Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday, 7 September 2010

Partiban Kembali Tersenyum

Dah lama dah dia tak melawat ke tempat-tempat rekreasi. Selepas kejadian pada tahun 2007 yang lalu dia langsung tidak mempunyai peluang untuk berekreasi seperti yang selalunya. Pada hari kejadian, beliau yang sedang bertugas sebagai Penyelia Keselamatan memesan makanan daripada kawannya yang mahu ke kedai mamak untuk membeli makanan. Kawannya membawa pulang nasi berlaukkan kari kambing. Dia tahu dia tak boleh 'mencari nahas' dengan menjamah lauk yang memang menjadi kegemarannya. Dia terpaksa 'mengharamkan' daging kambing daripada dijamah olehnya. Semuanya gara-gara beberapa tahun sebelumnya dia telah diserang penyakit darah tinggi yang kritikal. Jadi doktor nasihatkannya untuk menjauhi beberapa jenis makanan dan mengamalkan cara hidup sihat dengan aktif beriadah.

Malam itu Partiban hanya menjamah nasi berlaukkan kuah kari kambing. Dagingnya langsung tak disentuh dek kerana patuh kepada nasihat doktor. Partiban tidur seperti biasa selepas selesai bertugas. Namun sesuatu yang tak disangka berlaku kepadanya. Dia tersedar daripada tidur, tapi kali ini dalam keadaan yang berbeza. Dia tak boleh mengangkat badan. Kaki dan tangannya langsung tak boleh digerakkan. Mulutnya senget dan tak boleh digerakkan. Peti suaranya tak mampu menghasilkan bunyi suara seperti kebiasaannya. Partiban merasakan seperti dia berada di dunia asing. Apa yang perlu dia lakukan sekarang. Akalnya buntu dan mati. Tak tahu apa yang perlu dilakukan. Nasib baiklah ada kawan yang perasan dengan keadaannya dan segera membawanya ke hospital.

Kesannya Partiban telah lumpuh. Mulutnya herot. Darah tingginya menyerang secara tiba-tiba. Itulah penangannya kerana mengambil mudah akan pesan doktor. Sesal kemudian sudah tidak berguna.

Partiban terpaksa dibantu kehidupan sehariannya. Dia hilang segala kehidupan sebelumnya. Dia hilang pekerjaan. Dia terpaksa tinggal di Pusat Jagaan Orang Kurang Upaya (OKU). Dek bantuan pelajar-pelajar daripada kolej swasta yang tidak jemu-jemu mengajarnya untuk bersenam dan terapi, kini Partiban sudah boleh bertutur kembali (masih kurang lancar) dan menggerakkan anggota sebelah kanan badannya.

Selepas bertahun-tahun menanti akhirnya Partiban mampu menarik nafas lega apabila ada sekumpulan pelajar daripada UiTM yang sudi membawanya dan rakan-rakan daripada Pusat Jagaan OKU Rawang melawat dan melakukan aktiviti rekreasi luar di Zoo Negara. Lokasi ini pernah dilawatinya suatu ketika dahulu ketika dia masih sihat. Tidak termimpi olehnya setelah hampir 4 tahun lumpuh, kini dia masih boleh kembali berekreasi. Semuanya kerana adanya sekelompok insan yang prihatin. Itulah ucapan penghargaan dan syukur yang Partiban luahkan ketika sesi penutup program UiTM bersama OKU tempohari. Dia begitu terharu dengan pengorbanan siswa-siswi UiTM yang majoritinya Melayu Islam yang sudi membawa mereka yang majoritinya India ketika di dalam bulan Puasa ini untuk berekreasi di Zoo Negara. Berulangkali dia luahkan penghargaan yang tidak terhingga di dalam ucapannya.

Saya harapkan anda juga begitu. Bantu ketika boleh membantu. Partiban sudah tahu nasibnya. Kita belum tahu. Partiban normal sebelumnya dan punya hidup dan kerjaya sendiri. Allah tarik sebentar nikmat yang dia kurniakan kepada Partiban dan kini Partiban memerlukan bantuan dan sokongan orang dek kerana dia telah dikategorikan sebagai OKU. Sama-samalah kita membantu kepada yang memerlukan.

Foto-foto sekitar program UiTM bersama OKU









Monday, 6 September 2010

Salam Eidul Fitri 1431H

Assalamualaikum/Salam Sejahtera,

Didoakan agar penjenguk-penjenguk daripada kalangan muslimin dan muslimat yang dihormati sekalian sentiasa sihat dan diberkati Allah. Amin.

Di kesempatan ini saya sekeluarga dengan rasa rendah diri ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri Minal Aidil Wal Fa'izin dengan iringan doa mudah-mudahan rahmat Allah sentiasa bersama kita dan dijauhkan kita daripada ujian yang tidak tertanggung oleh kita.

Kepada yang akan memandu kenderaan pulang ke kampung halaman, saya harapkan agar sama-samalah kita berhati-hati di jalan raya. Semoga penjenguk-penjenguk sekalian selamat pulang ke kampung halaman berhari raya bersama kaum keluarga dan sanak saudara tercinta dan seterusnya selamat kembali ke tempat bertugas.

MAAF ZAHIR BATIN.

Ikhlas,
Hisyam bin Che Mat
Norliza bt Ali Wee
Kamilia Afiqah bt Hisyam
Kamil Afiq bin Hisyam
Kaisara Afiqah bt Hisyam

Sunday, 5 September 2010

Qathrunnada - Cinta Agung



Lagu di atas cukup menenangkan saya terutama ketika di saat gusar dan dilanda kecelaruan minda. Bait-bait lirik yang begitu mendalam maknanya dapat mengingatkan kita tentang kebesaran Allah dan nikmat-nikmat yang telah dikurniakannya kepada kita hinggakan adakalanya kita terleka dan alpa.

Ketika berhempas pulas menyiapkan penulisan projek di peringkat sarjana beberapa tahun yang lalu, lagu ini menjadi peneman saya di setiap hari. Samada di waktu malam yang hening sehinggalah ke permulaan pagi saya sebelum ke uni. Alhamdulillah dek kerana meresapnya 'aura' lagu ini ke dalam diri ini, saya menjadi kuat untuk menempuh rintangan di dalam menyiapkan projek yang saya sendiri rasakan terlalu berat untuk diselesaikan. Hanya kepada Allah saya mengadu setiap hari untuk membantu mempermudahkan kerja buat saya ketika di sana.

Kepulangan Liza dan anak-anak ke Malaysia ketika saya di saat 'kritikal' dan memerlukan sokongan mereka amat menekan jiwa ini. Saya kesepian. Tambahan pula tiada teman untuk berbicara kerana tuan tumah (Bro Heri) juga telah pulang bercuti di Indonesia. Maka tinggalkan saya seorang diri tanpa ada teman selama hampir 2 bulan di rumah besar yang disewa.

Lagu ini saya laungkan hampir setiap hari. Masa banyak diisi di malam hari dan awal paginya dengan solat wajib dan sunat serta bacaan Yaasiin. Itulah rutin hampir setiap hari selain berjalan ke uni untuk 'mengadap' penyelia projek dan ke library.

Sudah tentulah sehingga kini saya masih tidak akan dapat melupakan saat tekanan ketika di peringkat ingin menyiapkan penulisan projek tersebut. Alhamdulillah, Allah telah permudahkan.

Kini saya menghitung hari untuk cabaran seterusnya. Bilakah agaknya cabaran baru akan bermula? Saya jangkakan masanya semakin hampir. Saya yakin saya dapat rasakannya kini!

Kepada penjenguk-penjenguk sekalian sama-samalah kita membuat pilihan yang mana satu menjadi idaman, samada cinta agung yang membahagiakan hati ataupun cinta dunia yang meresahkan.

Nota: Jangan salah faham, saya bukan pengikut Al-Arqam... tetapi cuma meminati lagu-lagu nasyid yang mereka perdendangkan.

Friday, 3 September 2010

Kerja Kosong: Pendemonstrasi Profesional Diperlukan

Memang melampau. Bendera negara kita dilumur telur busuk, dibakar dan dicampak pula najis ke kedutaan kita. Apa jenis orang la depa ni. Tak reti nak hormat kedaulatan negara lain langsung. Sepatutnya di bulan yang penuh berkat ini akan menjadikan manusia lebih sabar, lebih memaafkan dan bertolak ansur. Namun lain pula yang berlaku di negara seberang tu. Mereka lebih banyak beremosi daripada memikirkan secara rasional kesan tindakan mereka terhadap hubungan dua hala yang telah lama terjalin. Katanya kita serumpun, jadi kenalah berbincang kalau ada masalah. Jangan asyik nak salahkan orang ja, macam 'dia' saja yang betul.

Biarlah pemimpin antara dua negara yang berbincang. Ini dah jadi hero la pulak. Kononnya nak mempertahankan 'kehormatan' negara mereka yang dah tercabul. Tak tahu hujung pangkal apa yang berlaku di perairan negara, dah sibuk-sibuk nak menghentam negara lain. Dah tentu daripada laporan akhbar katanya nelayan kita tu dan peronda di perairan kita ada GPS dan tahu lokasi mereka, jadi apa ceritanya!. Terima ajalah kenyataannya kalau dah buat salah tertangkap orang kita dan ditangkap oleh peronda kita. Ini tak dia juga yang betul. Ganyang Malaysia! Malingsia!. Terus betul dia kutuk kita macam kita takdak hati dan perasaan.

Saya rasakan bapa-bapa pendemonstrasi tu dah dapat upah da. Habis macamana hang nak hidup pun susah. Ada hati juga nak bakar sana bakar sini. Baik pergi kerja lagi baik daripada dok berdemonstrasi sampai berhari-hari. Ya tak ya juga ini pun satu peluang pekerjaan baru di negara depa kot. Pendemonstrasi Profesional!

Mana depa dapat duit nak beli bendera Malaysia tu dan mancis atau lighter. nak makan pun susah. Tentu ada orang sponsor tu. Iyalah... lebih baik depa beli beras bagi anak bini makan atau kalau duit terlebih sedekahkan aja duit yang depa beli bendera atau kain dan cat untuk dibuat bendera tu kepada orang miskin dan papa kedana kat sana tu. Geram betul la! Dah lama simpan ni.

Apala 'adik beradik' pun nak gaduh!. Raya dah dekat ni, sepatutnya bermaaf-maafan. Lain takdak depa nak tunjuk paling kuat, bengkeng, kahaq, samseng, gedebe. Nak tunjuk terror dan macam-macam lagi. Memangla rakyat dia ramai, kalau asyik nak bergaduh dan taknak berdamai, sampai bila nak maju.

Rakyat dia pun ramai kat sini. Yang berdaftar 2 juta dan yang tak berdaftar... berjuta-juta la kot nooo. Itupun ada hati nak suruh balik kesemuanya ke negara depa. Apa depa nak bagi kerja ka kat rakyat depa yang balik tu. Negara kita yang dah aman makmur, tempat yang terbaik untuk rakyat depa mencari rezeki pun depa tak hormat. Habis camna. Bawak balik aja la. Bawak mai depa punya kapal-kap tentera laut atau bawak kesemua tongkang-tongkang yang terdapat di negara depa tu untuk mengangkut kesemua berjuta-juta rakyat depa yang dah beranak pinak di sini. Silap-silap rakyat dia sendiri yang taknak pulang. Habis dah seronok jadi orang Key Yel.

