sama beliau di dalam rombongannya itu adalah dua pasangan penuntut Malaysia. Anang dari Monash University, Clayton Campus dan pasangannya Shah dari RMIT, City Campus. Manakala Khairudin dan Noor Azliza dari Monash University, Clayton Campus.

Alhamdulillah ada pasangan suami isteri dari pinggir Bendigo [1 jam perjalanan berkereta] secara sukarela sudi menaja nasi dagang sebagai hidangan makan tengahari dan seterusnya ‘home-made’ donut sebagai pencuci mulut untuk tetamu yang hadir.


Turut menziarahi saya semalam adalah jiran depan rumah, Brother Mike sekeluarga. Mereka turut sama makan tengahari bersama-sama tetamu saya yang lain. Seterusnya mereka menjemput saya untuk makan malam di rumah mereka dan seterusnya menghadiahkan foto mereka sekeluarga bersama saya sebagai kenangan. Bertuahnya saya semalam.





Pada minggu sebelumnya saya ada menerima kunjungan beberapa keluarga dan rakan-rakan yang telah lama dan baru saya kenali dari Melbourne. Antaranya saudara Istas sekeluarga dari RMIT City Campus. Mereka sudi menjengah dan seterusnya menginap di rumah sewa saya di Bendigo selama 2 malam. Selepas Istas sekeluarga pulang, keesokan harinya pula datang sekumpulan lagi penuntut Malaysia dari La Trobe University, Bundoora dan RMIT, Bundoora seramai 5 orang. Mereka begitu teruja apabila saya membawa mereka bersiar-siar di sekitar kampus La Trobe University, Bendigo. Setelah mereka pulang, hadir pula Muqharabbin a.k.a Qobain, penjelajah muda yang dalam siri ekspidisi bermotosikalnya di Australia. Beliau saya jamu dengan kari ayam dan sambal udang untuk makan tengahari dan makan malam. Berselera sungguh beliau nampaknya.


Sesungguhnya tetamu yang datang dan pergi ini menambahkan lagi asam garam kehidupan saya di bumi Bendigo yang akan saya tinggalkan tidak lama lagi. Semoga kesemua mereka yang saya kenali ini sentiasa diberkati dan dirahmati kehidupan mereka oleh Allah subhanahu wata’ala. Amin.

Tuesday, 1 January 2008

Ayam pun Ayamlah!


Sementara menunggu tarikh penerbangan pulang ke tanahair, saya berpeluang bekerja secara sambilan di ladang ternakan ayam Hazeldene di Marong iaitu kira-kira 20km dari Bendigo. Ladang ayam ini adalah antara yang terbesar di Victoria. Ladang ini mempunyai berpuluh-puluh reban ayam yang dilengkapi dengan kemudahan kuasa generator ‘backup’, sistem penghawa dingin, dan kemudahan penyimpanan air dan makanan ayam berteknologi tinggi. Ayam Hezeldene juga mendapat akreditasi sebagai produk halal daripada Victorian Islamic Society. Setiap satu reban mempunyai 40,000 ekor ayam. Saya bekerja dari jam 8.30 pagi sehinggalah ke jam 4.30 petang. Upah yang saya perolehi juga boleh dikatakan lumayan iaitu $17.35 [RM50] sejam.

Kalau nak diikutkan elaun yang diterima oleh penuntut-penuntut di bawah tajaan kerajaan Malaysia di Australia sekarang, saya merasakan ianya lebih daripada mencukupi. Tidak perlu bekerja. Fokus pada pengajian sahaja. Tetapi disebabkan keinginan untuk menimba pengalaman bekerja di tempat orang sambil melihat suasana orang Australia bekerja, maka saya telah mendaftarkan diri dengan agensi pekerjaan Workforce Extensions Bendigo. Dalam hari yang sama juga saya mendapat keputusan bahawa saya telah diterima bekerja kerana mereka mengambil kira pengalaman saya membantu pakcik saya di ladang ayam miliknya semasa di Malaysia. Alhamdulillah saya tidak perlu menjalani sesi latihan seperti yang terpaksa dijalani oleh pekerja-pekerja baru. Ini kerana untuk sesi latihan, upahnya tidak akan dibayar untuk 8 jam pertama.


Semasa bekerja dengan warga Australia di sini saya dapat melihat bagaimana berdisiplinnya mereka bekerja. Mereka datang awal. Bersiap siaga sebelum penyelia sampai [perlu mandi sebelum memasuki reban dan mengenakan pakaian yang telah disediakan]. Tidak curi tulang. Berehat hanya apabila dibenarkan oleh penyelia bertugas dan yang menariknya setiap pekerja membawa bekalan makanan dan minuman dari rumah masing-masing.


Syukur kerana saya diterima baik di sini oleh rakan-rakan sekerja dan tidak berlaku sebarang diskriminasi warna kulit. Paling menariknya mereka amat berminat apabila mengetahui saya seorang Muslim!