Tahun 2007 merupakan kehadiran Ramadhan yang pertama kami sekeluarga di Bendigo. Jadi ianya menjadi sesuatu yang cukup bermakna untuk kami sekeluarga. Pada permulaannya saya cuba membayangkan bagaimanakah suasananya berpuasa dan berterawih di Bendigo. Sukar untuk saya gambarkan pada ketika itu kerana belum pernah merasai berpuasa dn berterawih di negara orang.
Kami rindukan kemeriahan bazaar Ramadhan seperti di Stadium Shah Alam dan bazaar Seksyen 18, Shah Alam [bazar Seksyen 18 yang paling hampir dengan rumah] dengan pelbagai jenis juadah kuih muih, lauk pauk, air minuman yang pelbagai warna. Pada malamnya pula berterawih di masjid “unta” Seksyen 18 dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari suara hafiznya yang menusuk kalbu walaupun tak difahami maksudnya dan seterusnya solat Subuh berjemaah di situ selepas bersahur.
Berbuka puasa dan bersahur di Bendigo hanya ala kadar aja. Tapi saya bersyukur kerana dianugerahkankan isteri yang pandai memasak. Walaupun dengan ramuan masakan yang terhad Liza masih mampu mengadunkan masakannya menjadi makanan yang cukup enak rasanya untuk kami sekeluarga menjamunya. Kalau sekiranya kami ingin membeli bahan masakan bercitarasa Asia atau lebih tepat lagi makanan melayu kami perlu ke Pasaraya Laguna di Melbourne yang kebiasaannya mengambil masa 2 jam dengan menaiki keretapi dari Bendigo.

Kamilia setiap malam selepas berbuka sudah bersiap sedia untuk turut serta ke surau di La Trobe Uni tanpa menghiraukan kedinginan malam untuk bersolat terawih dan seterusnya moreh. Kamilia tidak bersembahyang, dia hanya memerhatikan papanya mengimami solat terawih dan dia akan turut serta mengaminkan bacaan al-Fatihah dan doa yang dibacakan. Seperti kebiasaannya kanak-kanaklah merupakan insan yang paling seronok bila masa moreh. Kamilia akan turut serta membantu membentangkan kertas suratkhabar lama sebagai alas untuk makanan seperti kek epal, muffin, spring roll, sandwich dan karipap.
Pada setiap hari Sabtu di bulan Ramadhan kami sekeluarga akan berbuka puasa bersama masyarakat muslim di Surau La Trobe University Bendigo. Makanan yang dibawa tak boleh pedas-pedas kerana rupanya orang di sini suka masakan yang manis-manis. Jadi Liza yang telah terbiasa memasak makanan yang pedas-pedas terpaksa menukar resepi semuanya menjadi manis. Komuniti di sini terdiri dari Arab, Jordan, Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh, Australia, Pakistan dan kami 4 beranak dari Malaysia.
Ramadhan kali ini juga saya rasa penuh maknanya kerana saya berpeluang untuk membaca dan menghafal ayat-ayat suci yang jarang-jarang dapat saya lakukan semasa di Malaysia. Yang memotivasikan saya lagi untuk menghafal adalah apabila saya yang pada mulanya hanya ditugaskan sebagai tukang azan secara tak rasmi diminta oleh jemaah untuk mengimami solat sunat terawih dan witir di setiap malam.
Sepatutnya kami ada dua imam (lantikan tak rasmi) yang sering membaca khutbah Jumaat dan mengetuai setiap sembahyang kami di surau ini iaitu Sultan seorang pelajar dari Saudi Arabia (tak dapat berjemaah solat sunat terawih kerana kuliah banyak di sebelah malam) dan Mamoun seorang penyelia di Hazeldene’s Chicken Farm yang berasal dari Jordan (tak dapat berjemaah kerana kerap bertugas shif malam). Sudah semestinya kami beruntung dapat berkenalan dengan Mamoun. Ini kerana kami mendapat bekalan ayam halal yang cukup murah dengan harga cuma AUD2.50 untuk seekor ayam [harga staf] sedangkan kalau dibeli di Butcher’s Shop ia berharga AUD13.00.
Pernah sekali tu pada hari Jumaat dalam bulan Ramadhan, kerana ketidakahadiran kedua-duanya saya telah menjadi ‘bidan terjun’ apabila diminta untuk menjadi khatib membaca khutbah Jumaat. Inilah pengalaman pertama di dalam diari hidup yang tidak akan saya lupakan hingga bila-bila. Iyalah selalunya kita hanya mendengar, kini orang pula yang mendengar apa yang kita sampaikan melalui khutbah.
Ramadhan di Bendigo memberikan pengalaman yang cukup signifikan di dalam lipatan sejarah kami sekeluarga dan akan diingati di sepanjang hayat, isyaallah.
Akhirnya marilah kita berdia semoga kita semua mendapat dan telah mengecapi nikmat dan berkat bulan mulia Ramadhan ini yang semakin hampir ke penghujungnya. Moga kita akan bertemu lagi Ramadhan yang akan datang dengan amal yang lebih berganda.