Sabarlah jiran ku. Jangan diikutkan sangat perasaan marah tu. Biar pemimpin yang telah kita lantik tu yang selesaikan secara diplomatik. Tak payah kita nak sibuk. Janganlah dikeruhkan hubungan erat yang memang telah lama tok nenek kita dok jaga tu. Tak ke mananya kita. Barat akan mentertawakan kita.

Tuesday, 24 August 2010

Mampukah Kita Bila Diduga?

Saya suka menggunakan contoh ini untuk menggambarkan besar dan kecilnya dugaan seseorang. Kata saya kepada mereka yang mendengar, "Kita sering merungut apabila tak mampu membeli kasut baru seperti yang dipakai oleh kawan-kawan kita yang mampu, tetapi sedarkah kita bahawa ada di antara rakan-rakan kita di luar sana yang bukan sahaja tidak mampu untuk membeli kasut bahkan tidak juga mempunyai kaki untuk menyarungkan kasut yang ingin dimilikinya".

Maka bersyukurlah dengan dugaan kecil yang Allah subhanahuwata'ala berikan kepada kita. Itu tandanya Allah swt masih sayangkan hamba-Nya. Kita jangkakan dugaan yang Allah turunkan pada kita itu sudah terlalu teruk tetapi kadang-kadang kita terlupa bahawa ada orang lain yang lebih teruk dugaannya daripada kita. Allah hanya menguji setakat yang hambaNYA mampu sahaja.

Saya ceritakan kepada seorang sahabat, bagaimana Allah swt 'tarik' kedua ibubapa saya ketika saya masih memerlukan kasih sayang keduanya. Saya jangkakan itulah dugaan terhebat di dalam kehidupan saya. Namun saya lupa tentang dugaan orang lain. Terus kawan saya ceritakan kisah hidupnya sehingga membuatkan saya lebih bersyukur. Katanya dia masih mempunyai kedua ibu dan bapa namun dia tidak pernah merasa nikmatnya dapat mencium tangan keduanya. Ini kan pula memeluk keduanya sebelum ke sekolah dahulu sehinggalah ke zaman universitinya. Pernah beberapa kal ibunya menghamburkan perkataan yang tidak ingin mana-mana anak sekalipun mendengarnya. Ibunya tidak mengaku bahawa dia ini sebagai darah dagingnya. Aduh... anak mana yang tak sedih apabila mendengar perkataan yang tak mahu didengarnya itu. Saya hanya mampu menyuruh dia bersabar dan memohon doa dari Illahi agar dilembutkan hati kedua ibubapanya.

Saya bersyukur kerana pernah melalui pengalaman mencium tangan mak dan abah. Pernah memeluk dan mencium mereka sebelum ke sekolah. Paling penting arwah mak dan abah tidak pernah mengeluarkan perkataan yang sahabat saya dapat dengari dari mulut ibunya sendiri. Saya bersyukur.

Nota: Selamat Hari Wanita kepada semua ibu-ibu yang membaca coretan saya pada kali ini. Semoga dosa-dosa anda diampunkan Allah swt dan ditempatkan di Syurga Firdaus. Amin.

Sunday, 22 August 2010

Satu Bahtera Dua Nakhoda

Mana mungkin ini terjadi. Sudah tentulah kalau satu kapal dua nakhodanya maka alamat tak bergeraklah kapal tersebut. Seorang nak ke barat dan seorang nak ke timur. Seorang nak ke Lautan Atlantik, seorang nak ke Lautan Pasifik dan akhirnya tersadailah kapal di Guatemala. Apalagi kelas-kelasinya pun berkata Guatemala ke "Gua Mati La" lagi senang. Iyalah dah susah sangat asyik nak berperang sahaja atas kapal. Lebih baik terjun atau kelasi berhenti beramai-ramai lagi baik. Sebab bila 2 nakhoda bertelagah maka orang bawah pun tunggang langgang. Tak punya hala tuju. Sudah pastilah kapal itu tidak akan tiba ke destinasi dengan selamat ataupun bakal menerima nasib seperti kapal Titanic. Tenggelam di lautan!

Maka pengajarannya di sini, sesebuah organisasi atau jabatan itu perlu ada hanya seorang ketua. Ketua ini akan menurunkan kuasanya kepada beberapa orang penolongnya bagi melancarkan urusan seharian organisasi/jabatan masing-masing. Penolongnya akan menjalankan tugas yang telah diamanahkan berpandukan halatuju jabatan/orgabisasi tanpa ada nawaitu untuk mencantas ketuanya sendiri. Jalankan tanggungjawab dengan penuh amanah.

Namun kebiasaannya langit tidak selalu cerah. Ketua kebiasaannya akan diuji. Akibat dicucuk atau 'gila kuasa' maka penolong-penolong semakin menggila dan menjadi tamak. Ingin dicantasnya ketua yang telah melantiknya. Bagaimana caranya? Akan difikirkanlah caranya dan kebiasaannya adalah dengan cara jahat. Surat layang, gerakan bawah tanah, fitnah memfitnah, mengadu domba dan yang seangkatan dengannya. Yang penting agenda peribadi tercapai.

Sepatutnya kalau ketua salah, tegur dengan cara baik dan bukannya terus menekan ketua. Beri peluang kepadanya untuk berubah. Kalau tak berubah juga... cubalah lagi cari jalan penyelesaian yang terbaik.

Cantiknya ajaran Islam dan indahnya Islam ini sehinggakan imam solat sebagai pemimpin pun boleh ditegur. Kalau imam terlupa surah ketika sedang solat, makmum di belakangnya boleh tegur dan betulkan. Kalau imam terlupa rakaat samada terlebih atau terkurang, makmun boleh tegurkan. Hanya dengan menyebut subhanallah.

Harap-harap 'bahtera' yang sedang kita naiki, tidak dikepalai oleh dua 'nakhoda' lah ya. Saya sekadar berkongsi coretan.

Friday, 20 August 2010

Jijik Lagi Menjelikkan

Kalau dilihat dengan mata kasar tentu aktivit yang satu ini nampak menjijikkan. Mana taknya berlemoih (comot) kata orang utara. Berjalan dengan mata ditutup, selut diredah, dimandi air lopak, menyelit celah-celah perdu pokok, merangkak dalam lubang yang muat-muat saiz badan dan banyak lagilah lakuan-lakuan yang tak terjangkau dek akal dilakukan ketika mata ditutup tu.

Kalaulah foto-foto semasa aktiviti berlangsung diletakkan di muka depan akhbar harian dan ditayangkan di laman sesawang YouTube pasti ianya menjadi perhatian dan perbincangan di peringkat nasional. Gempaq satu Malaya. Percayalah! Itulah menjadi kegemaran orang kita melatah tanpa usul periksa. Mungkin akan ada yang beranggapan kejadian raging di universiti. Mungkin la!

Namun aktiviti yang kotor di pandangan mata kasar ini mempunyai moralnya yang tersendiri. Aktiviti ini lebih banyak yang tersirat daripada yang tersurat. Banyak baik dari buruknya. Hanya mereka yang pernah melaluinya dan seterusnya melihat dengan mata hati sahaja yang boleh mentafsirkan cerita di sebalik aktiviti yang dikatakan menjijikkan ini. Aktiviti kecil yang boleh meninggalkan impak yang besar di dalam diri kita.

Kalau ramai yang tak perasan atau tak ada perasaan, inilah salah satu aktiviti yang dapat menggugurkan ego seseorang. Mana taknya, di zon selesa kebiasaannya aku wangi dan kemas. Kini aku hanya seorang hamba yang biasa sahaja. Comot dan tidak terurus. Pewanginya pula adalah bau-bau selut yang telah menyelaputi dari hujung rambut hinggalah ke kaki. Semua rakan-rakan yang ada tak kira kaya atau miskin, cantik atau kurang, handsome atau kurang, rupanya sama sahaja selepas menamatkan 'laluan si-buta' itu. Berlemoih!

Sepatutnya perkataan syukur terkeluar daripada mulut sesiapa sahaja yang pernah menjalani aktiviti sebegini. Iyalah bersyukur kerana dikurniakan sepasang mata cantik yang masih boleh melihat keindahan alam dan mensyukurinya.

Bayangkanlah nasib golongan yang mempunyai masalah penglihatan atau buta. Mereka hanya mengharapkan bantuan orang lain, tongkat ataupun handrail untuk bergerak. Tentu sukar kan kalau ianya berlaku kepada kita. Hanya 'dibutakan' selama 1-2jam pun kita dah memberontak dan tidak selesa, inikan pula buta selama-lamanya. Aduh... bersyukurnya aku Ya Allah.

Ada satu cerita di sini.

Harap-harap penjengok-penjengok pun sama. Mari kita belajar bersyukur.

Thursday, 12 August 2010

Jasa Kwame

Prof Madya Dr Kwame Ampofo-Boateng telah berkhidmat di UiTM lebih daripada 13 tahun. Sebelum di FSR beliau pernah menaburkan baktinya di ITM Seksyen 17. Walaupun bukan Bumiputera dan bukan juga warganegara, namun Kwame tetap komited untuk berkongsi ilmu yang beliau ada bersama-sama pelajar di FSR.

Tanggal 1 September 2010 akan menjadi saksi kepulangan Kwame ke negaranya setelah lama merantau. Langkah kaki beliau yang seterusnya adalah ke University of Calgary. Untuk apa??? Rahsia...

Fakulti akan kehilangan seorang staf yang komited dengan kerja dan sentiasa ringan tulang membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuannya.

Ketika menyampaikan ucapan terakhirnya di majlis perpisahan yang dianjurkan fakulti tempohari, Kwame cuba menyembunyi kesedihannya. Namun perasaan sebak yang terkeluar daripada bait-bait perkataannya sudah jelas menunjukkan bahawa dia sedang bersedih. Sedih untuk meninggalkan Malaysia yang telah dia anggap sebagai negara keduannya. Kalau tidak, sudah pastilah dia tidak mungkin akan dapat menetap di sini terlalu lama. Kwame juga bersedih kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakan yang sebegitu ramai yang akan ditinggalkannya di bumi Malaysia. Di dalam ucapannya beliau sempat menyebut beberapa perkataan yang disusun menjadi ayat di akhir ucapannya.

Saya mempunyai banyak kenangan bersama Kwame bermula dari proses ditemuduga kerja oleh beliau untuk kemasukan 2000 hinggalah detik-detik terakhir untuk menyiapkan artikel di dalam jurnal fakulti untuk tahun 2010. Tentu ramai alumni-alumni di luar sana yang mempunyai pengalaman mereka ketika di alam kampus bersama Dr Kwame.

Semoga Kwame terus maju jaya.




Tuesday, 27 July 2010

Bukit Broga: Pemandangan Indah???

Bukit Broga merupakan salah sebuah lokasi menarik di Broga. Ia seperti mercu tanda yang dapat menaikkan lagi nama pekan kecil Broga kepada masyarakat. Suatu ketika dahulu Broga pernah terkenal dek kerana dipilih sebagai lokasi projek insinerator. Khabarnya pada tahun 2009 projek insinerator tu telah pun ditamatkan di Broga. Alhamdulillah.

Mungkin ramai penjengok yang masih belum pernah mendaki bukit ini. Saya sendiri pun tak pernah terlintas di pemikiran untuk mendaki bukit ini walaupun seringkali melalui jalan ini untuk ke Hutan Lipur Lenggeng. Saya hanya memerhatikan sahaja keempat-empat puncak bukit ini daripada kejauhan dan tak menyangkakan bukit ini sebenarnya memaparkan suatu pemandangan yang indah daripada puncak-puncaknya.

Pemilihan lokasi amali rekreasi luar darat oleh siswa-siswi pengkhususan Pengurusan Rekreasi semester 3 ini amat bertepatan dengan kemampuan dan kekuatan mereka seramai 37 orang. Ini merupakan amali pertama mereka untuk semester ini. Saya memberi kebebasan kepada mereka untuk memilih aktiviti dan lokasi untuk dilaksanakan aktiviti yang dipilih. Kalau senior-senior sebelumnya memilih mountain biking sebagai aktiviti untuk amali rekreasi darat, kumpulan ini sebulat suara memilih pendakian sebagai aktiviti amali pertama mereka [mountain bike tak cukup da].

Perjalanan daripada FSR bermula dari jam 5.20 pagi dan mengambil masa lebih kurang sejam sebelum berhenti di Stesen Petronas Jalan Semenyih untuk solat Subuh. Dek kerana ramai ahli rombongannya maka terpaksalah kami bergilir-gilir untuk solat kerana surau Stesen Petronas ini agak kecil [apa da ketua rombongan]. Saya syorkan anda bersolat di sebuah Masjid di Jalan Semenyih kalau datang ramai-ramai macam kami. Tidaklah terlalu membuang masa dek kerana menunggu.

Sepatutnya pendakian dah boleh bermula dari jam 6.30 pagi. Dek kerana rombongan Makcik Kiah dengan pelbagai ragam ini maka dakian bermula pada jam 7.35 pagi. Tak dapatlah nak tengok matahari terbit. Takpalah...

Dakian Bukit Broga ini tidak terlalu sukar. Ianya easy hiking. Pendakian sekitar 40 minit hingga sejam sebelum sampai di kesemua puncaknya. Nyonya-nyonya dan apek-apek pun ramai yang mendaki dan telah menjadi aktiviti rutin mereka boleh dikatakan hampir setiap hari. Kuat jantung oooo.

Semuanya nampak OK di sini, namun sayangnya masih ada lagi geng-geng pendaki terdahulu ni yang kurang ajar. Habis ditoresnya pokok-pokok dan dicontengnya batu-batu besar yang sememangnya berada di situ dengan nama mereka. Mahu sahaja kalau ditangkap makhluk-makhluk yang durjana tu dan seterusnya ditores dan diconteng badan mereka. Mungkin hukum karma begini sukar berlaku dan makhluk durjana sebegini susah nak insaf. Pemandangan alam yang indah di keempat-empat puncak Bukit Broga juga dicacatkan lagi dengan taburan sampah-sampah tinggalan pendaki terdahulu. Banyak sekali botol-botol plastik, plastik dan kotak-kotak minuman dan kotak rokok dicampakkan di merata-rata tempat. Tak ada sivik langsung. Ada makhluk durjana yang lebih tertib pula menyorokkan sampahnya di celah-celah batu. Kononnya agar pendaki lain tak nampak kot. Ini macam punya orang pun ada ka!

Namun dakian ini lebih indah sekiranya para pendaki dapat mensyukuri nikmat yang telah Allah swt kurniakan kepada kita. Nikmat pancaindera yang lengkap yang dapat digunakan untuk melihat (mata), mendengar (telinga), menghidu (hidung), merasa (lidah) dan sentuhan (kulit). Lebih indah lagi kalau deria keenam atau mata ke-3 turut digunakan.

Sempat saya menyampaikan 'tazkirah' di atas puncak ke-2 di mana ada sebahagian peserta yang agak keseronokan sehingga lupa untuk mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan. Mereka menjerit suka setelah berjaya sampai ke puncak. Terlupa menyebut kebesaran, keagungan dan kesucian Allah yang telah menciptakan keindahan alam di Bukit Broga ini. Terlupa untuk menyebut Subhanallah dengan keindahan yang Allah ciptakan ini. Kalau terlupa maka samalah kita dengan pasangan warga tua yang seringkali mendaki bukit ini yang fokusnya hanya untuk kesihatan dan keindahan. Yang kita umat Rasullullah inginkan adalah sebaliknya iaitu keredhaan Allah bukannya sekadar berekreasi tanpa ada arah tuju.

Friday, 9 July 2010

Setia Kasih

Saya masih lagi teringatkan keratan akhbar bertarikh 23 Jun yang lalu. Mahu sahaja saya coretkan sedikit catatan berdasarkan kebesaran Allah ini sebaik sahaja membaca berita sedih ini. Namun kekangan masa sering menggagalkan coretan ini menjadi kenyataan.

Beritanya tentang ikrar cinta sehidup semati sepasang suami isteri. Mungkin itulah ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan tentang kisah sedih di mana seorang isteri yang meninggal dunia di sisi suaminya sebelum suaminya pula menghembuskan nafas terakhir kira-kira 15 minit kemudian. Si isteri rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia sebaik sahaja doktor memberitahu penyakit barah hati yang dihidapi oleh suaminya semakin kritikal.

Masyaallah terlalu hebat ikatan kasih sayang di antara pasangan ini. Ikrar sehidup semati mereka telah dikota. Seorang tidak sanggup lagi hidup apabila pasangannya pergi atau akan pergi meninggalkannya. Kedua-duanya berebut untuk tidak pergi dahulu. Tak sanggup menangis, meratap dan bersedih di atas kehilangan pasangan yang dikasihi.

Semoga roh pasangan ini dicucuri dan ditempatkan bersama-sama insan yang soleh.

Teringat kembali selepas mak pergi meninggalkan kami. Abah jadi tidak keruan. Dia sayang dan terlalu menyayangi mak. Dia rasa bersalah dek tabiat merokoknya yang terlalu kuat, mak menjadi mangsa. Kerana sayangkan mak jugalah abah sanggup berhenti merokok. Namun sudah terlambat. Mak pergi meninggalkan kami kerana masalah pernafasan. Abah kembali merokok. Itupun selepas 'dipujuk' oleh kawan-kawan yang menjadi peneman sembang abah. Kononnya mereka ini pembantu untuk mententeram dan menenangkan abah. Penenangnya rokok. Dek kerana 'ubat penenangnya' jugalah penyakit abah kembali tak lama selepas itu. Sesak nafas akibat asma yang kronik. Abah pergi selamanya meninggalkan saya dan kakak.

Terbaca diari abah menyebabkan hati makin tersentuh. Abah yang garang ini rupanya seorang yang sentimental. Dalam diam dia menulis catatan di diari kecil yang kebetulan saya jumpa ketika mengemas rumah. Kebanyakan catatannya menceritakan betapa rindunya dia kepada arwah emak. Dicatatkan juga tentang janji mereka untuk sehidup semati. Hebat kasih sayang mereka. Kalau dia marahkan emak, tak pernah dia tinggikan suara, dengan berdiam sahaja emak dah tahu abah tak suka. Bila abah marah mak akan berdiam begitu jugalah sebaliknya. Walaupun abah garang, tapi saya tahu dia sayangkan kami semua. Pesan abah ada di sini.

Mak kebiasaannya menjadi penyimpan rahsia saya. Kalau dah lewat balik [selepas azan Maghrib], pasti emak akan bukakan pintu belakang untuk 'memasukkan' saya ke dalam rumah. Abah yang menunggu di pintu hadapan tak terkejut sekiranya tiba-tiba saya dah berada di dalam rumah di tempat yang sebelum tak ada ketika azan berkumandang tadi. Jawapnya tali pingganglah akan menjadi 'peneman' belakang badan saya. Mak akan jadi pembela. Abah akan kembali cool dek pujuk rayu mak. Kalau tak, mahu saja saya dah patah riuk dek panas baran kerana kerap balik lewat selepas main bola di padang. Namun semuanya kini tinggal kenangan. Jasa keduanya tidak akan saya lupakan selagi hayat dikandung badan.

Keredupan dan kelembutan wajah mak mampu melembutkan hati abah yang panas dek kenakalan anak lelaki yang seorang ini. Pujuk rayu mak berjaya menyejukkan perasaan 'menggila' abah di dalam mengajar anaknya supaya tidak kurang ajar dan mendengar kata orang tua. Berkat didikan keduanya saya mampu berdiri, cekal dan tabah di dalam menghadapi kerenah anak-anak dan kehidupan yang makin mencabar.

Terus terang saya katakan, saya rindukan keduanya. Terlalu rindukan keduanya. Oh Tuhanku, berikanku kekuatan agar dapat meneruskan kehidupan yang semakin mencabar ini. Walaupun kadangkala diriku ini tergelincir, namun ku pohon kepada-Mu agar Engkau tunjukkanlah aku ke jalan yang lurus. Ya Allah, ku pohon kesabaran dan ketabahan di dalam menghadapi kehidupan ini. Kurniakan kasih sayang dan kebahgiaan kepada keluarga ku sebagaimana Engkau kurniakan kepada aku ketika kedua ibubapaku masih ada. Ya Allah hamba ini terlalu rindukan mak dan abah. Ya Allah, ampunilah dosa keduanya. Ampuni dosa satu-satunya kakak kandungku Kak Yati. Jauhilah mereka daripada api nerakaMu. Kasihanilah mereka Ya Allah. Tempatkanlah mereka di syurgamu. Syurga yang kami umatmu idamkan, syurga-syurga Firdaus-Mu. Amin ya rabbal'alamin.

Wednesday, 7 July 2010

Terima Kasih UiTM!

Terima kasih UiTM!

Terima kasih kerana telah memberi peluang kepada anak saya melanjutkan pelajaran!
Terima kasih kerana membantu memberi peluang kepada anak kami menuntut ilmu dan seterusnya mengubah nasib kami sekeluarga!
Terima kasih kerana anak saya yang kurang kelayakannya ini diterima masuk untuk meneruskan pengajian di universiti!
Terima kasih kerana menolong anak-anak kami orang miskin/yatim ini belajar percuma tanpa sesen pun bayaran dan siap diberi elaun lagi!

Susah betul nak jumpa ayat-ayat yang mudah ini di dada-dada akhbar. Baik di ruangan surat pembaca mahupun di ruangan SMS aduan pembaca. Alahai lah nasib UiTM. Menabur bakti untuk bangsanya, namun yang dinampak hanyalah kesalahan demi kesalahan.

Tentang bilik asrama yang terpaksa dihuni ramai-ramai. Tentang keputusan masuk yang lambat diperolehi. Tentang staf yang tak mesra. Tentang rayuan pertukaran kampus dan program yang tak dilayan dan macam-macam lagilah yang nak dicari salahnya.

Wahai ibubapa dan penjaga sekalian, belajarlah bersyukur. Yang tak dapat masuk nak masuk. Yang dah dapat masuk nak tukar kampus dan nak tukar program. Yang dah dapat asrama nak tukar bilik. Yang dah dapat bilik katanya ramai pulak penghuninya dalam satu-satu bilik. Memang tak akan selesai punyalah masalah ni.

Maka kepada yang banyak sangat ketidakpuasan hatinya itu, lebih baiklah bersemuka dengan pihak UiTM. Tak payahlah memalukan universiti yang anak anda akan belajar. Apa nak takut, datang ja ke mana-mana bahagian yang tak puas hati. Cakap. Isi borang. Laporkan. Tak perlu simpan-simpan dan meletup di dada akhbar.


Untungnya mereka yang berjaya ke UiTM. Banyak kemudahannya yang orang luar tak nampak. Banyak sampai tak sanggup nak saya catatkan di sini. Masuk dalam baru tahu. Saya dahulu selepas SPM memang ada memohon kursus di ITM. Tapi 'tak layak' nak belajar di sini. Tak tahulah pulak rupa-rupanya boleh merayu. Iyalah anak yatim piatu kepala batu. Tak tahu prosedur. Mana nak tahu semua tu. Dah tak dapat, terima ajalah. Alhamdulillah, nasib baiklah UPM bagi peluang. Kalau tak, di Sekolah Menengah Sultan Badlishah lah saya habiskan STPM. Ini lain pulak jadinya. Anak dah dapat masuk, banyak pulak komplennya.

Walau sebanyak manapun dugaannya, UiTM pasti akan terus unggul membantu golongan Bumiputera. Tak kira samada Bumiputera yang tahu bersyukur ataupun yang telah lupa asal usulnya. Tak guna memalukan universiti yang anak kita akan dan sedang belajar. Kelak kalau anak kita gagal, maka renungkanlah kembali kata cela dan nista yang pernah kita hamburkan kepada gedung ilmu yang tak serik-serik membantu anak bangsanya berjaya. Mungkin ketika itu masih belum terlambat untuk memohon maaf dan mengungkapkan rasa penuh syukur di atas kewujudan UiTM di bumi bertuah Malaysia tercinta.

Hidup UiTM!
UiTM Pasti Terus Teguh dan Unggul!
UiTM Sentiasa Dihatiku Biarku Aku Bukan Produk UiTM!
Aku Bangga Menjadi Sebahagian Daripada Kejayaan dan Kecemerlangan UiTM!.

Monday, 5 July 2010

Hebat dan Tepat

Mereka ini hebat. Datang tepat pada masanya. Mereka masih putih bersih. Anak muda yang sangat bersemangat. Harap-harap semangat mereka berterusan hingga menamatkan pengajian nanti.

Mereka ini adalah pelajar-pelajar baru Semester Pertama Diploma Pengajian Sukan. Ketika saya tiba jam 8.00 pagi seperti yang telah dijanjikan di Dewan Kuliah 1, kesemua 69 orang pelajar telah bersiap sedia untuk mendengar taklimat program daripada saya. Mereka datang awal. Semuanya sudah bersedia. Saya bangga. Tak sia-sia mereka ditempatkan di Shah Alam. Mereka inginkan perubahan. Syabas kepada mereka ini semua.

Sayangnya janji untuk dipersiapkan komputer riba dan alatan ICT daripada mereka yang sepatutnya tidak menjadi kenyataan dan tidak kunjung tiba pada jam 8.00 pagi. Keadaan ini agak merencat dan melambatkan taklimat pagi tadi. Namun program tetap berjalan dengan lancar walaupun saya sendiri terpaksa membuang masa hampir 10 minit untuk menyediakan peralatan yang sepatutnya telah dipersiapkan lebih awal seperti janji yang diberi. Saya kecewa. Namun saya maafkan. Perlu perubahan. Kita satu fakulti. Perlu saling membantu. Permudahkan yang mudah.

Kepada pelajar-pelajar baru, selamat datang dan selamat menimba ilmu dan pengalaman di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi. Kepada pelajar-pelajar lama, selamat kembali dan teruskanlah kecemerlangan akademik dan kokurikulum anda.

Friday, 2 July 2010

Tak Disangka...

... cempedak dah jadi nangka. Ajaib kan. Ini bukan cobaan tapi benar-benar kejadian.

Beberapa bulan yang lalu ketika saya sedang minum bersama-sama rakan-rakan seperjuangan di sebuah warung, saya telah disapa oleh seorang mamat. Beliau bertanya samada saya masih mengenalinya. "Alahai beb, maafkan saya ingatan kurang jelaslah. Tuan siapa? Di mana kita pernah jumpa ya, soal saya kepada mamat tadi. Selepas dia memperkenalkan diri barulah saya kembali menyoroti kenangan semasa zaman belajar di universiti dahulu. Dia junior saya di universiti. Junior yang memang junior. Junior yang tak reti nak tegur senior. Jadi kurang perasan dek saya kerana dia kurang bergaul dengan senior.

Tanpa diminta mamat tadi memperkenalkan saya dengan wanita yang berada di sisinya. Katanya itu isterinya. Baru lima bulan mengandung [saya tak tanya pun]. Nun jauh di hujung warung tu ditunjukkan pula ibu dan bapa mertuanya. Saya tunduk dan mengangkat tangan tanda hormat kepada kedua mereka yang sedang memerhatikan perbualan kami.

Tak banyak yang dapat kami bualkan. Iyalah.. dia pun nak cepat. Cuma khabarnya kawan ni dah menetap di sekitar kawasan Selangor. Sekarang nak kena berkursus jangka panjang. Nun jauh pulak tu di utara tanahair. Alahai kasihan. Isteri yang memboyot dan tidak bekerja tu terpaksa ditinggalkan di rumah keluarga mertuanya. Ok tamatlah perbualan dan perjumpaan kami di situ hari tu.

Ketika musim cuti sekolah yang lalu super dad [saya la tu... apa boleh buat isteri sibuk berkursus da] membawa anak-anak bercuti di utara tanahair. Super dad bawa ketiga-tiga cahayamata ke beberapa lokasi menarik di utara. Dah lama kami tak bercuti. Kami tour sakan. Anak-anak semua seronok. Saya lagi seronok. Namun macam tak lengkap ja bila mamanya tak ada tapi cuti tetap cuti.

Nak dijadikan cerita saya berjumpa dengan mamat junior yang saya jumpa beberapa bulan yang lalu. Dia pun sedang bercuti agaknya. Di sebelah ada seorang perawan. Aik kali ni lain pulak rupanya. Takkan dah beranak kot. Saya jumpa dulu baru lima bulan. Kalau ikutkan baru sebulan lebih saya jumpa mamat ni di warung tempohari. Mamat tadi mungkin perasan kepelikan yang terpacul di wajah saya. Terus dia kenalkan, perawan yang di sebelahnya adalah kawan yang baru dia jumpa semasa kursus. Baru nak berkawan. "Oooooo kawan", spontan saya membalas. Kami tak banyak berbual. Si mamat tadi pun saya nampak macam tak selesa saja bila saya mula bersoal jawab dengan perawan yang dia kenalkan sebagai kawan tapi mesra tadi tu.

Hebat sungguh mamat junior tu. Di rumah ada isteri memboyot menanti. Di tempat kursus pulak ada teman tapi mesra yang melayan. Kasihan pulak rasanya saya pada isteri yang setia menanti suaminya. Disangka suaminya jujur berkursus. Rupanya ada agenda tersirat. Pasang satu lagi da. Tak betul punya laki. Kalau saya ada nombor telefon si isteri mahu saja saya ceritakan 'kejalangan' tingkahlaku suami yang tak langsung ada perasaan belas pada isteri yang sedang sarat tu. Hampir setiap malam sebelum tidur saya dihantui detik-detik pertemuan saya dengan suami curang dan perawan gedik yang saya pasti sudah mengetahui status si mamat junior seorang ni. Kenapalah ada perempuan sebegini yang harus merosakkan rumahtangga orang lain. Ini membina kebahagiaan di atas kesedihan orang lain. Kaum dia sendiri pulak tu. Kalau mamat junior tu terjengok blog ini, cepat-cepatlah engkau berubah dan tinggalkan benda yang tak berfaedah tu. Satu isteri pun tak terjaga, ada hati mau lagi. Kerja pun baru dapat, mana hang nak bagi makan anak orang. Muka hang tu aku rasa memang layak makan pelempang jepun aja. Ini semua geram punya pasallah ni. Nak dijadikan cerita lagi, saya dapat maklumat sahih [apa boleh buat saya ni minat menyiasat] mengatakan perawan yang diusung oleh mamat junior tu pulak tunangan orang. Alahai lah dunia. Kasihan kasihan.

Tuesday, 8 June 2010

Siapa Hebat Kalau Bukan FSR

Alhamdulillah program Team Building FSR telah menutup tirainya pada petang Ahad yang lepas. Sekalung tahniah kepada sekumpulan 50 orang staf akademik dan pentadbiran FSR kerana telah berjaya meluangkan masa dan seterusnya hadir dan secara aktifnya terlibat dengan semua aktiviti yang telah dirancang oleh konsultan yang dilantik oleh ILQaM. Inilah program Team Building FSR yang pertama berjaya dilaksanakan semenjak penubuhan fakulti. Terima kasih urusetia penganjuran!

Secara peribadi saya merasakan program selama 3 hari tersebut memberi cukup banyak kesannya kepada warga kerja FSR yang hadir. Peluang bekerja sebagai satu pasukan dapat dipraktiskan secara terus melalui aktiviti yang telah dirancang. Tiada sempadan jawatan. Semua bekerja bersama-sama.

Sememangnya di dalam menyelesaikan sesuatu tugasan yang telah diamanahkan oleh konsultan, pasti akan wujud konflik dari segi pendapat dan cara kerjanya. Namun melalui proses perbincangan dan saling bertolak ansur di kalangan ahli pasukan telah menyebabkan semua tugasan dan halangan yang dihadapi itu dapat diatasi dengan jayanya. Walaupun dalam situasi tertentu [keadaan tertekan] wujud individu yang mula menunjukkan sikap tidak sabar dan panas baran, namun kehadiran 'penyejuk' yang sememangnya diperlukan di dalam sesebuah pasukan telah berjaya meredakan 'ketegangan' yang berlaku. Inilah gunanya pasukan.

Setiap 'sumber' pasti ada kelebihan dan kelemahannya. Apabila kita melihat kelemahan kawan kita, maka adalah menjadi tugas kita sebagai ahlinya untuk membantu menaikkannya. Janganlah kita gunakan kelemahan kawan kita itu untuk memijak dan menginjakkannya supaya berterusan berada di bawah dan kita terus di atas. Kalau kita di atas tariklah kawan kita supaya sama-sama berada di atas. Seronok... kan kejayaan pasukan dikongsi bersama.

Kepada yang tak dapat hadir ke program ini, saya pasti anda rugi. Rugi dari segi pengalaman menyertai program ini sahaja la kot. Tapi takpa... kami semua faham, anda yang tak hadir ini ada komitmen dan tugasan lain yang perlu diselesaikan.

Pengalaman mereka yang hadir ini pasti sukar dijualbeli. Semua yang hadir seronok, tidak tertekan langsung, enjoy, berlapang dada, sporting habis, ceria, dan bermotivasi. Ikatan yang terjalin perlu terus disimpul kemas.Raja Firhad yang muncul di hari terakhir program dapat merasai dan melihat sendiri keseronokan kesemua peserta program hasil daripada aktiviti 2 hari sebelumnya.

Alangkah seronoknya jika kita semua seluruh warga kerja FSR dapat sekali lagi dikumpulkan dalam suasana tidak formal sebegini lagi. Tapi bila ya? Mungkin 5 tahun akan datang kot. Ataupun 10 tahun lagi. Kita merancang, Allah juga merancang dan perancangan Allah lah yang terbaik. Waallahuaklam.






Tuesday, 1 June 2010

Hancur Regim Yahudi Laknat!

Geram yang teramat sangat apabila mendengar perkhabaran di Astro Awani bahawa konvoi Kemanusiaan Gaza telah diserang oleh komando Regim Zionis Yahudi. Sememangnya mereka ini adalah binatang yang bertopengkan manusia. Mereka buat tak tahu undang-undang. Mereka gunakan undang-undang rimba yang binatang guna. Yang kuat jadikan lemah mangsanya. Diserangnya konvoi bantuan yang berada di perairan antarabangsa. Laporan mengatakan sekitar 15 orang telah terkorban. Moga-moga mereka [aktivis Islam] syahid.

Sudah sampai masanya seluruh masyarakat dunia sebulat suara menentang keras tindakan keras dan 'kebinatangan' askar rejim Yahudi laknatullah ini berhubung serangan ke atas Konvoi Kapal Freedom Flotilla. Zalimnya negara Yahudi ini sehinggakan umat di Gaza terpenjara di tanah tumpah darah mereka sendiri bermula dari tahun 2007. Sekatan demi sekatan dan tekanan demi tekanan telah dikenakan pleh regim Israel ini kepada puak Hamas agar tunduk kepada mereka. Namun kekuatan iman rakyat Gaza tidak sesekali lemah untuk menerima 'gula-gula' yang nak diberikan oleh Yahudi laknatullah ini. Setelah beberapa cubaan untuk membantu mengurangkan 'azab' yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat Palestin di Gaza gagal, kini sekali lagi usaha murni untuk menyalurkan bantuan cuba digagalkan oleh regim zalim ini.

Kita yang jauh ini hanya mampu berdoa agar Allah turunkan bantuannya sepertimana tentera Abrahah yang ramai dan gagah diserang oleh sekumpulan burung-burung Ababil suatu ketika dahulu. Moga ia jadi kenyataan. Baru padan muka!

Monday, 31 May 2010

Tak Mendaftar Pun Takpa aaa...

Berita mengatakan ramai lagi yang belum mendaftar untuk mengundi cukup mengejutkan. Dikhabarkan lebih daripada 4 juta rakyat Malaysia yang layak untuk mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tu dia ramai betul! Apa dah jadi dengan rakyat Malaysia ni.

Kalau diikutkan, sebenarnya takdak alasan untuk mereka yang layak mendaftar sebagai pengundi ini untuk tidak berbuat demikian. Apalah sebenarnya yang menjadi punca sikap 'takpa' mereka ni semua.

Mungkin mereka ni fikir mengundi ni tak penting [tanggapan individu]. Takpa undi aku sorang ja... tak boleh mengubah apa apa. Ataupun golongan 'takpa' ni sibuk sangat dengan tugasan masing-masing sampai tak sempat mendaftar untuk mengundi. Ataupun depa ni tak tahu di mana tempat untuk mendaftar. Ataupun depa ingat depa belum cukup umur kot.

Sebenarnya kalau ditanya kepada individu yang masih belum mendaftar ni kita akan mendengar pelbagai alasan dan adakalanya memang tak masuk dek akal langsung. Inilah sebenarnya yang membayangkan satu masalah sikap di kalangan muda-mudi kita. Mereka tak mahu ambil pot langsung dengan segala perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka syok dengan 'dunia' yang mereka cipta sendiri.

Apa yang saya boleh saya sarankan di sini kepada kerajaan mudah sahaja. Bagi memudahkan golongan 'takpa' ni maka saya sarankan kepada pihak kerajaan agar mengkaji dan menimbang agar pendaftaran pemilih adalah secara automatik bagi mereka yang telah mencapai usia yang layak mengundi sebagaimana yang diamalkan di negara-negara demokrasi Barat yang lain. Di universiti semua pelajar yang berdaftar sebagai pelajar secara automatiknya didaftarkan sebagai pemilih untuk Pilihanraya Kampus dan layak mengundi. Kan dah jimat kos pengurusan. Maka tak perlulah lagi pegawai-pegawai SPR dok tercongok di kompleks-kompleks membeli belah lagi menunggu orang yang tak seberapa tu datang mendaftar.

Hah kalau tak mahu juga ikut saranan tadi terpaksalah kita-kita yang berada dan terlibat di sekolah-sekolah dan di universiti ni mengingatkan anak didik kita supaya mendaftar sebagai pemilih. Tekankan betapa penting mendaftar sebagai pemilih dan memilih memimpin semasa pilihanraya berlangsung. Biasalah manusia, kadangkala terlupa, alpa dan perlu diingatkan. Suruhlah depa pi ke pejabat-pejabat pos atau ke pejabar SPR yang berdekatan untuk mendaftar.

Akhir kata jadilah warganegara yang prihatin dengan masa depan negara. Tunaikanlah tanggungjawab anda. Daftar dulu baru boleh mengundi!

Thursday, 27 May 2010

Bantai Sajalah!

Aduh... apa dah jadi ni. Dunia semakin menggila. Opss sori manusia di dalamnya sebenarnya menjadi semakin gila. Betul ke? Iyalah... guru ditumbuk ditampar dan disepak terajang. Aduh aduh, ke mana perginya nilai kemanusiaan kita sekarang ni. Gurunya yang 'tempatnya' terlalu tinggi dan sepatutnya dihormati kini dicaci cela dan dibuat seperti bola dan tak berharga lagi.

Alahailah nasib guru guruku sekalian. Kenapalah dunia ini berlaku zalim kepada kalian. Tak sangka ya, seorang pelajar berumur 14 tahun (Tingkatan 2 tu) boleh menumbuk gurunya seorang lelaki yang berumur 24 tahun. Berani betul dia tu. Siap ditumbuk bertubi-tubi pulak tu. Adeih sakitnya kena buku lima budak muda. Tak tahu la pulak kot-kot suratkhabar yang tokok tambah bagi sedap sikit. Walau bagaiman sekalipun ianya ditokok tambah, namun saya tetap berpendapat kerjaya guru patut dihormati. Sekiranya seseorang guru itu telah menjalankan tugas yang telah diamanahkan dengan berkesan dan efisiyen. Maka wajar sangatlah mereka ini dibela bukannya dipersalahkan.

Beberapa hari lepas terkeluar pulak cerita tentang seorang pelajar dijatuhkan hukuman dengan diberi peluang 'menginap' dan 'belajar' di Sekolah Henry Gurney. Semuanya gara-gara mengugut guru pulak. Nak dibunuhnya cikgu dia tu. Apa yang jahatnya sangat cikgu dia tu tak tahulah sampai nak dibunuhnya. Hailah nasib badan engkau cigu. Nak kena bunuh pulak.

Kepada guru-guru banyak-banyaklah bersabar. Jangan diikutkan sangat panas baran tu. Sebar beb. Anda adalah pejuang anak bangsa yang sejati. Anda mendidik anak-anak ini dari tak mengenal huruf hinggalah 'terbang tinggi'. Besar pahalanya tu. Sabar ya.

Akhirnya... kalau tak dek kerana guru takkan adanya Perdana Menteri. Takkan adanya arkitek, jurutera, doktor, pakar dan semuanya. Semuanya bermula daripada seorang insan bernama guru, cikgu atau teacher. Maka hormatilah guru-guru kita.

Wednesday, 26 May 2010

Mr Mama Kembali

Alahai sekali lagi Mr Mama kembali bertugas. Apa boleh buat da, isteri jauh di 'perbatasan'. Dia kena pi kursus hampir dua bulan da. Perghhh, lama tu.

Hah! itulah nasibnya berkahwin dengan isteri yang bekerja. Terima ajalah dugaan ditinggalkan. Hai lah nasib badan. Takpalah... aku REDHA dalam kesukaran membesarkan anak-anak keseorangan. Kepada yang masih bujang mungkin boleh fikir-fikirkan, hehehe.

Banyak jugalah program-program yang terpaksa dibatalkan dek kerana kesibukan rutin Mr Mama ni. Hanya program dari jam 7.30 pagi hingga jam 5.30 petang sahaja yang boleh aku sertai. Rugi juga rasanya masa cuti-cuti semester ni tak digunakan sepenuhnya. Pagi-pagi bangun, solat dan siapkan anak-anak ---> hantar ke sekolah, tadika dan taman asuhan ----> pi pejabat ----> kerja ----> tepat jam 5pm balik kerja ----> ambil anak-anak ---> masak nasi (lauk bungkus tengahari) ---> layan anak-anak (belajar, TV) dan seterusnya ZZZZZZZZZ. Esoknya rutin berulang semula.

Semoga aku terus tabah dan takdaklah anak-anak yang tertinggal kat rumah ataupun terjatuh di sepanjang menjadi Mr Mama ni. Insyaallah aku boleh lakukannya.

Friday, 14 May 2010

Derhakakah Kita?

Dia insan mulia. Berkorban dan berjasa. Tidak pernah kenal erti penat dan lelah. Mengajar kita mengenal 123 dan ABC. Sabar melayan kerenah kita. Marahnya tanda sayang. Tegurnya tanda prihatin.

Bila kita dewasa, kita semakin pandai. Kita berjaya dengan cita-cita dan kerjaya masing-masing. Kita makin lupa. Kita jadi alpa. Ilmu yang diberi sebelumnya kita lupa siapa penyampainya. Kita lalai dengan kehidupan di alam fana ini. Kita tertewas.

Ada kalanya kita ceritakan keburukan insan yang mulia dan berjasa ini. Kita sudah lupa dengan segala jasa yang pernah ditaburkan ketika kita masih merangkak-merangkak menimba ilmu darinya. Kita jadi derhaka! Derhaka kepada guru kita sendiri.

Kita harus ingat bahawa sesungguhnya tiada seorang pun dalam kehidupannya sebagai insan, selain daripada kedua ibubapa yang lebih berjasa dan layak dihormati melebihi daripada guru. Jadi hormatilah guru. Ilmu diberkati kehidupan dirahmati.


SELAMAT HARI GURU KEPADA SELURUH GURU-GURUKU SEKALIAN DAN GURU-GURU DI SELURUH DUNIA.

Wednesday, 12 May 2010

Hanya Meneka

Kasihan Chong Wei, dia dah berusaha bersungguh-sungguh. Apakan daya keputusan diakhirnya jualah yang menjadi penentu. kemenangan dan kekalahan adalah sebagai satu pasukan. Selepas penat Chong Wei dan beregu pertama berhempas pulas dan menang, tiba-tiba yang lainnya kalah pulak di tangan pasukan Jepun yang tak sekuat mana tu. Aduh kecewanya.

Saya ada pengalaman ketika mereka ke Team Building Thomas & Uber Cup di sini. dan di sini.

Pasti ada yang tak kena ni. Ini mungkin telahan jahat saya sahaja. Takkan apa yang berlaku pada sukan nombor satu negara telah menerobos masuk ke dalam sukan Badminton pulak. Alahai nasib engkaulah penyokong-penyokong Badminton negara. Apa boleh buat. Mungkin ada hikmah di sebalik kekalahan pertama ni. Apapun kita tengok ajalah selagi boleh.

Friday, 30 April 2010

Sampah

Dek kerana sampah, negara kehilangan seorang rakyatnya. Tu dia dahsyat betul. Bolehkah anda menahan kesabaran apabila hampir setiap hari orang meletakkan atau lebih tepat lagi membuang sampah berdekatan kediaman anda. Tentu tak selesa kan. Kalau agak-agak tak berani nak menegur, tentu dah buat laporan polis. Kalau yang ada keberanian sedikit seperti mangsa, sudah tentu ditegurnya perbuatan yang salah tu. Kesudahannya orang yang menegur itu akan menjadi mangsa pula. Hai lah nasib badan.

Hari ini dan hari sebelumnya saya akan melalui Dataran Shah Alam. Saya akan melalui kawasan tersebut sekitar jam 7 pagi. Setiap pagi jugalah saya akan melihat seorang lelaki tua berbangsa India menyapu dan mengutip sampah yang ditinggalkan di kawasan dataran pada malam sebelumnya. Memang banyak sekali sampah yang ditinggalkan pengunjung. Kalau malam hujung minggu lagi banyak. Esoknya di awal pagi uncle akan mengutip. Aduh kasihan kat uncle tu. Terbongkok-bongkok dia mengutip plastik yang ditinggalkan. Terkais-kais dia sisa yang ditinggalkan. Memang la itu kerja dia. Tapi kalaulah pengunjung atau lebih tepat lagi kaki lepak di situ sedar, apalah salahnya membuang sisa makanan dan barangan yang dibawa sebelumnya ke dalam tong sampah berdekatan. Ini tak... habis ja melepak terus ditinggalkan. Kalaulah sisa ditinggalkan tu boleh berkata-kata alangkah bagusnya. Mahu terkencing tukang lepak tu. Tapi semuanya mustahil. Mungkin kalau tugas uncle tu diambilalih oleh mak bapak depa baru depa berhenti membuang sampah merata-rata kot.

Penyelesaian jangka pendeknya senang sahaja. Adakan penguatkuasa MBSA yang berpakaian preman. Tangkap ja mereka yang pengotor ni. Tak payah saman sebab depa banyak duit.. mesti boleh bayar punya. Hukumannya senang sahaja. Suruh depa ni kutip sampah di kawasan yang depa buang tu selama seminggu. Masukkan di muka depan surat khabar sebagai pengajaran kepada yang lain. Percayalah... selepas kes tu bandaraya Shah Alam akan kembali bersih. Uncle tadi tak perlu terbongkok-bongkok dan trerkais-kais di dataran lagi. Cukuplah hanya mengaut sampah di dalam tong sampah.

Teringat masa di Bendigo. Pekannya kecil sahaja. Susah nak tengok sampah bertaburan di tepi-tepi jalan. Penduduknya cukup beradab. Cukup bertamadun. Mereka bukan beragama Islam tetapi daripada pengamatan saya mereka lebih Islam daripada kita orang Islam dari segi penjagaan kebersihan dan peradaban.



Saya yakin kita boleh berubah sekiranya kita mahu. Perubahan perlukan permulaan. Di mana patut kita bermula? Siapa yang patut mulakannya dahulu? Jangan banyak tanya lagi da... yang penting kita patut mulakannya sendiri dengan diri kita dan keluarga kita.

Thursday, 29 April 2010

Pendidikan Seni dan Visual

"CIKGU MALAS!"

Tu dia... terkejut saya dibuatnya bila pagi tadi budak Tahun Dua mengeluarkan kenyataan sebegini. Marah betul dia dengan cikgu PSV.

Semuanya gara-gara guru PSV yang mengajarnya pada tahun ini sering gagal memaklumkan peralatan yang perlu dibawa sebelum ke kelas. Semua ahli kelas tak tahu apa yang perlu dibawa. Setiap minggu mereka dibebel oleh guru PSV.

Guru PSV tahun lepas (semasa Tahun 1) sentiasa akan mengingatkan senarai peralatan PSV yang perlu dibawa. Guru tahun lepas tak pernah sekalipun terlupa untuk menulis di papan hitam dua hari sebelum kelas PSV. Senangnya pelajar menyediakan peralatan yang diperlukan. Saya ada pengalaman membeli peralatan yang diperlukan di sini.

"Dah la tak beritahu apa yang perlu dibawa... kemudian kami pulak dimarahnya", kata budak Tahun Dua tadi. "Kesian kat Ketua Kelas, dia selalu kena marah dengan cikgu PSV kerana kawan-kawan kelas dia tak bawa peralatan yang cikgu nak gunakan", sambung budak Tahun Dua tu lagi.

"Kakak mana boleh marah cikgu. Kakak mana boleh kata cikgu malas. Cikgu ajar kakak. Dia bagi ilmu kat kakak. Kakak kenalah usaha lebih sikit. Masa Tahun Satu memanglah cikgu tulis semua sebab kakak baru masuk sekolah. Kakak tak reti nak bertanya cikgu. Kakak malu. Sekarang kakak dah besar. Jadi... lepas ni kakak kena ajak kawan-kawan pergi Bilik Rehat Guru dan tanya apa yang perlu dibawa untuk kelas PSV. Cikgu mesti bagitau. Kalau cikgu marah jugak papa jumpa cikgu. Ok. Puas hati" , nasihat saya.

"Kakak kena hormat cikgu. Lain kali, papa tak nak dengar kakak kata kat cikgu macam tu lagi. Nanti belajar tak berkat. Belajar tak lekat. Ingat tu", pesan saya.

Budak Tahun Dua tadi mengangguk tanda faham dan seterusnya mencium tangan saya sebelum mengatur langkah seterusnya memasuki perkarangan sekolah.

Monday, 26 April 2010

1Malaysia

Ini hikmahnya bila dah jatuh tempohari. Coretannya ada di sini.

Kaisara dah boleh berjalan. Sebelumnya saya dan Liza dok risau jugak, kenapalah Kaisara lambat 'dapat kaki'. Habis kami check kaki dia... dari paha sampai ke tapak kaki. Nampak macam tapak kaki kiri dia yang tak rata, mungkin itu penyebabnya. Itu cuma andaian awal kami.

Tuptup lepas Kaisara jatuh terus dia berubah. Dia berjalan macam tak mahu berhenti. Habis satu rumah dia jelajah.

Alahai Kaisara, sebelumnya kami risau tengok dia merangkak sampai biru-biru lutut. Dok terfikir bila dia nak boleh berjalan. Sekarang lain pulak risaunya. Dah terlebih jalan pulak. Dia berjalan macam dah dapat tenaga baru.

Yang menariknya masa berjalan tu, tangan kanan Kaisara terangkat ke atas. Mungkin untuk seimbangkan badan kot. Jari telunjuknya pulak menunjuk ke atas lagaknya seperti isyarat biasa untuk Laungan 1Malaysia.

Friday, 23 April 2010

Selesai

Saya terasa hati dengan seseorang. Aduh kenapalah hati ini boleh terasa pulak... Saya anggap dia seperti saudara sendiri. Sememangnya kami saudara seagama.

Sejarah hidup kami lebih kurang sama sahaja.Anak kampung dan orang susah yang perlu bersusah payah untuk memulakan kehidupan. Iyalah... bermula dari bawah.

Entah apalah sangat sampai saya seperti sukar memaaf dan mempercayai dia lagi. Sudah beberapa hari saya menanti dengan sabar. Saya perlukan kepastian daripadanya. Saya tak perlukan pihak ketiga untuk mendapatkan maklumat.

Setiap hari saya hanya mampu berdoa agar kami dapat dipertemukan pada masa yang sesuai. Detik dan waktu yang tiada gangguan. 'Perhitungan' ini tidak memerlukan pihak ketiga untuk menyelesaikannya. Biarkan kami selesaikannya sendiri.

Kami bertemu dan bertembung beberapa kali dalam minggu ini. Semua pertemuan ini tidak sesuai langsung untuk dibuat 'perhitungan'. Ada sahaja orang yang mengganggu. Tiada percakapan antara kami berdua. Saya setia menunggu masa yang sesuai.

Petang Jumaat ini tepat jam 4.40 petang seseorang tanpa memberi salam dan mengetuk pintu muncul di hadapan bilik saya. Mukanya menyinga marah. Mahunya diterkam saya. Rupa-rupanya banyak sudah 'maklumat' yang dikumpulkannya dari sumber yang pelbagai. Saya jemput dia duduk. Dia tak mahu. Memang dia panas betul. Aik... siapa yang patut panas nie. Dah terbalik kot. Saya jemput lagi dia duduk, dia tak mahu. Mentah-mentah dia tolak permintaan saya ini. Marah betul tu.

Dipendekkan cerita, memanglah berlaku berlaku 'perhitungan'.

Benda kecil yang boleh diselesaikan itu akhirnya berjaya diselesaikan. Alhamdulillah... berkat petang Jumaat persaudaraan kembali terjalin.

Semoga silaturrahim akan terus terjalin. Benar... kalau kita berpecah belah, yang akan ketawa adalah SYAITAN. Jadi kita perlu bersatu padu. Biar SYAITAN menangis dan meronta-ronta.

Thursday, 22 April 2010

Hak (Kebenaran) dan Batil

Tajuk ini nampaknya agak berat. Iyalah... sejak dunia diciptakan, sekiranya di situ ada yang disebut hak dan pasti ada pula yang disebut batil. Ini kerana, kata lawan kepada kebenaran, iaitu kebatilan akan berusaha bermati-matian untuk melihat kebenaran itu tumbang dan tewas. Sebab itulah, biarpun kebenaran sudah tertegak sekalipun, kebatilan pasti akan berusaha untuk mencari ruang bagi menjatuhkan kebenaran.

Namun selamanya sudah menjadi sunnah Allah bahawa pasti pengakhiran kemenangan itu sentiasa di pihak yang hak, sebab memang hak itu pasti kekal dan bermanfaat, sebagaimana juga bahawa kekalahan itu selamanya ada di pihak yang batil, sebab batil itu pasti lenyap dan sememangnya amat berbahaya kepada masyarakat.

Sudah menjadi sunnah Allah juga bahawa sesuatu yang hak itu tidak mungkin akan berdiri tegak begitu sahaja dengan kekuatannya sendiri, tetapi untuk menegakkannya itu sudah semestinya perlu ada insan-insan berjiwa besar yang memiliki keistimewaan-keistimewaan tersendiri serta kelebihan-kelebihan yang tidak semua orang dapat memilikinya.

Saya yakin... dengan usaha dan izin Allah, pasti suatu hari nanti kebenaran akan muncul jua di kala kebatilan akan tersungkur dan lenyap dengan sendirinya. Ini kerana setiap sesuatu yang baik itu akan ada ganjaran kebaikan menanti dan kejahatan pula akan ada balasan yang tak terduga dek akal.

Semoga rakan-rakan yang sedang berjuang ke arah kebenaran akan senantiasa di bawah naungan dan perlindungan Allah dari segala mara bahaya dan tipu daya.

Wednesday, 14 April 2010

Dugaan Kaisara

Alahai dah nasibnya kurang baik. Kami sekeluarga redha menghadapi dugaan kali ini. Apa boleh buat. Nak disesalkan pun dah terlewat. Sepatutnya Kaisara tak boleh ditinggalkan keseorangan di atas stroller.

Selepas menolak Kaisara yang ketika itu berada di atas stroller ke hadapan pintu rumah, saya kembali ke kereta untuk mengambil kunci rumah yang tertinggal di dalam kereta.

Kejadian berlaku terlalu pantas. Tak sampai 30 saat meninggalkan Kaisara seorang diri di atas strollernya, saya nampak Kaisara cuba berdiri. Aduh! bahagian belakang stroller kurang stabil. Tayar hadapan stroller terjongket. Stroller tersemban ke bumi akibat tekanan Kaisara pada bahagian penolak belakang. Kaisara turut tersembam. Darah tersembur keluar dari mulut. Pasti sakit. Kaisara meraung. Makanan di dalam mulut Kaisara yang belum habis dikunyah dipenuhi cecair merah. Saya memaut Kaisara. Terus dibawa ke klinik. Kalaulah sakit/derita Kaisara boleh dipindahkan kepada saya, saya SANGGUP!. Saya tak sanggup melihat Kaisara menjerit, meraung dan meronta kesakitan.


Tiada apa yang mampu doktor di situ lakukan. Terus dibawa Kaisara ke DEMC. Pembedahan dijalankan. 2 batang gigi Kaisara patah. Gusi yang terkoyak terpaksa dijahit.

Keadaan stabil.

Alahai Kaisara, maafkan papa. Papa cuai lagi!

Monday, 12 April 2010

Penangan Redah Jer!

Saya pernah mencoretkan sesuatu mengenai pengalaman PTK saya di sini. Memang saja redah sahaja untuk menghabiskan PTK tersebut. Kesibukan sebagai Ketua Program sedikit sebanyak mengekang saya daripada bersedia dengan lebih awal. Seperti yang saya nyatakan sebelumnya, hanya keluarga dan rakan-rakan yang menjadi peniup semangat bagi saya meneruskan perjuangan menghadapi PTK lepas.

Pada pagi yang berbahagia ini keputusan PTK secara rasminya diumumkan setelah debaran 4 bulan menunggu. Keputusan PTK Staf Akademik 20092 ini telah diperakukan oleh Lembaga Penilaian Kompetensi Universiti. Begitu teruja untuk saya melihat paparan keputusan di skrin
komputer pada pagi ini.

Alhamdulillah, syukur kehadratMU Ya Allah kerana telah memperkenankan doa hambaMU ini, doa Liza dan anak-anakku serta doa rakan taulan. Saya berjaya akhirnya!.

Terima kasih kepada Liza dan anak-anak kerana sokongan dan doa. Terima kasih kepada keluargaku sekalian. Terima kasih di atas doa dan sokongan rakan blogawan sekalian.

Semoga kehidupan kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah subhanahu wata'ala. Ameen.

Friday, 9 April 2010

Tembok 12 Kaki

Ketika di Outward Bound School (OBS), Lumut dahulu ketika saya dan peserta-peserta lain menjalani Standard Course selama 25 hari, kami semua dikehendaki memanjat dan melepasi tembok yang setinggi 12 kaki. Tembok tersebut sangat licin. Ketinggiannya tidak terjangkau oleh hujung tangan saya walaupun saya panjang. Saya perlukan kawan-kawan untuk melepasi tembok tersebut. Saya tak boleh bersendirian.

Sekali lagi diulang... untuk melepasi dinding tembok tersebut kami semua para peserta perlu bekerjasama dan merancang strategi. Siapa yang akan dibawa naik dahulu, siapa yang akan membantu menolak, siapa yang akan berkorban untuk dirinya dipijak hinggalah dirancang juga siapa orang terakhir yang akan bertindak sebagai 'sweeper'atau 'last man'. Kalaulah orang terakhir ini gagal melompat dan menyambut tangan rakan-rakan yang sedia menanti untuk membantu dari atas, maka terpaksalah kami semua menunggu hingga orang terakhir tersebut berjaya memaut tangan rakan-rakan di atas. Misi ini dianggap berjaya sekiranya kesemua peserta berjaya 'terjun' ke bawah dan melepasi dinding tembok tersebut.

Namun pengajaran daripada aktiviti di atas sangat banyak sekali. Selepas hampir 16 tahun menjalani aktiviti tesebut di OBS Lumut saya kembali menyorot iktibar yang boleh diperolehi daripada aktiviti yang menguji fizikal dan mental ini untuk diadaptasikan di dalam kehidupan dan dunia sebenar.

Sudah tentulah tanpa kerjasama sesama kami, tembok 12 kaki tersebut tidak akan berjaya kami lepasi. Namun untuk melepasi tembok tersebut kita akan dapat melihat di mana ada rakan-rakan yang akan membantu dari mula hingga tamat tugasan. Ada yang akan memberi sokongan moral kerana keadaan kesihatan yang menyekat mereka daripada membantu. Ada yang asyik memberi arahan sahaja dan tak kurang juga yang hanya melihat sebelum dan selepas mereka melepasi tembok tersebut. Pelbagai perangai dan tingkahlaku yang akan kita lihat ketika aktiviti ini dijalankan.

Sudah tentulah iktibar selanjutnya yang saya perolehi daripada aktiviti ini adalah sifat sabar. Iyalah, ketika hendak membantu kawan, ada yang terpaksa mengorbankan kaki, tangan dan bahu mereka agar dapat dipijak oleh kawan-kawan yang ingin naik ke atas. Kadang-kadang ada juga yang kepala orang yang membantu itu dipijak [arghhh... sebegitu teruk sekali rasanya bila kepala dipijak, dihenjak semata-mata untuk naik ke atas. Namun ini sebenarnya berlaku]. Kalau di dunia sebenar tentu dah bergaduh, bertekak kerana kepala dipijak beb. Iyalah kepala bayar zakat. Namun sabar...sabar.

Di alam yang sebenar pula perilaku tekan menekan, injak menghenjak sememangnya berlaku. Ada yang hendak naik ke atas sanggup memijak kawannya sendiri. Biar aku yang naik dahulu, engkau tunggu di bawah. Ketika berada di atas pula lain jadinya, orang di bawah terus ditekan ke bawah, tiada peluang untuk rakannya itu naik. Oh zalimnya dunia. Kasihan kan.

Apalah salahnya kita saling bantu membantu. Sekali kita membantu orang, Allah akan melipat kali gandakan bantuan dan ganjaran kepada kita. Aman dunia. Tak salahkan! Seronokkan kalau kita sama-sama dapat naik ke atas. Itulah yang sepatutnya berlaku.

Bantu membantu amalan mulia. Apa salahnya kita bantu kawan kita yang dah sedia berada di bawah. Bantu mereka untuk naik. Tarik mereka agar mereka berada di samping kita bukannya di belakang dan terus di belakang. Tak salah kan! Sebelumnya mereka-mereka ini juga yang membantu kita untuk naik dan ke hadapan. Jadi jangan jadi seperti kacang lupakan kulit.

Banyak lagi pengajaran daripada aktiviti memanjat tembok 12 kaki ini. Namun ini merupakan sebahagian daripadanya. Ada masa saya tambah lagi. Atau anda yang punya pengalaman boleh coretkan di ruangan komen.

Tuesday, 6 April 2010

Juara Gambar

Saya tak pernah ambil kisah tentang si-Kamil ni apabila bergambar. Rasanya macam posing biasa sahaja. Setiap kali diambil gambar, kepalanya terlentok sekejap ke kiri sekejap pula ke kanan. Senyum pula ikut mood. Lain sungguh dia ni.

Beberapa minggu lepas kami ke Tesco. Beli barang dan kemudian terlihat iklan Peraduan Si Comel 2010 anjuran Tesco. Liza dah mengelepar, nak cuba nasib katanya. Selepas diambil foto Kaisara kemudiannya pula Kamil mengambil tempat. Fuiyoo... tak sangka la pulak, Kamil pandai beraksi depan kamera. Dia ikut sahaja apa yang jurugambar arahkan. Kamil dipuji oleh jurugambar. Senang ambil gambar Kamil katanya. Faham dan patuh pada arahan.


Selepas menunggu beberapa minggu, akhirnya hari penentuan yang dinantikan pun tiba. Penganjur dah awal-awal telefon minta kami hadir ke majlis penentuan juara si Comel.

Kamil berjaya mengondol hadiah istimewa [top 15] daripada hampir 500 orang yang bertanding. Tak tidur malam dibuatnya si-Kamil memikirnya hari bersejarah untuk menerima hadiah. Setiap kali bangun pasti ditanya bila nak diambil hadiah kemenangannya. Pakaian apa yang hendak dipakai dan macam-macam lagi. Pening jugak memikirkan budak seorang ni.

Yang bestnya masa penerimaan hadiah tu, hanya Kamil yang berumur 5 tahun... yang lainnya budak-budak kecil berumur lingkungan umur bawah 3 tahun. Kamil yang paling besar. Alahai... dah 5 tahun pun dapat lagi hadiah untuk si-comel. Kamil... Kamil, kalau dah rezeki.

Sunday, 28 March 2010

Khabar dari Kinabalu

Dugaan untuk pendakian kali ini pasti hebat. Perkhabaran yang saya terima dari Sabah mengatakan bahawa Gunung Kinabalu kini kekeringan. Sabah juga kekeringan. Khabarnya dek kerana fenomena El-Nino. Aduh... pasti panas punya. Air 'percuma' yang kebiasaannya sedia terisi di setiap pondok-pondok hentian bagi pendaki-pendaki yang ingin 'menakluki' gunung tertinggi di Asia Tenggara ini pasti kering. Memang benar semuanya kering dek fenomena pemanasan ini. Saya dimaklumkan sudah hampir 2 bulan hujan tidak turun-turun.

Saya dapat melihat dengan jelas rumput-rumput yang semakin kekeringan di sepanjang perjalanan menuju ke Poring Hotspring. Pokok-pokok juga kelayuan. Argh! ini cabaran sebenar kepada pendaki-pendaki. Mendaki dalam kepanasan. Banyak botol-botol berisi air yang perlu dibawa bersama di dalam pendakian. Di Laban Rata juga mengalami kekurangan air. Pendaki khabarnya tidak dibenarkan mandi. Beristinjak juga perlu gunakan air yang dibawa atau gunakan tisu basah.

Kami jejakkan kaki juga ke Poring Hotspring setelah menyelesaikan segala urusan yang sepatutnya telah selesai lebih awal. Dek kerana itu kami lewat tiba di Poring Hotspring dari jadual yang sepatutnya. Pengajaran berguna kepada penganjur.

Sedang dalam perjalanan menuju ke Pusat Informasi di Poring, dengan tidak semena-mena hujan rintik-rintik mula turun membasahi bumi Poring. Alhamdulillah... hujan rahmat menyambut ketibaan kami seramai 27 orang. Kami tiba... hujan pun turun. Semoga ianya menjadi petanda baik kepada pendakian kami pada esok hari.

Ketika kami sedang sibuk mengisi air panas ke dalam kolah mandi masing-masing, sekali lagi keajaiban berlaku. Hujan lebat yang sememangnya dinanti oleh warga Sabah sejak berbulan-bulan lalu turun mencurah-curah. Syukur alhamdulillah. Tentu air di dalam tangki-tangki di setiap pondok rehat telah terisi kesan dari hujan lebat ini. Sudah tentu juga Laban Rata tidak akan kekeringan lagi. Syukur kami panjat kehadrat Illahi.

Untuk kesekian kalinya semenjak pendakian-pendakian saya yang terdahulu, Gunung Kinabalu 'malu' untuk menunjukkan puncaknya. Pada hari pendakian kami, Gunung Kinabalu 'menyorok' di sebalik kabus dan awan yang tebal. Langsung tidak diberi peluang kepada kami untuk menatap rupanya agar menjadi motivasi kepada pendaki baru.

Lima orang pendaki dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Sabah turut serta untuk pendakian kali ini. Mereka terdiri daripada dua orang yang cacat penglihatan (B2), dua orang spastik dan seorang amputee (kudung tangan). Mereka ini telah dibantu oleh 18 orang pelajar FSR, seorang guru pendidikan khas dan 3 orang pensyarah FSR serta 10
orang malim gunung.

Hujan turun tidak henti-henti di sepanjang pendakian. Sejuk menusuk hingga ke tulang temulang. Nasib baik semalam singgah di Ranau dan pastikan semua membeli baju hujan. Kalau tak... basah kuyup la jawabnya. Pendakian ini semestinya menguji kekuatan mental dan fizikal. Di Pondok Kandis, En Rahim Meerah terkandas. Beliau berpatah balik semula ke Timpohon Gate seorang diri. Sememangnya dari awalnya pun beliau agak keberatan untuk mendaki. Dek kerana cabaran yang bertalu-talu dari Dr Anuar Suun, En Rahim gagahkan juga diri untuk menjejakkan kaki ke Pondok Kandis iaitu hentian rehat yang pertama.

Hujan terus turun. Pendaki semakin kesejukan. Dorephine a.k.a Ipin iaitu seorang amputee terpaksa mengalah. Beliau mengalami kekejangan yang melampau pada kedua-dua kakinya. Ipin terpaksa kami tinggalkan di Kuarters Staf Layang-Layang. Ipin yang begitu teruja untuk mendaki sungguh sedih. Air mata mengalir di pipinya. Dia tak sanggup menyusahkan kami. Dia juga kecewa kerana gagal menamatkan misinya. Sungguh berat hati kami untuk meninggalkan Ipin di Layang-Layang. Namun kudrat Ipin hanya mampu bertahan di Layang-Layang sahaja. Dia telah lebih lima kali diserang kekejangan di sepanjang pendakian. Tak apalah Ipin... cuba lagi di lain kali. Kamu sudah melakukan yang terbaik. Kami dari FSR sungguh berbangga dengan semangat yang kamu tunjukkan.

Alhamdulillah pendaki-pendaki lain dari FSR dan OKU berjaya sampai di Laban Rata bermula dari jam 3.00 petang hinggalah ke pukul 5.00 petang. Kami menginap di Pendant Hut iaitu sebuah penginapan yang mula beroperasi di Laban Rata pada Disember 2007.

Pendakian pada 25 Mac 2010 bermula pada jam 2.30 pagi. Kami perlu melepasi Stesen pemeriksaan di Sayat-Sayat Hut sebelum jam 4.30 pagi sekiranya ingin merasai 'kenikmatan' menyelusuri Via Ferrata Mountain Torq (jalan besi). Alhamdulillah kami berjaya. 2 orang pelajar FSR dan seorang OKU spastik terpaksa melupakan hasrat mereka untuk menamatkan pendakian dek kerana kudrat yang sudah sampai ke penghujungnya. Ketiga-tiga mereka terpaksa pulang semula ke Pendant Hut.

Pasukan yang pertama yang berjaya sampai ke Low's Peak adalah pada pukul 5.30 pagi. Selainnya berjaya tiba setelah berhenti menunaikan solat Subuh di kilometer 8.

Kesyahduan jelas terasa apabila sekali lagi diberi peluang oleh Allah S.W.T untuk menjejakkan kaki di ketinggian 4095.2m ini. Subhanallah....Maha Suci Allah, keindahan Sabah dari puncak ini sesungguhnya ciptaan yang terbaik dari-Mu, Pencipta sekalian alam. Hari yang indah dan cerah ini tanpa hujan dan kabus tebal cukup mengasyikkan dengan pemandangan yang saujana mata memandang.

Alhamdulillah akhirnya seramai 16 orang pelajar FSR bersama 3 orang OKU dan 2 orang pensyarah FSR serta guru pendidikan khas berjaya menamatkan misi "Inclusive Recreation: UiTM-FSR Kinabalu Wilderness Adventure 2010" dengan jayanya.

Semoga OKU terus diberi peluang untuk bersama kita merasai keindahan alam ciptaan Allah ini. Mereka juga sebenarnya mampu melakukan segala yang kita orang normal boleh lakukan. Lima OKU dari Sabah ini telah buktikan. Beri peluang... pasti mereka buktikan!

Friday, 12 March 2010

Tahniah

Puan Norlizah Abdul Hamid secara rasminya telah dilantik sebagai Timbalan Dekan (Akademik dan Kualiti) FSR. Surat pelantikan telahpun beliau terima. Sekalung tahniah buat beliau yang sebelum ini yang pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (SR223).

Saya yakin beliau mampu melaksanakan tugas yang semakin mencabar ini berdasarkan pengalaman beliau mengetuai Pasukan Semakan Kurikulum Fakulti dan sebagai KP SR223.

Thursday, 4 March 2010

Kecil Penuh Makna

Kamil tak jemu-jemu bertanyakan hari untuk disambut harijadinya. Kali ni dia mahukan sesuatu. Sebelum ini dia tak pernah ambil pusing tentang hari tersebut. Tapi untuk kali ini dia mahu topeng, belon dan jajan untuk diberikan kepada rakan-rakan di tadika. Dia seperti tidak mahu tarikh penting hidupnya terlepas begitu sahaja.

Alahai macam tak adil la pulak. Kalau sambut birthday Kamilia pasti akan dijemput rakan-rakan dan jiran terdekat. Bila Kamil, asyik terlepas begitu sahaja.

Makanya kali ini Liza mencadangkan kami semua sambut birthday Kamil di Melaka. Nak disambut bersama nenek tersayang. Kami berangkat ke Kg Gelam selepas selesai melawat pelajar yang sedang menjalani latihan praktikal di Perak. Kebetulan pula ramai anak buah sebaya Kamil di kampung. Meriahlah jadinya.

Selamat Menyambut Ulangtahun Kelahiran yang ke-5 anakku, Kamil Afiq. Semoga Kamil Afiq menjadi anak yang soleh dan berjaya di dunia dan akhirat. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan perjalanan hidup Kamil Afiq yang masih panjang.... InsyaAllah...

Papa dan mama akan sentiasa mengiringimu dengan doa dan menyayangimu hingga ke akhir hayat kami....

Wednesday, 24 February 2010

Pergi Tak Kembali

Semalam saya mendapat perkhabaran yang mendukacitakan. Dua orang rakan yang saya kenali telah kehilangan orang yang mereka sayangi. Takziah kepada Ema di atas kepulangan ayahanda tercinta ke Rahmatullah di awal pagi semalam. Takziah juga kepada sahabat baik saya iaitu Zainal a.k.a Kudult di atas kepulangan bonda tersayang ke Rahmatullah. Sebak mendengar cerita Kudult tentang kisah dia dan bondanya beberapa hari sebelum kematian bondanya.

Hari juga genap 19 tahun bonda saya yang paling disayangi pergi menghadap Illahi. Jasa dan pengorbanannya sudah tentulah tidak akan saya lupakan. Sehingga ke akhir hayat. Mak saya kuat. Mak saya rajin. Mak saya tabah.

Semoga kesemua mereka dicucuri Rahmat oleh-NYA dan ditempatkan di kalangan golongan yang beriman. Ameen.

Monday, 8 February 2010

10 TAHUN LALU

HARI INI DALAM SEJARAH.

Pada hari ini dalam tahun 2000 tepat jam 7.43 pagi, saya telah siap terpacul di hadapan Pejabat Am Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR). Hari tersebut merupakan hari pertama saya melapor diri di FSR. Ketika itu FSR beroperasi di Kompleks Sukan UiTM yang kini telah menjadi pejabat untuk Pusat Sukan UiTM. Saya mahu jumpa Boss baru seawal pagi. Saya sungguh teruja dengan kerja baru ini. Berkhidmat untuk anak bangsa.

Sudah tentu saya tidak akan melupakan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Master Sabree iaitu Dekan pertama FSR. Beliau telah memberikan peluang dan sokongan kepada saya untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang pendidikan di UiTM. Sesungguhnya jasa beliau di dalam merealisasikan kewujudan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi yang pertama di Malaysia tidak boleh dilupakan sebegitu sahaja. Banyak sekali jasanya kepada FSR khususnya dan UiTM serta bangsa umumnya yang tidak patut dilupakan.

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Latif Mohaideen. Saya telah dibawa oleh Latif Mohaideen (adik PM Razak Mohaideen) untuk menemui Master Sabree beberapa hari sebelum sesi sebenar temuduga. Pra temuduga la gitu. Saya telah ditemuduga secara santai oleh Dato' Sabree. Pelbagai soalan dikemukakan kepada saya berkaitan pengalaman dan penglibatan di dalam sukan dan rekreasi. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan sehinggalah ke hari temuduga sebenar.

Sehingga ke hari ini motivasi untuk berkhidmat di UiTM tidak pernah pudar seperti motivasi ketika hari pertama melapor diri 10 tahun yang lalu. Moga berterusan hendaknya. UiTM Di Hatiku.

Kelekaan Membawa Padah

Kelekaan akan membawa padah!

Kenapa sehingga sebegitu sekali ayatnya. Mesti ada sebab dan musababnya. Mana taknya, pihak universiti sudah memperuntukkan ruang masa yang cukup untuk membayar yuran, mendaftar, menambah, menggugur, dan mengesahkan pendaftaran kursus. Namun masih ada yang memandang enteng perkara-perkara tersebut.

Bila sudah terantuk baru terngadah. Apabila sudah diisytihtkan gugur status sebagai pelajar dek kerana kelalaian tersebut maka, berbondong-bondonglah mereka mengunjungi bilik KP. Alahailah nasib KP.

Mulai hari ini saya menunggu siapalah mangsa seterusnya untuk semester ini. Jawapannya akan muncul bermula jam 8.00 pagi hari ini.

Friday, 5 February 2010

Rahsia

Susahnya jika ingin menyimpan rahsia.

Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Sehingga begitu sekali ungkapan/perumpamaan orang lama-lama yang saya rasakan masih lagi relevan sehingga kini. Sehinggakan perut dirodok dengan keris atau lembing sekalipun rahsia tetap tersemat di sanubari dan tak akan dibocorkan kepada sesiapa.

Rahsia ini juga umpama amanah. Ia tidak boleh dibocorkan. Pekung tidak akan sesekali dibuka. Ia akan sentiasa dipelihara.

Senang sahaja untuk seseorang kalau ingin menjadi tumpuan. Buka sahaja pekung itu tentu sahaja ramai rakan dan taulan akan mengerumuni si-pembuka rahsia umpama semut mengerumuni gula. Ramai yang akan menadah telinga untuk mendengar dan sekiranya berpeluang ingin pula ditokok tambah.

Namun sampai bilakah seseorang itu boleh berahsia. Mampukah rahsia itu terus kekal sebagai rahsia apabila dipujuk rayu oleh pasangan masing-masing, keluarga terdekat dan rakan taulan. Ataupun disiasat oleh ...